TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 8 Ogos 2012

Nira kelapa tambah pendapatan petani pada bulan Ramadan


26/07/2012

 Foto - Utusan Malaysia

PASIR PUTEH 25 Julai - Kehadiran Ramadan setiap tahun bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadat, malah bulan itu turut dianggap sebagai bulan rahmat yang melimpahkan rezeki.

Seorang petani, Mat Nor Ismail, 64, dari Kampung Gong Kulim, dekat sini yang memegang falsafah itu menguatkan kudratnya terus menjalankan kerja memotong mayang kelapa untuk membekalkan nira manis sebagai juadah berbuka puasa kepada pelanggannya sebagaimana dilakukannya setiap tahun.

Katanya, usia yang lanjut serta menahan lapar dan dahaga sepanjang hari bukan penghalang kepadanya untuk melakukan kerja memanjat dan menyandat mayang kelapa bagi memenuhi permintaan orang ramai.

"Segalanya sudah sebati dalam kehidupan. Saya masih memiliki kekuatan untuk melakukannya kerana pekerjaan ini adalah sumber pendapatan harian, apatah lagi permintaan nira kelapa semakin tinggi menjelang bulan Ramadan.

"Permintaan akan terus meningkat selepas ini apabila ramai anak rantau kembali ke kampung halaman tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati minuman tradisonal ini," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kulim, dekat sini hari ini.

Mat Nor berkata, sepanjang bulan puasa lalu permintaan terhadap nira kelapa yang diusahakannya memberi pendapatan yang lumayan sehingga mencecah RM3,000 bagi tempoh sebulan.

Katanya, pendapatan yang lazim diperolehinya hanya dalam lingkungan RM1,000 sebulan yang dijualnya kepada pembeli tetap terutama dalam kalangan pengusaha restoran di pusat bandar dan pengusaha gerai minuman tempatan.

"Kerja ini saya lakukan sejak 30 tahun lalu dan ia menjadi punca rezeki yang mampu menyara hidup keluarga. Lazimnya lebih 30 pokok kelapa akan dipanjat pada sebelah pagi dan petang setiap hari.

"Kerja seperti ini pastinya tidak akan dilakukan oleh generasi muda kerana kebanyakannya malu digelar sebagai 'penyandat kelapa' dan warisan tradisional ini akan pupus sekiranya sebilangan warga tua yang mahir memanjat pokok kelapa dan memproses nira sudah hilang kudrat untuk melakukannya," tambahnya.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran