TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 26 Disember 2010

Malaysia jadi pengeksport ICT

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka mencapai kemajuan ketara pada 2011 dengan peralihan negara menjadi pengeksport bersih ICT.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, tidak diragui lagi, 2010 akan dianggap sebagai tahun pemulihan.

"Selepas kesan ekonomi global pada 2009, kerajaan dan perniagaan menjadi lebih berhati-hati dan tingkah laku ini ketara terutamanya dalam bahagian semua pelaburan baharu, termasuk ICT," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, hari ini.

Badlisham berkata, 2010 akan dianggap sebagai tahun yang utuh bagi negara, dengan banyak pembangunan utama yang jelas mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menukarkan rangka kerja ekonomi negara bagi memenuhi cabaran ekonomi digital inovatif.

Mengikut data MDeC, pada 2009, Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menyumbang RM6 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Ia mencatatkan pendapatan RM24.8 bilion, di mana RM7.17 bilion datang daripada eksport.

Beliau berkata, MDeC telah menggariskan strategi di bawah Fasa Tiga MSC-Malaysia dengan matlamat, bermula dari 2011, untuk menukar Malaysia menjadi pengeksport bersih ICT daripada pengimport bersih sekarang.

Badlisham berkata, ia juga akan melihat transformasi Malaysia menjadi masyarakat berdasarkan pengetahuan menggunakan ICT sebagai 'pemboleh' dalam seluruh sektor ekonomi bagi memacu produktiviti dan inovasi negara untuk menjadi hab cergas bagi penghasilan penyelesaian ICT.

"Fasa tiga juga akan menyaksikan MSC Malaysia membangunkan keupayaan syarikat tempatan utama bagi membolehkan mereka bersaing di arena antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2011 baik bagi industri kerana langkah-langkah strategiknya akan mengukuhkan eko-sistem, mengasuh bakat dan menyemai budaya inovasi dan keusahawanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham berkata, tahun ini, lebih banyak pelanggan syarikat tersebut dalam sektor perkhidmatan, harta, hartanah, kewangan, pendidikan dan sektor awam, menggunakan teknologi untuk menukar perniagaan dan industri mereka.

"Satu daripadanya ialah inisiatif strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi membangunkan keupayaan pembuatan Sisco di Pulau Pinang.

"Kerjasama dengan MDeC juga dijalin antara Universiti Malaysia bagi Program Latihan Perindustrian Cisco untuk membangunkan pakar perangkaian ICT berkemahiran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Tahun 2010 juga menyaksikan UEM Land Holdings Bhd. dan Sime Darby Bhd. mengguna pakai model Cisco Smart + Connected Communities bagi Symphony Hills dan Idea House, ketika mereka mewujudkan komuniti yang saling berhubungan, katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat di Malaysia mula menghargai nilai 'perkomputeran awan' sebagai kaedah untuk mengurangkan kos operasi mereka dan pada masa yang sama meningkatkan produktiviti dan mobiliti.

"Selain perkomputeran awan, pusat data dan virtualisasi desktop akan terus menjadi teknologi pemboleh yang menyokong pengembangan perniagaan tempatan.

"Tahun depan, kita akan menyaksikan peningkatan pilihan virtualisasi bagi PKS," katanya.

Pengurus Besar NetApp Malaysia & Brunei, Andy Khoo berkata, tahun depan dan tahun-tahun akan datang akan menjadi penting, kerana keputusan peneraju teknologi maklumat (IT) bukan sahaja akan memberi kesan kepada bagaimana mereka bersaing tetapi juga kejayaan jangka panjang perniagaan mereka.

"Peneraju IT yang berwawasan akan melihat peluang dalam penerokaan data sebagai sumber inovasi baharu," katanya.

Beliau berkata, peneraju IT perlu mengambil kesempatan daripada teknologi untuk memikirkan dan membina semula prasarana perniagaan. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran