TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 2 Januari 2011

Nyawa wartawan semakin terancam




PELBAGAI cabaran yang menghadapi para wartawan di serata dunia dibicarakan dewasa ini. Lantas disebut antara lainnya betapa 71 orang wartawan menjadi korban pada tahun 2009, iaitu lebih ramai dari tahun demi tahun sebelumnya.

Lalu simposium khas diadakan di Universiti Harvard, Amerika bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi hal. Dari sumber lain pula laporan disebar mengenai sesetengah para wartawan menjadi "broker" politik dan akibat-akibatnya.

Laporan Harvard International Review baru-baru ini mencatat tindakan-tindakan keganasan terhadap wartawan di Mexico, Rusia, Zimbabwe, Colombia, Filipina dan Ivory Coast di mana seorang yang kalah dalam pilihan raya terus mendakwa ia menjadi presiden, serta negara-negara lain. Antara tajuk simposium: Journalism as a Life of Danger.

Bagi kali pertama adanya seramai 136 wartawan dihukum penjara di serata dunia daripada golongan Internet dan yang dipanggil bloggers. Dalam pada itu seramai 22 wartawan menjadi korban serangan di Mexico sejak Presiden Calderon menjadi presiden pada tahun 2006 dan melancarkan tindakan tegas terhadap gerombolan-gerombolan penyebar dadah. Ada wartawan yang dituduh terlibat dengan kegiatan tersebut.

Antara yang melakukan penyelidikan dan penyiasatan ialah International Federation of Journalists yang mewakili 600,000 wartawan di 100 buah negara.

Industri terbitan akhbar berkembang, umpamanya di negara China yang "kedua terbesar" selepas India, dengan jualan 109 juga naskah setiap hari pada tahun 2009. Sementara itu 50 juta akhbar Jepun terbit setiap hari dan Amerika dengan 46 juta naskah. Jelas bahawa setiap hari sejumlah 1.7 bilion juta membaca akhbar, iaitu 25 peratus dari jumlah penduduk dunia.

Turut dijelaskan bahawa tiga daripada empat wartawan di serata dunia yang menjadi korban bukan kerana terpijak periuk api atau tertembak ketika berlaku tembak menembak di medan perang. Ada yang mati ditambah oleh penunggang motosikal, ditembak atau ditikam berhampiran rumah sendiri atau pejabat. Pun ada yang mati setelah diculik dan diseksa seperti berlaku di Somalia.

Antara cerita yang disiarkan ialah nasib Atwar Bahjat wartawan wanita dari saluran televisyen Al-Arabiya Amiriah Arab Bersatu dan sebelum itu dengan Al-Jazeera. Pada suatu hari beliau dan juru gambarnya menyaksikan serangan di sebuah masjid di Samarra, Iraq.

Menculik

Beberapa lelaki bersenjata dalam sebuah mobil warna putih kemudian menculik Bahjat. Mayatnya kemudian dijumpai dengan tanda-tanda ia telah diseksa.

Di Pakistan pula, seorang pemberita akhbar, bernama Ghulam Rasool Birhamani diculik dan seksa setelah membuat laporan mengenai seorang gadis 12 tahun dipaksa berkahwin dengan lelaki dewasa.

Juga dicatat ialah nasib seorang wartawan Indonesia, Ridwan Solamun, jurugambar saluran Sun TV, yang mati ditikam setelah mengambil gambar perkelahian antara dua kumpulan di sebuah kampung pada bulan Ogos 2010.

Di Filipina pula 30 wartawan dari seramai 57 orang awam mati ditembak dalam satu peristiwa pergaduhan kempen pilihan raya di Wilayah Maquindano.

Di samping itu kira-kira 18 peratus wartawan mati ketika bertugas seperti berlaku pada Mazen Dana, jurugambar agensi Reuters pada tahun 2003 di luar penjara Abu Ghraib di Iraq.

Beliau berada dalam kereta bersama rakan-rakannya setelah mengambil gambar di luar penjara. Tiba-tiba sebuah kereta kebal tentera Amerika menghampiri mereka.

Dana keluar dari keretanya sambil membawa kamera di atas bahunya menuju ke arah kereta kebal tersebut. Seorang askar yang berdiri di atas kereta kebal itu menembak dada Dana.

Menurut askar tersebut kemudiannya ia melihat seorang lelaki kulit hitam menuju ke arahnya dan menyangka kamera di atas bahu Dana ialah senapang peluru berpandu. Pihak berkuasa tentera akhirnya membebaskan askar itu dari sebarang tuduhan.

Sebuah laporan dari sumber lain menyebut mengenai sesetengah wartawan melupai asas tugas kewartawanan: mencari dan menyebarkan informasi sebagaimana yang berlaku.

Wartawan tidak seperti para doktor yang tertakluk kepada sesuatu yang dipanggil Hippocratic Oath, umpamanya, seorang doktor tidak boleh mencari untung dengan memilih ubat-ubat dari syarikat-syarikat perubatan. Ia juga tidak boleh menyuruh pesakit menjalani pembedahan yang tidak diperlukan. Maka dengan itu wartawan diingati mereka tidak boleh menyalahgunakan tugasnya untuk mencari keuntungan.

Diingatkan juga bahawa mereka tidak boleh menjual diri kepada pihak-pihak politik atau yang berkuasa untuk menikmati kekayaan dan hidup senang-lenang.

Cerita bersambung kerana sebenarnya juga ada bagi wartawan ialah tatasusila kewartawanan, seperti di Malaysia, antaranya: Melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai mendapat maklumat yang benar, mengelakkan diri daripada plagiarasme, fitnah dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran