TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 29 Disember 2010

Perdana Menteri dan TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara

Dipetik dari muka hadapan Utusan Malaysia hari ini - 30 Disember 2010.


KUALA LUMPUR 29 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.

“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran