TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label The Electric Train Service (ETS). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Electric Train Service (ETS). Papar semua catatan

Isnin, 20 September 2010

SEJARAH ETS TERCIPTA

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh: 20 September 2010.

SEJARAH ETS TERCIPTA


SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah mencipta sejarah selaku sultan pertama menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Ipoh, semalam.

Keberangkatan baginda yang turut diiringi Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria nyata menarik perhatian rakyat jelata di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Stesen Kereta Api Ipoh yang turut mengambil kesempatan merakamkan wajah dan bersalaman dengan baginda berdua.


Sultan Azlan Shah mencemar duli dengan hanya duduk di gerabak biasa menyifatkan perjalanan selama dua jam itu sebagai perjalanan yang bagus.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

1,400 guna khidmat ETS Ipoh-KL setiap hari.

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 20 September 2010.

1,400 guna khidmat ETS Ipoh-KL setiap hari.


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Sejak memulakan operasi 12 Ogos lalu, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menerima sambutan hangat penumpang terutamanya bagi perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.


Ketua Pegawai Operasi (COO) ETS, Azizullah Kinayatullah berkata, secara purata kira-kira 1,400 penumpang memilih perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur dari Ipoh yang hanya mengambil masa dua jam perjalanan sehala.

Katanya, dengan sambutan itu, pihaknya optimis matlamat untuk membantu lebih ramai penduduk menetap di Ipoh dan bekerja di ibu negara pada masa depan akan tercapai.

"Kami yakin matlamat itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai selain optimis jumlah pengguna ETS akan terus meningkat pada masa depan.

"Dengan tempoh perjalanan yang singkat selain perkhidmatan yang selesa, kami yakin rakyat negara ini tidak berasa 'janggal' untuk berbuat demikian (menetap di Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur).

"Disebabkan itu, kami tidak teragak-agak untuk menambah kekerapan perjalanan daripada cuma enam kepada lapan trip pergi dan balik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap hari bermula 1 Oktober ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun yang berkenan mencemar duli berangkat ke Ipoh dengan menaiki ETS dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ETS, Dr. Aminuddin Adnan.

Keberangkatan baginda berdua yang turut diiringi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria nyata menarik perhatian ramai selain mencatat sejarah selaku sultan pertama yang berkenan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Azizullah menambah, pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ETS turut menunjukkan minat menambah set tren sedia ada bagi membolehkan perkhidmatan dipanjangkan sehingga ke utara dan selatan tanah air.

"Setakat ini kami cuma memiliki lima set ETS dan ia tentunya tidak mencukupi sekiranya perkhidmatan mahu dilanjutkan hingga ke Padang Besar atau Johor Bahru. Rancangan untuk menambah set tren memang ada tetapi semuanya terserah kepada kerajaan.

"Selain itu, ia juga perlu bergantung kepada pembinaan projek landasan elektrik berkembar yang kini masih belum siap sepenuhnya.

"Ketika ini, projek Ipoh-Padang Besar sudah berjalan sementara projek ke selatan pula hanya sampai ke Gemas. Projek ini dijangka mengambil masa antara setahun hingga setahun setengah untuk disiapkan," ujarnya.

Ditanya mengenai kadar tambang yang akan dikenakan sebaik sahaja tempoh promosi berakhir tahun depan, Azizullah enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu komen kerana segalanya masih dalam pertimbangan. Kadar penumpang yang ramai disebabkan tawaran harga menarik ketika ini turut memerlukan kami membuat kajian secara mendalam.

"Secara jujurnya, kami akan berbincang dengan kerajaan mengenai harga ditawarkan selepas tempoh promosi berakhir. Pengumuman hanya akan dibuat setelah perbincangan bersama kerajaan kerana ini adalah pengangkutan milik awam," katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Ahad, 15 Ogos 2010

KL ke Ipoh cuma 2 jam dengan keretapi ETS

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Oleh Hazirah Che Sab, zeehan@bharian.com.my

Tarikh: 2010/08/15

Perjalanan lebih pantas, selesa naik tren elektrik KTMB

SESAK dan rimas! Inilah rungutan sering kedengaran bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan panjang di jalan raya mahu pun lebuh raya yang sarat kenderaan, setiap kali tiba musim perayaan. Apatah lagi perjalanan ke arah utara seperti di Ipoh atau pun ke ibu negara yang disifatkan destinasi utama ramai yang mahu pulang ke kampung atau pun bercuti, secara serentak.

Akibatnya, jalan raya yang sepatutnya menjadi penghubung, bertukar menjadi lautan kenderaan yang menyesakkan. Lalu, pernah terlintas di fikiran, alangkah bahagianya jika ada kereta api elektrik yang bukan saja dapat memendekkan perjalanan tetapi sekali gus turut memastikan pengalaman pulang ke kampung dalam suasana selesa.

Pramugari ETS menyambut penumpang.


Menyedari kepentingan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melangkah setapak lagi dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan memperkenalkan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang membawa penumpang ke Ipoh dalam masa dua jam berbanding tiga jam sebelum ini.

ETS yang memulakan perkhidmatannya Khamis lalu juga disifatkan usaha terbaru KTMB memaksimumkan sistem pengangkutan itu yang berdepan saingan bentuk pengangkutan lain yang lebih cepat dan selesa.

Khidmat kepada penumpang ETS.

Malah, bagi penulis, keselesaannya cukup terasa apalagi dapat melabuhkan badan pada kerusinya yang empuk dan luas. Ditambah pula dengan skrin LCD yang mampu menghilangkan kebosanan selama dua jam perjalanan.

Menariknya, tandas tren ini mempunyai ciri-ciri seperti tandas dalam kapal terbang yang sentiasa dipastikan bersih untuk kegunaan. Jika lapar, sila ke koc C untuk menjamu selera dengan dilayan pramugari dan pramugara yang terlatih.

Mempunyai lima koc yang boleh memuatkan sehingga 350 penumpang pada satu-satu masa, ETS menjanjikan keselesaan dengan kelengkapan seperti tandas, kafe, skrin LCD, tempat duduk bertanda dan kamera litar tertutup dalam setiap koc serta perkhidmatan pramugari dan pramugara.


Kemudahan di tempat duduk penumpang ETS.


Tren yang menggunakan teknologi Korea itu mengutamakan keselamatan penumpang kerana dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan terkini dan menepati piawaian antarabangsa.

Kelajuan ETS boleh mencecah 160 kilometer sejam tetapi keadaan geografi yang tidak stabil tidak membolehkan ia dipandu sehingga ke tahap maksimum sebaliknya bergerak kebanyakan masa pada kadar 140 kilometer sejam.

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata kelajuan maksimum cuma boleh digerakkan ketika perjalanan dari Rawang ke Ipoh tetapi tidak berpanjangan kerana ia terpaksa dikurangkan apabila melalui trek tidak stabil.

"Kelajuan 160 kilometer sejam cuma untuk beberapa ketika untuk mendapatkan balik masa yang terbuang apabila kita terpaksa menunggu kereta api lain yang menggunakan landasan sama.

"Malah kelajuan ETS menjimatkan masa sehingga sejam dalam perjalanan ke Ipoh berbanding sebelum ini. Istimewanya ETS ialah ia mesra orang kurang upaya (OKU) seperti tandas. Stesen perhentian juga tidak melupakan OKU dengan kelengkapan seperti lif dan sebagainya.

"Kita mengharapkan kemudahan seumpama ini akan menarik lebih ramai pelanggan. Kami juga mensasarkan golongan profesional dan ahli perniagaan untuk menjadi pelanggan tetap ETS. Jika sambutan daripada golongan berkenaan menggalakkan, ETS mempertimbangkan untuk menjadikan salah satu koc sebagai koc kelas pertama," katanya ketika ditemui sempena pelancaran perkhidmatan itu ke Ipoh baru-baru ini.

Pihaknya juga bercadang melanjutkan perjalanan sehingga ke Padang Besar, Perlis di sebelah utara dan sehingga ke Gemas di selatan apabila landasan berkembar dijadualkan siap dibina pada tahun 2013.

Selain itu, ciri menarik yang turut ada pada ETS ialah ia menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar kerana bergerak menggunakan elektrik yang nyata lebih bersih dan menjimatkan.

Selama enam bulan penumpang yang ingin ke Ipoh menggunakan ETS cuma perlu membayar harga promosi sebanyak RM30 untuk perjalanan sehala dan akan dinaikkan kepada RM50 apabila tempoh itu berakhir.


Setelah tiba di destinasi.


Orang ramai yang mahu mencuba perkhidmatan itu boleh menghubungi talian 03-22723392 atau melayari laman web www.ets-train.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan mendapatkan jadual perjalanan.

INFO: Kereta api elektrik (ETS) KTMB

•Tenaga elektrik lebih bersih, mesra alam

•Mempunyai lima koc

•Mampu bawa 350 penumpang pada satu-satu masa

•Kemudahan tandas, kafe, skrin LCD selain bantuan pramugari

•Mesra orang kurang upaya

•Perkhidmatan pramugari dan pramugara

•Bayaran RM50 seorang bagi perjalanan sehala selepas tamat promosi RM30 selama enam bulan

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KLkeIpohcuma2jam/Article/index

Rabu, 16 Disember 2009

Kuala Lumpur ke Ipoh dua jam saja dengan tren

Wartawan: Sazarina Shahrim, sazarina@bharian.com.my
Courtesy: Berita Harian Malaysia.
Foto: Ikhwan Munir.



ETS kurangkan tempoh perjalanan

KUALA LUMPUR: Khidmat tren penumpang antara bandar menghubungkan Kuala Lumpur-Ipoh menggunakan Set Kereta Api Elektrik (ETS) yang mula beroperasi April depan, mampu mengurangkan tempoh perjalanan kepada sejam 55 minit.

ETS juga akan mengurangkan tempoh perjalanan dari Ipoh ke Seremban, kurang tiga jam.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan, berkata ETS serba moden itu dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup di setiap gerabak, soket elektrik selain untuk penumpang kelainan upaya (OKU) dan pramugari tren.

Beliau berkata, ketika ini hanya satu tren baru diterima daripada lima tren yang dijangka sampai sebelum Februari depan.

"Pengenalan perkhidmatan ETS kelak akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memodenkan infrastruktur sedia ada," katanya selepas Majlis Perasmian ETS KTMB di sini, semalam.



Aminuddin berkata, pihaknya juga akan memperluaskan perkhidmatan ETS ke bandar lain pada masa depan sekiranya mendapat sambutan daripada pengguna.

Pada sidang media sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata perkhidmatan ETS itu akan meningkatkan kecekapan terutamanya dalam memastikan tempoh perjalanan dipendekkan selaras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperbaiki sistem perkhidmatan awam negara.

Beliau berkata, misi utama kementerian di bawah NKRA ialah memastikan 25 peratus penduduk Lembah Klang, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang akhir 2012.

Source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20091215235400/Article/

Wartawan: Sazarina Shahrim, sazarina@bharian.com.my

Courtesy: Berita Harian Malaysia.

Foto: Ikhwan Munir.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran