TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 19 Mei 2012

MSC Malaysia lepasi RM30b

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN, bisnes@utusan.com.my
ARKIB : 16/05/2012

KUALA LUMPUR 15 Mei - Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia) mencatatkan prestasi terbaik pada 2011 apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM31.7 bilion, kenaikan 16 peratus berbanding 2010.

Eksportnya berkembang kepada RM10.12 bilion, mewakili kenaikan sebanyak 9.0 peratus. Prestasi itu sekali gus mencatatkan pertumbuhan kukuh dan melepasi sasarannya.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam kenyataannya berkata, sumbangan MSC Malaysia kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM9.6 bilion berbanding sasaran RM8.7 bilion.

Menurut kenyataan itu, ia merupakan kenaikan 25 peratus berbanding 2010 dan menyaksikan kewujudan sejumlah 7,602 pekerjaan, berbanding sasaran 5,464 yang mewakili pertumbuhan sebanyak 7.0 peratus.

Dengan jumlah itu, MSC Malaysia telah mewujudkan sejumlah 119,138 pekerjaan sejak 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, prestasi 2011 adalah pertumbuhan terbaik sejak krisis kewangan 2008.

‘‘MSC telah membuat pencapaian terbaik dan pendapatan kami melepasi RM30 bilion, ia rekod tertinggi kami.

‘‘Dalam sumbangan kepada KDNK, MSC Malaysia telah menyumbang 1.12 peratus kepada KDNK negara," katanya dalam kenyataan tersebut.

Badlisham berkata, mengikut pecahan, Kluster The Infotech mencatatkan hampir separuh pendapatan dengan jumlah RM15.4 bilion, manakala Kluster Perkhidmatan Perkongsian dan Kluster Penyumberan Luar pula RM9.1 bilion.
Pendapatan Kluster Multimedia Kreatif pula RM6.1 bilion dan Institut Pendidikan Tinggi dan Inkubator RM1.1 bilion.

Kemasukan pelaburan di MSC Malaysia juga menyaksikan pertumbuhan signifikan dengan RM2.5 bilion, mewakili kenaikan 69.2 peratus.

Dalam aspek pengagihan, 63 peratus adalah melalui Pelaburan Langsung Domestik, manakala bakinya Pelaburan Langsung Asing.

Mengulas mengenainya, Badlisham berkata, prestasi itu dipacu oleh kombinasi tarikan MSC Malaysia sebagai destinasi Penyumberan luar Proses Pengetahuan (KPO) dan syarikat-syarikat MSC yang semakin matang.

‘‘Kebanyakan syarikat-syarikat MSC Malaysia telah berkembang dan kami menjangkakan trend ini berterusan pada masa depan,’’ ujar beliau.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran