TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 12 Februari 2012

Azam tepati hati nurani rakyat

Zin Mahmud


HARI ini Mingguan Malaysia menemui pembacanya dengan wajah baru. Tarikh 12.2.12 akan diingati bagaimana persembahan dibuat secara berbeza daripada biasa.

Paling ketara ialah sisipan-sisipannya yang diberikan wajah baru dengan nama Pancawarna dan Pancasihat.

Bersama Pancaindera, sisipan-sisipan ini menjadi penyeri kehidupan para pembaca.

Pancawarna merujuk kepada rencana-rencana yang akan dipaparkan dalam sisipan itu sebagai cermin kepada warna-warni kehidupan manusia.

Sementara Pancasihat ialah sisipan kesihatan, dalam pelbagai bentuk sebagai bukan saja panduan dan maklumat untuk pembaca, tetapi bagi memberi semangat untuk berjaya dan bahagia dalam hidup.

Pancaindera pula sudah sebati dengan pembaca, setelah berpuluh-puluh tahun memberikan coretan-coretan hiburan dari generasi ke generasi.

Bagi lembaran utama akhbar Mingguan Malaysia, perubahan wajah adalah pada halaman-halaman rencananya, meliputi kolum-kolum berpengaruh iaitu Awang Selamat, Wawancara, Mazlan Nordin Menulis, Warung Politik, Untung Sabut Timbul, Santai Mingguan Bersama Johardy, Kalam Maulana Arrif, Coretan Marhaen, Kucing Jantan, Dari Jakarta dan Di Sebalik Nama.

Keseluruhan halaman-halaman ini diberikan nama Analisis Mingguan. Sememangnya dalam halaman-halaman ini terkandung analisis, komentar dan pendapat yang mencabar minda pembaca di samping pengaruhnya yang besar. Setuju atau tidak setuju adalah soal lain. Apa yang nyata, ia menggugah fikiran dan mendatangkan kesan.

Sememangnya Kumpulan Utusan yang bermula sebagai Utusan Melayu Pte Ltd ditubuhkan pada tahun 1938 adalah syarikat yang didokong oleh orang Melayu khususnya di Singapura, ketika itu tanah jajahan Inggeris,

Syarikat ini ditubuhkan dengan tujuan untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu bermula pada tahun 1939 dengan cogan kata Penyambung Lidah Melayu, iaitu bagi menyampaikan suara dan pendapat orang Melayu.

Selain akhbar Utusan Melayu dan edisi Ahadnya yang bernama Utusan Zaman, syarikat ini kemudiannya menerbitkan majalah Mastika, juga bertujuan untuk mengisi rencana-rencana yang memperkaya fikiran orang Melayu. Pada mulanya bertulisan jawi, sebelum ditukar rumi.

Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika adalah kesemuanya menjadi suara orang Melayu dengan memberikan tulisan-tulisan yang memperkembangkan fikiran.

Berubah


Pada dekad-dekad kemudiannya, syarikat Utusan Melayu terus menerbitkan majalah-majalah yang menyumbang kepada pemikiran bernas orang Melayu. Ini termasuklah majalah Al-Islam, Utusan Kiblat, Massa Karya dan Pemikir.

Kini Utusan Kiblat yang bertulisan jawi, Karya dan Massa sudah tidak ada. Sementara Mastika telah berubah konsep.

Sejak dari mula, Utusan Melayu sebagai syarikat dan akhbar adalah menjadi institusi bagi orang Melayu. Ia bukan milik peribadi seseorang, atau sesuatu keluarga, tetapi adalah milik bangsa Melayu. Asasnya adalah atas sumbangan derma orang Melayu, dan perjuangannya adalah untuk membela orang Melayu, termasuk kemerdekaan Tanah Melayu, dalam erti kata yang luas.

Maknanya merdeka ialah bukan saja bebas daripada penjajahan Inggeris, tetapi tanah air yang turut memberi kemerdekaan ekonomi dan sosial untuk rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Tujuh tahun setelah Utusan Melayu diterbitkan, satu lagi institusi Melayu diwujudkan, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Selepas 18 tahun Utusan Melayu diterbitkan, dan 11 tahun UMNO ditubuhkan, Tanah Melayu pun mencapai kemerdekaan.

Dengan tercapainya kemerdekaan, ibu pejabat Utusan Melayu dipindahkan dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Tiga tahun selepas merdeka, UMNO mengambil alih pemilikan syarikat Utusan Melayu daripada pengasasnya Yusof Ishak. Beliau kemudian dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Singapura apabila pulau itu diberikan taraf pemerintahan sendiri.

Malaysia pula ditubuhkan 24 tahun selepas Utusan Melayu diterbitkan. Maka Tanah Melayu kemudian bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Sabah dalam negara Malaysia yang baru.

Mulai tahun 1963 bahasa kebangsaan negara dikenali sebagai Bahasa Malaysia dengan rumi sebagai tulisan rasmi.

Sudah sewajarnya negara muda ini memerlukan sebuah akhbar baru yang mencerminkan aspirasi rakyatnya

Maka pada 30 Ogos 1964, setahun selepas penubuhan Malaysia, akhbar Mingguan Malaysia dilancarkan.

Cogan kata Mingguan Malaysia ialah Akhbar Kebangsaan Tulen. Inilah penerbitan pertama Utusan Melayu yang bertulisan rumi.

Semasa Mingguan Malaysia pertama diterbitkan, negara sedang menghadapi Konfrontasi Indonesia.

Pada masa itu akhbar harian Utusan Malaysia belum diterbitkan. Ia diterbitkan pada tahun 1967, iaitu dua tahun selepas Singapura keluar dari Malaysia. Pengasas Utusan Melayu, Yusuf Ishak menjadi presiden pertama republik itu.

Menggambarkan

Mingguan Malaysia yang awal mengandungi rencana-rencana menarik yang pelbagai, daripada politik, hiburan, sukan, luar negeri tetapi lebih banyak kepada cerita-cerita kisah kehidupan.

Pada masa itu, Mingguan Malaysia tidak memuatkan banyak berita. Rencananya lebih berbentuk analisis, maklumat, komentar dan pendapat. Berita yang ada hanyalah laporan ringkas sepanjang minggu.

Justeru bagi mereka yang tidak mengikuti akhbar harian, cukup untuk mereka mengetahuinya dengan membaca Mingguan Malaysia.

Akhbar Kebangsaan Tulen menggambarkan bahawa Mingguan Malaysia yang namanya pun membawa nama negara, mempunyai komitmen pada semangat dan pembawaan kebangsaan, dalam erti kata luas.

Kebangsaan di sini bermaksud cara hidup persepakatan penduduk Malaysia sebagai satu bangsa. Bermaksud luas di sini ialah bangsa Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan fahaman merentas semua negeri dalam Malaysia, di timur dan barat.

Tentulah apabila disebut tulen ia merujuk kepada kebangsaan yang mengambil kira akar, asal dan asas kepada negara ini.

Malaysia bukannya wujud daripada kekosongan, tetapi ia berlanjutan kepada warisan bangsa terdahulu, sebelum tanah air ini dijajah.

Ketulenan kebangsaan mengambil kira hakikat ini.

Dengan cetakan awal sebanyak 19,000 naskhah , ia mendapat sambutan dan meningkat jualannya pada setiap keluaran.

Apabila Utusan Malaysia diterbitkan pada 1 September 1967, Mingguan Malaysia berubah konsep untuk menjadi akhbar edisi Ahad bagi Utusan Malaysia, seperti mana Utusan Zaman bagi Utusan Melayu.

Sebagai edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia turut memuatkan berita-berita bagi kejadian pada hari Sabtu.

Utusan Malaysia pada awalnya mempunyai cogan kata Penyebar Fikiran Nusa dan Bangsa. Pada 1976, ia bertukar kepada Penyebar Fikiran Rakyat. Sejak 2009, cogankatanya ialah Pemangkin Fikiran Rakyat.

Bagi Mingguan Malaysia, mulai tahun 1986, cogan katanya berubah daripada Akhbar Kebangsaan Tulen kepada Cetusan Hati Nurani Rakyat.

Setelah Malaysia ditubuhkan selama 22 tahun, semangat kebangsaan tulen dianggap mantap dengan pembinaan negara telah berjaya.

Peralihan perhatian adalah untuk menjadi suara hati rakyat. Kalau Utusan Malaysia Penyebar Fikiran Rakyat, maka Mingguan Malaysia adalah suara inti hati rakyat, itulah yang disebut sebagai Hati Nurani Rakyat.

Selain perubahan reka bentuk, wajah baru akhbar ini memperbaharui azam untuk menepati hasrat yang terungkap dalam cogan kata itu.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran