TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 18 Mei 2014

Usahawan tekat benang emas



ARKIB : 09/02/2012

Ditulis oleh - Oleh HASHIM P. MAMAT

utusanutara@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 8 Feb. – Sungguhpun pepatah Melayu mengatakan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, jarang ada anak yang mahu mewarisi kerjaya yang diusahakan oleh ibu bapa kerana setiap orang mempunyai cita-citanya sendiri.


Namun, seorang pengusaha kraf seni tekat benang emas di sini, Mardziah Abu Kasim, 41, mewarisi kemahiran membuat tekat daripada dua generasi sebelumnya iaitu ibunya, Azizah Yusuf, 74, dan neneknya, Mahyah Majid, 99.


Menurut Mardziah, ibunya yang diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Andi Guru mewarisi kemahiran tersebut daripada Mahyah yang mengusahakan tekat benang emas tradisional sebelum ini.


Saya tidak perlu mencari tempat untuk belajar kerana emak dan nenek merupakan institusi pendidikan yang lengkap dengan prasarana termasuk latihan secara teori dan praktikalnya sekali.


“Sebenarnya, saya tidak pernah mendapat bimbingan secara khusus bidang tekad benang emas ini, tetapi sejak kecil lagi sudah menceburinya, apa yang ibu buat saya buat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.


Menurut Mardziah, sebaik menamatkan pengajian di peringkat menengah, dia terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membantu ibunya menyiapkan tempahan tekat atau untuk dijual.


“Saya juga selalu mengikut emak menyertai promosi dan pameran kraf tangan yang diadakan di seluruh negara,” tambahnya.


Anak kelapan daripada sembilan adik beradik itu kini membuka perniagaan barangan tekatnya sendiri melalui syarikat Gesamas Sdn. Bhd.


Mardziah yang merupakan pengarah urusan di syarikat tersebut berkata, kerjaya di bidang itu membolehkannya berjumpa dengan pelbagai status individu, termasuk dalam kalangan kerabat diraja, menteri, ahli korporat yang menjadi pelanggannya.


“Kadang-kadang ‘tak menang tangan’ untuk menyiapkan tempahan, terutama sekali ketika musim perkahwinan dan kenduri atau majlis lain yang memerlukan tekat benang emas sebagai hiasan dalaman atau luar.


“Biasanya pada musim itu, saya menggunakan tenaga pekerja antara 15 dan 30 orang lepasan kraf tangan yang mahir dengan tekad benang emas untuk membantu saya dan mereka melakukan kerja dari rumah masing-masing,” katanya.


Bercerita tentang kraf tekat benang emas yang diusahakannya, Marziah berkata, pelanggan boleh memilih barangan tekat buatan mesin atau tangan yang harganya lebih mahal.


“Antara barangan tekat yang terdapat di kedai saya termasuk tudung saji, tepak sirih, cadar, bantal atau sarungnya, tilam sila, kusyen dan kipas,” jelasnya.


Katanya, sebagai generasi ketiga yang mengusahakan tekat benang emas dalam keluarganya, dia mengakui seni kraf itu tidak akan pupus kerana masih ramai meminatinya, di samping usaha kerajaan mempromosikannya.


Mardziah berkata, sebagai generasi ketiga mengusahakan tekat benang emas di dalam keluarganya, dia berazam untuk memastikan legasi tersebut akan diteruskan oleh anak-anaknya kelak.


Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm#ixzz325W2ViSc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran