11 Ogos 2012
Pandelela Rinong
SEMASA bakatnya mula dicungkil bekas jurulatih, Pandelela
Rinong yang ketika itu berusia 10 tahun benar-benar berasa gayat apabila perlu
membuat terjunan dari platform setinggi 10 meter.
Namun, Wang Jin Lin yang merupakan jurulatih pertamanya
telah memberi inspirasi kepada Pandelela supaya tidak memikirkan tentang
ketinggian sebaliknya membiasakan diri dengan aksi terjunan tersebut.
"Saya tidak pernah bermimpi meraih kemenangan podium
pada temasya Olimpik. Terjun merupakan sukan yang saya minat dan saya berusaha
berlatih bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita di London, semalam.
Penerjun berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak itu berkata, Jin
Lin kini membimbing penerjun Australia termasuk pemenang pingat perak acara 10m
platform wanita, Brittany Broben.
"Tetapi jurulatih Wang (Jin Lin) tidak berada di sini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau sehingga menjadikan saya
seperti apa yang ada sekarang," katanya.
Dalam acara 10m platform wanita akhir semalam, Pandelela
meraih pingat gangsa selepas mengutip 359.20 mata di belakang pemenang pingat
emas, Chen Ruolin dari China yang mengumpul 422.30 mata dan Broben (366.50).
Pandelela juga muncul satu-satunya atlet wanita menyumbangkan
pingat kepada kontinjen negara pada Olimpik dan penerjun tunggal yang memecah
dominasi pemain badminton menghadiahkan pingat, sejak Malaysia menyertai
temasya itu pada 1956 di Melbourne.
Untuk rekod, lima pingat iaitu tiga perak dan dua gangsa
yang diraih kontinjen Malaysia pada temasya Olimpik adalah melalui acara
badminton.
Pada Olimpik London 2012, Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan
pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.
Pandelela yang kini berlatih di bawah bimbingan jurulatih
dari China, Yang Zhuliang berkata, selepas memenangi emas dalam acara sama pada
Sukan Komanwel 2010 di New Delhi yang mana beliau menumpaskan Broben, dia tidak
pernah bermimpi memenangi pingat pada Olimpik.
"Pada Sukan Komanwel, tiada penerjun China. Sementara
pada Sukan Asia di Guangzhou pada 2010, penerjun Eropah tidak bertanding. Jadi
saya tertanya-tanya di mana kedudukan saya apabila bersaing dengan penerjun
kelas dunia di sini.
"Namun, saya sedar di Olimpik, semua penerjun terbaik
dunia daripada setiap temasya sukan, Kejohanan Dunia atau Piala Dunia berada di
London," katanya.
Pandelela berkata, ketika menjalani latihan di China
beberapa bulan sebelum Sukan Olimpik 2012, beliau menghabiskan masa berlatih
selama lapan jam setiap hari.
"Latihan di China betul-betul berhasil. Jika saya mahu
memperbaiki pencapaian saya di Olimpik, saya memilih berlatih di China kerana
ia memiliki infrastruktur yang baik dan lebih penting jurulatih di sana hanya
melatih dua atau tiga penerjun. Jadi, tumpuan yang lebih boleh diberikan
terhadap anak didik mereka," katanya.
Mengenai perancangannya pada masa depan, Pandelela berkata,
setakat ini, beliau mahu pulang ke tanah air dan menghabiskan masa bersama
keluarga di Sarawak.
"Saya mungkin memberi laluan kepada penerjun muda
beraksi di Sukan SEA 2013 di Myanmar dan memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia
atau Piala Dunia akan datang dan bersedia untuk Sukan Asia 2014 di Incheon,
Korea Selatan," katanya. – Bernama
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan