TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 31 Januari 2011

Lawatan PPW Perak ke OUM Kuala Lumpur dan Petaling Jaya

By Idris Ismail Talu

Hari ini (Isnin, 31 Januari 2011) merupakan hari yang bersejarah kepada staf OUM Perak, para pelajar dan beberapa orang tutor yang diketuai oleh Pengarahnya, Dr Richard Ng, yang berpeluang melawat kampus induk OUM Kuala Lumpur.

Rombongan kami telah disambut mesra dan dibawa ke semua bahagian di ibu pejabat pentadbiran OUM dan diberikan taklimat mengenai fungsi bahagian-bahagian tersebut.

Selepas menikmati jamuan makan tengahari, kami bergambar bersama President/Vice-Chancellor – Professor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Datuk Ir. (Dr) Haji Ahmad Zaidee Laidin (ahli lembaga pengarah), Senior Vice President - Prof Dr. Mansor Fadzil, Vice President - Prof. Ir Dr Rosli Hamir, Deputy Vice President – Prof Dr Sha’ari Abd Hamid, Register/General Manager - Puan Kamariah Mohd Noor, serta Dr. Santhi dan sebahagian anggota Ibupejabat OUM Kuala Lumpur.


Selepas itu rombongan kami ke PPW Petaling Jaya dan disambut mesra oleh Prof Madya Puan Che'an Ahmad serta pegawai-pegawai OUM lainnya.


http://idristalu.blogspot.com/

Manfaatkan Tahun Baru Cina

Mohd Ridhuan Tee

30 Januari 2011

Tahun Baru Cina menjelang tiba. Malah, bahangnya begitu dirasai apabila limau mandarin diagih-agihkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang sehinggalah hari pengundian pada hari ini.

Ramai yang bertanya bolehkah umat Islam bersama-sama orang Cina menyambut Tahun Baru Cina? Saya ingin menegaskan di sini, boleh. Tidak timbul masalah selagi kita pandai menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.

Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah digalakkan jika mahu menyambutnya demi dakwah, terutama saudara muslim Cina yang telah memeluk Islam.

Hari raya orang Cina adalah Tahun Baru Cina. Berbeza dengan Islam, tahun baru Islam dikenali sebagai tahun baru hijrah atau Maal Hijrah, tidak akan kaitan dengan hari raya. Manakala hari raya dalam Islam adalah Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Dari segi signifikannya, sambutan hari raya lebih membawa banyak erti, kerana nasnya jelas, berbanding sambutan tahun baru.

Bagi orang Cina, tahun baru membawa signifikan yang cukup bermakna. Jika mahu melihat orang Cina berhenti bekerja atau cuti rehat, tahun baru akan menyaksikan segalanya. Selebihnya masa setahun digunakan untuk bekerja. Kerja keras tanpa kenal erti penat. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh umat Islam, jika mahu dipandang hebat. Malangnya, ada yang hanya bekerja sehari, mahu hidup sebulan atau setahun, dengan menggunakan jalan pintas seperti mengambil rasuah.

Sebagai Cina Muslim, saya tidak ketinggalan, saban tahun ‘menyambut’ tahun baru bersama-sama ahli keluarga seperti ibu tercinta dan sanak saudara. Matlamatnya tidak lain, dakwah. Sambutan ini penting untuk menunjukkan bahawa apabila memeluk Islam, kita tidak menjadi ekstrem atau meninggalkan cara hidup lama yang tidak bertentangan dengan Islam.

Walaupun menjelang sambutan Tahun Baru Cina, ada upacara sembahyang. Itu hanya sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang, tidak ada kaitan dengan agama. Sebagai Cina muslim, kami tidak campur tangan dalam upacara tersebut.

Pada saya, daripada menyambut tahun baru Masehi, lebih baik kita menyambut Tahun Baru Cina. Kerana impak dakwahnya lebih besar dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia. Lagipun cara sambutannya tidaklah seghairah menyambut tahun Masehi yang penuh dengan hiburan.

Tidak dinafikan bahawa tahun Masehi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Boleh menyambutnya jika tahu menjaga adab sopan. Apa yang menyedihkan, setiap tahun menjelang masuk tahun baru masehi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan sehingga tidak menampakkan nilai keilmuan dan ketimuran.

Justeru, jika ada pilihan antara dua perayaan ini, saya lebih memilih untuk ‘menyambut’ Tahun Baru Cina kerana signifikan dakwahnya lebih besar serta menyumbang kepada matlamat gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Sebenarnya cara orang Islam dan orang Cina mengira atau menghitung hari atau tahun baru pendekatan yang hampir sama, walaupun cara sambutan berbeza. Kalendar Islam dan kalendar Cina disebut sebagai kalendar kamari (bulan) atau kalendar lunar, yakni berasaskan kepada peredaran bulan.

Perayaan Tahun Baru Cina lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).

Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada Tahun Baru Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru.

Terdapat berbagai versi cerita bagaimana binatang ini dipilih. Antaranya, legenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Gautama Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja berkumpul.

Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.

Ada yang percaya mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Tahun ini pula jatuh pada tahun arnab.

Tidak perlulah saya huraikan sama ada tahun arnab membawa tuah atau tidak, kerana tidak semua mempercayainya, apatah kita sebagai umat Islam. Takdir, ajal maut, susah senang adalah di bawah qada dan qadar Allah. Kita hanya berusaha, Tuhan sahajalah yang menentukannya. Tetapi yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha orang yang ingin merubah hidup, tidak kira pada tahun apa sekalipun.

Namun, jika ada orang Cina percaya kepada untung nasib tahun binatang yang silih berganti itu maka hormatilah kepercayaan hidup mereka.

Makan besar

Bagi orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, permulaan tahun baru disambut pada waktu menjelang Maghrib (kalendar kamari) dengan makan besar atau reunion dinner sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.

Makan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.

Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar.

Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Budaya ini juga turut diikuti orang Melayu ketika menyambut hari raya dengan warna ang pau yang berbeza (hijau).

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun, hari kesembilan (juga tahun baru bagi orang Hokkien) dan kelima belas atau Chap Goh Mei tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Islam tidak melarang menyambut perayaan budaya ini. Begitu juga memakan yee sang menggunakan sepit, dan makanan yang lain, selagi mana ia halal. Inilah universaliti Islam. Meniru atau mengikut budaya atau cara hidup orang lain tidak salah. Kerana kejadian berbangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT. Selagi mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam, selagi itu kita boleh raikan. Termasuk menggantung lampu tanglung.

Jangan pula jika ada saudara kita Cina muslim yang menggantung lampu tanglung, kita tuduh mereka tidak Islamik kerana saya belum pernah melihat orang Arab berhari raya menggantung lampu pelita, lampu ketupat dan bulan bintang. Ini adalah hanya budaya bangsa Melayu. Budaya setiap bangsa saling berbeza.

Bangsa Arab ada identiti lampunya tersendiri dan cara menghiasi rumah. Sama juga dengan seni reka bentuk masjid yang berkubah dan tidak berkubah. Kita tidak boleh kata seni reka bentuk Pagoda tidak Islamik. Kerana seni bina kubah yang ada rata-rata pada masjid hari ini bukan seni bina Arab atau Islam tetapi seni bina Moorish-Indian. Justeru, di manakah seni bina Islam? Jawapannya, universaliti Islam menerima segala bentuk budaya dan seni reka selagi tidak bercanggah dengan asas Islam. Dengan sebab itu, Islam tidak ada lambang khusus yang menentukan kita Islamik atau tidak. Yang penting iman dan takwa. Lambang tidak penting seperti orang Yahudi.

Pendek kata, berbangsa-bangsa adalah ciptaan Allah SWT. Allah yang menjadi Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah Sarawak dan semua bangsa di dunia ini. Mereka ada cara hidup dan budaya sendiri. Tidak salah mengamalkan jika tidak keterlaluan atau bercanggah dengan Islam.

Cuma satu sahaja saya ingatkan supaya umat Islam tidak terlibat dalam hiburan melalaikan, walaupun tidak salah kita meraikan bersama atas semangat 1 Malaysia. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 51 yang bermaksud, "Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)".

Ingatan Allah SWT ini amat jelas supaya kita tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka" (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Menyambut

Justeru, pada saya menyambut Tahun Baru Cina tidak salah, kerana ia adalah perayaan 1 Malaysia. Tetapi pandai-pandailah menjaga batas-batasnya. Sama juga menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban adalah ibadah. Tetapi jika cara kita sambut sehingga terkeluar dari norma-norma Islam, maka ibadah akan bertukar kepada padah. Pahala bertukar kepada dosa. Pendek kata, bukan soal perayaan itu yang menjadi masalah tetapi cara kita menyambut perayaan tersebut. Jika kita isi dengan hiburan yang melalaikan sudah tentu sambutan yang awalnya bersifat ibadah, tidak mendatangkan pahala lagi melainkan dosa dan musibah.

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Kepada seluruh masyarakat Cina saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Cina, Gong Xi Fa Cai, maaf dipohon jika penulisan saya selama ini ada mengguris hati kalian.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sejarah perhambaan di Afrika Selatan

Tan Sri Mazlan Nordin

MASA lampau adalah negara lain: Cara-cara mereka berbeza. Hanya satu dua peristiwa lebih luar biasa dalam masa 100 tahun lalu dari penjajahan dan kebebasan benua Afrika.

Demikian dicatat dalam buku berjudul Colonial Africa oleh A.J Christopher yang menceritakan betapa satu demi satu negara Afrika dahulu menjadi jajahan takluk kuasa-kuasa Barat, antaranya Portugis, Sepanyol, British, Perancis, Jerman, Belgium dan Itali.

Berperanan penting ialah tokoh-tokoh politik, bala tentera dan para pentadbir pihak-pihak penjajah. ada kalanya beberapa tokoh politik yang berperanan itu tidak pernah pun mengunjungi negara-negara yang mereka jajah.

Mulai abad ke-19 hanya kira-kira 25,000 warga kulit putih berada di Afrika. Bilangan itu meningkat hingga 2.2 juta menjelang 1911. Mereka juga membawa masuk orang-orang India untuk menjadi buruh pelbagai perusahaan. Lalu disebut: Mereka diambil untuk kontrak kerja selama lima tahun dan disambung selama lima tahun lagi, iaitu menggantikan kepulangan ke India, atau mendapat sebidang tanah untuk terus bermastautin di Afrika.

Kebanyakan memilih untuk terus bekerja walaupun hanya sebilangan kecil saja mendapat tanah yang dijanjikan oleh pemerintah kulit putih.

Sementara itu ramai sekali warga kulit hitam Afrika dicolek dan dihantar ke benua Amerika untuk menjadi hamba abdi. Mereka bekerja di ladang-ladang milik kulit putih di wilayah-wilayah selatan Amerika. Seperti catatan sejarah perang saudara berlaku kemudiannya di antara wilayah-wilayah selatan dan utara Amerika. Yang menang ialah pihak utara dan sistem hamba abdi kulit hitam beransur-ansur hapus.

Seorang ahli sejarah, Simon Schama kemudiannya mengulangi tulisan radikal seorang warga Inggeris bernama Thomas Day pada tahun 1976 seperti berikut: “Sungguh mengarut manakala seorang Amerika yang patriotik menandatangani resolusi menuntut kemerdekaan dengan tangannya, tetapi sebelah tangan lagi menghayun cemati ke arah hamba-hamba abdinya”.

Penjajahan oleh kuasa-kuasa Eropah ke atas negara-negara Afrika di dorong oleh kepentingan-kepentingan ekonomi. Masing-masing bertindak dengan cara sendiri. Terlibat ialah bala tentera, para pentadbir, para peniaga, pemburu, para peladang, pelombong dan mereka yang mahu bermastautin.

Juga terlibat ialah pengembang- pengembang agama Kristian. Kerana itu kemudiannya ramai yang memeluk agama Kristian. Sebelum itu telahpun merebak perkampungan-perkampungan Islam di Afrika Utara, Afrika Tengah dan lain-lain wilayah.

Bilangan warga Eropah sendiri di Afrika meningkat hingga enam juta pada tahun 1960. Seramai satu juta lagi ialah pendatang-pendatang dari Asia. Juga paling ramai ialah warga kulit putih di Afrika Selatan, antaranya dari negara Belanda yang mempunyai jajahan takluk di nusantara Indonesia, waktu itu dipanggil Duth East Indies. Bilangan kulit putih meningkat hingga 4.8 juta di Afrika Selatan.

Warga pribumi kulit hitam dipisahkan dari penduduk kulit putih, terutama di kawasan-kawasan perbandaran. Juga disebut: “Pendatang-pendatang bangsa Asia pula didesak supaya kembali ke negara masing-masing. Jika tidak, mereka diasingkan. Tiada yang bukan kulit putih boleh memiliki tanah”.

Dijelaskan lagi ialah keadaan di Afrika Utara. Pada tahun 1911 sejumlah 900,000 warga Eropah bermastautin di Algeria dan Tunisia. Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) Maghribi menerima kedatangan 600,000 warga Eropah. Dengan itu Afrika Utara milik Perancis mempunyai 1.9 juta warga Eropah.

Di Tunisia pada 1911 seramai lebih 46,000 warga Perancis, kurang dari bilangan warga Itali seramai 88,182 orang. Hampir dua pertiga penduduk Eropah di Tunis ibu kota Tunisia ialah warga Itali. Namun, akhirnya Algeria dan Tunisia mencapai kemerdekaan.

Mendapat perhatian ialah tindakan Belanda menggunakan “hamba abdi warga Asia” di Afrika Selatan sejak tahun 1659. Pihak berkuasa Dutch East Indies Company mengambil keputusan untuk menggunakan hamba abdi Asia dari jajahan takluknya (Indonesia).

Dicatat pada bahagian akhbar buku Colonial Africas ialah kenyataan berbeza oleh Raja Baudouin, raja Belgium penjajah Congo: “Bandar-bandar besar telah dibina dan keadaan perumahan baik sekali”. Patrice Lumumba (mendiang), Perdana Menteri Republik Congo pula berkata: “... dipelbagai bandar rumah-rumah yang cantik ialah milik kulit putih dan pondok-pondok usang untuk si kulit hitam”.

Menjadi bahan-bahan berita dewasa ini ialah negara-negara Afrika yang merdeka manakala berlaku kemelut politik, demonstrasi atau rusuhan, rampasan kuasa, perlantikan presiden yang tewas dalam pilihan raya antara lainnya. Berlaku ialah pertembungan sesama sendiri pula.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 28 Januari 2011

Jalinkan usahawan Malaysia - Indonesia


Oleh ZULKIFL ABDULLAH, pengarang@utusan.com.my

BANDUNG 28 Jan. - Malaysia dan Indonesia boleh membantu ASEAN menjadi kuasa ketiga terbesar dalam bidang ekonomi bagi rantau Asia selepas China dan India menerusi jalinan kerjasama usahawan kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yakin dengan bilangan penduduk melebihi 600 juta orang, pertumbuhan ekonomi rantau ini akan bertambah pesat.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan 51 peratus daripada KDNK ASEAN membolehkan mereka memainkan peranan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini," katanya kepada pemberita sempena Maybank Semi '10-Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Seminar itu merupakan program tahunan anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang menghimpunkan pengamal media bersama ahli perniagaan kedua-dua negara dalam usaha merangka kerjasama ekonomi serta merapatkan lagi hubungan mereka.

Turut hadir pada seminar yang disertai lebih 400 peserta itu ialah Penasihat Khusus Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Dr. Hendry Subikto, Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Iswami Indonesia, M. Saiful Hadi.

Ahmad Husni percaya dengan kepadatan penduduk yang sedia ada, negara jiran ini mampu mencapai pertumbuhan memberangsangkan bersama Brazil, China dan Rusia.

"Indonesia mempunyai potensi dengan nilai transaksi pembangunan yang besar dari segi skala ekonomi dan jika digabungkan dengan Malaysia, ia akan menjadi tumpuan utama kepada pertumbuhan utama di kawasan ASEAN," tambahnya.

Beliau memberitahu, Malaysia sudah bertapak di Indonesia dalam bidang perkhidmatan

kewangan, teknologi maklumat dan petrolium, perladangan dengan penglibatan Malayan Banking dan CIMB hingga berada dalam rangking ke-10 bank terbesar di rantau ASEAN.

Menjawab mengenai kesepakatan yang boleh dijalinkan, Ahmad Husni berkata, produk halal merupakan satu sektor ekonomi yang boleh diterokai terutama melibatkan negara-negara di Timur Tengah.

"Kita mesti terima hakikat dari segi struktur pembangunan ekonomi negara Timur Tengah yang masih berada di peringkat awal dan tidak banyak aktiviti ekonomi dilakukan di negara itu malah mereka bergantung import daripada negara lain.

"Potensi untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang-bidang lain yang melibatkan Malaysia dan Indonesia semakin meluas tetapi ia memerlukan penyelidikan di peringkat awal jika terlibat dalam pelaburan penting bagi menentukan viabiliti sesuatu projek," jelasnya.

Menurut beliau, masih banyak peluang perdagangan yang boleh dijalinkan tetapi belum mendapat pendedahan di kalangan usahawan kedua-dua negara dan mengakui kerjasama itu memerlukan penyediaan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, dengan adanya Empangan Bakun di Sarawak, bekalan elektrik boleh disalurkan ke Kalimantan bagi memacu pertumbuhan ekonomi di situ.

Mengenai pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015, Ahmad Husni memberitahu, perbincangan masih berjalan tanpa membuat sebarang pindaan undang-undang sedia ada antara Malaysia dan Indonesia serta Thailand yang dijangka selesai pada tahun ini.

Source: Utusan Malaysia Online.

Siti Nurhaliza duta rumpun Melayu serantau?


Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA, saharudin.musthafa@utusan.com.my

BANDUNG 28 Jan. - Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dicadang dilantik sebagai duta bagi memperkasakan rumpun Melayu serantau.

Cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami), M. Saiful Hadi Itu diharap dapat dilaksanakan segera kerana bangsa Melayu harus bangkit sebagai kuasa baru dunia.

Menurut beliau, Siti Nurhaliza merupakan individu terbaik untuk menggalas tugas itu berikutan personalitinya amat disenangi oleh semua pihak di negara serantau khususnya di Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia.

"Sejak permulaan kariernya sebagai anak seni, imej yang ditonjolkan oleh Siti Nurhaliza menawan hati banyak pihak. Lagu-lagu nyanyiannya pula cukup disenangi ramai.

"Siti Nurhaliza juga mempunyai pengaruh yang cukup besar di rantau ini, jadi beliau wajar diberi tanggungjawab itu," katanya pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia anjuran Iswami di sini hari ini.

M. Saiful yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia (Antara) memberi contoh penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu pernah menjadi penghubung kepada keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi seni yang diperjuangkannya selama ini.

Sementara itu, Siti Nurhaliza dalam reaksinya merakamkan penghargaan kepada Iswami kerana mencadangkan namanya sebagai duta rumpun Melayu.

Penyanyi yang cukup masyhur menerusi lagu Cindai itu memberitahu, beliau bersedia memberikan komitmen terhadap sebarang cadangan yang baik untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Andai Iswami melihat saya boleh memainkan peranan memperkasakan bangsa Melayu, saya tentunya bersedia menerimanya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, penyanyi itu berkata, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikan idea pelaksanaan tugas itu.

Katanya, beliau seorang diri tidak mampu memikul tanggungjawab itu kerana rumpun Melayu mempunyai skop yang luas dan mencakupi banyak isu termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan.

Siti Nurhaliza mengakui, perkembangan kariernya sebagai anak seni selama 15 tahun banyak didokong oleh masyarakat Melayu serantau selain peminat daripada bangsa-bangsa lain juga.

"Semenjak terlibat dalam lapangan seni saya dapat melihat perubahan landskap sosial masyarakat Melayu.

"Justeru, seni seharusnya dijadikan sebagai instrumen penting oleh seluruh masyarakat serumpun untuk terus memperkasakan bangsa Melayu sehingga menjadi kuasa baru dunia," kata Siti yang turut mengambil peluang mempromosikan produk kecantikan yang diasaskannya, SimpySiti pada seminar yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Pelajar Malaysia meninggal nahas jalan raya di Padang

28/01/2011 9:06pm

BANDUNG 28 Jan. – Seorang pelajar Malaysia jurusan kedoktoran Universiti Andalas Padang meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah motosikal lain di Padang, Sumatera Barat hari ini.

S. Yagneswaran, 24, dari Klang, dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah hospital tempat dia menjalani latihan amali apabila kemalangan berlaku, namun masa kejadian belum dapat dipastikan.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang dihubungi di sini berkata, seorang rakan pelajar berkenaan yang membonceng motosikal Yagneswaran dilaporkan cuma mengalami kecederaan.

Pembonceng itu ialah seorang warga tempatan.

"Yagneswaran ialah pelajar persendirian Malaysia dalam bidang kedoktoran di tahun 4, Universiti Andalas.

“Akibat kemalangan itu beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya sedang ditempatkan di Rumah Sakit M. Djamil, Padang,” katanya. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online

Goreng Ikan Curi bertepung

By Idris Ismail Talu


Ikan curi merupakan sejenis ikan bersaiz kecil yang banyak terdapat di perairan Tasik Raban, Lenggong. Ianya menjadi kegemaran penduduk di sekitar Tasik Raban sejak dahulu lagi.

http://idristalu.blogspot.com/

Setakat mana sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah, soal Tun M

Tarikh siar: 2011/01/28

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta masyarakat supaya tidak terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum negara ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperoleh daripada sejarah benar negara.

Beliau berkata, sekiranya pengalaman dahulu yang dialami dilupakan atau diketepikan, tidak dapat tidak, pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak
akan menjadi lebih baik."Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira.

"Soalnya, setakat manakah sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan, maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah," katanya dalam entri terbaru dalam blognya chedet.co.cc hari ini.

Beliau memberi contoh dakwaan berkenaan penduduk asal Semenanjung yang bercanggah dengan kebenaran.

"Apakah kerana sensitifnya perkara itu maka tidak akan kita sebut berkenaan penduduk asal Semenanjung, berkenaan orang asing yang menduduki Semenanjung, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka.
"Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu," katanya.

Dr Mahathir berkata, banyak lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif iaitu sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan suku kaum lain.

"Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis, maka tidak ada pelajaran yang akan diperoleh penuntut," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sudah membaca buku teks sejarah dan mendapati banyak peristiwa penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku berkenaan.

"Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran," katanya.

Dr Mahathir berkata, satu daripada hasil daripada mata pelajaran sejarah ialah masyarakat lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah.

"Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat," katanya.

Beliau berkata, semua golongan masyarakat, belajar daripada pengalaman dan jika zaman ini lebih baik iklimnya dari dahulu sebabnya ialah kerana kesilapan dahulu tidak lagi diamalkan.

"Kita telah belajar daripada pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian daripada sejarah," katanya.

Memetik kata-kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika Syarikat,
Dr Mahathir berkata: "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali". – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online

Chong Wei dan beregu negara mara separuh akhir Terbuka Korea

Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek.


Tarikh siar: 2011/01/28

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara Koo Kean Keat/Tan Boon Heong melangkah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Korea di Seoul, hari ini.

Pada saingan suku akhir, Chong Wei menewaskan pemain China Wang Zhengming
21-14, 21-19 manakala Koo dan Tan menundukkan beregu negara Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Ong Soon Hock 21-17, 12-21, 21-16.

Chong Wei, pilihan utama kejohanan, terpaksa berdepan dengan seorang lagi pemain China iaitu perseorangan ke-11 dunia Du Pengyu esok.

Sementara itu, bayangan perlawanan akhir di antara Chong Wei dengan musuh
ketatnya Lin Dan semakin menjadi kenyataan apabila pemain China itu turut mara
ke pusingan separuh akhir.

Lin Dan, pemenang emas Sukan Olimpik 2008, menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia menerusi tiga set 21-13, 8-21, 21-15.

Lin Dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan pemain muda
Indonesia Simon Santoso dalam saingan separuh akhir esok.

Sementara itu, dalam saingan acara beregu, Koo dan Tan diberi tentangan hebat oleh gandingan baru Mohd Fairuzizuan dan Ong.

Meskipun menang set pertama 21-17, beregu nombor lima dunia itu diheret untuk bermain dalam 'rubber game' setelah tewas pada set kedua 12-21.

Mohd Fairuzizuan dan Ong bagaimanapun gagal menyaingi kehebatan bekas beregu nombor satu dunia itu apabila Koo dan Tan beraksi lebih garang pada set ketiga untuk menamatkan permainan 21-16.

Koo/Tan bakal bertemu beregu nombor tujuh dunia Jung Jae Sung/Lee Yong Dae
dari Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir esok.

Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki akan berlangsung di antara
beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark dengan Ko
Sung Hyun/Yoo Yeon Seong (ketiga dunia) dari Korea Selatan. – BERNAMA

Source:Berita Harian Malaysia Online

Kuan Yew amal strategi bermusuh

Oleh AZIZI JAMALUDIN MHD TAHIR

PANDANGAN sinis bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terhadap umat Islam cukup jelik. Gesaan agar umat Islam Singapura 'tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam' merupakan natijah kebebalan beliau yang sengaja ingin mencuri kemarahan mereka yang taat beragama. Ini kerana ajaran agama itulah yang dapat mengawal dan membimbing manusia menjadi terbaik, patuh dan taat kepada Allah dan pencipta-Nya.

Gesaan tersebut boleh mendorong umat Islam melakukan kejahatan yang akan membahayakan sesebuah negara itu sendiri. Seharusnya Islam sudah difahami dengan baik oleh seorang pemimpin yang pernah memimpin selama 31 tahun, yang mana sebahagian kecil penduduknya beragama Islam. Memahami sejarah perjuangan peribadinya, baik menerusi tulisan-tulisan dan kata-kata beliau, ternyata Kuan Yew masih tidak mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling banyak menyebarkan semangat toleransi, boleh hidup bersama penganut agama lain dan membangunkan negara dalam acuan yang bersifat madani, bukan seperti ajaran lain yang menganjurkan kebencian dan permusuhan sesama manusia.

Islam telah membuktikan bahawa sejak permulaan lagi, ia telah membentuk struktur masyarakat yang saling memahami, bekerjasama dan membantu. Hal ini dapat diperhatikan melalui sejarah bagaimana kepimpinan Nabi Muhammad SAW telah membangunkan tamadun kemasyarakatan yang terbaik dalam sejarah manusia di Madinah. Ketaatan penganut Islam berpegang kepada kalimah 'Tiada Tuhan Lain Yang Disembah Selain Allah' telah memperkuatkan kerohanian masyarakat sehingga muncul sebuah kehidupan yang beradab dan maju.

Sepanjang sejarah manusia, kejatuhan sesebuah tamadun adalah disebabkan rakyatnya telah melupakan atau menyisihkan kehidupan beragama. Tragedi yang menimpa Empayar Roman misalnya, salah satu faktornya adalah kerana terlalu menekankan falsafah materialisme dan kebebasan melampau sehinggakan agama dijadikan asas kehidupan pinggiran.

Analisis Paul Kennedy dalam bukunya yang pernah menimbulkan banyak perdebatan, The Rise and Fall of Great Power turut menyingkap bahawa agama merupakan penentu terbesar dalam mengekalkan sesebuah tamadun. Justeru, walau sehebat manapun kemajuan sesebuah negara dalam pembangunan fizikal dan kebendaan, ia hanya membangkitkan suasana kehidupan manusia yang tidak pernah puas, rakus, adu-domba dan saling berkonflik.

Kuan Yew menyelar sikap rakyat negara itu yang 'ketat pegangan agama' sebagai halangan kepada pembinaan negara bangsa Singapura bagi tempoh yang lebih lama pada masa depan. Buktinya, kerana dasar yang diamalkan oleh negara itu mengekang suara pembangkang dan menghalang politiking telah menyebabkan sebahagian mereka yang merasakan kedudukannya tertindas mula beralih kepada pematuhan beragama.

Inilah sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh Kuan Yew apabila menasihatkan generasi yang taat beragama supaya melenturkan pegangan agama bagi membolehkan Singapura terus kekal sebagai negara moden dan terbaik pada masa depan. Dalam hal ini, Kuan Yew sebenarnya lupa bahawa kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Singapura adalah kerana kebijaksanaannya menguruskan sumber-sumber yang diperoleh negara jiran yang dilihatnya sebagai 'kurang mesra.'

Hubungan yang tidak mesra itu sebenarnya dicipta oleh Singapura sendiri. Dalam situasi ingin berada di hadapan dan melonjakkan kedudukannya sebagai sebuah pelabuhan yang penting, Kuan Yew menyusun strategi bermusuh. Hal ini tidak dilakukan oleh pewarisnya, Lee Hsien Loong yang mengambil alih pentadbiran sejak 2004 dari Goh Chock Tong. Chock Tong menjadi Perdana Menteri sementara bagi mengikis persepsi umum mengenai pewarisan kepimpinan politik yang dilaksanakan oleh Parti Tindakan Rakyat PAP pada tahun 1999.

Berasaskan persepsi negatif itu, maka dapat dirumuskan bahawa Kuan Yew sebenarnya tidak pernah cuba memahami Islam secara mendalam. Islam hanya difahami berdasarkan sikap peribadi yang ditunjukkan oleh segelintir penganut. Pada hal dalam kehidupan manusia, Kuan Yew faham bahawa tidak semua manusia mempunyai pendapat, sikap, perangai, tingkah laku dan keperluan yang berbeza.

Perbezaan-perbezaan tersebutlah akhirnya menjadi sebuah nilai bersama melalui ikatan sosial ataupun keagamaan. Mungkin kerana Kuan Yew menghadapi kesukaran untuk memusnahkan akidah umat Islam agar menerima apa sahaja dasar yang dilaksanakan walaupun bertentangan dengan falsafah nilai agama, maka itulah persepsi negatif itu dikembangkan.

Nampaknya beliau sedang menghadapi konflik dalaman yang besar. Ini kerana jiwa segelintir rakyatnya yang tertekan mula melontarkan pelbagai pandangan marah, geram dan tidak sukakan dasar pemerintah. Luahan itu walaupun disekat, namun ia terus disalurkan melalui pelbagai media baru yang merunsingkan Menteri Mentor itu.

Islam tidak pernah menyuruh penganutnya menyekat kebebasan seseorang. Justeru, Allah SWT berfirman bermaksud: "Tiada paksaan dalam agama" (Surah Al-Baqarah ayat 256). Islam tetap memberikan keutamaan terhadap kebebasan individu, asalkan kebebasan itu tidak mengenepikan keyakinan terhadap keesaan Allah SWT dan melakukan perkara-perkara yang disuruh.

Jelas sekarang, Kuan Yew sedang mengeluh mengenai 'kemungkaran' yang tidak dapat diterima oleh umat Islam yang taat.

Sejarah Islam ketika zaman Umayyah misalnya membuktikan Islam sebuah agama yang bertoleransi. Ketika Pope John Paul II mengunjungi Masjid Umayyah di Damsyik, beliau tetap bertafakur di hadapan makam Nabi Yahya a.s. Mengulas tindakan itu, Pope John Paul memberikan alasan bahawa setiap penganut Islam dan Kristian mestilah saling memaafkan.

Beliau juga berkata, penganut agama terbesar tidak perlu berkonflik, saling menyalahkan antara satu sama lain, kerana ia akan menyebabkan keharmonian, keamanan dan kedamaian hidup bermasyarakat punah. Jika Pope John Paul II boleh memberikan pandangan agar saling hidup dalam keadaan bertoleransi, maka tidak ada sebab Kuan Yew tidak boleh menerima bahawa kepatuhan penganut Islam kepada agamanya bukanlah sesuatu yang merugikan matlamat pembinaan negara bangsa.

Kuan Yew tentu sedar bahawa kehebatan Mahatma Ghandi adalah kerana beliau tidak menimbulkan sengketa dan menambah bara konflik dalam masyarakat. Ghandi mengamalkan tindakan 'membina damai' dalam suasana orang lain berkonflik, akhirnya kaedah perjuangan nasionalismenya menjadi sebuah perjuangan yang amat berkesan sekali.

Teladan itu sebenarnya perlu dilakukan oleh Kuan Yew memandangkan beliau yang dikenali sebagai peneraju sebuah negara kecil menjadi sebuah negara besar kuasa ekonominya, agar lebih dihormati atas nasihatnya. Itulah teladan yang seharusnya dilakukan oleh Kuan Yew, bukannya membangkitkan sengketa serta rasa benci orang lain.

Sebagai bekas pemimpin, beliau seharusnya dapat menyelami sanubari rakyat yang sekian lama tercengkam oleh dasar autokratiknya. Inilah saat yang sesuai untuk memulihkan semangat baru agar hidup dalam kepelbagaian yang penuh dengan toleransi dan saling memahami.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Source: Utusan Malaysia Online.

Khamis, 27 Januari 2011

Penduduk Islam dunia bertambah lebih cepat

WASHINGTON 27 Jan. - Penduduk Islam di dunia akan bertambah sekali ganda lebih cepat berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Satu kajian terbaru oleh Pew Forum on Religion and Public Life juga meramalkan, umat Islam dalam masa satu generasi akan menyamai lebih 25 peratus daripada penduduk dunia.

Penyelidik Pew Forum yang menggunakan kadar kesuburan, kematian dan penghijrahan menjangkakan kadar pertumbuhan penduduk Islam di dunia pada paras 1.5 peratus setahun dalam tempoh dua dekad akan datang, manakala bagi penduduk bukan Islam, kadar pertumbuhan hanya 0.7 peratus setahun.

Kajian berjudul The Future of the Global Muslim Population itu mengunjurkan pada 2030 umat Islam akan menyamai 26.4 peratus daripada penduduk dunia yang dijangka berjumlah kira-kira 8.3 bilion orang pada waktu itu.

Peratusan itu menandakan kenaikan tiga peratus berbanding 23.4 peratus yang merupakan penduduk Islam daripada kira-kira 6.9 bilion penduduk dunia pada masa kini.

Lebih daripada enam dalam setiap 10 penduduk Islam akan mendiami rantau Asia Pasifik pada 2030 dan Pakistan akan mengatasi Indonesia sebagai negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai.

Di Afrika, penduduk Islam di Nigeria dijangka lebih ramai daripada penduduk Islam di Mesir dalam tempoh 20 tahun, menurut kajian itu.

Di Eropah, Pew Forum meramalkan penduduk Islam akan bertambah hampir 33 peratus dalam tempoh 20 tahun, daripada 44.1 juta orang atau enam peratus daripada penduduk Eropah pada 2010, kepada 58.2 juta atau lapan peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2030.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dijangka mempunyai penduduk Islam yang lebih ramai berbanding mana-mana negara Eropah kecuali Rusia dan Perancis pada 2030.

Peratusan penduduk Islam daripada keseluruhan penduduk AS diramalkan meningkat daripada kurang daripada satu peratus pada masa sekarang kepada 1.7 peratus pada 2030, menjadikan bilangan umat Islam seramai penganut Yahudi atau Kristian di AS, menurut kajian itu.

Penduduk Islam di AS dijangka bertambah daripada 2.6 juta pada 2010 kepada 6.2 juta pada 2030.

Source: Utusan Malaysia Online.

Jeddah banjir lagi

JEDDAH 27 Jan. - Beberapa batang jalan di Jeddah ditenggelami air dan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik ekoran hujan lebat semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan berulangnya banjir buruk seperti pada 2009 yang meragut lebih 120 nyawa.

Banjir terbaru di bandar raya kedua terbesar di Arab Saudi ini mencetuskan perbahasan hangat mengenai kelemahan infrastruktur di negara pengeksport minyak terkemuka di dunia ini.

Dalam kejadian semalam, kereta terapung di jalan-jalan yang bertukar menjadi sungai, sementara udara dicemari bau busuk daripada kumbahan yang mengalir dari tangki bawah tanah yang melimpah dan bercampur dengan air banjir.

Bandar pelabuhan di Laut Merah yang didiami empat juta penduduk ini tidak mempunyai sistem kumbahan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Saham tempatan diunjur cecah 1,790 mata tahun ini

FBM KLCI dirangsang kemasukan dana asing: Deutsche Bank

Oleh Shahrizan Salian shahrizan@bharian.com.my


FBM KLCI dirangsang kemasukan dana asing: Deutsche Bank

DEUTSCHE Bank, antara bank pelaburan terbesar di dunia, mengunjurkan penanda aras pasaran saham tempatan, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mampu melonjak sehingga 1,790 mata tahun ini, dirangsang antara lainnya oleh kemasukan dana asing.

Pengarah Urusan dan Ketua Penyelidikan Pasaran Malaysia dan ASEAN Deutsche Bank Malaysia, Teoh Su-Yin, berkata langkah penyedia indeks global, FTSE Group menaikkan taraf bursa saham Malaysia daripada pasaran sedang meningkat sekunder kepada pasaran sedang meningkat maju Jun ini bakal mewujudkan sentimen positif di kalangan pelabur asing.

“Bursa tempatan akan menerima taraf itu sepenuhnya pada 17 Jun ini yang meletakkannya dalam kategori sama dengan bursa saham Taiwan.

“Ini akan mengukuhkan lagi minat pelabur asing kepada pasaran saham tempatan yang telahpun mula meningkat pada suku ketiga tahun lalu,” katanya pada taklimat media tinjauan pasaran 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Berdasarkan laporan penyelidikan Deutsche Bank yang juga adalah kumpulan perbankan terbesar di Jerman, peningkatan taraf bursa saham tempatan itu dijangka menyuntik tambahan aliran masuk pelaburan asing bernilai AS$392 juta (RM1.2 bilion) tahun ini.

Laporan itu mendapati sentimen positif pelabur berikutan perubahan taraf pasaran sedang meningkat maju berupaya menjadi faktor paling penting kepada pengukuhan pasaran saham.

Dua pasaran saham yang dinaikkan taraf kepada pasaran sedang meningkat maju baru-baru ini, iaitu Hungary dan Poland masing-masing mengatasi penanda aras serantau sehingga melebihi 25 peratus tiga bulan selepas penarafan baru itu berkuat kuasa.

Malaysia muncul antara pasaran Asia yang mencatat momentum kukuh tahun lalu, dengan menduduki tempat kedua di belakang Thailand apabila nilai dagangannya meningkat 32.5 peratus berbanding 2009.

Su-Yin berkata, penyenaraian dua anak syarikat Petronas iaitu Petronas Chemical Group Bhd dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) turut menyumbang kepada kembalinya minat pelabur asing terhadap bursa tempatan tahun lalu.

“Aliran masuk yang positif daripada pelabur asing mula dicatatkan pertengahan tahun lalu dan ia berterusan sehingga kini berikutan satu demi satu berita positif diterima terutama dalam sektor pembinaan, minyak dan gas serta hartanah,” katanya.

Beliau menambah, portfolio pasaran tempatan dilihat semakin berkembang sepanjang lima tahun lalu dengan 10 saham utama terdiri daripada sektor yang pelbagai dan mempunyai permodalan tinggi seperti telekomunikasi, bank dan komoditi.

Berdasarkan perkembangan semasa, katanya saham berkaitan komoditi mampu meraih manfaat daripada pengukuhan harga komoditi ketika ini.

“Saham berkaitan komoditi merangkumi 21 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran saham tempatan kerana Malaysia adalah pengeluar kepada pelbagai komoditi seperti sawit, timah, getah dan produk perkayuan selain sumber asli seperti minyak dan gas,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Pelajar Singapura masuk Felda Tenggaroh


MERSING 26 Jan. - Seramai 83 pelajar Raden Mas Primary School (RMPS), Singapura menyertai Program Pertukaran Budaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh 3, di sini sebagai pendedahan mengenai budaya unik yang terdapat di Malaysia, baru-baru ini.

Penyelaras program, Zuhrah Mohd Sabri berkata, terdapat sebahagian daripada murid RMPS yang mengetahui serba sedikit tentang budaya Melayu, tetapi kunjungan tersebut membolehkan mereka melihat sendiri keunikan adat resam masyarakat di sini.

"Malaysia terkenal dengan keunikan adat dan budaya berbilang kaum serta dapat hidup dengan harmoni dalam satu komuniti. Justeru, banyak pengalaman baru dapat dipelajari oleh pelajar terbabit," katanya.

Guru Besar SK Felda Tenggaroh 3, Fauziah Mamat menyatakan pihaknya teruja dengan kehadiran rombongan murid dari negara pulau itu ke sekolahnya dan menganggap ia sebagai tanda jalinan mesra Malaysia-Singapura.

Menurutnya, peserta diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional yang melibatkan penyertaan permainan luar seperti timbang bulu ayam, lompat getah, baling selipar dan pangkah guli, manakala bagi permainan dalaman adalah congkak, batu seremban, lompat ketingting serta ceper.

"Bagi pelajar di sini, semua permainan ini adalah permainan tradisional yang biasa, tetapi murid RMPS merasakan ia adalah permainan baru dan kami bangga memperkenalkan permainan tradisi tersebut kepada mereka," ujarnya.

Fauziah berharap, program itu dapat memberi pelbagai manfaat dan ilmu pengetahuan baru kepada kumpulan murid kedua-dua negara.

Beliau juga berharap, dengan adanya program pertukaran budaya tersebut, pelajar kedua-dua negara mendapat pelbagai manfaat dan ilmu baru selain merapatkan hubungan sebagai negara berjiran.

Source: Utusan Malaysia Online

Labis - Keluar mengundi waktu pagi

Oleh AZIZI MAJID, utusanjohor@utusan.com.my

LABIS 26 Jan. - Para pengundi dinasihatkan supaya membuang undi pada sebelah pagi semasa hari pengundian bagi memilih wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang Ahad ini.

Ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung dan lembab pada sebelah pagi disusuli hujan lebat pada petang bermula malam tadi hingga hari pengundian tersebut.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Che Gayah Ismail berkata, keadaan cuaca tidak menentu disebabkan monsun Timur Laut bukan sahaja di Tenang, malah seluruh daerah ini khususnya di bahagian Timur Johor dan kawasan pantai Timur Semenanjung.

"Kita berharap semua pengundi yang mahu menunaikan tanggungjawab masing-masing dapat keluar mengundi pada sebelah pagi.

"Ini kerana cuaca pada paginya lebih baik kerana diramalkan mendung berbanding cuaca yang tidak menentu dan kadangkala hujan lebat pada petang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Che Gayah berkata, cuaca diramalkan bertambah baik pada 31 Januari dan hari-hari berikutannya.

Justeru, para pengundi diminta bersiap sedia dan membuat persiapan yang sepatutnya seperti memakai baju hujan dan membawa payung pada hari mengundi.

Source: Utusan Malaysia Online

Lempoyang cegah kanser



Pokok lempoyang yang bernilai tinggi.

Pokok lempoyang.

Oleh FARIZ FIKRI ZOLKARNAIN, pengarang@utusan.com.my
ARKIB : 19/01/2011

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Lempoyang iaitu sejenis herba tempatan mampu mencegah dan merawat kanser pangkal rahim apabila hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati bahan semulajadi itu berjaya menghalang perkembangan kanser di dalam tubuh wanita.

Penyelidik Institusi Biosains (IBS) UPM, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, keputusan ujian makmal UPM mendapati herba itu bertindak balas terhadap sel-sel kanser tanpa mengganggu sel dan tisu normal yang lain.

Katanya, bahan semulajadi itu boleh diproses sebagai produk perubatan herba dan ia juga selamat digunakan pada dos yang tinggi dan akan dikomersialkan dalam bentuk douches dan suppositori.

''Kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua paling berbahaya bagi golongan wanita selepas kanser payu dara. Ubat herba ini jelas menunjukkan bahawa tumbuhan herba tempatan mampu mencegah dan merawat penyakit ini.

''Ia boleh digandingkan dengan rawatan antikanser secara kemoterapi dan mampu mengurangkan pemilihan ubat sintetik untuk rawatan kanser," katanya ketika berucap pada majlis mempromosi hasil penyelidikan UPM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (P&I), Prof. Dr. Saleh Jaafar dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pusat Pengurusan Kajian UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan.

Jelas Ahmad Bustamam, kos pemprosesan bahan semulajadi itu tidak mahal dan beliau memberi jaminan bahawa harganya adalah murah jika dibandingkan dengan ubat sintetik.

''Produk ini merupakan bahan semulajadi yang diekstrak daripada tumbuhan herba tempatan. Sememangnya ia lebih murah kerana bahan semulajadi ini mudah dikomersialkan dan peraturan mengenainya lebih longgar serta fleksibel berbanding ubat sintetik," katanya.

Menurutnya, douches merupakan bahan untuk mencuci bahagian pangkal rahim manakala suppositori digunakan dengan cara memasukkan ubat herba (pepejal) ke dalam faraj yang kemudiannya akan larut dengan sendirinya.

Sementara itu Salleh berkata, bahan semulajadi itu kini berada di peringkat terakhir pembangunan produk.

''Saya harap syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang ini untuk memasarkan bahan semulajadi ini sebagai produk anti kanser di pasaran global.

''Selain itu, saya juga mahu semua syarikat farmaseutikal memanfaatkan produk ini dengan sebaik mungkin tanpa perlu memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Kuan Yew sangsi orang Melayu, negara jiran

Bersama Rejal Arbee

Tarikh siar: 2011/01/27


APAKAH gerangannya dengan bekas Perdana Menteri Singapura sekarang Menteri Mentornya, Lee Kuan Yew ini? Tidak habis-habis menunjukkan sikap berseteru dan bermusuhan hingga berterusan menghina negara ini dan juga orang Melayu termasuk warganya sendiri?

Terakhir ialah pandangannya yang dibukukan dalam terbitan terakhir bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai kedudukan rakyat beragama Islamnya serta perbelanjaan yang begitu tinggi untuk pertahanannya. Pandangannya terhadap dua topik ini menunjukkan betapa dia dihantui kesangsiannya terhadap orang Melayu/Islam dan jirannya Malaysia dan Indonesia kerana berada di tengah-tengah Alam Melayu. Kesangsiannya itu sudah lama dirasai tetapi kini dia sendiri terang-terangan mengakuinya.

Maka itu tidak menghairankan bagaimana Melayu di Singapura menghadapi pelbagai tekanan walau pun ada antara mereka itu yang pertikaikan pandangan ini seperti wujud cemuhan sesetengah daripada mereka yang menulis kepada Berita Harian Singapura mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menimbulkan lagi pandangannya bagaimana Melayu Singapura berterusan dipinggirkan.

Peminggiran Melayu di republik itu berlaku sejak awal lagi bermula apabila republik itu dinyahkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965 kerana kempen Kuan Yew dan parti PAPnya pada Pilihan Raya Umum 1964 yang memainkan isu perkauman dengan begitu ketara, tetapi masih gagal mendapat sokongan bukan Melayu. Kempen perkauman itu berlarutan walaupun selepas pilihan raya itu.

Kedua-dua hal ini menjadi dendam kesumat dalam sanubarinya hingga mempengaruhi dasar yang dilaksanakannya di republik itu.

Peminggiran Melayu didedahkan dengan panjang lebar oleh Dr Lily Zubaidah, anak bekas Menteri Republik itu Abdul Rahim Ishak serta anak saudara Presiden Pertamanya, Yusof Ishak dalam bukunya The Singapore Dilemma: Political and Educational Marginality of the Malays yang diterbitkan pada 1998.
Dr Lily yang lama menetap di Australia bertugas sebagai pensyarah kanan di University of Sydney menerbitkan buku keduanya berjudul Singapore in the Malay World Jun lalu.

Kedua-dua buku itu mengenai kedua-dua isu yang banyak menghantui pemikiran Kuan Yew hingga ada yang berkata dia sudah hilang pertimbangan waras terhadap kedua-dua isu itu. Dia mendapatkan penasihat Yahudi Israel sejak 1965 yang banyak membantu Singapura dalam hal keselamatan dan pertahanan.

Kuan Yew menggunakan kepakaran Israel dalam keselamatan dan pertahanan kerana wujudnya persamaan kedudukan republik itu di kelilingi Alam Melayu seperti Israel di tengah-tengah Alam Arab. Singapura dan Israel juga mempunyai persamaan rakyat minoriti mereka iaitu orang Arab bagi Israel dan minoriti Melayu di republik itu yang mereka curigai.

Bagi Israel cara menangani kedudukan itu ialah dengan melakukan pelbagai usaha sulit mengadu domba antara negara Arab supaya tidak bersatu seperti juga diusahakan republik itu yang tidak senang melihat wujudnya hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Demikian juga bagaimana wujudnya persamaan terhadap perlakuan Israel yang berterusan mencurigai rakyat minoriti Arabnya yang sentiasa dipantau dan diperhatikan secara sulit oleh badan perisikannya seperti Mossad. Singapura juga dituduh melakukan perkara sama terhadap rakyat berketurunan Melayu dan baru-baru ini menambahkan pengambilan polis cawangan khasnya dikatakan untuk melakukan pemantauan itu dengan lebih menyeluruh.

Jadi, kenyataan terakhir Kuan Yew ini yang mencurigai Melayu yang berpegang kuat ke atas agama Islam hingga menuduh sikap itu menjadi batu penghalang terhadap usaha mengintegrasikan pelbagai kaum di republik itu tidak menghairankan. Maka dia menyarankan rakyat Islamnya, iaitu Melayu melonggarkan pegangan agama mereka untuk berintegrasi, bahkan berkahwin dengan bangsa lain mungkin tanpa pasangan mereka menukar agama untuk memeluk Islam?

Kerajaan PAP Singapura sudah melakukan pelbagai usaha yang sememangnya mendiskriminasi rakyat Islam/Melayunya. Misalnya untuk mengaburi mata ramai bahawa jumlah penduduk Melayu tidak seberapa, orang Melayu dibeza-bezakan dengan mereka berketurunan Jawa atau Bawean (Boyan) yang tidak diterima sebagai Melayu dalam kad pengenalan mereka.

Demikian juga keturunan rakyatnya dari India atau Pakistan berkahwin dengan wanita Melayu tidak diiktiraf sebagai Melayu walaupun sudah beberapa generasi dan mereka sudah pun diserap dan mengamalkan cara hidup Melayu dan bertutur bahasa Melayu di rumah.

Demikian juga orang Melayu dikecualikan daripada menyertai Khidmat Negara (National Service) kerana mencurigai kesetiaan Melayu. Ini memberi kesan buruk kepada anak muda Melayu apabila memohon pekerjaan kerana majikan tidak akan mahu mengambil mereka bekerja selagi tidak mempunyai sijil mengatakan mereka sudah menjalani latihan National Service.

Seperti ditohmahkannya, Kuan Yew amat tidak menyenangi orang Melayu yang banyak menghabiskan masa di masjid menunaikan solat wajib. Di Singapura masjid yang ada bukannya didirikan dengan biaya atau bantuan pemerintah. Semuanya dibiayai derma penduduk setempat, misalnya di kawasan perumahan flet HDB.

Mengikut dasar kerajaan PAP yang diwujudkan oleh Kuan Yew semua flet itu harus mempunyai sehingga 20 peratus penghuni Melayu dan mereka inilah yang mengutip/mengumpul derma mendirikan masjid.

Ini yang tidak disenangi Kuan Yew yang sebolehnya mahu rakyat berketurunan Melayu menyertai balai rakyatnya yang ditubuhkan di setiap kawasan rumah pangsa HDB seperti juga rakyat keturunan Cina dan India. Balai rakyat itu dikendalikan Jawatankuasa Perundingan Rakyat, iaitu pertubuhan akar umbi PAP.

Dalam pertahanan pula seperti ruangan ini sudah beberapa kali sebut beberapa tahun lalu republik itu juga mengikuti jejak Israel berbelanja besar mengadakan pelbagai peralatan canggih khusus untuk tentera udaranya termasuk beberapa skuadron pesawat tempur tentera udaranya yang dilengkapi peluru berpandu terkini yang diperoleh dari Amerika Syarikat.

Ruangan ini sebelum ini mempersoalkan kenapa Singapura perlu berbelanja begitu besar mengadakan peralatan tempur yang begitu canggih termasuk peluru berpandu yang terkini. Peralatan itu bukan hanya untuk pertahanan tetapi ialah untuk bertempur. Siapa yang hendak ditempurinya?

Itulah sebabnya beberapa skuadron pesawat tempurnya tidak disimpan di pulau sebesar sekangkang kera itu, tetapi ditempatkan di Australia dan Taiwan, kononnya kalau ia diserang pesawat tempurnya boleh bertindak balas segera.

Terakhir ia membiayai sebahagian kos membangun dan mengadakan suatu sistem perisai udara menggunakan teknologi satelit yang diusahakan Israel diberi nama ‘Dome’ untuk pertahankan pulau itu daripada serangan peluru berpandu.

Republik itu berbelanja sehingga hampir 2.5 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi pertahanannya hingga mencecah lebih RM30 bilion setahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini adalah kerana ia bersikap dikepung hingga takutkan bayang-bayang sendiri. Maka itulah ia membangunkan pulau itu seperti sebuah kubu dan mecurigai jirannya khususnya Malaysia.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Source: Berita Harian Malaysia Online

Kenyataan Kuan Yew hina Islam - Mufti Perak

Tan Sri Dr Harussani Zakaria


KUALA LUMPUR 26 Jan. - Tindakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menggesa umat Islam negara itu supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam kerana ia boleh menghalang integrasi dan pembangunan merupakan penghinaan kepada agama itu sendiri.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Kuan Yew tidak layak untuk membuat kenyataan tersebut kerana beliau sendiri tidak memahami ajaran Islam serta intipati yang terkandung di dalam agama tersebut.

Tegasnya, Kuan Yew perlu melihat kepada sejarah bahawa Islam merupakan agama yang menyokong pembangunan kerana terdapat bukti-bukti bahawa banyak kejayaan dalam pelbagai bidang seperti sains, perubatan dan kejuruteraan adalah berasal daripada teori yang diterbitkan oleh golongan cendekiawan Islam.

Tambahnya, Kuan Yew sepatutnya tahu mengenai perkara tersebut tetapi beliau telah membuktikan kejahilannya dengan mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di Singapura malah di seluruh dunia.

"Banyak kejayaan di Barat adalah lanjutan kepada kajian serta penerokaan yang dimulakan oleh cendekiawan Islam. Bagaimana pula Kuan Yew boleh berkata ajaran Islam menghalang pembangunan sesebuah negara?

"Gesaan tersebut merupakan penghinaan kerana Islam sebenarnya menggalakkan proses pembangunan menerusi landasan yang betul. Tidak timbul langsung isu bahawa Islam menghalang integrasi atau pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Kuan Yew supaya umat Islam di Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam kerana mendakwa ajaran tersebut menghalang pembangunan serta integrasi di negara berkenaan di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

Menurut Harussani, kenyataan Kuan Yew itu tidak lebih daripada permainan politik beliau.

Katanya, kenyataan itu juga menunjukkan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut kepada masyarakat Islam sama ada di negaranya sendiri mahupun di negara luar.

"Beliau takut dengan Islam. Bukan sahaja Kuan Yew, malah pemimpin-pemimpin negara Barat juga takut kepada Islam kerana semakin mereka memerangi Islam, makin terserlah kebenaran ajaran Islam," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris pula berkata, gesaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu menunjukkan bahawa beliau mengalami kekeliruan fikiran dan kefahaman mengenai Islam.

Katanya, Kuan Yew telah melakukan kesilapan besar dan menunjukkan kejahilannya kepada dunia dengan mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Jadi saya berharap Kuan Yew serta kerajaan Singapura supaya mendekati masyarakat Islam untuk mengenal dengan lebih dekat lagi mengenai ajaran Islam.

"Islam tidak pernah menghalang pembangunan sebaliknya menggalakkan penganutnya membangunkan diri serta negara mereka," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 26 Januari 2011

Pertumbuhan Internet - Google akan buka pejabat di Malaysia

26/01/2011 6:55pm

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Syarikat enjin carian, Google, akan meningkatkan pelaburan di Asia Tenggara tidak lama lagi untuk memberi perkhidmatan kepada para pengguna dan pengiklan bagi mengambil kesempatan daripada pertumbuhan luar biasa yang dijangka di kalangan pelbagai pengguna Internet.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Google, Julian Persaud berkata, pelaburan itu termasuk membuka satu pejabat di Malaysia pada hari ini di mana bilangan pengguna Internet hari ini dicatatkan 17 juta.

Pembukaan pejabat Kuala Lumpur adalah sejajar dengan komitmen Google untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan produk tempatan yang akan memudahkan kehidupan masing-masing.

Persaud juga menyatakan bahawa pertumbuhan tinggi dijangka dari pasaran wayarles berikutan perkembangan persekitaran online di Malaysia yang berkembang dengan pantas melalui perkembangan signifikan yang berlaku di dalam akses Internet jalur lebar dan aktiviti e-niaga.

"Kami gembira untuk menjalin operasi terbaharu kami di sini di mana kami boleh menarik bakat tempatan berkualiti tinggi bagi membantu pengguna kami mendapatkan maklumat yang mereka ingini dan membantu kejayaan perniagaan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di sini hari ini.

Google telah membuka satu pejabat di Singapura dan Korea Selatan pada 2007. – Bernama.

Source: Utusan Malaysia Online.

Dinar emas, dirham perak bukan untuk urusan jual beli – MB

26/01/2011 7:41pm

IPOH 26 Jan. – Dinar emas dan dirham perak, yang akan diperkenalkan kerajaan Perak, adalah instrumen pelaburan dan simpanan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau menegaskan dinar dan dirham itu tidak boleh digunakan dalam urusan jual beli.

"Langkah memperkenalkan dinar emas dan dirham perak itu dibuat kerajaan negeri memandangkan orang ramai pada masa sekarang lebih cenderung menyimpan emas berikutan nilainya yang sentiasa meningkat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata, atas dasar itu kerajaan negeri memperkenalkan dinar emas dan dirham perak yang berbeza dengan mata wang kerana nilai mata wang boleh jatuh bila-bila masa dan boleh mendatangkan kerugian kepada penyimpan.

Zambry menjelaskan sebelum melaksanakan langkah itu, idea mengenainya perlu difahami supaya tidak menimbulkan masalah kepada sistem ekonomi pada masa ini. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Selasa, 25 Januari 2011

Bank Grameen paling pemurah


SIAPA pernah mendengar adanya bank yang sanggup meminjamkan lebih AS$10 bilion kepada golongan miskin tanpa cagaran, malahan kadar bayaran balik pula mencapai 98 peratus? Bagi mereka yang masih belum mendengar kisah Bank Grameen, pertubuhan kredit mikro pertama di dunia, ia sesuatu yang luar biasa.

Walaupun operasinya bercanggah dengan kesemua peraturan perbankan konvensional, Bank Grameen berjaya membebaskan ramai rakyat Bangladesh daripada kancah kemiskinan. Lebih mengagumkan lagi, ia sehinggakan memperbaharui pembangunan sosial dan ekonomi bukan sahaja dalam negara malah merentasi dunia.

Orang yang muncul di sebalik idea bank ini, yang juga pemenang hadiah Nobel, ialah Profesor Dr. Muhammad Yunus. Beliau yang juga Pengarah Urusan Bank Grameen, mengasaskan bank itu pada 1970-an semasa rakyat negara itu mengalami kebuluran.

Dan inspirasi itu muncul pada satu pagi tahun 1976, semasa beliau berjalan melalui sebuah kampung untuk ke universiti di mana beliau adalah profesor ekonomi.

"Saya didatangi seorang wanita miskin yang memberitahu bahawa beliau hanya mampu meraih keuntungan dua sen (AS) sahaja dalam sehari bagi sebuah kerusi buluh yang dihasilkannya, kerana beliau berhutang dengan peminjam wang. Peminjam wang itu memaksa beliau menjual barangannya pada harga yang begitu rendah sehingga beliau hanya mampu menikmati keuntungan dua sen (AS) sahaja setiap hari," katanya.

Muhammad berkata, pada masa itu, beliau hanya perlu membayar peminjam wang berkenaan AS$1 untuk melangsaikan hutang dan membebaskan wanita itu daripada kitaran kemiskinan. Dan beliau lakukannya.

Kegembiraan dan kelegaan yang dirasai oleh wanita miskin itu memberi inspirasi kepada Muhammad untuk mencari lagi mereka yang lain, yang masih berhutang dengan peminjam wang berkenaan.

Beliau menemui 42 orang lagi dan hanya perlu membayar AS$27 sahaja untuk melangsaikan hutang di samping dijadikan modal untuk membeli bahan mentah.

Dengan jumlah wang itu, akhirnya mereka berjaya membebaskan diri daripada cengkaman hutang dan pada masa yang sama dapat menjual hasil produk kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi. Ini telah membawa penambahbaikan ke atas status ekonomi mereka.

Di sinilah bermulanya laluan Muhammad untuk menubuhkan Bank Grameen yang menamatkan kitaran pendapatan rendah, simpanan rendah dan pelaburan rendah.

Muhammad berkongsi sejarah penuh inspirasi bank ini semasa satu majlis makan tengah hari di Malaysia baru-baru ini yang turut menyampaikan ucaptama bertema Perniagaan Sosial dan Pengurangan Kemiskinan.

Majlis makan tengah hari khas ini dianjurkan oleh Khazanah Nasional dan Akademi Pengarah Malaysia (Minda).

Bank untuk miskin

Grameen bermakna "luar bandar" atau "kampung" dalam bahasa Bangladesh.Ia menawarkan kredit mikro kepada penduduk miskin luar bandar di Bangladesh, supaya mereka boleh memulakan atau membiayai perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Muhammad berkata bank ini memberi pinjaman dalam jumlah kecil AS$200 setiap orang kepada 8.3 juta peminjam di seluruh Bangladesh dan pinjaman itu dibayar dalam bentuk ansuran bulanan.

Apa yang mengagumkan, walaupun bank ini meminjam kepada mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan, ia berjaya mendapatkan semula sehingga 98 peratus daripada pinjamannya.

Profesor ekonomi ini berkata, prinsip asas bank berkenaan sejak ditubuhkan ialah bank harus sampai kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

"Kita menemui kesemua 8.3 juta peminjam ini di pintu mereka. Mereka tidak perlu ke mana-mana. Kami bertemu dengan mereka setiap minggu dan menjalankan urusan perbankan di kediaman mereka.

"Ia satu tugas yang besar. Tetapi ia satu-satunya cara kita boleh menggalakkan mereka menjalankan urusan perbankan dengan kami, memandangkan lebih 97 peratus daripada peminjam kami adalah wanita. Jika anda meminta mereka datang ke pejabat kami, itu tidak akan berlaku. Lelaki akan ambil alih tugas itu memandangkan merekalah yang selalu keluar. Wanita lazimnya tinggal di rumah menguruskan keluarga," jelas beliau.

Muhammad jelas dilihat mesra bercakap mengenai Malaysia dan hubungan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar. Muhammad telah banyak kali melawat Malaysia, walaupun sebelum idea Grameen bermula di luar Bangladesh.

"Malaysia bagaikan kediaman kedua saya. Sebenarnya, kali pertama idea Grameen diperkenalkan di luar Bangladesh ia adalah di Malaysia, dengan yang pertama di Pulau Pinang," jelas beliau. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.

Labis - Konfrontasi Ganyang Malaysia, Ubah Malaysia

KETENANGAN di pekan Labis sedikit terganggu seminggu dua ini. Ini adalah kerana satu proses demokrasi sedang berlangsung di situ. Hujung minggu ini akan menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru bagi DUN Tenang dalam kawasan itu.

Kelmarin saya berkesempatan mengunjungi pekan itu, pertama kali dalam hidup saya. Namun sebelum ke pekan itu, saya telahpun mengetahui banyak mengenai Tenang dan Labis. Tidak banyak orang yang sedar bahawa Labis mempunyai banyak sejarah yang tersendiri.

Pada 2 September 1964 - kira-kira 47 tahun lalu, segerombolan gerila payung terjun Indonesia dari batalion para dan kor komando KKO (disebut: ka-ka-o) diterjunkan di sekitar kawasan Kampung Tenang dalam kawasan Labis. Ia adalah sebahagian daripada misi untuk mengGanyang Malaysia. Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1962-1966) tercetus kerana keengganan Presiden Sukarno mengakui kewujudan negara berdaulat Malaysia.

Di hadapan tentera-tenteranya, Sukarno telah mengisytiharkan gerakan Ganyang Malaysia melalui pidato beliau yang amat bersejarah:

"Kalau kita lapar itu biasa

Kalau kita malu itu juga biasa

Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!

Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu!

Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu.

Doakan aku, aku kan berangkat ke medan juang sebagai patriot Bangsa, sebagai martir Bangsa dan sebagai peluru Bangsa yang tak mau diinjak-injak harga dirinya.

Serukan-serukan ke seluruh pelosok negeri bahwa kita akan bersatu untuk melawan kehinaan ini kita akan membalas perlakuan ini dan kita tunjukkan bahwa kita masih memiliki Gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat.

Yoo...ayoo... kita... Ganjang...

Ganjang... Malaysia

Ganjang... Malaysia

Bulatkan tekad

Semangat kita badja

Peluru kita banjak

Njawa kita banjak

Bila perlu satoe-satoe!

Soekarno.

Namun di sebalik itu, tentera kita, Rejimen Askar Melayu Diraja telahpun bersiap sedia. Ramai gerila Indonesia yang ditangkap, menyerah diri. Ada yang kebuluran. Satu kisah benar menyebut, ada antara tentera Indonesia yang menyerah diri kepada orang kampung akhirnya ditemukan dalam satu peristiwa yang menyayat hati. Tentera Indonesia itu dan orang kampung itu mempunyai pertalian darah dan hubungan persaudaraan dari tanah Jawa. Ia berakhir dengan insiden berpeluk-pelukan dan tangisan.

Seorang penulis skrip berbangsa Indonesia bernama Alfian Sikumbang, yang kini menetap di Malaysia sedang menyiapkan skrip berhubung kisah benar ini untuk dijadikan dokumentari. Beliau mahu menggambarkan itulah ciri-ciri serumpun yang tidak boleh dipisahkan antara kedua-dua negara. Kedua-dua negara yang mempunyai hubungan darah yang tidak putus walaupun dicincang dan dipisahkan.

Alfian dan jutaan rakyat Indonesia kini amat bangga berada di tanah Malaysia ini. Ia adalah tanah bertuah yang memberikan segala macam rezeki untuk anak cucu dan saudara mara mereka di seberang sana, serta seantero negara lain sekali pun. Malaysia, yang dulu dibenci oleh Sukarno, kini ialah tanah yang amat aman, makmur dan bertuah.

Namun, dalam realiti di Labis dan Tenang pada Isnin lalu. Konfrontasi antara dua parti yang berlainan haluan sedang berlangsung. Calon Pas, Normala Sudirman (Cikgu Mala) di atas pentas DAP dengan bangga dan bersemangatnya berucap dan menjerit slogan Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!!!

Saya yang menyaksikan ceramah itu terkejut. Selamatkan Malaysia? Mengapa Malaysia yang aman, damai, makmur ini mahu diselamatkan? Apakah itu datangnya suara Pas atau daripada suara nurani DAP? DAP tentunya mahu Malaysia diserahkan kepadanya, bukan?

Pas yang kini dikuasai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjaja slogan itu ke pelosok cerok Tenang. Kereta-kereta yang membawa corong pembesar suara turut melaungkan slogan itu Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!

''Labis masih ketinggalan, mari kita tingkatkan ekonomi kawasan ini dan negara ini. Kita ubah kerajaan yang ada, undilah saya dan sokonglah kami...," katanya yang mendapat tepukan daripada masyarakat Cina di pekan itu ketika menyebut beberapa patah perkataan Mandarin. Cikgu Mala yang saya kira tidak tahu apa yang disebutnya itu terus melaungkan Selamatkan Malaysia beberapa kali.

Sementara itu di satu penjuru lain bandar itu, calon Barisan Nasional (BN) - bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim atau dikenali sebagai Tok Ai di kalangan penduduk dan rakan-rakannya di bandar itu turut meraih undi di kawasan Cina. Sambil menyanyikan lagu Tahun Baru Cina - Gong Xi Gong Xi, beliau mendapat tepukan ramai.

''Saya mempunyai ramai kawan-kawan Cina yang bersekolah dengan saya... saya mengenali mereka secara peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan pekan Cina Labis.

Slogan BN ialah mengenai kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Konfrontasi antara kedua-dua calon itu akan terus memuncak sehingga beberapa hari menjelang hari pengundian Ahad, 30 Januari ini. Jika dilihat atas kertas BN akan terus mempertahankan kerusi DUN itu.

Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah berapa banyak majoriti yang akan diperoleh? Ada yang mahu BN mencatatkan majoriti cemerlang melebihi 5,000 undi dan ada yang sekadar mahu berpuas hati di angka 3,000 sahaja. Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN memperoleh majoriti 5,517 undi, namun ia jatuh kepada 2,492 undi pada 2008.

Sebaliknya, kempen pakatan pembangkang dilihat turut dilakukan secara strategik. Di satu kawasan, markas Pas diletakkan di atas sebuah kedai hiburan karaoke dalam pekan Cina. Bendera-bendera hijau Pas dikibarkan di celah-celah kedai Cina. Anak-anak muda DAP yang bersemangat turut digunakan untuk memeriahkan rapat-rapat umum mereka.

Pendek kata, konfrontasi antara kedua-dua pihak kini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak pengaruh orang Cina yang boleh. Perlu disebut pengundi Cina ialah besar iaitu 39.08 peratus, manakala India 12.07 peratus dan Melayu ialah 47.7 peratus.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini tentunya mempunyai signifikannya dalam petunjuk politik semasa negara. Ia berlaku di Johor, sebuah negeri yang menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

Ayuh, kita tunggu dan lihat sama ada slogan Selamatkan Malaysia itu berjaya disekat oleh orang Labis, sebagaimana gagalnya Ganyang Malaysia, 47 tahun lalu.

Source: Utusan Malaysia Online.

Australia bertemu Jepun final Piala Asia

26/01/2011 2:44am

DOHA, Qatar — Australia membelasah Uzbekistan 6-0 pada perlawanan separuh akhir Piala Asia berlangsung awal pagi ini.

Australia bakal berdepan dengan juara sebanyak tiga kali iaitu Jepun yang telah menewaskan Korea melalui penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tan Sri Dol Ramli meninggal dunia



Tarikh: 2011/01/25

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Tan Sri Dol Ramli, 88, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), 8 malam tadi kerana masalah jantung.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Isnin, 24 Januari 2011

Utusan Melayu Pada 24 Januari 2011

Perjuangan Bangsa Mempertahankan Tulisan Jawi


Source: Utusan Malaysia Online.

Utusan Melayu 24 Januari 2011

Benarkan Datuk Misbun Bekerja Dengan Caranya.



Source: Utusan Malaysia Online.

Musim Gugur Bagi Pokok Pisang Kaki Cameron Highlands

By Idris Talu.


Daun pokok pisang kaki mulai kemerahan di Cameron Highlands.

Puas penulis cari, tidak kelihatan sebiji pun buah pisang kaki di pohonnya.

Buah pisang kaki @ kesemek di Taman Sedia, Tanah Rata, cameron Highlands.

Pisang kaki juga dikenali sebagai kesemek di Indonesia.

Buah pisang kaki di pasaran.


Pokok pisang kaki di Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands.

http://idristalu.blogspot.com/

Sarapan Pagi dan Minum Petang Di Pulau Langkawi

By Idris Ismail Talu.

Sarapan mee goreng dan sayur kacang.

Mee goreng dengan kacang panggang.

Penulis cukup dengan roti panggang serta sedikit keju.

Qasih sudah boleh duduk sendirian, Iris masih berdokong dengan Opahnya.

Iris nak makan apa tu?

ABC - Air batu campur minum petang dekat Laman Helang.

Iris kepenatan - nak tidorlah tu.


http://idristalu.blogspot.com/

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran