TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 30 Mac 2010

Biji Bangkong Menyelerakan

Penulis : HARIS FADILAH AHMAD, utusanpahang@utusan.com.my
Sumber: Utusan Malaysia Online.
10 Februari 2010.

JERANTUT 10 Feb. – Pahang sememangnya kaya dengan alam semula jadi terutama hutan hujan khatulistiwa yang berusia jutaan tahun.

Pasti di dalamnya terkumpul pelbagai khazanah alam yang cukup berharga.
Beberapa kawasan hutan hujan popular yang kaya dengan flora dan faunanya ialah Taman Negara di Kuala Tahan dan Hutan Simpan Pengau, Hulu Tembeling yang terletak dalam daerah ini.




Selain kekayaan flora dan fauna, hutan-hutan ini begitu kaya dengan kepelbagaian jenis buah-buahan yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

Kedua-dua hutan ini diibaratkan sebagai sebuah kawasan dusun gergasi yang di dalamnya tertanam pelbagai jenis buahbuahan yang tumbuh secara liar.

Berbanding buah-buahan komersial yang boleh dimakan isinya, kebanyakan buah-buahan hutan pula hanya boleh dimakan pada bahagian bijinya. Ini kerana, bahagian lain pada buah hutan itu berasa pahit, kelat dan sesetengahnya ‘memabukkan.’

Apa yang pasti, buah hutan hanya sesuai dimakan oleh binatang liar yang menjadi sebahagian habitat dan ekosistem hutan berkenaan. Salah satu spesies tumbuhan hutan yang agak menarik untuk dijadikan kajian dan kurang dikenali manusia ialah buah bangkong.

Pokok buah bangkong banyak didapati tumbuh secara liar di hutan tebal Taman Negara, Kuala Tahan dan Hutan Simpan Pengau, Hulu Tembeling. Buah bangkong berbentuk seakan-akan cempedak yang berasal daripada keluarga ‘Moraceae.’

Seorang penduduk Kampung Pengau, Hulu Tembeling, Jurhisam Abd. Wahab, 36, memberitahu, buah bangkong memang sinonim dengan penduduk pedalaman terutama ketika musim tengkujuh jika bekalan makanan terputus.

‘‘Bezanya, jika isi dan biji cempedak boleh dibuat kuih, bahagian buah bangkong hanya boleh dimakan pada bahagian bijinya sahaja.

‘‘Buah ini tidak mempunyai isi seperti cempedak malah mempunyai selaput yang banyak menutupi bijinya,” katanya ketika ditemui di Hutan Pengau baru-baru ini.
Bapa kepada dua anak itu memberitahu, apabila tiba musim tengkujuh dia akan masuk ke hutan mencari pokok bangkong untuk mengambil bijinya.

‘‘Pokok buah bangkong boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. ‘‘Cara mengambil biji bangkong ialah dengan mengetuk pada buahnya dengan kayu supaya bijinya pecah dan terhambur keluar.

‘‘Biji-bijinya saya kutip lalu dibasuh untuk menghilangkan getahnya. Jika getah yang melekat pada biji gagal dihilangkan dengan sempurna, ia dikhuatiri boleh memabukkan jika dimakan,” katanya.

Jurhisam menjelaskan, biji bangkong direbus sehingga masak dan empuk sebelum dihidangkan.

‘‘Ia amat sesuai untuk dimakan bersama keluarga dan jiran ketika bersantai lebih-lebih lagi pada musim banjir,” jelasnya.

Seorang warga emas Kampung Pengau, A. Karim Telut, 84, berkata, biji buah bangkong yang direbus sehingga empuk memang cukup menyelerakan apabila dihidangkan bersama kopi panas.

‘‘Jika musim menuai padi huma, biji buah bangkong menjadi makanan penduduk di sini selepas penat bekerja.

‘‘Lagi pun, biji ini boleh dicampur dengan ikan air tawar Sungai Tembeling untuk dijadikan masak asam pedas tempoyak,” katanya.

Pada era pendudukan Jepun dahulu, kata A. Karim, biji bangkong menjadi sebahagian makanan penduduk Hulu Tembeling yang lari bersembunyi di hutan bagi menghindarkan gangguan tentera dari negara Matahari Terbit itu.

Bagaimanapun, tambahnya, generasi hari ini mungkin tidak mengenali lagi buah bangkong jika bertemu di dalam hutan.

Lebih malang lagi, katanya, pokok buah bangkong semakin pupus akibat penebangan hutan bagi tujuan pembangunan.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm




Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran