TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 15 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012


إدريس تالو
Idris Talu

Sempena hari Guru Tahun 2012, penulis mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru walau di mana juga mereka berada, tidak lupa kepada guru-guru yang telah mendidik dan mengajar penulis dari mula mengenal huruf-huruf dan angka-angka, sehingga ke keadaan penulis sekarang ini.

Sekolah Kebangsaan Gua Badak, Lenggong:

Antara guru-guru yang penulis masih ingati ialah cikgu Dato’ Umar Haji Ismail, cikgu Meor Hamzah, ustaz kami yang penulis hanya ingat nama panggilan iaitu ustaz Matdin dari Kampung Gelok. Sekolah ini telah tiada lagi. Anak-anak dari Gua Badak kalau nak bersekolah kena ke Gelok atau Sumpitan atau terus ke Lenggong. Penulis melalui pembelajaran asas darjah satu hingga darjah empat di sekolah ini.

Semasa di darjah empat, penulis menduduki peperiksaan khas di Sekolah Bukit Balai Lenggong (di depan padang Lenggong sekarang – sekolah ini pun telah berpindah lokasinya). Penulis berjaya dalam peperiksaan tersebut dan memasuki “kelas peralihan” di Sekolah Rendah Clifford di Kuala Kangsar. Namun begitu, kerana pelbagai masalah, terutamanya dari segi kewangan, penulis terpaksa melupakan peluang belajar di sekolah aliran bahasa Inggeris itu.

Sekolah Kebangsaan Gelok, Lenggong:


Logo Sekolah Kebangsaan Gelok, Lenggong, Perak.

Selepas keluar dari Sekolah Kebangsaan Cliffod, Kuala Kangsar, penulis kembali ke Lenggong. Oleh kerana sudah berusia dua belas tahun, penulis terus diletakkan di darjah enam. Guru darjah enam penulis di sekolah ini ialah cikgu Dato’ Talha Haji Ismail. Guru besarnya ialah cikgu Hanapiah.

Di sekolah ini penulis menduduki peperiksaan darjah enam untuk membolehkan masuk ke tingkatan satu di Government English School di Kampung Sira, Lenggong. Alhamdulillah, walau pun tanpa bersekolah di darjah lima, terus ke darjah enam, penulis lulus peperiksaan untuk ke sekolah menengah.

Sekolah Mengah Dato Ahmad, Lenggong

Penulis belajar di Government English School di Kampung Sira, Lenggong hanya selama satu tahun sahaja. Selepas itu penulis berpindah ke Sekolah Menengah Dato Ahmad yang terletak di laluan jalan Lenggong ~ Kuala Kangsar, berhampiran bukit tangki simpanan air, Lenggong.

 GES bertukar nama menjadi Sekolah Kebangsaan Bukit Balai, di Kampung Sira, Lenggong

 Foto - ihsan cikgu Salleh Ismail.

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad, Lenggong (sekarang)

Di sekolah menengah ini, penulis memperolehi Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Tempoh masa penulis belajar di sekolah ini ialah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, iatu dari tahun 1964 hingga tahun 1968.

 Logo Sekolah Menengah Dato' Ahmad Lenggong, diambil dari majalah sekolah.

Sekolah Menengah Dato' Ahmad Lenggong -
Penulis di tingkatan tiga - 1966.


Sekolah Menengah Dato' Ahmad Lenggong - 
Penulis di tingkatan empat - 1967.


Sekolah Menengah Dato' Ahmad Lenggong -
Di tingkatan lima - bersama guru kelas, cikgu Idris Abd Majid.

 Semasa penulis di tingkatan lima  di Sekolah Menengah Dato' Ahmad Lenggong (1968).

Di sekolah ini penulis diajar oleh ramai guru, antaranya ialah cikgu Mohd Yusof bin Mohd Nor, guru agama, ustaz Tajul Ariffin bin Abdul Hamid, cikgu Datin Halimah , Allahyarham Dato’ Meor Aris bin Meor Abu Bakar, cikgu Idris Abdul Majid, cikgu Mohammad bin Yaakob, cikgu Ramli Panjang Ahmad, cikgu Amin Nordin bin A. Rahman, cikgu Ainul Zaharah bt Abdul Rahman, cikgu Noor Azman bin Shamsuddin, cikgu Busu Piah bin Ahmad, cikgu Shamsuddin bin Yan, cikgu Ayob bin Sulaiman, dan beberapa cikgu lagi yang penulis terlupa namanya.

Selamat hari guru, terima kasih yang tidak terhingganya kepada semua guru, baik yang formal mahu pun tidak formal, yang tertulis mahu pun  yang tidak tertulis namanya. Kerana merekalah, penulis mampu memperolehi ilmu dan kembali menyebarkan ilmu sedaya mungkin kepada mereka yang memerlukan ilmu.



Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran