05 Ogos 2012
Remaja mengedarkan air botol untuk berbuka di Masjidil Haram, Mekah.
Foto - Mingguan Malaysia.
GAMBAR seorang remaja mengedarkan air botol ini, Awang
rakamkan di pekarangan Masjidil Haram, Mekah beberapa hari lalu. Dia di antara
ramai lagi yang melakukan kerja-kerja amal termasuk membantu menyediakan juadah
untuk berbuka puasa kepada ratusan ribu jemaah.
Bagi kalangan remaja itu, mereka hanya memikirkan
bagaimana mahu memanfaatkan kesucian Ramadan. Sekarang di Mekah dan Madinah,
dibanjiri umat Islam. Makin dekat 10 hari terakhir Ramadan, makin sesak dan
padat seakan-akan suasana ketika musim haji.
Peluang untuk melipatgandakan ibadat diambil sepenuhnya
termasuk oleh penduduk tempatan di Arab Saudi. Di masjid-masjid luar Mekah dan
Madinah juga penuh jemaah sehingga habis solat tarawih. Lain pula di Malaysia.
Sepuluh hari pertama, ramai jemaah solat di masjid, namun seperti biasa, makin
dekat Syawal makin kurang jemaah.
Rupa-rupanya ramai yang sibuk hal lain termasuk di pusat
beli-belah untuk persiapan sambut hari raya. Menurut Sheikh Halim Al Katiri,
rakyat Malaysia yang kini bermastautin di Arab Saudi, bagi masyarakat di sana,
persiapan besar adalah untuk Ramadan terutama dalam mencari Lailatul Qadar.
Maka hal-hal berkaitan baju raya dan kuih raya, bukanlah
tuntutan utama apatah lagi perbelanjaan berlebihan dan membazir. Awang setuju.
Pengisian Ramadan adalah lebih penting daripada soal luaran. Ini semua ada
kaitan dengan soal nilai dan budaya Melayu yang perlu dibetulkan. Bersediakah
kita?
Analisis Mingguan, Bisik-Bisik Awang Selamat.
Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan