TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 10 Mei 2012

Yang Di Pertuan Agong kunjung muhibah Sultan Brunei


2012/05/10

BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berangkat ke majlis kunjungan muhibah terhadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di pekarangan istana itu pada kira-kira jam 11 pagi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara berkumandang pada majlis sambutan rasmi selain disertakan tembakan 21 das meriam, sebelum Seri Paduka memeriksa perbarisan kawalan kehormatan bersama Sultan Brunei.

Seri Paduka berdua juga disembahkan kalungan bunga oleh anakanda Sultan Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, sebelum memasuki Istana Nurul Iman untuk kunjungan muhibah.

Seri Paduka turut disembah kenalkan Speaker Majlis Mesyuarat Negara Brunei, para menteri dan timbalan menteri Brunei.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri berada di Brunei selama tiga hari untuk lawatan rasmi.

Lawatan Tuanku Abdul Halim merupakan lawatan pertama Seri Paduka ke luar negara selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April lalu.

Pada jam 2.40 petang ini, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Balai Pameran Islam Sultan Hassanal Bolkiah di Jabatan Mufti Kerajaan, di sini dan ke Royal Regalia untuk melawat bangunan alat-alat kebesaran diraja Brunei.

Pada jam 8 malam, Seri Paduka dan Raja Permaisuri berangkat ke Istana Darul Hana untuk majlis Santapan Negara dengan Sultan Brunei.

Pada Jumaat, Seri Paduka akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek 'Asr Hassanil Bolkiah di sini bersama Sultan dan rakyat Brunei pada jam 12 tengah hari.

Seri Paduka berdua akan berangkat pulang ke Malaysia pada jam 3.50 petang esok. - BERNAMA


Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran