TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 25 Januari 2011

Labis - Konfrontasi Ganyang Malaysia, Ubah Malaysia

KETENANGAN di pekan Labis sedikit terganggu seminggu dua ini. Ini adalah kerana satu proses demokrasi sedang berlangsung di situ. Hujung minggu ini akan menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru bagi DUN Tenang dalam kawasan itu.

Kelmarin saya berkesempatan mengunjungi pekan itu, pertama kali dalam hidup saya. Namun sebelum ke pekan itu, saya telahpun mengetahui banyak mengenai Tenang dan Labis. Tidak banyak orang yang sedar bahawa Labis mempunyai banyak sejarah yang tersendiri.

Pada 2 September 1964 - kira-kira 47 tahun lalu, segerombolan gerila payung terjun Indonesia dari batalion para dan kor komando KKO (disebut: ka-ka-o) diterjunkan di sekitar kawasan Kampung Tenang dalam kawasan Labis. Ia adalah sebahagian daripada misi untuk mengGanyang Malaysia. Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1962-1966) tercetus kerana keengganan Presiden Sukarno mengakui kewujudan negara berdaulat Malaysia.

Di hadapan tentera-tenteranya, Sukarno telah mengisytiharkan gerakan Ganyang Malaysia melalui pidato beliau yang amat bersejarah:

"Kalau kita lapar itu biasa

Kalau kita malu itu juga biasa

Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!

Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu!

Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu.

Doakan aku, aku kan berangkat ke medan juang sebagai patriot Bangsa, sebagai martir Bangsa dan sebagai peluru Bangsa yang tak mau diinjak-injak harga dirinya.

Serukan-serukan ke seluruh pelosok negeri bahwa kita akan bersatu untuk melawan kehinaan ini kita akan membalas perlakuan ini dan kita tunjukkan bahwa kita masih memiliki Gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat.

Yoo...ayoo... kita... Ganjang...

Ganjang... Malaysia

Ganjang... Malaysia

Bulatkan tekad

Semangat kita badja

Peluru kita banjak

Njawa kita banjak

Bila perlu satoe-satoe!

Soekarno.

Namun di sebalik itu, tentera kita, Rejimen Askar Melayu Diraja telahpun bersiap sedia. Ramai gerila Indonesia yang ditangkap, menyerah diri. Ada yang kebuluran. Satu kisah benar menyebut, ada antara tentera Indonesia yang menyerah diri kepada orang kampung akhirnya ditemukan dalam satu peristiwa yang menyayat hati. Tentera Indonesia itu dan orang kampung itu mempunyai pertalian darah dan hubungan persaudaraan dari tanah Jawa. Ia berakhir dengan insiden berpeluk-pelukan dan tangisan.

Seorang penulis skrip berbangsa Indonesia bernama Alfian Sikumbang, yang kini menetap di Malaysia sedang menyiapkan skrip berhubung kisah benar ini untuk dijadikan dokumentari. Beliau mahu menggambarkan itulah ciri-ciri serumpun yang tidak boleh dipisahkan antara kedua-dua negara. Kedua-dua negara yang mempunyai hubungan darah yang tidak putus walaupun dicincang dan dipisahkan.

Alfian dan jutaan rakyat Indonesia kini amat bangga berada di tanah Malaysia ini. Ia adalah tanah bertuah yang memberikan segala macam rezeki untuk anak cucu dan saudara mara mereka di seberang sana, serta seantero negara lain sekali pun. Malaysia, yang dulu dibenci oleh Sukarno, kini ialah tanah yang amat aman, makmur dan bertuah.

Namun, dalam realiti di Labis dan Tenang pada Isnin lalu. Konfrontasi antara dua parti yang berlainan haluan sedang berlangsung. Calon Pas, Normala Sudirman (Cikgu Mala) di atas pentas DAP dengan bangga dan bersemangatnya berucap dan menjerit slogan Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!!!

Saya yang menyaksikan ceramah itu terkejut. Selamatkan Malaysia? Mengapa Malaysia yang aman, damai, makmur ini mahu diselamatkan? Apakah itu datangnya suara Pas atau daripada suara nurani DAP? DAP tentunya mahu Malaysia diserahkan kepadanya, bukan?

Pas yang kini dikuasai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjaja slogan itu ke pelosok cerok Tenang. Kereta-kereta yang membawa corong pembesar suara turut melaungkan slogan itu Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!

''Labis masih ketinggalan, mari kita tingkatkan ekonomi kawasan ini dan negara ini. Kita ubah kerajaan yang ada, undilah saya dan sokonglah kami...," katanya yang mendapat tepukan daripada masyarakat Cina di pekan itu ketika menyebut beberapa patah perkataan Mandarin. Cikgu Mala yang saya kira tidak tahu apa yang disebutnya itu terus melaungkan Selamatkan Malaysia beberapa kali.

Sementara itu di satu penjuru lain bandar itu, calon Barisan Nasional (BN) - bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim atau dikenali sebagai Tok Ai di kalangan penduduk dan rakan-rakannya di bandar itu turut meraih undi di kawasan Cina. Sambil menyanyikan lagu Tahun Baru Cina - Gong Xi Gong Xi, beliau mendapat tepukan ramai.

''Saya mempunyai ramai kawan-kawan Cina yang bersekolah dengan saya... saya mengenali mereka secara peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan pekan Cina Labis.

Slogan BN ialah mengenai kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Konfrontasi antara kedua-dua calon itu akan terus memuncak sehingga beberapa hari menjelang hari pengundian Ahad, 30 Januari ini. Jika dilihat atas kertas BN akan terus mempertahankan kerusi DUN itu.

Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah berapa banyak majoriti yang akan diperoleh? Ada yang mahu BN mencatatkan majoriti cemerlang melebihi 5,000 undi dan ada yang sekadar mahu berpuas hati di angka 3,000 sahaja. Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN memperoleh majoriti 5,517 undi, namun ia jatuh kepada 2,492 undi pada 2008.

Sebaliknya, kempen pakatan pembangkang dilihat turut dilakukan secara strategik. Di satu kawasan, markas Pas diletakkan di atas sebuah kedai hiburan karaoke dalam pekan Cina. Bendera-bendera hijau Pas dikibarkan di celah-celah kedai Cina. Anak-anak muda DAP yang bersemangat turut digunakan untuk memeriahkan rapat-rapat umum mereka.

Pendek kata, konfrontasi antara kedua-dua pihak kini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak pengaruh orang Cina yang boleh. Perlu disebut pengundi Cina ialah besar iaitu 39.08 peratus, manakala India 12.07 peratus dan Melayu ialah 47.7 peratus.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini tentunya mempunyai signifikannya dalam petunjuk politik semasa negara. Ia berlaku di Johor, sebuah negeri yang menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

Ayuh, kita tunggu dan lihat sama ada slogan Selamatkan Malaysia itu berjaya disekat oleh orang Labis, sebagaimana gagalnya Ganyang Malaysia, 47 tahun lalu.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran