TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 7 Mei 2012

Pusat Pelancongan Islam –ITC- semarakkan kegiatan pelancongan Islam


08 Mei 2012.

 Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

KANGAR 7 Mei - Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan menyemarakkan kegiatan pelancongan Islam sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang banyak menawarkan produk dan lokasi pelancongan yang boleh memikat kehadiran pelancong dari seluruh dunia.

Ketua Pengarah ITC, Abdul Rahman Shaari berkata, usaha memperkenalkan Malaysia kepada dunia akan dijalankan secara berterusan dan para pengusaha pelancongan dalam negara juga akan didedahkan dengan peluang-peluang dalam industri pelancongan Islam.


 
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, pada masa ini Brunei dan Uzbekistan adalah antara negara yang turut berminat untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam industri pelancongan Islam.

Abdul Rahman berkata, beliau yang menyertai delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis dalam lawatan kerja ke England, Sepanyol dan Qatar pada akhir bulan lalu dan awal bulan ini mengambil kesempatan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam di negara-negara berkenaan.

Beliau menyifatkan lawatan kerja yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu memberi impak yang berkesan kepada industri pelancongan Islam negara.

Ini kerana, delegasi itu bukan sekadar mengadakan kegiatan bertemu para pemimpin dan komuniti Islam tetapi turut memperkenalkan negara ini termasuk melalui promosi masakan Perlis di London dan Doha.

Menurutnya, ITC yang diwujudkan pada 2009 di bawah Kementerian Pelancongan telah menjalankan pelbagai kegiatan bagi memperkembangkan kegiatan industri pelancongan termasuk menyediakan pelan strategik jangka panjang pelancongan Islam sehingga 2020.


Masjid Al Muttaqin, Taman Meru Ipoh.


Selain itu, ITC juga akan mengadakan seminar serantau mengenai pelancongan Islam selama dua hari di Perlis pada Jun ini membabitkan penyertaan para pengusaha pelancongan dari Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Para peserta akan didedahkan dengan ruang dan peluang bagi menjejak industri pelancongan Islam yang boleh dibangunkan sebagai produk baru sektor pelancongan.

Abdul Rahman percaya industri pelancongan Islam mampu berkembang pesat dan ia merupakan cabaran baru bagi para pengusaha industri pelancongan terutama membangunkan produk yang selari dengan syariah.

"Malaysia mempunyai produk pelancongan Islam yang banyak dan ia perlu dibangunkan secara kreatif kerana sasaran pelancong bukan hanya sekadar untuk umat Islam tetapi di kalangan pelancong bukan Islam," kata Abdul Rahman.

Sebagai contoh, inap desa, keindahan masjid dan budaya masyarakat adalah antara yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan Islam yang boleh memikat para pelancong terutama pelancong asing. – BERNAMA

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran