Wartawan
Sinar Harian
15 Ogos 2012
Ipoh Sentral atau Meru Sentral?
IPOH – Meru Raya bakal berfungsi sebagai sebuah hub animasi
di negeri ini menjelang 2015 selepas enam syarikat animasi beroperasi di Pusat
Perdagangan dan Teknologi Negeri (PTTC).
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid
berkata, kewujudan hub animasi itu diyakini bakal membantu serta menyumbang
kepada pembangunan serta peningkatan bidang teknologi maklumat ICT khususnya di
negeri ini.
Menurutnya, ia juga dilihat tidak mempunyai sebarang masalah
untuk direalisasikan berdasarkan kepada kepesatan pembangunan di kawasan itu.
“Sasaran kita adalah pada 2015, kita sasarkan Meru Raya ini
menjadi satu hub animasi. Jika di Lembah Klang mereka ada Cyberjaya, di sini
entiti kita adalah K-Perak.
“Lagipun di Meru Raya ramai pihak luar dari Kelantan, Johor
dan lain-lain berpindah ke sini. Lokasinya memang strategik dan semua kemudahan
ada di sini, dari segi kos sara hidup yang murah, akses ke lebuh raya yang
berdekatan, berhampiran hentian bas, pasar raya dan sebagainya,” katanya pada
Majlis Memperkenalkan Rangkaian Syarikat Pengeluar Siri Animasi di PTTC di
sini, semalam.
Sementara itu, Mohammad Zahir berharap agar lebih ramai
tenaga pakar animasi khususnya dapat menyertai K-Perak dan seterusnya membantu
merancakkan lagi pertumbuhan industri animasi di negeri ini.
“Kita tahu ada ramai lepasan SPM atau lepasan Universiti
yang berbakat besar dalam bidang ini (animasi). Kami mengalu-alukan mereka
untuk menyertai kami.
“Kami juga turut mengalu-alukan pakar-pakar animasi dari
kalangan golongan bukan bumiputera untuk menyertai kami dan seterusnya membantu
merealisasikan hasrat menjadikan Meru Raya sebagai hub animasi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan