Prof. Dr. Awang Sariyan
Menurut sumber yang layak dipercayai, Prof. Dr. Awang Sariyan telah terpilih untuk menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru mulai 1 Feb 2012.
Acara penyerahan tugas telah pun dilaksanakan pada 31 Januari 2012 dan berkuatkuasa mulai 1 Februari 2012.
Penulis blog ini serta rakan-rakan yang mencintai bahasa Melayu mengucapkan tahniah kepada Prof. Dr. Awang Sariyan atas pelantikan ini.
Prof Dr. Awang Sariyan merupakan mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, Beijing Foreign Studies University (Januari 2008-Julai 2011); kembali ke Malaysia pada awal bulan Ramadhan yang lepas.
Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, menjadi Profesor Bahasa di Universiti Putra Malaysia dan di Universiti Malaya. Beliau juga pernah menjadi tenaga akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.
Prof. Dr. Awang Sariyan juga pernah menjawat jawatan sebagai Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara.
Beliau juga dilantik sebagai Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura; Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008); serta aktif dalam aktiviti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).
Prof. Dr. Awang Sariyan telah menyampaikan lebih dua ratus ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Rusia, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand).
Beliau berpengalaman sebagai penatar kursus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa,pendidikan dan falsafah, serta kamus. Semasa berkhidmat di Beijing, beliau diberi penghormatan oleh UPSI yang melantiknya sebagai Profesor Adjung (2009-2011).
Prof. Dr. Awang Sariyan telah menulis lebih 60 judul buku ilmiah, buku umum, buku teks dan kamus, antaranya:
Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia, DBP (1980, 1981),
Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia Edisi Kedua, Penerbit Sarjana (1984, 1985),
Isu-isu Bahasa Malaysia, Penerbit Fajar Bakti (1984, 1985),
Kesinambungan Bahasa dalam Karya Sastera Melayu, Penerbit Fajar Bakti (1986),
Ceritera Bahasa, DBP (1994, 1995, 2000),
Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, DBP (1996, 2000),
Teras Pendidikan Bahasa Melayu, PTS (2004),
Tertib Mengarang, Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik, DBP (2004),
Tuntunan Bahasa, Asas Pegangan Pelajar, Pearson (2004, 2005),
Suara Pejuang Bahasa (Ed.), PLM (2005).
Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku, PLM (2009)
Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam, ABIM-IKDAS (2010)
http://idristalu.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan