LONDON - Kontinjen Malaysia sekurang-kurangnya boleh menarik
nafas lega selepas Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke perlawanan akhir
acara badminton perseorangan lelaki di Arena Wembley, semalam sekali gus
menjamin pingat perak dalam genggaman.
Kini Chong Wei hanya selangkah sahaja lagi untuk meraih
pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan negara ke Sukan Olimpik.
Chong Wei akan bertarung pada penentuan emas Ahad ini
menentang musuh ketatnya dari China, Lin Dan yang mengalahkan pemain Korea Selatan,
Lee Hyun-Il 21-12, 21-10 pada separuh akhir semalam.
Kemenangan 21-13, 21-14 ke atas pemain muda China, Chen Long
itu turut meletakkan noktah terhadap teka -teki tentang tahap kecergasan jaguh
negara itu selepas lebih dua bulan tanpa kejohanan kompetitif ekoran kecederaan
buku lali semasa beraksi dalam Piala Thomas tahun ini.
Dalam tempoh 51 minit beraksi, Chong Wei jelas mendapat
semula rentak permainan sebenarnya walaupun lawan dikenali dengan corak
permainan pantas dan agresif.
Hari ini (semalam) saya hanya
fikir untuk menamatkan saingan dia (Chen Long). Saya anggap ini sebagai
perlawanan terakhir dan saya tampil memberikan yang terbaik.
Perancangan saya berkesan dan
saya pun tidak sangka boleh beraksi dengan baik hari ini (semalam)," katanya
Chong Wei.
Set pertama menyaksikan Chong Wei selesa mendahului 7-0
menyebabkan lawannya agak tertekan dan banyak melakukan kesilapan sehingga
memberi mata mudah buat pemain negara.
Menurut Chong Wei, 11 mata pertama pada perlawanan tersebut
sangat penting dan dia berjaya melakukan seperti apa yang dirancang oleh
jurulatih sebelum perlawanan tersebut bermula.
Saya anggap 11 mata pertama amat
penting kerana ia berjaya mematikan rentak Chen Long. Bukan mudah untuk
menjinakkan dia (Chen Long) kerana dia seorang pemain yang agak tenang dalam
gelanggang. Saya cuba bermain lebih tenang untuk mengawal permainan dan taktik
tersebut cukup berkesan. Saya berjaya mematikan fokus dia sejak set pertama
lagi," jelas Chong Wei.
Sementara itu, jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock berkata,
anak buahnya itu berjaya mengawal permainan seperti yang dirancang.
Kami mahu dia (Chong Wei)
mempelbagaikan rentak permainan antara laju dan perlahan yang akhirnya berjaya
memerangkap Chen Long yang agak keliru dengan corak permainan lawannya itu.
Untuk perlawanan akhir nanti, Chong Wei akan diberi penekanan terhadap fokus
permainan sepertimana yang dilakukannhya terhadap Chen Long," kata Seu
Bock.
Dalam pada itu, ketua jurulatih, Rashid Sidek berkata,
tumpuan selepas ini ialah mengasahkan lagi kemampuan Chong Wei yang juga
pemenang pingat perak Temasya Beijing 2008.
Dia hanya selangkah lagi dan
kami mesti bekerja keras untuk memastikan dia semakin baik selepas ini. Saya
percaya dia boleh melakukannya," kata Rashid yang juga pemenang pingat
gangsa pada Sukan Olimpik Atlanta 1996. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan