TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 1 Januari 2011

Politik murahan yang memualkan



MINGGU ini kita dihidangkan dengan dua isu permohonan maaf melibatkan dua pemimpin utama negara. Pertama, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz mahukan mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya. Lebih berat lagi beliau berkata: "Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya".

Kedua, ketua parti ultra kiasu Selangor dan pemimpin Pas Shah Alam mendesak Perdana Menteri memohon maaf berhubung satu arahan daripada pejabat Perdana Menteri supaya tidak menonjolkan elemen keagamaan Kristian seperti lambang salib, upacara sembahyang, doa dan nyanyian berunsur Kristian, dalam satu majlis sambutan Krismas (rumah terbuka) yang dihadiri oleh Perdana Menteri di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur, 25 Disember lalu, anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) itu.

Pemimpin ultra kiasu ini menyifatkan arahan daripada pejabat Perdana Menteri merupakan satu tindakan yang "tidak menghormati" penganut Kristian. Ia juga dikatakan satu pengkhianatan terhadap (slogan) berbilang etnik, berbilang agama dan gagasan 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Tindakan ini dilihat seolah-olah mahu "menyahkristiankan" majlis sambutan Krismas berkenaan dan menafikan kebebasan beragama bagi rakyat Malaysia.

Lebih ultra lagi, mereka menggesa Perdana Menteri mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan mengarahkan kerajaan supaya menghormati tradisi Krismas dan hak rakyat Malaysia untuk bebas beragama. Ultra kiasu sungguh mereka yang tidak sedar diuntung ini. Mencari politik murahan yang amat memualkan, dalam keadaan umat Islam tersepit.

Pada saya, jika benarlah berita tersebut, permintaan pejabat Perdana Menteri itu tidaklah terlalu berat. Ia tidak ada kaitan langsung dengan tindakan untuk menghalang kebebasan beragama, kecuali mereka yang ingin mendapatkan laba politik. Selama ini, tidak ada siapapun melarang sambutan Krismas sehingga menenggelamkan suasana bandar raya, walaupun bilangannya begitu sedikit. Sambutan Krismas seolah-olah mempamerkan penganutnya lebih daripada 50 peratus. Atas dasar menghormati kebebasan beragama, tidak ada larangan untuk menghadkannya, walaupun sepatutnya berpada-pada dengan bilangan kurang dari 10 peratus.

Pemimpin Pas Shah Alam begitu beriya-iya mempertahankan isu ini dan mendakwa Perdana Menteri tidak mengamalkan toleransi beragama. Pada saya toleransi yang ditunjukkan oleh pemimpin negara selama ini terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berapa banyak cuti perayaan bukan Islam yang diberikan cuti umum? Bandingkan perayaan-perayaan Islam di negara bukan Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Singapura.

Cuba kita fikir sebentar berapa banyakkah gereja Kristian yang telah didirikan dengan penganutnya yang tidak sampai 10 peratus. Ini tidak termasuk di Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan rumah ibadat penganut Sikh yang kurang dari lima peratus. Hindu dan Buddha, tidak usahlah dikira lagi.

Pas tidak perlulah menangguk di air yang keruh. Saya yakin jika pemimpin Pas Shah Alam itu bertanding atas tiket ultra kiasu di salah satu kawasan Parlimen Kuala Lumpur, sudah tentu sambutan yang diterima amat luar biasa, kerana beliau jelas mewakili suara bukan Islam. Malang sungguh rakyat Shah Alam mendapat pemimpin sebegini rupa. Ternyata suara ketua ultra kiasu Selangor dan pemimpin Shah Alam ini sama dan senada, cuma agama sahaja yang berbeza. Jika tidak, mungkin mereka berjodoh.

Benar, Kristian berhak untuk menyambut perayaan mereka. Namun, tidakkah mereka juga patut menghormati Perdana Menteri selaku seorang pemimpin nombor satu yang beragama Islam? Jika mengikut hukum, banyak perayaan agama bukan Islam yang tidak boleh dihadiri oleh orang Islam. Tetapi atas toleransi dan keharmonian, pemimpin negara kita buat pejam mata sahaja. Saya juga ingin mendapat komen pemimpin Pas dalam hal ini. Dan juga, apakah hukum membina patung Buddha yang begitu besar di Kelantan dengan bilangan penganut mereka yang begitu sedikit di sana?

Cacatkah majlis tersebut dengan ketiadaan lambang-lambang tersebut? Selama ini kebanyakan sambutan perayaan Malaysia diadakan di tempat terbuka yang dihadiri oleh Perdana Menteri. Kali ini Perdana Menteri bermurah hati menerima jemputan yang diadakan di rumah bishop tersebut. Sudah tentu lambang-lambang keagamaan bersepah-sepah di rumah tersebut. Apakah permintaan Perdana Menteri begitu besar kesalahannya, hanya semata-mata untuk mengelakkan fitnah?

Maklumlah politik murahan hari ini hanya menunggu masa untuk menjatuhkan seseorang. Seribu kebaikan akan dilupakan hanya dengan satu kesilapan atau kesalahan. Inilah politik kotor saling jatuh-menjatuh yang tidak pernah berkesudahan kalangan orang Melayu Islam?

Lebih hina lagi pemimpin ini membanding dengan, apakah mungkin Perdana Menteri akan mengalihkan patung-patung di Batu Caves jika ada jemputan dibuat daripada penganut Hindu di sana? Ternyata ia merupakan dua isu yang berbeza. Saya yakin, semua pemimpin Islam tidak akan berada selesa jika majlis keramaian atau perayaan diadakan di tempat-tempat ibadat.

Justeru, kita lihat amat jarang sekali, rumah terbuka sambutan hari raya diadakan di dalam masjid, kerana kita menghormati sensitiviti orang bukan Islam. Sambutan akan diadakan di tempat-tempat awam untuk mengelakkan kontroversi. Matlamat utama adalah perpaduan.

Sepatutnya sambutan Krismas tidak sepatutnya dibuat di gereja atau di rumah paderi tetapi di tempat umum. Sama juga sambutan di Tahun Baru Cina, tidak wajar di adakan di tokong atau kuil Cina kerana sambutan tersebut tidak sesuai diadakan di sana kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah.

Sudah tentu kita masih ingat kisah Khalifah Islam kedua, Saidina Omar Al-Khattab yang pernah melawat gereja. Ketika tiba waktu sembahyang, paderi tersebut menawarkan Omar untuk solat di gereja. Namun, Saidina Omar menolak dan memilih untuk tidak solat di dalam gereja kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah. Mungkin orang Kristian akan beranggapan Omar mahu menukarkan gereja menjadi masjid. Semua ini dilakukan atas kebijaksanaan seseorang pemimpin.

Mencemar duli

Kesediaan dan kesudian Perdana Menteri yang sanggup 'mencemar duli' pergi ke 'rumah ibadat' tersebut sepatut diberikan penghargaan dan pujian, bukannya dilacurpolitikkan. Bayangkan jika Perdana Menteri tidak berhati-hati dan terus pergi ke 'rumah ibadah' tersebut, tiba-tiba muncul gambar Perdana Menteri bersama-sama lambang salib di atas kepalanya. Tidakkah nanti akan dipolitikkan oleh pembangkang ketika pilihan raya. Saya masih teringat bagaimana lambang salib dijadikan isu untuk mengaibkan dan menjatuh pemimpin Islam satu ketika dahulu. Tidak kiralah siapa yang melakukannya, tetapi semua peristiwa ini perlu dijadikan teladan.

Pada saya jika tidak ada arahanpun, sepatutnya pihak gereja perlu faham sensitiviti masyarakat Islam di negara ini setelah lebih 53 tahun kita merdeka. Jika perkara ini sudah tidak menjadi sensitif lagi, saya cadangkan Menteri Besar Selangor atau Menteri Besar Kelantan, satu hari nanti mungkin boleh mengambil kesempatan untuk merasmikan tokong atau gereja orang bukan Islam? Saya yakin orang bukan Islam juga tidak akan berasa selesa jika kita panggil menghadiri majlis keagamaan orang Islam di dalam masjid.

Sebenarnya, banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat terhadap agama lain, tidak semestinya melalui jemputan rumah terbuka, apatah jika di buat di tempat ibadat. Saya tidak pasti, apakah Perdana Menteri akan melakukan permohonan maaf atau tidak. Dalam isu ini, yang pasti Perdana Menteri tidak bersalah. Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Tetapi amatlah tidak molek dan bersopan, jika kita memaksa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka seperti yang cuba dilakukan oleh Nik Aziz.

Saya amat hairan, tidak seorangpun yang memberikan pandangan akan desakan Nik Aziz agar mereka yang menfitnah soal kematiannya supaya memohon maaf. Tidakkah tuan guru sebagai orang alim dan orang agama sepatutnya memaafkan mereka yang bersalah? Bukankah ini sifat Rasulullah yang sentiasa mengampunkan kesalahan umatnya? Sedangkan Nabi ampunkan umat inikan pula kita sesama manusia. Tutup buku dan habis cerita. Kenapa kita mesti bebankan mereka dengan 'dosa' yang tidak diampunkan. Jika demikian sifatnya, saya bimbang nanti, neraka di akhirat ini penuh dengan umat Islam yang tidak diampunkan dosanya oleh Nik Aziz.

Saya tidaklah sealim Nik Aziz. Apatah lagi ilmu agama amat cetek berbanding Nik Aziz. Saya tidak pernah meminta mereka yang mengutuk saya dan menfitnah saya selama ini menerusi penulisan saya dalam Mingguan Malaysia untuk memohon maaf. Kalau kita lihat dalan Internet, boleh dikatakan ratusan ribu, mungkin sampai juta, orang mengata dan mengutuk saya macam-macam. Saya tidak pula meminta mereka memohon maaf. Pada saya inilah adalah asam garam hidup yang perlu dihadapi dengan lapang dada.

Dahulu, saya amat menghormati Nik Aziz atas sifat ketokguruan beliau. Namun, sejak akhir-akhir ini saya mula rasa sangsi dan ragu. Pas sahaja yang betul, Umno semuanya salah.

Lantaran itu, Nik Aziz secara total menolak pintu perundingan dengan UMNO, walaupun demi kepentingan umat Islam. Beliau sentiasa berprasangka buruk kepada UMNO dalam apa jua cara sekalipun. Alasannya mudah, Pas pernah merasai peristiwa pahit ketika bersama UMNO dalam Barisan Nasional suatu masa dahulu.

Keadaan sudah banyak berubah pada masa kini. Walaupun kini Pas tidak bersama UMNO, tetapi saya amat yakin sekiranya Nik Aziz pergi berjumpa dengan Perdana Menteri dan berbisik kepadanya mengenai wang royalti minyak secara baik, tidak mustahil suatu hari nanti Nik Aziz akan merasa menggenggam wang royalti tersebut untuk diserahkan kepada rakyat Kelantan. Tetapi saya amat tidak faham kenapa sejak akhir-akhir ini sikap lunak tuan guru semakin hilang.

Saya masih teringat kata-kata hikmah antaranya yang berbunyi, cara untuk menewaskan musuh adalah dengan mendekati dan memenangi hatinya, bukannya menjauhkan diri atau tidak mahu memaafkan kesalahannya. Jika nak tahu keburukan kita tanya musuh. Jika nak tahu kebaikan kita tanya kawan kita. Orang Pas sudah pasti tidak akan mengutuk Nik Aziz, kerana mereka amat menghormati ketokguruan Nik Aziz. Tetapi tidak pada orang bukan Pas. Mungkin mereka mempunyai pandangan sebaliknya. Tidakkah pandangan tersebut sepatutnya kita muhasabahkan untuk melihat diri kita dengan lebih mendalam?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran