11 Ogos 2012
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
IPOH - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha
mengurangkan hutang negara selain membantu rakyat serta melonjakkan ekonomi
negara dalam merangka Bajet 2013.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
berkata hutang negara kini mencapai 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK).
"Kita sedang lihat bagaimana kita nak kurangkan hutang
negara dan kita mempunyai beberapa kaedah yang sedang kita lihat.
"Jika dapat kurangkan hutang bermakna dalam konteks
perbelanjaan tetap melibatkan hutang akan dapat dikurangkan," kata beliau
kepada pemberita selepas program membeli belah bersama anak-anak yatim di
sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan kini dalam proses menggubal Bajet
2013 yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.
"Perbelanjaan pembangunan kita telah tetapkan dalam
Rancangan Malaysia Ke-10. Kita menyediakan sebanyak RM49 bilion. Itu sudah
tetap. Yang kita sedang olah ialah perbelanjaan mengurus," katanya.
Ahmad Husni berkata perbelanjaan mengurus semakin meningkat
kerana melibatkan perbelanjaan tetap seperti pembayaran pencen, emolumen dan
hutang.
"Kita telah mengadakan draf pertama kita (Bajet 2013)
dan kita sedang mengemaskinikannya. Bermakna daripada draf sekarang ini kita
akan terus kemas kini sampai kepada peringkat akhir beberapa hari sebelum
pembentangan bajet.
"Sekarang ini kita sedang tokok tambah input yang kita
peroleh kerana kita mahu Bajet 2013 ini dapat melonjak ekonomi kita di samping
dapat membantu rakyat," katanya.
Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini. – Bernama
Sumber: Sinar Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan