TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 9 Februari 2012

Rekod Dagangan Malaysia Mencecah RM1.3 Trilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee, shantynur@hmetro.com.my

NILAI dagangan Malaysia terus mencatatkan prestasi kukuh tahun lalu dengan rekod dagangan mencecah RM1.3 trilion, meningkat 8.7 peratus berbanding RM1.168 trilion pada 2010.

Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Foto sumber: MATRADE

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun pertumbuhan perdagangan tahun ini (2012) diunjur berkembang antara lima hingga enam peratus susulan pemulihan ekonomi global yang lebih perlahan.

“Malaysia terus mencatatkan prestasi perdagangan kukuh tahun lalu walaupun berdepan pelbagai faktor yang memberi kesan kepada perdagangan dunia, iaitu pemulihan ekonomi perlahan di Amerika Syarikat, ketidaktentuan krisis hutang di zon Eropah, gangguan perdagangan di Asia Barat ekoran pertelingkahan antara negara Arab serta bencana alam yang berlaku di Jepun dan Thailand yang menjejaskan rantaian bekalan.

“Ini adalah tahun ke-14 berturut-turut lebihan dagangan yang dicatatkan negara sejak tahun 1998, setanding negara maju di rantau ini di mana Singapura dan Korea mencatatkan pencapaian yang sama,” katanya ketika mengumumkan Prestasi Perdagangan Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Mustapa berkata, eksport negara tahun lalu meningkat 8.7 peratus kepada RM694.55 bilion, manakala import naik 8.6 peratus dengan lebihan dagangan berkembang 9.4 peratus kepada RM120.31 bilion.

“Dalam tempoh lima tahun, eksport ke Asia berkembang lapan peratus daripada 63 peratus pada tahun 2007, seiring dengan pertumbuhan ekonomi rantau ini yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi dunia.

“Barangan perkilangan sekali lagi menjadi penyumbang terbesar eksport iaitu 67.7 peratus saham atau RM470.3 bilion daripada jumlah keseluruhan eksport negara,” katanya.

Mustapa juga berkata, China pertama kali muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia pada 2011, dengan eksport ke negara itu meningkat 13.9 peratus kepada RM91.25 bilion.

“Hampir 70 peratus eksport ke China adalah barangan pembuatan seperti bahan kimia, produk getah, elektrik dan produk elektronik, barangan perkilangan logam, makanan dan produk petroleum.

Laporan World Competitiveness Yearbook 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan meletakkan Malaysia antara lima negara teratas dalam segi perdagangan antarabangsa selepas Singapura dan Hong Kong, melepasi Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Kanada dan United Kingdom.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran