TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 9 Mei 2012

Raja kita selamat bertakhta


2012/05/06


 Pameran Raja Kita di Istana Negara lama pamer titik mula Institusi Raja Berperlembagaan

ANDAI ditanya, ramai mampu mengenali dan menyebut dengan tepat nama Yang di-Pertuan Agong merangkap Ketua Negara yang baru menaiki takhta. Apatah pula, episod pertabalan Baginda masih segar dalam ingatan rakyat jelata apabila dilangsungkan dalam majlis gilang gemilang di Istana Negara Baru, Jalan Duta, 11 April lalu.

Bagi pelajar sekolah khususnya, mereka wajib mengenali susur galur sejarah termasuk Tanah Melayu dan kewujudan Institusi Raja Berperlembagaan selepas kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah sebelum ini hanya subjek teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar namun tidak wajib lulus. Itu pengetahuan pada dasarnya saja, namun persoalan utama yang menjadi polemik dan perlu dibincangkan masyarakat hari ini ialah bilakah bermulanya titik penubuhan Institusi Raja Perlembagaan?

Baru-baru ini, RONA berpeluang menelusuri Pameran Raja Kita yang diadakan selama dua bulan bermula 16 April lalu, anjuran bersama Jabatan Muzium Malaysia dan Bahagian Pendaftaran, Istana Negara Lama.

Objektif pameran adalah menjelaskan peranan dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita, memperkenalkan Baginda dan Raja Permaisuri Agong kepada rakyat jelata, memaparkan kepentingan institusi dan mempertahankan kegemilangan serta kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, masyarakat hari ini semakin kurang pengetahuan membabitkan Institusi Perlembagaan Raja-Raja Melayu sekali gus membuatkan generasi hari ini semakin buta sejarah.

Kurang berminat, enggan menelusuri sejarah akar umbi tinggalan warisan nenek moyang, terlampau membuka minda terhadap pembangunan pesat negara dan kelantangan bersuara meminta hak masing-masing menyebabkan sejarah Kesultanan Melayu seolah-olah 'tenggelam' dan 'terbenam' di bawah arus pemodenan semasa.

Namun, adakah masyarakat sedar bilakah institusi Raja Berperlembagaan di negara kita bermula?

Ibrahim berkata, sejarah kesultanan Melayu di Malaysia bermula daripada Kerajaan Langkasuka purba dan Kerajaan Melayu Melaka, diikuti penubuhan Majlis Raja-Raja oleh British bagi menyatukan beberapa buah negeri menjadi negeri Melayu Bersekutu pada 1 Julai 1896. Manakala institusi Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan hanya selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Institusi Raja Berperlembagaan adalah institusi tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia, selari dengan Demokrasi Berparlimen. Manakala institusi Yang di-Pertuan Agong menduduki tangga teratas carta hierarki kuasa pemerintahan Persekutuan Malaysia serta mempunyai kedudukan istimewa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dijalankan melalui undian sulit oleh sembilan Raja-Raja Melayu yang memerintah di sembilan negeri Persekutuan iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Ini menjadikan baginda sebagai individu berkedudukan terutama dalam Malaysia, diikuti Raja Permaisuri Agong, Raja-raja Negeri dan Yang Dipertua empat negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemubual Rona, baru-baru ini.

Jelasnya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan Baginda adalah lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran serta kemuliaan negara.

“Setiap Raja layak bergelar Yang di-Pertuan Agong namun ada beberapa syarat yang tidak melayakkan seorang Raja ditabalkan sebagai Ketua Negara iaitu belum dewasa, tidak berhasrat menjadi Yang di-Pertuan Agong, dan lain-lain berkaitan tatacara dan urusan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila Raja ditawarkan jawatan tertinggi itu menerima tawaran, maka Majlis Raja-Raja akan mengisytiharkan Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada dua Dewan Parlimen iaitu Dewan Negara serta Dewan Rakyat,” kata Ibrahim lagi.

Jelasnya, dalam menjalankan bidang tugas, Baginda dikehendaki menurut nasihat Jemaah Menteri namun, tidak boleh dipecat daripada jawatan. Jemaah Menteri dan Parlimen tiada kuasa memecat baginda sebaliknya, kuasa memecat terletak pada Majlis Raja-Raja dengan kelulusan sekurang-kurangnya lima ahli Majlis menyokong keputusan undian berkenaan.

Semasa pelantikan pertabalan, Baginda dikehendaki angkat sumpah masa pelantikan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja di hadapan Ketua Hakim Negara. Antara ikrar Baginda adalah berjanji taat setia, memelihara kesucian Agama Islam, menjalankan tugas menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang.

Sementara itu, Baginda mempunyai bidang kuasa keagamaan sebagai Ketua Agama Islam tertakluk di negeri baginda sendiri, Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Manakala, bidang tugas sebagai ketua agama di negeri lain tertakluk kepada Sultan yang memerintah.

Apabila sesuatu perbuatan, amalan, upacara dipersetujui Majlis Raja-Raja supaya dilanjutkan ke seluruh Persekutuan maka, ketua agama Islam di negeri lain hendaklah membenarkan baginda mewakili mereka.

Malah, Baginda memiliki keistimewaan perkenan Rang Undang-Undang, selepas melalui proses pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Mengikut Perkara 66, Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1994, kedudukan Baginda untuk diguna pakai dalam masa 30 hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada Baginda memperkenankan Rang Undang-Undang itu dicapkan dengan Mohor Besar.

Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara sama seolah-olah Baginda sudah memperkenankannya.

Antara lain bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong iaitu memanggil Parlimen bersidang dari semasa ke semasa namun, hendaklah jarak bersidang lebih enam bulan, berkuasa memberhenti dan membubarkan parlimen melainkan jika dibubar terlebih dulu maka Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun daripada tarikh mesyuarat pertama dan dibubarkan selepas itu.

Malah, Baginda bertanggungjawab melantik Perdana Menteri, pentadbiran dan pelantikan iaitu kuasa pentadbiran tertakluk kepada Undang-Undang persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan dan boleh dijalankan baginda sendiri, Jemaah menteri atau Parlimen memberi kuasa pentadbiran kepada orang lain.

Individu dihukum boleh memohon keampunan Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah terakhir dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada tiga ahli yang dilantik baginda sendiri iaitu Peguam Negara atau wakilnya, dan Menteri yang bertanggungjawab atas Wilayah Persekutuan.

Baginda juga berkuasa mengampun, menangguh dan meringankan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Syariah Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Sebagai pemerintah Tertinggi seluruh Angkatan Tentera Malaysia, Baginda berhak mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri sekiranya berpuas hati ada darurat yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara kita.

“Ada juga sekatan terhadap bidang kuasa baginda iaitu baginda menjalankan tugas raja di negerinya, kecuali tugas Ketua Agama Islam, memegang jawatan yang ada bayaran sara, mengambil bahagian dalam perniagaan, menerima bayaran yang boleh dibayar atau berhak kepadanya selaku Raja di negerinya dan dengan tidak persetujuan Majlis Raja-Raja tidak boleh meninggalkan Persekutuan lebih daripada 15 hari kecuali atas urusan negara ke suatu negeri lain.

“Raja diumpamakan pohon dan rakyat adalah akarnya. Tanpa rakyat, tiadalah Raja. Konsep Raja diibaratkan sebagai payung untuk rakyat berteduh dan asas atau tonggak kedaulatan Raja. Antara ciri yang perlu ada pada rakyat adalah tingkah laku mulia, mematuhi perintah Raja dan memohon keampunan Tuhan.

“Tugas Raja adalah memimpin rakyat, melindungi mereka, dan menjaga kebajikan masyarakat. Jika tiada negara akan huru hara dan kucar kacir. Antara ciri yang perlu ada pada Raja adalah pengasih, pemurah, berani dan boleh memberikan keputusan muktamad. Malah, kewajipan Raja adalah melindungi kedudukan orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak serta menjaga kepentingan sah bagi kaum lain,” kata Ibrahim lagi sambil mengharapkan generasi muda meluangkan masa menjenguk dan menghayati pameran dengan kemasukan percuma itu.

Jelasnya, Baginda juga berhak mengeluarkan perintah kepada suruhanjaya berkenaan supaya diadakan hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak mengikut kadar ditetapkan Baginda, sesuai dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, keistimewaan pelajaran dan kemudahan khas yang ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, rakyat jelata seharusnya memahami malah menyelami Institusi Raja Berperlembagaan di negara kita.



Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran