TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 4 Disember 2010
Diperguna atau langsung tidak berguna
MINGGU lalu laman web MalaysianInsider menyerang saya melalui tajuk berita “Chinese MPs slam Ridhuan Tee‘s publicity stunt”. Wartawan web ini meminta pendapat ahli-ahli Parlimen ultra kiasu DAP, tidak ketinggalan Ketua Pemuda MCA.
Saya dituduh menggunakan identiti Cina untuk menyerang saudara sebangsa saya. Jahat sekali tuduhan biadab ini. Namun, saya tidak hairan dengan tuduhan emosi wanita itu dan juga sekutunya.
Mereka mungkin mendapat maklumat melalui pelajar-pelajar yang mengikuti Seminar Pemimpin Muda di Parlimen baru-baru ini. Dalam forum tersebut, saya mengatakan segelintir golongan ultra kiasu akan menjadi penghalang kepada program tranformasi kerajaan, jika mereka dibiarkan berleluasa. Hujah saya, golongan ini tidak pernah puas dan sentiasa mempertikaikan perkara-perkara sensitif.. Semua yang dilakukan oleh kerajaan salah. Mereka sahaja yang betul.
Mereka menuduh saya dipergunakan. Kadang kala, fikir punya fikir, elok juga dipergunakan, sekurang-kurangnya kita dapat merasakan diri kita berguna. Daripada tidak dipergunakan, menunjukkan diri kita langsung tidak berguna. Mungkin Ahli Parlimen tersebut merasai sedemikian. Apa pun, saya tidak begitu bodoh untuk dipergunakan oleh orang Melayu, apatah lagi UMNO.
Saya boleh menyertai UMNO jika saya mahu, sebab saya adalah Melayu dari segi perlembagaan, perkara 160 (2), tetapi saya tetap Cina dari segi penciptaan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Saya lebih memilih memberikan pandangan akademik daripada berpolitik. Saya menjunjung surah al Hujurat ayat 13 mengenai kejadian berbilang bangsa oleh Allah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Yang paling mulia di kalangan kita adalah orang yang bertakwa, bukan bangsa atau keturunannya. Allah tidak akan tanya kita di akhirat nanti, apa bangsa kita. Tetapi yang akan ditanya, siapa Tuhan kamu, siapa Nabi kamu dan apa agama kamu. Persoalan bangsa sudah tidak wujud apabila berhadapan dengan Rabbul Jalil.
Mesej saya jelas, hanya menyeru orang Melayu Islam bersatu, sebagaimana bangsa saya bersatu atas nama bangsa. Saya tidak menyeru Melayu bersatu atas nama Melayu. Bodohlah saya, kerana saya adalah orang Cina. Tetapi saya menyeru bersatu atas nama Islam kerana Melayu beragama Islam. Apabila Islam berada di atas, semua boleh duduk sekali, tidak kira Melayu, Cina, India mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak atau mungkin juga makhluk lain. Kerana semuanya diciptakan Allah SWT. Saya tidak mahu umat Islam berpecah-pecah sehingga ultra kiasu atau DAP menangguk ikan di air yang keruh atau menahan lukah di pergentingan.
Jika tidak tahu adab, belajar dan bergaul dengan orang Melayu lebih lama. Kenali hati budi mereka. Orang Melayu, bangsa yang saya kenali amat lembut dan beradab sopan. Namun, jangan ambil kesempatan atas ‘kelemahan’ tersebut. Nilai-nilai Islam telah menyantuni mereka. Itulah yang menjadi mereka dapat memberi dan menerima, sehingga terlalu banyak memberi, sedikit sahaja yang diterima, tetapi mereka tetap menerima. Ditakdirkan Melayu masih tidak Islam sehingga ke hari ini, bagaimanakah kedudukan kita hari ini?
Kenapa kita perlu mengungkit perkara sensitif tersebut. Sedangkan kewujudannya tidak sama sekali menggugat kedudukan kita. Apakah dengan adanya perkara 3 (1), 152, 153, dan sebagainya menjadikan kita miskin dan papa kedana? Apakah istilah atau laungan ketuanan Melayu telah melahirkan begitu ramai hamba di kalangan kita? Tidak juga. Ringkasnya, sama ada ketuanan Melayu wujud atau tidak, keadaan tidak banyak berubah. Yang kaya bertambah ramai, yang miskin terus merubah hidup. Tidak ada apa yang menghalang. Jadi, di manakah isu sebenarnya kalau bukan mencari publisiti murahan?
Bayangkan jika dahulu, ketika penghijrahan berlaku, orang Melayu menggunakan kekerasan, memaksa kita mengasimilasikan diri kita menjadi Melayu, sudah tentu hari ini kita sudah menjadi minoriti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang langsung tidak mempunyai identiti bangsa sendiri melainkan telah diserapkan ke dalam identiti majoriti. Berlainan sekali dengan negara tercinta ini. Kita tidak ada beza langsung dengan negara asal kita dalam apa jua aspek sekalipun, melainkan berlainan negara dan perlembagaan sahaja. Inilah ‘asimilasi’ perlembagaan yang saya cadangkan tetapi sengaja disalahfahamkan.
Membangkitkan
Malangnya, kita bukan sahaja menolak ‘asimilasi’ tersebut, amalah secara sengaja membangkitkan isu-isu sensitif, malah terus menuntut supaya sekolah, universiti, bandar, akhbar, televisyen, radio, nama jalan, nama lebuhraya dan lain-lain lagi berasaskan identiti bangsa supaya diperbanyakkan. Sekiranya dibenarkan, sudah tentu ia akan menenggelamkan identiti penduduk pribumi. Tindakan sebegini akan mengundang perasaaan tidak puas hati.
Apa yang saya lihat pada hari ini, orang Melayu hanya boleh berbangga dengan peruntukan perlembagaan pada teorinya sahaja. Realiti dan perlaksanaannya, tidak banyak kelihatan atau lebih kepada ilusi. Mereka hidup serba sederhana, bukan tidak ada yang kaya, tetapi lebih sibuk untuk mengahwini artis. Pendek kata, di Tanah Melayu, identiti Melayu tidak mendominasi. Tidak ada sekolah Melayu atau universiti Melayu. Jika adapun contoh yang selalu dihujahkan ultra kiasu adalah UiTM. Itupun tidak banyak membantu, kerana graduan ini mungkin hanya popular dalam sektor kerajaan tetapi tidak sektor swasta. Sektor swasta yang dikuasai bukan Melayu, mereka lebih berminat dengan graduan-graduan universiti tertentu sahaja.
Apapun berlaku, bukan Melayu tidak rugi kerana mereka sudah pergi jauh meninggalkan orang Melayu, terutama dalam aspek ekonomi dan penguasaan kekayaan. Inilah faktor utama yang menyebabkan orang boleh menguasai dunia. Yang rugi orang Melayu, sudahlah ketinggalan serba serbi, asyik bergaduh dan berpecah tidak habis-habis. Mungkinkah sehingga kucing bertanduk?
Saya yakin, apabila artikel ini disiarkan, saya akan dituduhkan merosak program kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan program tranformasi. Kenapa kita katakan bahawa kewujudan puak ultra kiasu DAP ini juga menimbulkan masalah program kerajaan kerana selalu menimbulkan rasa tidak puas yang boleh menggugat ketenteraman? Orang Cina tidak perlu risau dengan setiap penulisan saya dalam Mingguan Malaysia. Saya tidak bahaya, apatah lagi membahayakan bangsa saya sendiri. Jika ada orang Cina yang dianiayai oleh bangsa lain, saya akan tampil membela.
Source: Mingguan Malaysia Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan