TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 4 Disember 2010
Memetik keistimewaan Desa Pingitan
Oleh Dr Aminudin Mansor
Membaca kembali novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar penulis mencari keistimewaan yang terdapat dalam novel yang dicetak empat kali itu. Novel ini telah memenangi hadiah kedua Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1962 dan tiada layak memenangi hadiah pertama.
Novel ini ditulis oleh Allahyarham Ibrahim Omar bekas wartawan dan pengelola di ruangan sastera Mingguan Malaysia serta Utusan Zaman semasa allahyarham berusia 25 tahun.
Ini adalah suatu keistimewaan seorang remaja desa yang dapat menghasilkan sebuah novel pada ketika itu jauh terpencil dari kota. Kebanyakan latar cerita menceritakan tentang diri penulis, kawan-kawannya, malah suasana hidup di kampung yang sudah mula diresapi oleh pelbagai gejala sosial alam novel yang tebal iaitu 550 halaman.
Keistimewaan lain, novel ini diangkat menjadi buku teks wajib di sekolah-sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1966 hingga 1968. Kebetulan saya mengambil SPM pada tahun 1968 dan telah membaca novel ini berkali-kali sebagai pelajar yang ingin mendapat 1 dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.
Kini setelah 42 tahun, saya membaca kembali sebagai pengkaji untuk mencari beberapa keistimewaan yang terdapat dalam novel tersebut. Ternyata banyak keistimewaan yang dapat dicungkil kembali melalui novel ini. Novelis Ibrahim Omar merupakan seorang pencerita yang mahir, teliti dan dapat menguasai suasana remajanya pada era tahun 1960-an.
Meneliti dan mengkaji gaya penceritaan dan latar tempat adalah suatu keistimewaan yang unik terdapat dalam novel ini. Kepuasan estetik dan kesan-kesan kehidupan desa dalam era tahun 1960-an diceritakan dengan penuh pengajaran dan emosi.
Zaman remaja yang banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya telah diceritakan oleh pengarang dengan penuh bersahaja melalui watak-watak Bakar, Dollah, Hamzah, Razak, Minah, Latif (Dol), Rahman, Hindon, Midah, Ramlah, Mustafa, Itam, Baki, Wazir dan Hashim.
Watak dan perwatakan dalam novel ini sesuai dengan zaman, desa yang mewakilinya terdapat watak-watak antagonis dan protagonis yang menghidupkan jalan penceritaan novel dengan lancar. Plot dalam novel ini melibatkan urutan peristiwa yang disusun rapi melalui penceritaan yang jelas.
Salah satu keistimewaan novel ini telah memasukkan loghat daerah Pahang dalam percakapan harian. Semua nilai keindahan bahasa ini dengan gaya estetik dapat diadun dalam penghayatan dan pengalaman pengarangnya.
Kehidupan sosial masyarakat desa terpancar dalam novel Desa Pingitan dengan masalah ekonomi penduduknya. Nilai wang pada zaman itu sangat besar nilainya. Orang Melayu diceritakan bekerja penoreh getah, petani dan peladang. Manakala orang Cina berniaga di kedai kopi dan barangan runcit. India Muslim mengusahakan kedai makan.
Suasana hidup pelbagai kaum juga sudah diterapkan dalam latar kehidupan pada zaman itu. Iaitu kehidupan anak-anak desa lepasan sekolah menengah, orang Cina yang berniaga sebagai pengusaha hotel juga bertugas sebagai doktor dan juga watak India yang hidup dalam harmoni.
Pengangkutan utama hanyalah melalui jalan kereta api yang menghubungkan antara Desa Pingitan (Mela, di Pahang) dengan bandar berhampiran. Kemungkinan bandar Jerantut dan Kuala Lipis pada era tahun 1960-an.
Masalah tanah juga disentuh untuk projek pembangunan untuk membina sekolah. Pertelingkahan tentang tanah juga sentuh oleh pengarang.
Masalah taraf kehidupan serta kehidupan sosial masyarakat desa dengan percintaan dan perebutan juga diceritakan dengan gaya penceritaan menarik dan serba tahu oleh pengarang.
Tema dan persoalan novel Desa Pingitan jelas menggambarkan tentang suasana kehidupan masyarakat desa yang terpencil tetapi mula dipengaruhi dan diresapi oleh pelbagai gejala sosial. Ia juga menjelaskan soal kehidupan dalaman atau batin dari seseorang manusia atau individu. Pengarang berjaya menimbulkan kehidupan individu dari dunia luarnya. Persoalan kemasyarakatan semasa diceritakan dengan terperinci oleh pengarangnya melalui pengalaman dan pemerhatiannya.
Pengajaran daripada novel ini, adalah sikap golongan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial disebabkan kurang didikan agama. Selain itu, sikap yang tidak baik dalam kalangan masyarakat yang memandang harta dan kedudukan, serta perebutan dan konflik yang berlaku di desa yang mula diresapi oleh nilai-nilai kebendaan menyebabkan kehidupan di desa tidak harmoni lagi.
Kesimpulannya, novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar ini sarat dengan kehidupan masyarakat desa yang diceritakan oleh pengarang dengan nilai akal budi, pertentangan, masalah sosial dalam kehidupan masyarakat Melayu di Pahang pada era tahun 1960-an yang menuju ke arah mencari nilai-nilai moral yang sewajarnya.
Source: Mingguan Malaysia Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Ismail Talu Arrowhead atau ngaku, atau kentang Cina merupakan sejenis “ubi” yang lembut yang kononnnya ditanam di dalam sawah berai...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
Oleh Helmy Abd Rahman, helmy@hmetro.com.my BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengintai peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar: 02 Oktober 2010. Oleh ZUARIDA MOHYIN, Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN KOMBINASI reka bentuk seni bi...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan