TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 27 Januari 2011

Kenyataan Kuan Yew hina Islam - Mufti Perak

Tan Sri Dr Harussani Zakaria


KUALA LUMPUR 26 Jan. - Tindakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menggesa umat Islam negara itu supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam kerana ia boleh menghalang integrasi dan pembangunan merupakan penghinaan kepada agama itu sendiri.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Kuan Yew tidak layak untuk membuat kenyataan tersebut kerana beliau sendiri tidak memahami ajaran Islam serta intipati yang terkandung di dalam agama tersebut.

Tegasnya, Kuan Yew perlu melihat kepada sejarah bahawa Islam merupakan agama yang menyokong pembangunan kerana terdapat bukti-bukti bahawa banyak kejayaan dalam pelbagai bidang seperti sains, perubatan dan kejuruteraan adalah berasal daripada teori yang diterbitkan oleh golongan cendekiawan Islam.

Tambahnya, Kuan Yew sepatutnya tahu mengenai perkara tersebut tetapi beliau telah membuktikan kejahilannya dengan mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di Singapura malah di seluruh dunia.

"Banyak kejayaan di Barat adalah lanjutan kepada kajian serta penerokaan yang dimulakan oleh cendekiawan Islam. Bagaimana pula Kuan Yew boleh berkata ajaran Islam menghalang pembangunan sesebuah negara?

"Gesaan tersebut merupakan penghinaan kerana Islam sebenarnya menggalakkan proses pembangunan menerusi landasan yang betul. Tidak timbul langsung isu bahawa Islam menghalang integrasi atau pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Kuan Yew supaya umat Islam di Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam kerana mendakwa ajaran tersebut menghalang pembangunan serta integrasi di negara berkenaan di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

Menurut Harussani, kenyataan Kuan Yew itu tidak lebih daripada permainan politik beliau.

Katanya, kenyataan itu juga menunjukkan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut kepada masyarakat Islam sama ada di negaranya sendiri mahupun di negara luar.

"Beliau takut dengan Islam. Bukan sahaja Kuan Yew, malah pemimpin-pemimpin negara Barat juga takut kepada Islam kerana semakin mereka memerangi Islam, makin terserlah kebenaran ajaran Islam," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris pula berkata, gesaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu menunjukkan bahawa beliau mengalami kekeliruan fikiran dan kefahaman mengenai Islam.

Katanya, Kuan Yew telah melakukan kesilapan besar dan menunjukkan kejahilannya kepada dunia dengan mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Jadi saya berharap Kuan Yew serta kerajaan Singapura supaya mendekati masyarakat Islam untuk mengenal dengan lebih dekat lagi mengenai ajaran Islam.

"Islam tidak pernah menghalang pembangunan sebaliknya menggalakkan penganutnya membangunkan diri serta negara mereka," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran