TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 15 Januari 2011

Ana Raffali belum bertaraf diva


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT,amirah.amaly@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN
Mekap EMMA MUSTAFA (012-6285937)
Lokasi TAMAN 1MALAYSIA @ MENARA KUALA LUMPUR


NAMA Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali paling kerap meniti di bibir semua peminat industri seni tanah air sepanjang minggu ini. Kehadirannya yang baru setahun jagung itu seakan baru dikesan dan berjaya membuka mata semua pihak. Itu pun selepas kejayaan puisi ciptaannya berjudul Tolong Ingatkan Aku diangkat sebagai karya terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) yang berlangsung minggu lalu.

Kemenangan tidak ''direstui'' tersebut menyebabkan penyanyi yang menggunakan nama pentas Ana Raffali ini dicemuh dan dikritik hebat. Tanda protes disampaikan menerusi lemparan botol minuman dan jeritan booo bergema di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur oleh segelintir pihak yang kurang berpuas hati.

Tidak kurang dari itu, satu pakatan menubuhkan akaun Kami Mahu Ana Raffali Buka Baju di laman sosial Facebook selepas beberapa hari kemenangannya, seolah-olah mahu merendahkan maruah wanita berusia 26 tahun pada tahun ini.

Diserang teruk dari pelbagai sudut, menyebabkan rasa tidak puas hati berkumandang sepanjang perbualan kami. Ada nada kurang senang di sebalik hati kecil wanita berkulit putih ini.

''Bohonglah kalau saya cakap saya tidak tersentuh atas apa juga kelakuan tersebut. Bagi saya ia sudah cukup keterlaluan dan tidak adil buat diri ini. Apalah dosa saya sehingga ada yang mengata macam-macam tentang saya.

''Beritahu saya, salahkah saya menang dalam anugerah berkenaan? Sedangkan ia dianjurkan terbuka kepada semua pengkarya seni dan dipertandingkan secara profesional,'' ungkap wanita ini penuh beremosi.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui bahawa dirinya bukan calon pilihan semua pihak, memandangkan terdapat beberapa penyanyi lain yang diramal sebagai juara.

Sebab itu dia dijadikan 'kambing hitam', menjadi tempat luahan rasa dendam pihak yang tidak menyenanginya gara-gara dinobatkan darjat yang sama sekali tidak layak buatnya.

''Sama ada golongan yang tidak suka saya ini mahu terus boikot atau tidak, itu adalah hak mereka. Saya tak boleh paksa mereka menyukai saya.

''Tetapi, adakah mereka memberi ruang untuk mengenali diri saya. Mengetahui warna sebenar dan cebisan hidup yang dilalui saya selama ini.

''Jadi apabila keluar cerita penilaian yang macam-macam tentang saya, terus hati tersentuh. Cemuhan tersebut tidak adil buat saya sebab saya benar-benar tidak bersalah,'' jelasnya.

Dakwaan mengatakan penyanyi yang lahir pada 4 November 1985 ini berlagak diva dan lupa daratan yang tersebar di media juga menyebabkan dia semakin berhati-hati dalam setiap langkahnya.

''Saya wanita biasa, punya hati dan perasaan. Tekanan semasa bekerja boleh menyebabkan seseorang itu bertindak kurang wajar.

''Tidak perlulah saya cerita terperinci mengenai bagaimana situasi tertentu itu berlaku, kerana saya sudah melupakannya. Pengajarannya, saya perlu lebih berhati-hati,'' ujarnya ringkas.

Ditanya lanjut tentang adakah dia mengenali dekat dengan individu sekeliling yang berniat 'jahat' untuk menjatuhkannya itu, wanita ini terdiam seketika.

Jelasnya, dia tidak mahu terlalu memikirkannya kerana sedar dirinya bukan sempurna. Tidak punya paras rupa yang meletop, sekadar wanita tipikal Melayu yang biasa.

''Saya juga tidak glamor, tidak punya peminat fanatik dan macam-macam yang boleh dibanggakan. Cuma hanya ada bakat yang dianugerahi Tuhan sebagai modal untuk berkongsi dengan semua peminat seni.

''Kalau nak tahu, sehingga ke hari ini, saya masih tidak percaya lagu saya juara AJL 25. Sebab pertama kali saya menyertainya.

''Apabila dihimpit dengan cerita-cerita negatif sebegini, terus saya tanamkan dalam hati bahawa ini hanya dugaan kecil sahaja. Lepas ini, ada banyak lagi ranjau duri yang perlu ditempuhi,'' katanya lagi.

Sementelah diajukan persoalan sama ada kontroversi melibatkan pemilikan tiga trofi berwarna emas sebagai komposisi Ana untuk mudah dikenali kepada khalayak, ungkapan penafian diulang berkali-kali.

Jujurnya, tidak sesekali dia memanipulasikan situasi tersebut sebagai platform untuk lebih mudah masyhur.

Dalam nada mendatar, peminat muzik rock, alternatif, pop dan klasik ini memberitahu bahawa dia hanya mengikuti peredaran arus semasa muzik tempatan dan tidak sesekali mengambil kesempatan atas kewujudan isu salah faham tersebut.

Tetap pertahan prinsipBiarpun peminat muzik ciptaan M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza ini bakal dilimpahi dengan lampu kemasyhuran satu masa nanti, Ana tetap mempertahankan jati dirinya yang sinonim dengan baju kurung dan kebaya.

Alasannya, perkara tersebut menjadikan dia kelihatan lain daripada kebanyakan penyanyi tempatan yang ada. Tambahan pula, imej gadis Melayu tersebut sudah menjadi darah daging dalam dirinya.

''Saya masih memilih untuk berbaju kurung, kebaya atau apa sahaja balutan labuh yang tidak seksi dikenakan pada tubuh setiap kali membuat persembahan.

''Biarlah lepas ini, orang nak cakap saya apa lagi, imej orang kampung ke, tak trendy atau apa sahaja. Tidak mungkin berubah kerana ini adalah cita rasa saya,'' katanya mengenai pemakaiannya yang digunakan setiap kali membuat persembahan.

Pemegang kelas pertama Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini juga berhasrat untuk memperbanyakkan lagu-lagu ciptaannya. Mana tahu selepas ini, ada pihak yang sudi menerima hasil seninya itu.

''Sebelum ini saya kurang yakin dengan hasil ciptaan sendiri sebab saya sedar, saya bukan sesiapa. Namun saya percaya pasti akan ada permintaan satu masa nanti.

''Ketika itu, saya lapangkan tangan, secara rela hati menyerahkan karya saya kepada mereka yang benar-benar menghargai nukilan saya itu,'' tutur wanita ini penuh berharap.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran