TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 25 Ogos 2010

Buta sejarah punca rakyat gagal fahami gagasan 1Malaysia

Sumber: Minda Pengarang, Berita Harian Malaysia Online.
Buta sejarah punca rakyat gagal fahami gagasan 1Malaysia
Tarikh: 2010/08/26
PENGAKUAN tokoh akademik yang juga sejarawan negara, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim, bahawa sistem pendidikan kita terlalu menumpukan pembelajaran sains dan teknologi sehingga pelajar tidak menguasai ilmu kenegaraan, termasuk hidup bersatu dalam negara berbilang kaum wajar diberi perhatian serius.

Ketika menghuraikan perkara itu pada Forum Jati Diri anjuran Berita Harian, GAPENA dan Persatuan Sarjana Komunikasi Media Malaysia di Universiti Malaya, kelmarin Dr Kay Kim berkata, kesukaran generasi muda memahami maksud 1Malaysia adalah kesan meminggirkan sejarah dan hal ehwal kemanusiaan dalam sistem pendidikan negara yang juga terlalu berorientasikan peperiksaan.


Akibat kedangkalan mengenai 1Malaysia, akhirnya ia dieksploitasi pihak tertentu yang menyamakannya dengan slogan Malaysian Malaysia sekali gus mahu menghapus hak keistimewaan orang Melayu dan diganti dengan tuntutan kesaksamaan untuk semua kaum.

Hakikat ini ternyata menyimpang jauh daripada objektif utama sistem pelajaran yang digariskan dalam Penyata Razak iaitu memperkukuhkan perpaduan kaum yang menjadi asas keutuhan sosiopolitik dan pemangkin kemajuan serta kemakmuran ekonomi negara.

Tanpa menerapkan dua asas jati diri itu sepanjang proses pembelajaran serta pembentukan sahsiah individu, maka nilai murni akan terhakis seterusnya generasi muda buta sejarah negaranya sendiri. Sebaliknya, individualistik kian subur menggantikan semangat kekitaan dan perpaduan antara kaum. Mereka juga tidak kenal siapa pejuang dan pemimpin negara terdahulu, apatah lagi mengambil tahu sejarah nama bandar, nama jalan dan sesuatu tempat bersejarah.

Sehingga ke tahap lebih buruk lagi apabila ramai di kalangan kita hari ini kenal jiran tetapi tidak mengetahui nama mereka. Tiadanya unsur sejarah dan kenegaraan juga menyebabkan semangat patriotisme dalam diri rata-rata rakyat negara ini sangat dangkal. Ini boleh dilihat dengan kehambaran suasana menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, setiap tahun. Generasi sekarang berasakan mereka bukan sebahagian daripada perayaan pada tarikh keramat itu dan tiada tuntutan atau keperluan untuk meraikannya.

Mengenali sejarah akan membentuk patriotisme iaitu perasaan cinta dan setia kepada negara sehingga pada satu tahap sanggup mengorbankan jiwa raga untuk mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara. Semangat itu turut dikaitkan dengan kesanggupan untuk mempertahankan bahasa, amalan agama, perundangan malah kesetiaan untuk kebaikan bersama. Semua unsur ini ternyata kian lekang daripada jiwa generasi muda menyebabkan mereka terumbang-ambing mencari identiti selepas kehilangan nilai diri serta peradaban bangsa Malaysia.

Oleh itu, untuk mengelak kepincangan masyarakat, perlu ada inisiatif dan komitmen pihak terbabit untuk meneliti semula kandungan silibus mata pelajaran tertentu bermula sejak prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Apakah erti kemajuan dan pembangunan jika roh dan semangat jati diri rakyatnya luntur atau kontang.

Menyuburkan hubungan simbiosis antara kemajuan fizikal yang didokong sains dan teknologi dengan peneguhan sahsiah serta jati diri adalah jalan terbaik dalam proses pembentukan masyarakat seimbang. Tanpa kesedaran semua pihak untuk menerapkan kembali sejarah tanah air dan ilmu kenegaraan dalam sistem pendidikan negara maka nilai, pengajaran serta semangat yang tersemat daripada sesuatu sejarah itu akhirnya lenyap ditelan zaman.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Butasejarahpuncarakyatgagalfahamigagasan1Malaysia/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran