TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 23 Disember 2010

Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail pahlawan sejati

Foto Berita Harian 12 Dis 2010.


Oleh ROHANA MAN, rohana.man@utusan.com.my

“Orang-orang muda seharusnya menghormati orang-orang yang lebih dahulu mengalami pahit maung sebelum Angkatan Tentera berada dalam keadaan seperti sekarang. Kalau tidak ada orang-orang tua, tentu tidak ada orang-orang yang muda,” kata Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun terbitan Pustaka Budiman Sdn. Bhd.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu meninggal dunia pada usia 88 tahun di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada pukul 4.40 pagi semalam.

Jenazah beliau dibawa ke rumahnya di No. 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar. Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lalu.

Anak kelahiran Johor Baharu ini menyimpan banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat selama 36 tahun sebagai tentera. Allahyarham menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tentera pada 30 November 1977 sekali gus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

Sejarah awal penglibatannya dalam pasukan tentera bermula pada 1941 apabila beliau menyertai Johor Military Force (JMF) sebagai kadet. Tujuan memasuki JMF adalah untuk membolehkannya melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di luar negara. Cita-cita itu menjadi kenyataan apabila beliau dan dua rakannya iaitu Hussein Datuk Onn dan Ungku Ahmad Ungku Abd. Rahman dihantar mengikuti kursus Gentlemen Cadet selama dua tahun di Indian Army Academy di Dehra Dun, India dari Ogos 1941 sehingga Februari 1942.

Namun, apabila Perang Pasifik tercetus, latihan itu disingkatkan kepada lapan bulan dan berikutan kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun, beliau tidak dapat kembali ke tanah air. Sehubungan itu, beliau ditugaskan di 19 Rejimen Hyderabad sebelum berkhidmat di Rejimen Ke-10/19 Hyderabad dan berpindah pula ke Rejimen Ke-25/19 Hyderabad.

Pada November 1943, beliau dengan sukarela menawarkan diri untuk berkhidmat menentang Jepun di Tanah Melayu. Usaha pertamanya menyusup masuk ke Tanah Melayu untuk mendarat di Pulau Pinang dengan kapal selam dari Ceylon bagaimanapun gagal. Dalam usaha kedua, beliau cuba menyusup masuk ke Terengganu dengan kapal terbang pada Oktober 1944 tetapi masih gagal. Hanya dalam usaha ketiga, beliau berjaya mendarat di Pulau Perhentian, Terengganu tetapi tidak lama kemudian, beliau ditangkap dan menjadi tawanan Jepun selama 10 bulan.

Selepas Jepun menyerah kalah, beliau dibebaskan dan kembali berkhidmat dengan Indian Army di Pahang dan Johor. Sebelum menamatkan perkhidmatannya dengan Indian Army pada Mac 1947, beliau ditugaskan sebagai Penjaga Rekod Local Forces Records Office di Pulau Pinang dari Ogos sehingga September 1946.

Selepas itu, beliau memohon memasuki Askar Melayu tetapi disebabkan pihak Inggeris enggan mengiktiraf pentauliahannya setaraf dengan pegawai Inggeris, maka beliau enggan menerima tawaran pentauliahan High Commissioner Commission. Ini kerana pentauliahan itu jauh lebih rendah berbanding dengan pegawai Inggeris yang menerima pentauliahan King Commission.

Selama lima tahun, beliau berjuang untuk membetulkan perkara tersebut termasuk merayu kepada Dato’ Onn Jaafar. Akhirnya, pada tahun 1951, barulah tauliah yang setaraf dikurniakan kepada para pegawai Melayu melalui Raja-raja Melayu.

Hasilnya pada 1 Mac 1951, beliau berkhidmat semula dalam Askar Melayu dengan pangkat Leftenan dan bertugas di Depot Cawangan Latihan Askar Melayu. Sebelas bulan kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada Kapten.

Dalam tempoh darurat, beliau ikut sama menjalankan operasi di hutan-hutan di sekitar Raub, Bentong dan Jerantut di Pahang. Namun, beliau tidak pernah terlibat dalam pertempuran besar.
Dalam pada itu, beliau berpeluang mengikuti kursus ketua kompeni di Warminster pada 1952 dan kembali ke tanah air dengan memikul tugas sebagai ketua kompeni di Batalion Ke-5 dan Ke-6 Melayu. Antara kursus lain yang diikutinya adalah kursus ketua kompeni di Sekolah Infantri Warminster, kursus Air Photography Intelligence di Joint School of Military Intelligence di RAF Nuneham Park dan kursus Joint School of Chemical Warfare di Winterbourne Gunner, Salisbury, Wilts.

Selain itu, antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pegawai Turus Am 2 (Latih)/Pegawai Tadbir di HQ Federation Army, Pegawai Memerintah Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja. Ketika itu beliau berpangkat Leftenan Kolonel dan pada 1 Jun 1960, beliau dinaikkan ke pangkat Kolonel dan ditukarkan ke Kementerian Pertahanan sebelum dihantar mengikuti kursus Post War di Imperial Defence College, London dari Januari hingga Disember 1961.

Sekembalinya ke tanah air, suasana politik di Tanah Melayu agak tegang berikutan rancangan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ditentang oleh Indonesia yang melancarkan konfrontasi terhadap Tanah Melayu. Justeru, beliau ditugaskan menubuhkan briged pertama di Sabah iaitu di Kalabakan bagi menghindarkan ancaman Indonesia.

Selepas konfrontasi tamat, beliau sudahpun berpangkat Mejar Jeneral dan selepas dua tahun berkhidmat di Malaysia Timur, beliau dipanggil balik ke Kuala Lumpur. Apabila peristiwa 13 Mei meletus dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk, beliau dilantik menjadi Pengarah Keselamatan iaitu penolong kepada Pengarah Mageran, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kecemerlangan dalam perkhidmatan yang sentiasa menyerlah telah membuka pintu kepadanya untuk dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Julai 1970.

Source: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran