TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 27 Mei 2012

Tony Fernandes pindah ke Jakarta


Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA, saharudin.musthafa@utusan.com.my

JAKARTA 26 Mei - Dalam usaha meluaskan operasi perniagaan AirAsia di peringkat Asia khususnya di Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes akan berpindah ke kotaraya ini.

Usahawan ternama Malaysia yang mengasaskan syarikat penerbangan tambang rendah itu dijangka ke ibu negara Indonesia ini dalam tempoh dua minggu akan datang.

Tokoh korporat itu bertanggungjawab melonjakkan populariti AirAsia ke peringkat global bermula dengan dua buah pesawat dan kini meningkat kepada 110 buah pesawat dalam tempoh sedekad mengambil alih kedudukan Penerbangan Malaysia (MAS).

Syarikat penerbangan itu juga akan membuka sebuah pejabat serantau di Jakarta sementara Malaysia akan terus kekal sebagai ibu pejabat AirAsia.

Hasrat Tony untuk berpindah ke kotaraya metropolitan ini dilaporkan dalam akhbar The Jakarta Post hari ini.

AirAsia melalui perkembangan yang menakjubkan dalam industri penerbangan bermula dengan laluan domestik sebelum merentasi negara-negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan terbaru ke Filipina dan Jepun.

Pada masa depan, Tony berhasrat untuk mewujudkan kerjasama konsep penerbangan yang serupa dengan rakan perniagaan di Korea Selatan, Vietnam dan negara-negara di Timur Tengah.

"Saya telah banyak terikat dengan operasi di Malaysia," kata Tony kepada wartawan di Toulouse, selatan Perancis di mana beliau menerima pesawat ke-100 Airbus SAS A320.

Kata Tony lagi: "Saya juga perlu melihat pasaran Jepun dan Indonesia".

Menurut Tony, bakal menyertai beliau ke pejabat serantau di Jakarta kelak ialah 20 kakitangan dari ibu pejabat AirAsia di Kuala Lumpur untuk membantu mengendalikan strategi pemasaran serantau.

Syarikat penerbangan AirAsia juga kata Tony, telah membuat tempahan sebanyak 200 buah pesawat A320 neo sebagai persediaan untuk usaha meluaskan lagi laluan penerbangan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan melakukan tambahan tempahan pesawat Airbus single-aisle.

Akhbar itu turut melaporkan, keputusan Tony untuk berpindah dibuat susulan daripada keputusan Khazanah Nasional Bhd. yang mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd. setelah gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu.

Sebelum ini, pada Julai tahun lalu, Tony pernah memberi kenyataan kepada media Indonesia bahawa AirAsia bakal memindahkan ibu pejabatnya bagi kawasan serantau dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

Ia terkandung dalam strategi terbaru syarikat penerbangan itu untuk memperluaskan dan memperkukuhkan kedudukan AirAsia di rantau ini.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan kemudiannya menafikan laporan tersebut dengan memberitahu ibu pejabat syarikat penerbangan itu akan terus berlokasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang. – MINGGUAN

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran