TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 5 Ogos 2012

Kaji bayaran hasil petroleum


Nasional, 07:04:03 AM

 

 Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

 Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

 

Ia akan turut dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri masing-masing.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

 

“Ia mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan,” kata Najib dalam satu kenyataan di sini, semalam.

 

Kaji negeri layak

 

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung.

 

“Jawatankuasa Khas juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai itu kepada negeri-negeri berkenaan,” katanya menambah semenjak enam bulan lalu, beberapa perbincangan dalaman diadakan berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas berkenaan.

 

 Selesai secara adil

 

 Najib berkata, dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri di Pantai Timur akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

 

 Katanya, berdasarkan perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

 

 “Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri itu, iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

 

 Tiada pengeluaran petroleum

 

“Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum,” katanya.

 

Najib berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan.

 

Bayaran tunai pada 2009

 

Katanya, walaupun peruntukan perundangan itu adalah jelas, namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri berkenaan.

 

“Keputusan ini berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.

 

“Peruntukan itu telah disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan,” katanya.

 

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

 

Sumber:  Berita MingguMalaysia Online.

 

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran