14/08/2012 - 01:18:53 AM
London: "Terima kasih Malaysia...pingat ini saya kongsi
bersama anda semua, " kata Pandelela Rinong sambil membelek-belek pingat
gangsa miliknya di bawah pancaran matahari di Perkampungan Sukan, pagi semalam.
Gadis berusia 19 tahun itu mencipta bangga 28 juta rakyat
Malaysia apabila bangkit secara dramatik pada terjunan terakhir acara 10 meter
platform individu wanita, kelmarin untuk naik gah ke podium di Pusat Akuatik selaku
penerjun ketiga terbaik dunia ketika ini.
"Saya menghargai sokongan semua pihak untuk saya
berjaya di sini. Selepas ini saya harap sukan terjun akan popular seperti
badminton," katanya yang muncul atlit pertama berjaya memecahkan dominasi
badminton memenangi pingat di Olimpik sejak 1992.
Dia mungkin tidak sedar betapa dia kini wanita pertama
negara memenangi pingat di Sukan Olimpik dan juga bakal menerima pencen bulanan
RM2,000 berkuat kuasa bulan depan. Dia turut meraih insentif RM100,000 dari
kerajaan di atas keringat meletakkan nama Malaysia di peta dunia.
Pada terjunan keempat dia berada di luar kelompok enam
teratas. Ketika itu tiada siapa mempercayai dia mampu kembali kerana penerjun
tersohor yang lain berada depan gadis berasal dari Bau itu - bandar kecil yang
terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Kuching.
Satu terjunan terbaik pada usaha kelima dengan penyudah
kemas mengesahkan gangsa miliknya buat seluruh negara melonjak gembira. Emas
seperti diramal awal dimenangi Chen Roulin dari China yang mengutip 422.30
mata, perak menjadi milik Brittany Broben dari Australia yang berada 55.80 mata
di belakang dengan gangsa diraih Pandelela, 359.20.
Ketika dia menang pingat, ibunya, Hartini Lamin tidak
bersama anaknya kerana sudah dalam penerbangan pulang ke tanah air.
"Saya cuba hubungi ibu saya...dia tak jawab...mungkin
dalam perjalanan," kata jagoan terjun yang layak digelar penerjun kelas
dunia. Ibunya yang dibawa oleh rombongan Dutch Lady pulang awal kerana program
ibu bersama anak itu hanya sehingga pusingan awal saja.
Dia juga menghambur kata-kata terima kasih kepada
jurulatihnya, Yang Zhuliang yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar untuk
tidak mudah putus asa dalam acara ini sekali pun dia melakukan terjunan pertama
yang buruk.
"Saya terlalu ghairah apabila mahu membuat terjunan
pertama dan mungkin hilang tumpuan sikit, Tapi jurulatih berkata lupakan segera
dan tumpu kepada empat terjunan lagi. Dia banyak membantu saya dalam cabaran
kali ini," katanya.
Pandelela juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan
menyokong usaha ditunjukkan jurulatih negara itu yang difahamkan mungkin
kembali melatih di Australia.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan