TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 27 Mei 2012

‘Terima kasih PM peluang masuk UiTM'


Oleh Mohd Idris Sulaiman, bhnews@bharian.com.my

2012/05/27

 NUR ZAKIAH memeluk ibunya, Salmah Ali Sahab sebagai tanda gembira kerana menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Program MDAB bantu pelajar miskin ke IPTA

SERI ISKANDAR: “Terima kasih PM (Perdana Menteri), ” kata Nur Zakiah Jamaluddin, 18, yang berpeluang mengikuti pengajian Pra-Universiti Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.

Nur Zakiah, anak pemandu lori menzahirkan kegembiraan itu kerana dapat belajar di UiTM Kampus Seri Iskandar secara percuma sekali gus memenuhi impian belajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Program yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Razak itu berjaya memberi kesempatan kepadanya dan penuntut lain khususnya dari keluarga berpendapatan rendah memasuki universiti.

Nur Zakiah berkata, sebelum ini beliau telah ditawarkan ke kolej swasta, namun terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan sara hidup ketika pengajian.

“Dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu, saya tidak mendapat sebarang A, justeru program UiTM medan terbaik saya menebus kekecewaan lalu,” katanya kepada Berita Minggu pada majlis penyerahan surat tawaran program MDAB di UiTM Perak kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria.

Program MDAB itu usaha sama Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) untuk memberi ruang kepada Bumiputera kurang berkemampuan menimba ilmu di peringkat tertinggi.

Nur Fatihaizma Sabaruddin, 18, berkata program MDAB mengubat kekecewaan untuk meneruskan pengajian kerana gagal mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM tahun lalu.

“Sebelum ini, saya rasa agak sedih dan terkilan kerana tidak mendapat sebarang tawaran belajar ke mana-mana tempat.

“Dengan adanya program seumpama ini memberi peluang kepada saya membuktikan saya juga mampu berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mahu membanggakan keluarga dan mengubah nasib keluarga yang berkorban untuk saya. Terima kasih terutama kepada PM kerana mengilhamkan program seumpama ini, " katanya.


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran