Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
Tarikh: 2012/02/19
Masjid unik diperbuat dari cengal, nyatoh dan bala, lambang keindahan kraf Melayu
SESIAPA saja yang melalui jalan utama Kampung Seberang Jertih di bandar Jertih, Besut, Terengganu - sama ada dari arah Kota Bharu, Kelantan atau dari Kuala Terengganu, pasti menoleh kagum melihat sebuah bangunan kayu tersergam indah. Selepas diamati, hati pasti lebih teruja menyedari struktur itu adalah tempat umat Islam bertemu dan beribadah.
Keunikan masjid dibina dengan 100 peratus kayu cepat merebak dan menjadi tumpuan orang ramai dari segenap ceruk termasuk pelancong asing yang mahu melihat sendiri keindahan Masjid Kayu Seberang Jertih yang dibina dengan seni pertukangan Melayu. Corak ukiran awan larat dengan motif pelbagai jenis bunga pada struktur masjid ini misalnya, mengumpan mata terutama peminat seni khat Melayu.
Ini terbukti sepanjang penulis berada di masjid seluas kira-kira 300 meter persegi ini, rumah ibadat ini sentiasa dikunjungi ramai. Ada saja pelawat singgah dan meninjau perkarangan masjid serta menunaikan solat. Malah, penulis juga sempat melihat sekumpulan rombongan menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Kerandang, di sini, dari Tanah Merah, Kelantan yang singgah bersolat. Ketika mendekati kumpulan rombongan itu, ramai antara mereka mengakui kagum dengan keindahan masjid ini.
Masjid Kayu Seberang Jertih bernilai kira-kira RM12 juta itu diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dengan pembinaannya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
Rumah ibadat ini adalah masjid pertama di Terengganu yang dibina mengikut konsep seni bina tradisi Melayu menggunakan sepenuhnya kayu iaitu 90 peratus kayu cengal serta selebihnya kayu nyatoh dan bala. Hanya tiang utama bangunan masjid dan lantai menggunakan konkrit.
Bagaimanapun, permukaan lantai konkrit dilapisi kayu bala.
Apa yang menarik, pembinaan masjid di tapak seluas 0.2 hektar pada Januari 2009 dan siap pada Ogos tahun lalu, mendapat sentuhan pengukir kayu terkenal yang juga anak Terengganu, Wan Mustafa Wan Su atau lebih dikenali Wanpo.
Wanpo yang juga pemilik syarikat Khazanah Seni Warisan diberi tanggungjawab merealisasikan projek membina masjid tradisional Melayu lama menggunakan kayu sepenuhnya.
Memasuki masjid ini, tingkat pertama atau tingkat bawah masjid dijadikan dewan serba guna untuk sebarang majlis keramaian. Manakala tingkat kedua adalah dewan solat serta tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan.
Ruang utama solat mampu memuatkan sehingga 700 jemaah selain ruang selasar atau serambi (ruang terbuka) di kiri kanan dewan solat yang masing-masing mampu memuatkan 700 jemaah. Ini menjadikan keseluruhan tingkat dua masjid mampu memuatkan sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Menceritakan seni bina masjid itu, Wanpo berkata, beliau diberi tanggungjawab membina masjid itu mengikut konsep seni bina Melayu lama yang menekankan teknologi tulen seni pertukangan kayu Melayu tradisional.
Selain aspek ukiran, elemen lain termasuk sistem pengudaraan dalam bangunan dan kemasukan cahaya dari luar turut diambilkira.
Wanpo berkata, selain bangunan utama masjid, dua bangunan tempat mengambil wuduk dan kemudahan tandas yang juga keseluruhan dinding luar diperbuat daripada kayu serta tempat mengambil wuduk untuk wanita dibina berasingan di bawah masjid turut disediakan.
Selit elemen laut, konsep tebuk-pasak
KESELURUHAN dinding bangunan masjid serta dua bangunan tempat wuduk dan tandas dibina berkonsepkan dinding janda berhias. Manakala 12 pintu utama dewan solat pula diukir dengan corak awan larat menggunakan motif seperti bunga mas dan kenanga serta diadun dengan unsur motif bunga khayalan dan corak sisik tenggiling.
Dinding ruang mimbar juga dibina corak dinding janda berhias dan pagar depan mimbar bercorak tenunan songket Terengganu.
"Setiap atas pintu utama masjid juga diukir dengan ayat suci al-Quran iaitu doa keluar dan masuk masjid. Manakala di sekeliling bumbung masjid yang dikenali sebagai andam-andam dipasang dengan ukiran kaligrafi kayu diperbuat daripada kayu cengal dengan nama junjungan besar Nabi Muhammad dalam bentuk tulisan jawi dan huruf Lam Alif - bermaksud Maha Besar Allah yang tiada bandingan, menyerupai atau melebihi kekuasaan dan sifatNya,” kata Wanpo.
Wanpo berkata, Masjid Kayu Seberang Jertih dibina dalam bentuk 'Perabung Lima' seperti bumbung rumah Melayu lama di Kelantan dan inspirasi seni binanya berasaskan Masjid Kampung Laut yang tertua di Asia Tenggara berusia lebih 300 tahun yang terletak di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan.
“Masjid Kayu Seberang Jertih dibina 100 peratus menggunakan kayu dengan teknik ‘tebuk-pasak' atau tidak menggunakan paku,” katanya sambil menambah idea pembinaan masjid kayu itu dicetuskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, apa yang membezakan masjid ini ialah ia dibina setinggi tiga tingkat dan mempunyai ruang selasar atau serambi iaitu ruang terbuka di tingkat dua tempat solat.
Wanpo berkata, beliau cuba menerapkan unsur asbtrak pada ukiran kayu di enam kepala tangga masjid berkenaan yang menggambarkan ombak Pantai Timur dan penyu. Manakala pagar kayu di ruang selasar masjid juga dibina berkonsepkan corak tenunan songket Terengganu.
"Ombak sebahagian gambaran kehidupan masyarakat Pantai Timur yang lebih dekat dengan kehidupan pantai manakala penyu adalah gambaran perjalanan hidup manusia yang jauh," katanya.
Sementara itu, Imam Masjid Kayu Seberang Jertih, Ahmad Zaki Mohamad berkata, masjid itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang terletak di kawasan tapak masjid berkenaan.
Ahmad Zaki berkata, masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Seberang Jertih hanya mampu menampung kira-kira 300 jemaah dan dibina pada era sebelum kemerdekaan negara.
“Masjid lama pada awalnya diperbuat daripada kayu sebelum diubahsuai kepada konkrit dan kayu sehinggalah dirobohkan sebaik saja masjid baru digunakan, Ogos tahun lalu.
"Dengan siapnya masjid baru ini, ia banyak memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk menunaikan solat di tempat yang lebih selesa dan mampu memuatkan lebih ramai jemaah.
"Masjid ini juga menjadi tumpuan ramai umat Islam dari luar Terengganu dan pelancong yang datang untuk melihat keindahan seni binanya dengan semua pintu utama masjid diukir dengan ukiran awan larat dengan motif bunga selain ukiran ayat suci al-Quran," katanya.
Ahmad Zaki berkata, jumlah umat Islam dari luar Seberang Jertih yang datang menunaikan solat di masjid itu boleh dilihat menerusi sumbangan derma yang kepada tabung masjid berkenaan yang semakin meningkat setiap minggu.
"Sebelum ini, jumlah sumbangan derma hanya sekitar RM300 seminggu. Tetapi sekarang ia meningkat kepada RM700 dan RM800 seminggu.
“Manakala pada musim cuti persekolahan ia mencapai sehingga RM1,000 seminggu. Ini kerana ramai pelawat umat Islam dari luar Terengganu singgah menunaikan solat di masjid ini untuk merakamkan gambar dan memberi sumbangan derma,” katanya.
Ahmad Zaki berkata, kutipan derma digunakan untuk membiayai aktiviti masjid seperti memberi hadiah kecemerlangan kepada pelajar.
“Kita juga merancang untuk meluaskan sumbangan kepada anak yatim dan saudara baru di kawasan sekitar Seberang Jertih," katanya yang berbangga masjid itu menjadi tumpuan ramai.
Masjid Kayu Seberang Jertih dijangka dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari ini sempena lawatan baginda ke daerah Besut.
Source: Berita Minggu Malaysia Online
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Ahad, 19 Februari 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan