TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 20 Februari 2012

Dewan Bahasa dan Pustaka anjur Muzakarah Bahasa dan Persuratan 17-18 Mac

20/02/2012 7:51pm

Dr. Awang Sariyan
Foto kredit – kembarabahasa.blogspot.com

KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Muzakarah Bahasa dan Persuratan dengan tujuan memperkasakan dasar-dasar negara khusus dari segi bahasa dengan menjadikan khazanah persuratan ilmu sebagai satu agenda negara yang besar.

Ketua Pengarahnya, Dr. Awang Sariyan berkata, muzakarah tersebut akan diadakan pada 17 dan 18 Mac ini dengan mensasarkan penyertaan enam kelompok yang dianggap sebagai pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu.

"Kelompok yang kita sasarkan adalah ahli bahasa, sastera, sarjana, budayawan, cendiakawan dan media,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Katanya, muzakarah itu adalah bagi memantapkan dasar bahasa kebangsaan serta menjadikannya sama penting dengan dasar ekonomi, pertahanan, politik serta pentabiran negara.

Beliau berkata, muzakarah itu diharap dapat menghasilkan resolusi, cetusan, pandangan serta cadangan untuk menambah baik segala program yang dirancang bagi memenuhi cita-cita dan falsafah negara.

Awang yakin DBP dapat meneruskan usaha dalam memperjuangkan bahasa Melayu melalui pendekatan yang lebih khusus dan penuh pengertian bagi memartabatkan bahasa itu.

Menurutnya, perkara paling penting pada muzakarah tersebut ialah pertemuan khas dengan kelompok sains dan teknologi bagi merancang memperbanyakkan penerbitan dan pengeluaran serta terbitan-terbitan berkaitan bidang itu.— BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran