Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
SAMA ada saya berada di Jakarta, Indonesia sebagai wakil baru akhbar ini tepat pada waktunya atau tidak, bukanlah idea yang bijaksana untuk dikongsi dalam tulisan ini.
Berkongsi dengan pembaca perkembangan mutakhir sukan bola sepak di negara yang mempunyai populasi penduduk 236 juta ini sebaliknya, menjadi nota yang mahu dimuatkan dalam perenggan seterusnya penulisan ini.
Suasana di Jakarta khususnya menjelang perlawanan akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2010 saling tidak ubah seperti agenda nasional yang cukup besar bagi seluruh rakyat di negara republik ini.
Maka benarlah pandangan yang mengatakan sukan mampu menerobos aliran pemikiran masyarakat. Sukan juga berupaya mencetus polemik, perdebatan dan percaturan idea di kalangan pencinta tegar sama ada yang berpusat di coffe house hotel-hotel waima di warung-warung kecil di tepi jalan.
Penangan sukan bola sepak di Indonesia sendiri misalnya telah mengubah secara total landskap sosio budaya masyarakat dari segenap lapisan.
Kerana mahu mendapatkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno sahaja hampir-hampir meragut nyawa mereka yang berpusu-pusu di pintu masuk stadium.
Itu belum lagi ditambah dengan permainan media tempatan yang cukup ghairah memberikan liputan kepada skuad Garuda yang dari kaca mata mereka harus diangkat ke taraf yang paling tinggi biarpun sebelum memasuki gelanggang.
Liputan meluas media-media tempatan terhadap sukan bola sepak di negara ini amat luar biasa sekali dan tidak pernah dilakukan di Malaysia.
Sepanjang demam Piala Suzuki AFF 2010 lebih-lebih lagi selepas Garuda dibaham oleh Harimau Malaya 0 - 3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur di peringkat final pertama, liputan berbentuk provokasi menghiasi dada-dada akhbar serta dikupas dalam pelbagai bentuk perdebatan.
Pasukan bola sepak Indonesia kepada rakyat negara itu tidak boleh tunduk pada pasukan tetangga. Kesilapan itu bagaikan satu 'dosa besar' dan wajar ditebus semula meskipun secara relatifnya sukan bola sepak sewajarnya dijadikan senjata untuk mengakrabkan hubungan dua buah negara.
Rasa kasih dan sayang media tempatan terhadap para pemainnya dalam satu perspektif lain barangkali wajar diberi kepujian. Pemain-pemain skuad kebangsaan diangkat pada kedudukan yang paling tinggi biarpun sebelum waktunya kerana didorong oleh semangat nasionalisme yang tinggi.
Prestasi pasukan merah putih itu dianalisis dari pelbagai sudut pandang. Sehingga ke hari ini, satu Indonesia bercakap mengenai bola sepak meskipun kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 musim ini sudah berada dalam genggaman Malaysia.
Emosi rakyat negara ini terhadap pembangunan sukan bola sepak juga sangat mengagumkan berbanding perkembangannya sekitar lebih sedekad lalu.
Generasi skuad Garuda hari ini barangkali boleh disifatkan amat beruntung kerana di tengah-tengah sebahagian besar rakyat Indonesia terhimpit dengan kesulitan hidup, mereka seperti memberi 'nyawa' dan harapan baru.
Masakan tidak, di bumi negara ini masih ramai yang merasakan masa depan mereka semakin gelap kerana kadar inflasi yang meningkat. Itu belum lagi mengambil kira cabaran besar kepimpinan negara untuk menguruskan masalah rakyat dan rasuah yang bukan kecil jumlahnya.
Alternatif
Ketika ini, pasukan kebangsaan memberi alternatif membawa rakyat Indonesia untuk keluar daripada kedukaan.
Sukan bola sepak Indonesia merentangi segala sempadan permasalahan dan sekali gus mencuri perhatian segenap lapisan rakyat negara ini.
Piala Suzuki AFF 2010 mencetuskan kebangkitan masyarakat di negara ini untuk kembali menghijaukan padang yang sudah semakin pudar warnanya.
Biarpun skuad Garuda yang di bawah bimbingan jurulatih, Alfred Riedl itu tidak ditabalkan sebagai juara AFF Rabu lalu, ia bukanlah isu yang harus dipanjangkan lagi.
Sebaliknya, apa yang perlu diberi perhatian oleh seluruh pemerhati sukan ialah, bola sepak di negara ini telah membangkitkan gelombang nasionalisme yang lebih kental dalam jiwa rakyat Indonesia.
Namun, kecintaan yang semakin menebal itu, sayang sekali dicemari dengan kerakusan segelintir pihak yang menjadikan bola sepak sebagai agenda kepentingan politik mereka.
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dipimpin Nurdin Halid dilihat saling tidak ubah mencari ruang dan kesempatan meraih keuntungan agenda peribadi sehingga mengenepikan keharmonian semangat kesukanan.
Pelbagai kerapuhan dalam struktur pengurusan penganjuran AFF di Indonesia tidak diendahkan oleh Nurdin. Kesudahannya, penganjuran AFF di Jakarta khususnya pada peringkat akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menyaksikan kacau bilau di kalangan penyokong tegar sukan bola sepak.
Kerana prestasi pasukan bola sepak itu yang kurang menyenangkan menyebabkan Nurdin didesak supaya meletakkan jawatan dan memberi ruang memimpin skuad itu kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik.
Di tengah-tengah keghairahan rakyat Indonesia berusaha mengembalikan semula maruah bola sepak negara juga, muncul pula politikus-politikus yang sengaja mahu menumpang perhatian dengan menawarkan habuan-habuan yang lumayan untuk para pemain skuad kebangsaan negara ini.
Andai benar janji-janji manis yang ditaburkan oleh penggiat-penggiat politik menjelang perlawanan akhir tempoh hari, Bambang Pamungkas, Christian Gonzales, Irfan Bachdim dan pemain-pemain lain tentunya boleh menggantung but dan hidup senang lenang tanpa perlu beraksi di padang lagi.
Undangan politik buat pasukan kebangsaan negara itu menjelang detik penting perlawanan akhir benar-benar meresahkan banyak pihak terutamanya Reidhl yang menyuarakan rasa kurang senangnya dengan tindakan-tindakan itu.
Bahkan, Reidhl juga dalam satu temubual dengan media menyifatkan, keghairahan media Indonesia mengangkat pemain kebangsaan serta kaum keluarga mereka sebagai bintang yang hebat merupakan percaturan yang kurang bijaksana.
Faktor-faktor inilah yang memberikan tekanan dan bebanan psikologi yang bukan kecil kepada pemain-pemain bola sepak negara itu.
Masakan tidak, harapan masyarakat yang digalas amat tinggi sedangkan menjelang hari perlawanan skuad lebih banyak menghabiskan masa menghadiri acara sosial anjuran ahli politik.
Laporan lidah pengarang beberapa media tempatan turut merumuskan kegagalan pasukan Garuda di gelanggang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bukanlah menandakan ia kekalahan pemain-pemainnya.
Pemain-pemain skuad kebangsaan itu tidak wajar dipersalahkan kerana mereka sudah melaksanakan tugas masing-masing.
Garuda sudah mula berani untuk terbang tinggi. Para pemainnya serta jutaan penyokong sukan itu di negara ini sebetulnya juga sudah berada beberapa langkah ke hadapan daripada pemimpinnya menyorak kebanggaan terhadap pasukan itu.
Sebaliknya, yang tewas dan paling kecewa ialah para pemimpin, oportunis politik dan mereka yang gemar mengeksploitasi maruah bangsa. Harus diingatkan, politik dan sukan merupakan dua agenda yang berasingan dan seharusnya dipisahkan secara total.
Bukan saja buat Indonesia, bahkan Malaysia juga sewajarnya menjadikan hal ini sebagai panduan untuk membangunkan sukan bola sepak pada masa depan.
Kita tentunya tidak mahu melihat Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi dan lain-lain menjadi mangsa eksploitasi politik di Malaysia.
Lebih baik serahkan saja mereka yang bijak pandai menguruskan pasukan bola sepak. Orang politik kerjanya membela nasib rakyat.
Source: Mingguan Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Sabtu, 1 Januari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan