TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 28 Oktober 2011

Serunding Kampung Laut Tumpat Kelantan ke luar negara

Oleh Nizam Hamid



SEBUT sahaja sambal daging dari Kampung Laut, Tumpat, pasti ramai yang tahu mengenai keenakan serunding itu terutama penduduk di negeri Kelantan.

Sudah 20 tahun serunding kampung tersebut berada dalam pasaran dan sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Sehingga kini terdapat seramai 52 pengusaha serunding di kampung itu yang menghasilkan bertan-tan serunding setiap minggu dan Perusahaan Serunding Wan Esah Wan Husin atau lebih dikenali sebagai Sambil Daging Mak Sah merupakan salah satu yang terkenal di kampung berkenaan.

Serunding Mak Sah bukan sahaja dijual sekitar Tumpat dan Kota Bharu tetapi juga di luar Kelantan termasuk di Pekan Rabu, Alor Setar dan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Keistimewaan serunding Mak Sah terletak pada ramuan rempah-ratusnya. Rasanya yang sedikit pedas menambahkan lagi selera penggemar serunding tersebut.

Sebab itu perusahaan serunding keluarga Mak Sah mampu menghasilkan lebih 100 kilogram serunding setiap hari untuk diedarkan ke seluruh negara.

Walaupun Mak Sah kini sudah bersara daripada perusahaan serunding itu, anak-anaknya meneruskan perusahaan tersebut termasuk Che Hasmah Hassan yang merupakan pesara guru dan giat memasarkan serunding tersebut termasuk merancang untuk memasarkannya ke luar negara.

Menurut Che Hasmah, serunding Kampung Laut telah lama dibawa ke luar negara. Tetapi bukan secara komersial, sebaliknya dijadikan bekalan untuk kegunaan sendiri oleh rakyat tempatan yang ke luar negara dalam tempoh yang lama.

Impian mengkomersialkan serunding di luar negara bakal menjadi realiti tidak lama lagi apabila perusahaan serunding keluarga itu akan beroperasi di sebuah kilang di bawah Projek Diraja Kelantan (PDRK) menerusi kerjasama dengan Itqaan Ventures Sdn. Bhd. di Kubang Panjang, Tumpat.

Langkah itu bukan sahaja akan dapat meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran serunding tetapi juga dapat mematuhi Amalan Pengeluaran Yang Baik (GMP) yang menjadi syarat penting dalam memasarkan barangan makanan ke pasaran luar negara.

Che Hasmah berkata, negara yang menjadi tumpuan adalah lokasi yang permintaan produk halal tinggi khususnya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia seperti London, Ireland, Brunei, Arab Saudi dan China.

"Kalau pork floss boleh memasuki pasaran London kenapa beef floss atau serunding daging kita tidak boleh dijual di negara berkenaan," ujarnya yang memasarkan serunding di bawah jenama Haswide.

Beliau yakin serunding keluaran keluarganya akan mendapat sambutan yang baik di negara berkenaan kerana selama ini sudah beribu kilogram ia dibawa ke luar negara. Ia menerusi rakyat Malaysia yang mahu membawa makanan tempatan bersama sebagai bekalan terutama di kalangan jemaah haji dan pelajar Malaysia.

"Serunding kami boleh bertahan selama setahun tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya yang turut menghasilkan serunding ayam, ikan, udang dan cendawan.

Pemilik syarikat Hasmah Wide Enterprise tersebut berkata, serunding itu mampu bertahan lama kerana daging dan ramuan yang digunakan direbus lebih daripada empat jam selain dikeringkan dengan cara yang betul.

Namun katanya, tanpa amalan pengilangan yang baik adalah sukar untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa secara komersial.

Menurutnya, langkah memperluaskan perusahaan itu melalui pembinaan kilang dengan kerjasama Itqaan Ventures Sdn. Bhd. juga akan membolehkan mereka memenuhi permintaan terhadap serunding yang meningkat beberapa kali ganda menjelang sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban.

"Apabila kilang itu beroperasi, kami mampu menghasilkan sehingga 500 kilogram serunding sehari kerana segala-galanya iaitu daripada merebus bagi melembutkan daging, mencarik, memasak sehingga pembungkusan akan menggunakan mesin.

"Lebih penting rasanya masih tetap sama. Kerja menyediakan serunding juga akan menjadi lebih cepat dengan penggunaan mesin.

"Sebagai contoh untuk mencarik 150 kilogram daging hanya akan mengambil masa 15 minit berbanding cara biasa yang boleh memakan masa sehingga enam jam," katanya.

Malah katanya, urusan merebus daging di kilang berkenaan juga hanya akan mengambil masa satu jam berbanding empat jam jika menggunakan kayu api seperti yang dilakukan sejak 20 tahun lalu.

Source: Utusan Malaysia Online.

Khamis, 27 Oktober 2011

Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kurangkan pengiktirafan universiti asing

27/10/2011 6:26pm


PUTRAJAYA 27 Okt. - Jumlah universiti luar negara yang menawarkan ijazah perubatan yang diiktiraf mungkin akan dikurangkan selaras usaha kerajaan memastikan kualiti graduan perubatan terjamin.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menilai semula semua universiti yang telah menerima pengiktirafan itu.

"Kita ada menetapkan tanda aras yang perlu dicapai... penilaian itu bagi memastikan kualiti yang setaraf dengan piawaian ditetapkan MMC,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) program Kejururawatan, Perubatan, Sains Kesihatan Bersekutu dan Farmasi di sini hari ini.

Pada majlis itu sejumlah 16 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta menandatangani MoA dengan Kementerian Kesihatan, untuk membolehkan pelajar menjalani latihan klinikal di klinik dan hospital yang diluluskan kementerian.

Noor Hisham berkata jika kualiti ditawarkan tidak memenuhi piawaian MMC, pengiktirafan akan ditarik balik.

Kini terdapat 366 universiti dari 14 negara menerima pengiktirafan daripada MMC. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Malaysia meterai perjanjian US$10 bilion dengan China

27/10/2011 5:05pm

NANNING 27 Okt. - Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama ekonomi bernilai AS$10 bilion (AS$1 bersamaan RM3.10) dengan China semasa dialog rundingan meja bulat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin korporat terpilih China pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) kelapan, yang baru berakhir.

Setiausaha Agung Sekretariat CAEXPO Zheng Junjian bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Dialog meja bulat pada 21 Oktober, satu program khas untuk Malaysia selaku Negara Kehormat, bermatlamat membangunkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia dalam semua bidang.

Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara usahawan Malaysia dan China.

Ia termasuk kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan antara KLS Energy Sdn Bhd dan China Machinery Engineering Corp untuk projek tenaga hibrid angin/solar di Jaffna (Sri Lanka) serta JAKS Resources Bhd dan China National Technical Import and Export Corp untuk melaksanakan projek loji tenaga termal di Vietnam. Projek lain ialah Perak Transit (The Combined Bus Services Sdn Bhd) dan Xiamen King Long United Automative Industry Co Ltd selain perjanjian antara Proton Marketing Sdn Bhd dan Hawtai Motor Group.

Beliau berkata, pelbagai program yang diatur oleh Malaysia mencatat keputusan positif.

"Ia termasuk pertemuan sambil bersarapan pagi antara Najib dan Perdana Menteri China Wen Jiabao yang menjurus kepada pemeteraian projek Taman Perindustrian Malaysia-China Qinzhou, selain dialog meja bulat.

"Program-program ini membuahkan hasil yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan CAEXPO kelapan, yang berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober 2011.

Sementara itu, Malaysia memenangi tiga anugerah pada CAEXPO — Anugerah Organisasi Pameran Terbaik; Anugerah Organisasi Pembelian Terbaik; dan Anugerah Peringatan Negara Kehormat.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia ialah penganjur Pavalion Malaysia pada CAEXPO. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Isnin, 24 Oktober 2011

Kebijaksanaan Najib, keikhlasan Susilo

Oleh Shahrudin Musthafa

HUBUNGAN Kuala Lumpur – Jakarta saling tidak ubah seperti “love hate relationship”. Itu hakikat yang tidak dapat sesiapa nafikan. Sejak berdekad lagi, ada masanya kita saling mengasihi antara satu sama lain. Tidak kurang, bila tercetus sesuatu isu, maka perasaan kasih akan berubah menjadi marah.

Adat menjadi negara jiran, hubungan akrab kita sering diuji dengan pelbagai rintangan. Hal ini bukan baru bagi kedua negara sahabat itu.

Mujurlah kedua pemimpin tertinggi negara berkenaan tidak mudah melatah ketika hubungan rakyat ada masanya tegang, ada masanya reda.

Justeru, kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Lombok, Indonesia Khamis lalu untuk menghadiri rundingan tahunan kali kelapan memberi erti yang cukup besar dan sekali gus melakar sejarah bagi wilayah di Nusa Tenggara Barat itu secara khususnya.

Ini kerana, Najib merupakan pemimpin luar yang pertama disambut oleh Indonesia di lapangan terbang yang dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sehari sebelum ketibaan Perdana Menteri.

Sebelum beliau hadir ke Lombok, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pula berada di Jakarta beberapa hari sebelum itu untuk menerima anugerah tertinggi Bintang Republik Indonesia Adipurna daripada Presiden Indonesia.

Tentunya kehadiran kedua-dua teraju dari Malaysia memberikan signifikan yang amat besar dalam hubungan diplomatik dua negara jiran itu. Di atas landasan hubungan kerajaan, kehadiran Najib ke Lombok memperkasakan lagi jalinan persahabatan yang sudah lama dimeterai.

Najib membawa aspirasi yang amat penting untuk menyelesaikan beberapa isu yang sudah lama tertangguh.

Paling utama, isu pembekuan pembantu rumah yang sudah tertangguh lebih dua tahun menjadi agenda pada rundingan tahunan berkenaan. Jakarta sebelum ini pada Jun 2009 membuat keputusan menghentikan pembekalan amah ke Malaysia selepas tercetus beberapa kes penderaan dan penganiayaan oleh majikan di negara kita.

Belum selesai isu itu, Kuala Lumpur diuji pula dengan keputusan kerajaan Kemboja yang turut mengikut jejak langkah Indonesia. Sementara itu, Filipina pula khabarnya mahu melaksanakan syarat-syarat baru sebelum membenarkan rakyatnya yang mahu mencari rezeki di Malaysia sebagai pembantu rumah.

Mungkin isu pembantu rumah tidak menjadi hal kepada kesemua 28 juta rakyat Malaysia kerana tidak semuanya memerlukan perkhidmatan itu. Tetapi, isu pembantu rumah inilah yang lazimnya menjadi perhatian yang akan membawa kepada tercetusnya hubungan kurang senang di kalangan rakyat dua negara.

Kerana itu, kebijaksanaan Najib dan keikhlasan Susilo mencari pendekatan menyelesaikan isu berkenaan seperti menarik rambut dalam tepung membuatkan lembaran baru dibuka dalam rundingan berkenaan. Kedua-dua kerajaan sepakat untuk meletakkan tanda noktah pada kemelut yang berpanjangan itu.

Pada rundingan tahunan di Novotel Hotel di tepi laut Kuta, Lombok Najib dan Susilo yang masing-masing diiringi beberapa anggota Kabinet pada akhirnya mencapai kata sepakat yang menepati apa yang dikehendaki oleh rakyat.

Seperti kata Najib, beliau mengharapkan bakal majikan di Malaysia tidak mengkhianati kepercayaan diberikan rakan sejawatannya yang bersetuju membekalkan semula amah ke Malaysia.

“Yang penting tidak lakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

“Saya meminta semua bakal majikan memahami perkara ini untuk menjaga persepsi Indonesia terhadap rakyat Malaysia,” jelas Najib yang sentiasa komited dalam memelihara keharmonian hubungan dua negara itu.

Pada rundingan tahunan berkenaan, kerajaan Indonesia akhirnya menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pengumuman penarikan semula moratorium oleh negara itu diumumkan Presiden Indonesia selepas beliau menyedari bahawa terdapat ramai rakyat negaranya mencari rezeki di Malaysia yang turut membantu perkembangan ekonomi negara jiran itu.

“Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh itu kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaik-baiknya kepada Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

“Kita juga bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan TKI yang ditandatangani pada 2006 mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah pada 1 Disember, kita akan menormalisasikan kembali hal ini (menarik semula moratorium),” kata Susilo.

Selain isu pembantu rumah, salah faham yang sering tercetus antara Malaysia dan Indonesia juga adalah berhubung isu perbatasan sempadan sama ada di darat mahupun di laut. Perbatasan sempadan darat tercetus isu mengenai dakwaan kononnya Malaysia menceroboh wilayah Indonesia di Kalimantan Barat.

Mujur isu itu sudah ditangani dengan bijaksana oleh pemerintah Indonesia yang awal-awal lagi menafikan Malaysia mencuri wilayah mereka. Tetapi, pada pertemuan Najib dan Susilo tempoh hari, isu yang melibatkan perbatasan maritim di perairan Sulawesi dan Selat Melaka turut berada dalam senarai perbincangan kedua-dua mereka.

Selepas 20 mesyuarat antara kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu sejak Mac 2005, Najib dan Susilo mengakui, semuanya sudah mencapai rumusan yang positif.

Kata Najib, pihak berwajib akan terus melakukan perbincangan dengan negara jiran untuk memastikan hasilnya kelak memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak.

Semasa di Lombok juga, Najib menyatakan hasrat untuk melihat perkembangan positif terhadap semua perbincangan yang dilakukan oleh beliau dan Susilo yang mencakupi pelbagai sektor.

Najib sangat berterima kasih kepada Susilo yang sangat ikhlas dan tulus dalam membuat pertimbangan untuk memastikan rakyat kedua-dua negara memperoleh kemakmuran.

Begitu juga dengan Susilo yang terus mengingatkan rakyatnya agar jangan bertindak melampau dalam dalam meluahkan rasa tidak senang menerusi aksi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran, Malaysia.

Menurut Presiden Indonesia itu, tindakan demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan kecil rakyat negara itu termasuk insiden terbaru yang berlaku di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta , baru-baru ini sudah melebihi batas.

Sehubungan itu, atas nama hubungan saudara serumpun, Susilo menegaskan, persahabatan yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi dalam suasana harmoni untuk kepentingan jangka panjang.

“Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka yang strategik, fundamental dan berjangka panjang. Saya sudah mengingatkan janganlah tunjuk rasa itu melebihi sepatutnya sebab ia bisa melukai negara sahabat,” tegas Susilo.

Mudah-mudahan pertemuan dua sahabat serumpun di Lombok itu akan menyelesaikan segala isu dalam hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia.

Bukan saja rakyat Malaysia, bahkan rakyat Indonesia sendiri yang akan meraih keuntungan apabila kedua-duanya terus akrab sebagai teman sama menangis dan teman ketawa.

Source: Utusan Malaysia Online.

Bekerja sambilan suntik nilai positif diri

Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

DIUKUR dari segi usia, mereka masih muda dan belum bnyak pengalaman di dada namun sikap berani mencuba serta meneroka dunia pekerjaan sambilan cukup membanggakan.

Biarpun menghadapi pelbagai cabaran, mereka tetap optimis, tidak mudah mengalah selain bersemangat membuktikan keupayaan kepada masyarakat biarpun tidak ramai bersetuju kerana beranggapan ia boleh mengganggu rutin pembelajaran.

Apatah lagi pengajian peringkat universiti rumit kerana tertakluk pada syarat pencapaian akademik, juga segala aktiviti yang perlu direncana dengan baik bagi memastikan berjaya menamatkan pengajian.

Benarkah mereka yang ingin belajar berdikari mencari poket sendiri tidak boleh berjaya?

Mungkin ia pengalaman paling berharga sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar selain tidak menyusahkan orang lain bagi memenuhi keperluan kewangan.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Management and Science University (MSU), Lina Hazwani Ainol Kamal berkata, dia lebih senang berdikari mencari duit bagi menampung keperluan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajiannya selain berpendapat, ia pengalaman berharga yang sukar diganti.

Menurutnya, keinginannya untuk bekerja sambilan juga didorong rasa tanggungjawab tidak mahu menyusahkan keluarga kerana sedar mereka masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan.

“Keputusan bekerja sambilan datang daripada kesedaran sendiri kerana saya beranggapan tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Malah ia juga satu cabaran
kepada diri untuk melihat sejauh mana keupayaan menangani masalah kehidupan.

“Juga atas kesedaran untuk tidak terlalu membebankan ibu bapa membiayai pengajian biarpun selalu menegaskan itu tanggungjawab mereka. Apa salahnya saya berusaha sendiri mencari duit poket asalkan tidak mengganggu pengajian.

“Malah, saya puas menikmati duit diperoleh itu dan bebas membelanjakannya tanpa rasa bersalah kerana ia hasil titik peluh sendiri,” katanya.

Pembabitan mahasiswa dalam pekerjaan sambilan bukan baru terutama bagi menampung keperluan pengajian dan peribadi yang semakin meningkat.

Biarpun ada beranggapan ia bakal menjadikan mahasiswa letih, kurang tumpuan, mula culas ke kuliah serta melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, mereka kurang bersetuju biarpun tidak menafikan ada yang tersasar daripada fokus sebenar.

Dia yang bekerja sebagai model pakaian Muslimah secara sambilan beranggapan, segala keputusan atau perancangan terletak pada diri sendiri bagi mencorakkan perjalanan masa depan.

“Dalam konteks ini, diri sendiri yang menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan manakala orang lain hanya boleh memberi nasihat sebagai panduan.

“Biarpun tarikan alam pekerjaan kuat kerana sudah berupaya menjana pendapatan sendiri, ia tidak seharusnya menjadi penyebab mahasiswa terlupa pada pelajaran, malah perlu sentiasa mengingatkan diri itu hanya kerjaya sementara.

“Dengan cara itu, sudah tentu diri sendiri sentiasa berwaspada dan tahu apakah keutamaan yang perlu dilaksanakan sebelum menceburi alam kerjaya sebenar yang lebih menjanjikan masa depan cerah,” katanya mengakui cabaran dihadapi bukan saja di tempat kerja, malah rakan sebaya.

“Ada suka, begitu juga sebaliknya malah lebih teruk melabelkan kami sebagai pelajar yang akan tercicir dalam pengajian hingga ada kalanya mengguris hati. Bagaimanapun, saya tetap optimis dan mengambil pendekatan berdiam diri,” katanya.

Ditanya mengapa bidang peragaan menjadi pilihan, dia berkata, semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila seorang jurugambar mempelawanya menjalani uji bakat, sekali gus memulakan langkah pertama menjadi model.

Menurutnya, peringkat permulaan berasa kekok, namun selepas hampir setahun, dia semakin berani dan lebih berkeyakinan selain mampu memperbaiki kemahiran komunikasi.

“Sebelum ini saya pemalu, kurang bercakap dan tidak berkeyakinan, namun kini semuanya berubah. Ia peningkatan drastik hasil pendedahan dan pergaulan sepanjang bekerja.

“Sebagai pelajar, aspek ini sangat penting dalam usaha membentuk personaliti positif sebelum menceburi bidang pekerjaan sepenuh masa. Saya menganggapnya sebagai satu aset berguna dan bonus sukar diperoleh,” katanya.

Pada masa sama, menggunakan peluang di depan mata untuk meluaskan lagi pergaulan dengan masyarakat sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan sebenar.

“Biarpun kerjaya sambilan, saya mampu meraih peluang yang sukar diperoleh pelajar lain terutama bertemu pelbagai lapisan dan ragam masyarakat. Ini secara tidak langsung menjadi satu proses pendidikan untuk mematangkan diri.

“Ia juga sebagai persiapan memperkukuhkan lagi kemahiran sedia ada. Bagi saya, dengan bekerja sambilan, banyak ilmu dan pengalaman diperoleh, bukan duit semata-mata,” katanya.

Bagi Tengku Ahmad Hazrin Tengku Hassan, keputusannya membuka perniagaan sendiri sebagai langkah permulaan menceburi bidang keusahawanan kelak selain ingin merasai nikmat ‘memegang’ duit sendiri.

“Senario pekerjaan masa kini yang sukar diduga memerlukan saya berfikir lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri biarpun secara kecil-kecilan.

“Ia juga langkah awal mempersiapkan diri dengan pengalaman dan ilmu sebelum menceburi perniagaan sepenuh masa sebaik tamat pengajian. Saya lakukannya atas dasar minat serta keinginan mempunyai duit poket sendiri,” katanya.

Mendapat sokongan penuh keluarga, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik ini mengakui kesukaran memperoleh kepercayaan dan memuaskan hati pelanggan adalah cabaran utama memandangkan masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan.

Katanya, pelanggan banyak mempertikaikan hasil ciptaannya selain suka mengambil kesempatan kerana beranggapan dia masih belum berpengalaman dengan ‘permainan’ dunia perniagaan.

“Saya akui, kadangkala perit menghadapi kerenah pelanggan, namun sentiasa berfikiran positif ia adalah pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh melalui pembacaan.

“Sekurang-kurangnya saya sudah ada ‘ilmu’ sebelum menceburi bidang perniagaan sebenar selain mendidik diri menjadi lebih sabar, berhemah dan berdisiplin.

“Bekerja sambilan banyak menyuntik nilai positif dalam diri,” katanya.

Ditanya bagaimana membelanjakan pendapatan diterimanya, dia berkata, sebahagian besarnya disimpan sebagai persediaan modal dan selebihnya untuk membeli keperluan peribadi.

“ Saya tidak boros kerana sedar susah memperoleh wang dan menyimpannya demi masa depan. Bagaimanapun, sebagai penghargaan pada diri, turut membelanjakannya bagi membeli barangan dihajati.

“Bekerja sendiri biarpun secara sambilan memberi kepuasan. Lebih membanggakan, saya tidak menyusahkan orang lain serta mampu membeli barang diingini dengan titik peluh sendiri,” katanya.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Maybank sedia MME di India

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) bekerjasama dengan Axis Bhd, antara bank persendirian terbesar di India untuk memperkenalkan perkhidmatan kiriman wang kepada akaun penerima di negara berkenaan.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan kiriman wang itu adalah lanjutan daripada kemudahan sedia ada yang ditawarkan Maybank Money Express (MME).

“Kami menjangkakan perkhidmatan baru ini akan mengukuhkan lagi segmen kiriman wang asing Maybank dan ketika ini, segmen itu mempunyai nilai kiriman luar secara keseluruhan sebanyak 36 peratus di kalangan bank-bank serta menyasarkan ia berkembang 15 peratus menjelang Jun 2012,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur Beliau berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan lagi rangkaian Axis Bank dan dapat mencapai lebih ramai pengguna melangkaui Malaysia, terutama di India.

Katanya, perkhidmatan baru itu dijangka dapat memanfaatkan kedua-dua warga India yang bekerja di Malaysia dan warga Malaysia yang perlu mengirim wang kepada penerima di India.

India ialah negara penerima kiriman wang terbesar di dunia, menerima kiriman wang masuk melebihi RM165 bilion (AS$55 bilion) pada 2009 hingga 2010.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Untung pracukai Bank Rakyat naik 17% kepada RM1.5bilion

24/10/2011 6:18pm

Ibu Pejabat Bank Rakyat

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Keuntungan sebelum cukai dan zakat Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September, 2011, meningkat 17 peratus kepada RM1.5 bilion daripada RM1.28 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Rakyat berkata, prestasi baik secara keseluruhan itu dicapai berikutan peningkatan pendapatan pembiayaan selari dengan pertumbuhan baki pembiayaan dan pengukuhan kualiti aset.

Keuntungan bersihnya mengukuh 20.3 peratus kepada RM1.2 bilion untuk tempoh RM1 bilion sebelumnya.

Pendapatan kasar pula meningkat 18.1 peratus kepada RM4.06 bilion daripada RM3.44 bilion sebelumnya, sementara pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit mengembang 9.6 peratus kepada RM2.69 bilion daripada RM2.45 bilion sebelumnya.

Jumlah aset menambah 22.7 peratus kepada RM71.8 bilion untuk tempoh sembilan bulan 2011 daripada RM58.52 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Malaysia bakal jadi ekonomi digital menjelang 2020

24/10/2011 3:55pm

KUALA LUMPUR 24 Okt – Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menjadi sebuah ekonomi digital menjelang 2020 susulan permintaan kukuh bagi teknologi baharu, kata Nielsen, penyedia analisis dan maklumat global utama.

Teknologi baharu mendapat sambutan yang tinggi ketika rakyat Malaysia bersedia bagi perubahan seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Pengguna Digital Malaysia 2011, kata pengarah perkhidmatan pelanggan, penyelidikan khusus Nielsen Malaysia, Luca Griseri.

Program transformasi digital Malaysia akan mengubah tingkah laku pengguna, katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran laporan itu di sini, hari ini.

Griseri berkata, laporan itu mendedahkan bahawa kadar pembelian telefon pintar dan komputer tablet meningkat dengan pesat di Malaysia, dan justeru itu industri perlu memastikan akses yang mudah bagi peranti-peranti ini.

"Pemilikan telefon pintar dijangka berganda dalam tempoh 12 bulan akan datang mencapai 89 peratus daripada 48 peratus ketika ini, manakala komputer tablet dijangka mencecah 75 peratus daripada 18 peratus ketika ini,” katanya.

Laporan Pengguna Digital Malaysia 2011 mengkaji aliran teknologi dan Internet dalam pola penggunaan dan pembelian di masa depan di pasaran Malaysia. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 23 Oktober 2011

Azraai yakin Negeri Sembilan muncul juara

Oleh Mohd Amin Jalil, am@hmetro.com.my

MENGHADAPI pasukan mantap dan berwibawa Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, tidak memberi tekanan buat Negeri Sembilan, tegas ketua jurulatih skuad itu, Azraai Khor Abdullah.

Menurutnya, ini berdasarkan pengalaman dan rekod pertemuan dengan pasukan itu pada peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, apabila Negeri Sembilan menang tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi manakala seri tanpa jaringan ketika bertandang ke Kuala Terengganu.

“Saya akui Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim lebih mantap kerana membariskan ramai pemain berpengalaman dan lincah terutama barisan penyerang mereka yang menggandingkan pemain kebangsaan Abdul Manaf Mamat dan Ashari Shamsuddin.

“Bagaimanapun, ia tidak akan memberi tekanan kepada Negeri Sembilan, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi dalam menghadapi pertemuan genting itu, untuk memastikan Negeri Sembilan berupaya mengimbangi kekuatan lawan dan akhirnya berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua di Paroi, malam kelmarin, yang berkesudahan mengatasi T-Team 2-1 untuk layak menerusi agregat 6-3, sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton kelmarin, T-Team terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fitri Omar pada minit ke-72, bagaimanapun Shahurain Abu Samah dan Shukor Adan melakar dua gol pada minit ke-74 dan 84.

Azraai yakin skuad bimbingannya mampu melakar sejarah menjulang trofi kejuaraan yang menjadi rebutan setiap pasukan itu berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan pemain skuad Hoben Jang Hoben sepanjang kempen musim ini.

“Walaupun prestasi pasukan terumbang-ambing pada awal saingan angkara masalah kecederaan pemain apabila sekadar berada di tangga kelapan dalam saingan Liga Super selain gagal mempertahankan Piala FA, namun pemain berjaya mempamerkan kebangkitan, hingga berjaya melayakkan diri ke final buat kali ketiga berturut-turut.

“Kejayaan ini bukan satu keputusan biasa atau sekadar nasib tapi hasil semangat juang dan komitmen tinggi setiap pemain yang membuktikan kemampuan masing-masing untuk menjulang nama pasukan.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Penyu makin garang


Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my

GERGASI Pantai Timur, Terengganu semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua dalam kancah Piala Malaysia apabila mengesahkan kemaraan ke final untuk bertemu Negeri Sembilan di Shah Alam, Sabtu ini.

Juara Piala FA itu yang berjaya membawa pulang trofi berprestij itu buat kali pertama pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris sudah pasti mengidam koleksi kemenangan kedua kerana sudah sedekad menanti untuk beraksi di pentas final.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas berjaya meleburkan Misi 33 Selangor, semangatnya dan rakan sepasukan kian membara untuk mencatat kemenangan berganda selepas mendakap Piala FA, Jun lalu, selain muncul naib juara Liga Super.

“Jika dihitung, tempoh 10 tahun terlalu lama untuk kami melangkah semula ke final, jadi dengan peluang keemasan yang hadir ini, saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya melebur impian Selangor menerusi kemenangan 2-1 sekali gus layak menerusi agregat 4-1.

Abdul Manaf Mamat dan Ashari Samsuddin sekali lagi membuktikan sentuhan mereka berbisa apabila masing-masing menghasilkan satu jaringan untuk meletakkan pasukan ke final sebelum pelawat merapatkan kedudukan hasil jaringan Safiq Rahim.

Sementara itu, Irfan Bakti berkata, beliau sudah menjangkakan pertemuan itu sengit kerana lawan sudah pasti mahu memadam kekurangan dua jaringan di Stadium Shah Alam pada peringkat separuh akhir pertama, Selasa lalu.

“Saya amat bangga dengan komitmen pemain kerana berjaya melaksanakan arahan taktikal dengan berkesan untuk menyekat hajat Selangor.

“Memang kami sudah agak selesa dengan kelebihan dua jaringan, namun semangat membara pemain untuk ke final perlu diberi pujian,” katanya.

Berdasarkan rekod, Terengganu mara ke final piala berprestij itu sebanyak empat kali pada 1973, 1982, 1998 dan hanya pada 2001, mereka berjaya merangkul gelaran juara selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P Maniam mengakui Terengganu berhak mara ke final berdasarkan prestasi yang dipamerkan pasukan itu sepanjang saingan separuh akhir.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Individu Islam perlekeh Himpun diselar

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

SHAH ALAM 22 Okt. - Tindakan sesetengah individu Islam yang memperlekehkan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bagi menentang gejala murtad negara ini amat dikesali.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad yang tampil sebagai pemidato pertama pada perhimpunan juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat individu tertentu mengatakan Himpun sebagai tidak relevan serta tidak mempunyai asas dalam Islam.

Sedangkan katanya, perhimpunan itu adalah simbolik kepada penyatuan umat bagi menentang gejala murtad di kalangan masyarakat Islam bagi menyelamatkan akidah mereka daripada dipesongkan oleh pihak tertentu.

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

"Ada individu Islam sendiri kata apa salah murtad, ada yang kata usaha mereka (bukan Islam) bekerja keras menyebarkan agama mereka maka patut mereka tuai hasil dan ada juga kata murtad tidak salah, ia kebebasan beragama.

"Isu yang membuat kita berhimpun pada hari ini ialah isu yang paling besar di sisi Allah iaitu murtad menolak risalah Islam, para anbia (nabi-nabi) dan tiada maksiat, tiada salah guna kuasa, tiada pencabulan hak asasi manusia paling besar di sisi Allah selain murtad.

"Maka, perhimpunan kita adalah atas asas yang paling besar iaitu untuk memperbesarkan apa yang dibesarkan Allah, Allah letakkan murtad dan pemurtadan sebagai kesalahan paling besar, isu paling besar dan paling perlu dapat perhatian," katanya ketika menyampaikan pidato pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Seramai lapan pemidato tampil berucap pada perhimpunan tersebut mewakili pelbagai pertubuhan bagi menyuarakan keprihatinan masing-masing terhadap gejala murtad di negara ini.

Seorang lagi pemidato iaitu bekas pastor, Mohd. Farhan Abdullah pula mengutarakan cadangan agar Parlimen menggubal kembali Artikel 11 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan klausa 'kebebasan beragama' hanya terpakai bagi masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang terkeliru serta pihak yang sengaja mengelirukan masyarakat mengenai peruntukan undang-undang itu bagi memesongkan akidah umat Islam.

"Saya sendiri pernah terlibat dalam gerakan mengkristiankan umat Islam dahulu dan usaha ini dilakukan dengan begitu teliti serta terancang," tegasnya.

Beliau juga mahu wakil-wakil Himpun yang terdiri di kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri (ADUN) dapat membawa usul tentang isu murtad agar dapat dibahas di Dewan Rakyat atau DUN.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan menggesa kesemua organisasi dan pengamal media tempatan supaya tidak menyelewengkan kefahaman agama Islam demi keuntungan masing-masing.

Katanya, penyelewengan di media boleh mengelirukan pelbagai pihak termasuk mahasiswa sendiri apatah lagi sejarah membuktikan pernah terjadi beberapa kes gerakan pemurtadan pelajar Islam di kampus-kampus universiti tempatan.

"Justeru, Gamis mengharapkan agar golongan yang disebut sebagai penyampai maklumat, media harus bebas beri maklumat betul kepada masyarakat (terutama dalam gerakan pemurtadan)," ujarnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kegiatan pihak tertentu yang memperkecilkan institusi diraja dilihat semakin berani dan tindakan itu akhirnya akan merugikan penganut serta agama Islam dalam negara.

"Lebih menyedihkan gerakan itu turut didalangi oleh para pemimpin serta individu Islam sendiri," katanya.

Foto: ihsan Utusan Malaysia Online.

Source: Utusan Malaysia Online.

Simoncelli maut dalam kemalangan pusingan ke-2 MotoGP

23/10/2011 6:06pm

Foto: Utusan Malaysia/MUHAMAD IQBAL ROSLI.

Foto: Utusan Malaysia/MUHAMAD IQBAL ROSLI.


SEPANG 23 Okt. - Pelumba San Carlo Honda Gresini dari Itali, Marco Simoncelli, 24, maut dalam kemalangan pada pusing ke-2 kategori MotoGP yang berlangsung sebentar tadi. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Mufti Perak beri peringatan

SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.

Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.

Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.


Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

“Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.

“Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita,” katanya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Khamis, 20 Oktober 2011

Rombakan Susilo Bambang Yudhoyono serba tidak kena

OLEH JOHARDY IBRAHIM, pengarang@utusan.com.my

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono

ROMBAKAN Kabinet Indonesia pada Selasa lalu, meletakkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam kedudukan serba tidak kena. Ditukar menteri, rakan pakatan merajuk. Dilantik baru, dikritik sebagai tidak membawa makna.

Di kalangan rakyat republik tersebut, rombakan Kabinet Susilo itu adalah sesuatu yang penting dan dirasakan perlu kerana kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini dianggap mencalar kredibiliti pentadbiran bekas jeneral itu.

Kes utama yang menurunkan tahap keyakinan rakyat terhadap janji Susilo untuk menangani rasuah ialah pembabitan Bendahari Agung Parti Demokrat pimpinannya iaitu Mohammad Nazaruddin, dalam kes rasuah di Kementerian Olahraga dan Pemuda.

Lebih membuka pekung dalam kes tersebut, Mohammad mengaitkan beberapa lagi tokoh dalam Demokrat termasuk Ketua Umumnya, Anas Urbaningrum yang didakwanya terbabit dalam beberapa kes rasuah yang merugikan negara.

Kredibiliti Susilo terus menjadi tajuk perdebatan dengan keputusannya mengeluarkan pengampunan atau meringankan hukuman kepada beberapa individu yang telah dijatuhi hukuman penjara dan membebaskan mereka sebelum hukuman penuh penjara dilaksanakan. Dalam kes ini, ramai menyalahkan Menteri Keadilan sebagai bertanggungjawab.

Beberapa menteri dalam Kabinet Susilo diseret ke mahkamah, juga kerana disyaki terlibat rasuah. Dua daripadanya iaitu Menteri Olahraga Andi Malarangeng dan Menteri Tenaga Kerja Muhaimin Iskandar, dipaksa untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menjelaskan pembabitan mereka dalam kes rasuah.

Seorang lagi iaitu Menteri Kewangan, Agus Martowardojo (bersama Muhaimin Iskandar) juga terpaksa berbuat demikian kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah atau KPK.

KPK yang berulang kali menerima dugaan dan ancaman, sedang menyiasat pembabitan beberapa parti politik dalam urus niaga lumayan untuk menipu atau merasuah belanjawan kerajaan. Rakyat Indonesia sedang memerhatikan kaedah sokongan Susilo terhadap KPK dalam melaksanakan peranan mereka.

Semua kes di atas telah mendorong persepsi lemah di kalangan rakyat Indonesia. Setiap kaji selidik dan pendapat umum oleh badan bebas merumuskan populariti Susilo semakin menurun. Lebih teruk, Kabinetnya disifatkan berprestasi lemah di pandangan mata rakyat, sebagaimana terkandung dalam kaji selidik tersebut.

Sokongan terhadap Susilo merosot kepada 42.6 peratus pada bulan ini, paras terendah dalam tempoh tujuh tahun, berbanding 60.7 peratus pada waktu sama tahun lepas, menurut Institut Tinjauan Indonesia.

Secara umum, rakyat Indonesia kecewa dengan kaedah Susilo menunaikan janjinya untuk merombak Kabinet beliau. Pertama, ia mengambil masa yang terlalu panjang. Sebagaimana lazim, Susilo memerlukan terlalu banyak masa untuk berfikir dan membuat keputusan. Kekecewaan itu meruap-ruap apabila Susilo mengumumkan barisan baru Kabinetnya Selasa lalu.

Penganalisis politik terkemuka Indonesia, Arbi Sanit membidas rombakan itu sebagai bersifat luaran semata-mata.

"Beliau pengecut dan terlalu takut untuk menimbulkan kemarahan parti-parti politik dengan memecat menteri-menteri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

"Menteri-menteri baru semuanya tidak berprofil tinggi, sedangkan terdapat tokoh-tokoh lebih baik di luar sana tetapi beliau memilih mereka kerana mereka boleh berkompromi untuk memenuhi kepentingan beliau," kata Arbi.

Kegeraman itu terpancar pada pelantikan terlalu ramai Naib Menteri iaitu 13 jawatan baru kesemuanya. Malah, Susilo terpaksa mengubah peraturan untuk membolehkan anggota bukan birokrat untuk memegang jawatan Naib Menteri.

Pejabat Presiden dan Parti Demokrat bertegas menyatakan bahawa jawatan-jawatan baru itu perlu diwujudkan. Penambahan itu 'tidak bermakna' kerajaan akan menanggung beban yang lebih daripada segi perbelanjaan negara.

Walaupun sekadar Naib Menteri, secara umumnya ramai mengerti bahawa mereka menikmati kemudahan yang serupa seperti menteri penuh yang tentunya menambah beban pada perbelanjaan negara.

Sesetengah pemerhati mempersoalkan ketiadaan peraturan atau kod kerja berhubung dengan hubungan atau persamaan tugas antara menteri dan naib menteri. Ia mungkin membuka konflik atau perbezaan pendapat yang baru di kalangan mereka.

Jadi bila Susilo mengatakan rombakan itu akan memastikan Kabinetnya akan bekerja lebih cekap, nyata ia tidak tergambar dalam keputusannya.

Kritikan paling tajam mengenai rombakan Kabinet Susilo ini ialah beliau didakwa meraih kembali kementerian-kementerian utama ke dalam cengkaman kawalannya. Semua individu yang dipilih memegang jawatan kementerian utama merupakan orang-orang yang setia dan rapat kepadanya.

Benar, Parti Demokrat pimpinan Susilo 'kehilangan' satu kerusi menteri. Namun ia dilihat satu taktik untuk menenangkan PKS yang juga dicabut satu jawatan menteri. Tetapi kini, anggota parti Susilo memenuhi kementerian paling strategik termasuk kementerian perdagangan, tenaga dan sumber mineral, perundangan dan hak asasi manusia serta perusahaan negara.

Golkar mengekalkan tiga wakilnya dalam Kabinet tetapi menyaksikan bekas Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan, Fadel Muhammad digugurkan. Dia diganti oleh Timbalan Pengerusi Golkar, Syarif Cicip Sutardjo.

Memandangkan pengaruh kuasa yang masih tebal pada Golkar dalam Majlis Perwakilan Rakyat, Susilo mungkin berasakan sokongan Golkar adalah sangat penting untuk memastikan kestabilan baki tempoh tiga tahun beliau sebagai presiden Indonesia.

Seorang lagi penganalisis politik, Krinasdi Yuliawan memberitahu Utusan Malaysia, sentimen rakyat yang mahu Susilo menggugurkan beberapa menteri yang telah dikaitkan dengan kes-kes rasuah berprofil tinggi tetapi ia 'hilang' dalam skrip rombakan Kabinet.

''Malah pelantikan Amir Syamsuddin sebagai Menteri Perundangan dan Hak Asasi Manusia memberi mesej kuat bahawa Susilo tidak mahu seorang individu bebas daripada kepentingan parti politik berada di situ, ketika parti Demokrat sedang menghadapi siasatan yang kuat berhubung dakwaan rasuah," ujarnya.

Tatkala rakyat Indonesia mempersoalkan bagaimana parti politik boleh 'mendorong' bajet kerajaan bagi dijadikan dana untuk pilihan raya 2014, kini mereka melihat kementerian-kementerian 'lumayan' selamat dalam cengkaman Susilo.

''Saya berpendapat rombakan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dan masalah. Ia seperti bila anda mengalami sakit kepala, anda memilih untuk membalut kepala lutut pula," kata Krisnadi.

Source: Utusan Malaysia Online.

Puncak kejayaan Rashidi Ishak

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN, aida.kamaruddin@utusan.com.my
Gambar MOHD NOOR AMIN

MENGGENGGAM Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ketika umur mencecah 39 tahun, pelakon Rashidi Ishak percaya ini merupakan hadiah terbaik buat dirinya dan keluarga.

Mengambil masa sehingga enam tahun sebelum bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rashidi mengakui tempoh waktu itu memang lama.

Namun apa yang dilakukannya adalah satu pengorbanan yang harus dilaluinya sebagai anak seni.

"Bukan mudah sebenarnya untuk mengimbangi waktu bekerja dan belajar di mana saya terpaksa menangguhkan waktu pengajian saya untuk memenuhi undangan berlakon.

"Itu juga antara sebab mengapa tempoh pengajian saya agak lama berbanding pelajar lain. Apa pun saya bersyukur kerana usaha saya berhasil," katanya ketika ditemui di majlis konvokesyen ke-35, UPM Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Rashidi, faktor utama mengapa dia memilih jurusan komunikasi adalah untuk memperbaiki skil berkomunikasi dan berhadapan dengan orang ramai.

"Walaupun saya seorang pelakon tetapi saya akui ada sedikit masalah di dalam berkomunikasi.

"Sepanjang saya mengikuti kursus ini, saya bukan sahaja menimba lebih banyak ilmu tetapi juga dapat memperbaiki cara saya berinteraksi dengan orang ramai.

"Lagipun saya menyimpan impian untuk bergelar anak seni yang berilmu dan buktinya, segulung ijazah dalam genggaman memberi saya kepuasan dan satu pencapaian peribadi yang membanggakan," kata Rashidi, ayah kepada dua orang anak, Mikail Aimran,8, dan Mariyam Rashika,7 tahun.

Setia ditemani isterinya, pelakon serta pengacara Nona, Vanidah Imran, Rashidi sebenarnya lewat tiba di UPM pada hari konvokesyennya.

Bagaimanapun, dia kelihatan tenang dan riang sewaktu mengenakan jubah konvokesyen.

Sambil membetulkan jubah yang dipakainya, Rashidi berkata, kunci kejayaannya adalah kerana keluarga.

"Dorongan serta motivasi daripada keluarga terutamanya isteri saya, merupakan penyumbang utama kejayaan saya hari ini.

"Saya amat bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang banyak menyokong saya dari belakang.

"Saya juga berterima kasih kerana mempunyai rakan-rakan yang banyak menyuntik semangat untuk saya memperbaiki diri.

"Terus terang saya katakan, tanpa sokongan mereka semua, belum tentu saya mampu menghabiskan pengajian saya di sini," katanya sambil ketawa.

Menjadikan beberapa tokoh negara sebagai sumber inspirasi, Rashidi turut mengakui bahawa ayahnya turut menjadi pendorong kejayaannya hari ini.

"Ayah adalah contoh terdekat yang membakar semangat saya untuk menggenggam segulung ijazah.

"Dia graduan dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia ketika umurnya dalam lingkungan 40-an.

"Melihat kesungguhan ayah dan berdasarkan pengalaman beliau, saya percaya proses pembelajaran adalah satu proses yang tidak pernah tamat buat kita sebagai manusia," katanya.

Menyimpan impian untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Rashidi berharap kejayaan itu membuka peluang yang lebih cerah buat dirinya untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana.

"Jika diizinkan saya ingin menyambung pegajian saya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Impian saya suatu hari nanti untuk menyambung pengajian dalam bidang Kewangan Islam," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 19 Oktober 2011

Peria pembersih darah

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
ARKIB : 02/09/2001

Bunga Peria, foto - Idris Talu.

WALAUPUN rasanya amat pahit, PERIA tetap diminati ramai. Malah, ia menjadi sebahagian daripada ramuan utama dalam masakan tertentu.

Ia selalunya dimasak gulai campur ikan bilis atau udang kering atau digoreng bersama ikan dan juga dimasak taucu.

Pokok peria atau nama saintifiknya Momordica charantia L dari keluarga cucurbitaceae kecil dan memanjat.

Buah peria, foto - Idris Talu.

Ia banyak terdapat di kawasan tropika. Di Semenanjung Malaysia peria ditanam di sekitar rumah atau di kebun tetapi kadang-kadang hidup liar.

Pokok peria memanjang menggunakan sulur paut manakala daunnya kecil dengan lima cuping telinga yang jelas sementara bunganya berwarna kuning.

Buah peria berbentuk meruncing di kedua-dua hujung dengan kulitnya berkedut-kedut dan berwarna hijau tua ketika masih muda.

Selain dimasak, buah muda peria selalu dibuat jeruk manakala bunganya pula boleh digunakan sebagai perisa makanan.

Bagi mengurangkan rasa pahit, biasanya buah peria yang telah dihiris direndam terlebih dahulu dengan air garam.

Peria mengandungi pelbagai zat makanan yang diperlukan oleh manusia untuk kesihatan.

Setiap 100 gram (g) peria mengandungi 0.8g protein untuk membina tisu-tisu badan, 2.9g karbohidrat untuk tenaga, 0.9g fiber untuk penghadaman dan 56 miligram (mg) kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.

Bunga peria, foto - Idris Talu.

Peria juga mengandungi 140ug karatenea beta untuk penglihatan di samping zat besi (6.1mg), fosforus (10mg) dan kalium (116mg). Ketiga-tiganya adalah garam galian untuk metabolisme yang mengekalkan fungsi badan.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin yang ditemui ketika Pameran Ulam dan Peram berlangsung di ibu negara bulan lalu memberitahu, ramai yang tidak mengetahui bahawa peria juga mempunyai pelbagai khasiat.

Menurutnya, buah peria muda selalunya dijadikan sebagai tonik yang berkesan untuk membersihkan darah.

``Amalan memakan peria bagus untuk pesakit darah tinggi dan kencing manis di samping merawat batuk serta mengubati cirit-birit.

``Peria juga bertindak sebagai antiradang, menurunkan panas, menyegarkan badan dan mematikan cacing,'' kata Zainal Abidin.

Tambah beliau, sama ada dimakan atau disapukan, buah peria boleh mematangkan bisul, menyuburkan rambut bayi dan menghilangkan parut luka.

``Daun peria yang ditumbuk halus bersama-sama kunyit boleh dijadikan ubat sapu untuk menghilangkan gatal akibat campak.

``Air rebusan daunnya pula boleh mengatasi masalah susah membuang air besar,'' tambah Zainal Abidin.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, maklumat dan pertanyaan mengenai herba boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my.

Source: Utusan Malaysia Online.

Selasa, 18 Oktober 2011

Lupakan PPSMI, gerakkan MBMMBI

Oleh Sidek Baba

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan.

Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak kelompok yang berkepentingan.

Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 memperkenalkan jalan keluar ‘menang-menang’ supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan.

Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu.

Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.

Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain.

Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di Malaysia, bukan bersifat mengalah.

Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya, mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan.

Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang tidak pernah reda. Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah.

Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris dan terdapat sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat.

Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan demokratik.

Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu ini.

Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat mewujudkan peluang yang lebih saksama.

Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan bumiputera 22,929 orang.

Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu dilakukan.

Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan mengandungi unsur risiko yang tinggi.

Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.

Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi keutamaan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mahalnya harga makanan di China

DATUK RUHAIDINI ABD KADIR menulis dari Beijing Language and Culture University, China.

BAGI saya, ada banyak rahmat yang tersembunyi di sebalik semua takdir yang saya lalui termasuklah keputusan melanjutkan pengajian ke China, sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan jumlah lebih 1.3 bilion orang.

Hidup merantau pada usia sedewasa ini mendidik saya untuk menjadi lebih 'mengerti dan berani' menghadapi segala macam rintangan sementelah saya 'sebatang kara' di bumi China yang diperintah Parti Komunis China, di bawah sistem satu parti.

Antara rencam cabaran yang terpaksa saya hadapi ialah kesan harga makanan yang tinggi dan meningkat di China yang bukan sahaja menjadi masalah utama rakyat miskin di tanah besar ini tetapi tempiasnya turut dirasai oleh saya (yang mengambil cuti belajar tanpa gaji).

Ironinya, harga makanan yang tinggi di China meningkatkan inflasi dan menyumbang kepada penurunan yang ketara dalam pendapatan sebenar golongan miskin yang membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk makanan.

Terkini, indeks harga pengguna China (September) berada pada paras 6.1 peratus berbanding 6.5 peratus pada Julai lalu sekali gus mengakibatkan kadar inflasi China meningkat lebih 5 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, lebih tinggi daripada sasaran kerajaan iaitu empat peratus setahun.

Menurut Biro Statistik Negara (NBS), harga makanan yang meningkat 14.8 peratus di China pada Julai lalu dan terbaru pada paras 13.4 peratus dilihat mampu menyusahkan rakyat berpendapatan rendah yang mana makanan merangkumi satu pertiga daripada perbelanjaan bulanan bagi purata pengguna di China.

Kos makanan melonjak, sebahagiannya berpunca akibat cuaca buruk misalnya ekoran banjir selama berminggu-minggu disebabkan hujan berpanjangan di seluruh selatan China mengakibatkan banyak kawasan di wilayah Hubei dan Zhejiang, termasuk lebih 432,200 hektar tanah pertanian ditenggelami air.

Banjir tersebut menyusuli kemarau buruk selama kira-kira 200 hari yang melanda tengah China di sepanjang Sungai Yangtze, menjejaskan lebih 1.3 juta hektar tanah pertanian di tujuh wilayah yang menjadi pengeluar utama makanan di China.

Justeru, dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi di Beijing, saya mengamalkan kehidupan bersederhana dan berjimat cermat dalam berbelanja. Setiap hari ke sekolah, saya membawa bekal makanan yang saya masak sendiri - nasi goreng, mi hon goreng atau paling tidak, roti telur (French Toast) sebagai sarapan pagi sekali gus menu makan tengah hari.

Boleh dibilang dengan jari berapa kali saya mengunjungi kantin atau menjamu selera di kedai-kedai makan (Muslim) sekitar kampus. Bukan kedekut, tetapi saya 'tidak sanggup' membayar harga makanan siap dimasak yang agak mahal jika dibandingkan dengan di Malaysia.

Pengalaman pertama kali makan di sebuah kedai makan (Muslim) memeranjatkan saya apabila saya terpaksa membayar RMB32 (sekitar RM16) untuk semangkuk nasi putih dengan lauk ayam dan sayur goreng.

Harga semangkuk 'lamian' (mi sup dengan campuran sayur dan 3,4 hiris daging lembu) ialah RMB22 (sekitar RM11) manakala harga secawan teh susu (paling murah) yang pernah saya jumpa di Beijing ialah RMB12 (RM6).

Harga makanan dan minuman yang saya sebut itu merupakan harga di kedai makan yang bertaraf 'biasa-biasa sahaja' bukan hotel atau restoran lima bintang.

Justeru, ada satu hal yang tidak boleh dinafikan bahawa rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertuah kerana kerajaan prihatin dalam memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia.

Dengan harga maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari, Menu Rakyat 1Malaysia menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang sangat berpatutan yang tidak mungkin kita jumpa di mana-mana negara di dunia ini termasuk di Beijing.

Pada waktu ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang giat berusaha memastikan penglibatan 700 pengusaha yang telah mengambil bahagian dalam projek Menu Rakyat 1Malaysia diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012.

Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia. Bertuahnya kita!

Hakikatnya, makanan merupakan bahagian yang besar dalam perbelanjaan sesebuah keluarga termasuklah sesebuah keluarga yang miskin di sesebuah negara. Justeru, peningkatan harga makanan merupakan ancaman kepada pembangunan sedunia dan kestabilan sosial.

Melalui cabaran besar ini, saya tidak dapat bayangkan bagaimana sesebuah keluarga yang miskin di China menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat dengan harga barangan keperluan harian yang sangat tinggi.

Di China, harga sekilogram gula ialah RMB21 (sekitar RM10.50) dan angka itu berkali-kali ganda lebih mahal berbanding di Malaysia iaitu RM2.30 sekilogram (harga pasaran RM2.50 - subsidi kerajaan 20 sen bagi setiap kilogram). Bagi sekilogram tepung di China dijual pada harga RMB5 (RM2.50) berbanding RM1.35 dijual di Malaysia (harga pasaran RM1.90 - subsidi kerajaan 55 sen).

Minyak masak berasaskan sawit seperti skim subsidi kerajaan Malaysia yang dijual RM2.50 sekilogram (harga pasaran RM3.90 - subsidi kerajaan RM1.40 bagi setiap kilogram) tidak popular di China berbanding minyak masak berasaskan kacang soya yang dijual pada harga RMB16 sekilogram (RM8) atau minyak masak berasaskan kacang tanah RMB23 sekilogram (RM11.50).

Jika dibandingkan dengan China, harga petrol di Malaysia juga masih jauh lebih murah. Harga Petrol RON95 di Malaysia dijual RM1.90 seliter (harga pasaran RM2.75 subsidi kerajaan 85 sen bagi setiap liter) manakala Petrol RON97 dijual pada harga RM2.80 seliter. Harga Petrol RON93 di China dijual RMB7.79 seliter (kira-kira RM3.90 seliter) manakala Petrol RON95 dijual pada harga RMB8.29 seliter (kira-kira RM4.15 seliter).

Sebagai bukti keprihatinan kepada rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia juga salah satu langkah membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin.

Hakikatnya, kenaikan harga barangan dan petrol merupakan satu fenomena global. Pun begitu, kerajaan sentiasa prihatin memberi perhatian kepada isu-isu yang menjadi keluh-kesah rakyat terutama mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Source: Utusan Malaysia Online.

Sentimen serumpun tapi satu pihak kena mengalah

Oleh IRMAN HASHIM
(Yang mengikuti Seminar Internasional Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun di Medan baru-baru ini)

PERSAUDARAAN dua bangsa Malaysia dan Indonesia memiliki akar yang sangat rapat dan kuat sejak sebelum berlakunya penjajahan ke atas kedua-dua negara.

Ikatan 'serumpun' itu dapat dilihat melalui ikatan sejarah dan budaya antara kedua-dua bangsa yang terus dapat disaksikan sehingga saat ini.

Namun, seperti semua hubungan yang wujud di dunia ini, perasaan negatif termasuk cemburu dan tidak puas hati membayangi hubungan itu menyebabkan ia tidak membantu dalam memperkukuhkan hubungan berkenaan. Ia ditambah pula dengan faktor persekitaran, sosioekonomi dan politik antara kedua-dua negara.

Justeru, perkara itu merupakan antara isu yang dibangkitkan di Seminar Internasional Pemerkasaan Persaudaraan Dua Bangsa Serumpun di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara (IAIN), Medan baru-baru ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh IAIN, Konsulat Malaysia di Medan dan dipengerusikan oleh Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Pengarah Program Mengubah Destinasi Anak Bangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Mohd. Hanafiah Harun, Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPS) Perak, Datuk Ahmad Mokhtar Selat dan dua pensyarah IAIN, Prof. Dr. H. Syahrin Harahap dan Prof. Dr. H. Haidar Putra Daulay merupakan ahli panel dalam seminar berkenaan.

Ahmad berkata, keadaan itu timbul ekoran sentimen dan romantisisme serumpun menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kedua-dua pihak kerana berlaku jangkaan bahawa satu pihak perlu mengalah.

Katanya, terdapat jangkaan di mana dalam persaudaraan sudah tentu yang tua harus didahulukan manakala yang muda harus mengalah dan memberi laluan. Selain itu, beliau berkata, ia juga menimbulkan pelbagai harapan dan jangkaan bagi memastikan hubungan tersebut terjalin.

Dalam pada itu, seminar berkenaan telah merumuskan bahawa masalah komunikasi antara kedua-dua negara merupakan antara punca mengapa timbulnya konflik.

Rumusan itu antaranya menyatakan komunikasi yang tidak lancar akan mengakibatkan hubungan tidak harmoni.

Peningkatan pengetahuan dan komunikasi adalah strategi terbaik bagi memperkuatkan persaudaraan antara kedua-dua negara.

Ahmad turut mencadangkan kedua-dua memperkembangkan sentimen serumpun itu dengan memperkukuhkan hubungan ekonomi. Ini kerana ia boleh membantu memperkuatkan perasaan saling kebergantungan antara satu sama lain.

Dalam era globalisasi ini, persaingan dan konflik akan berpunca dari isu ekonomi. Konflik berpunca dari ideologi dan perluasan wilayah sudah kurang relevan ketika ini, jadi pelaburan dan perdagangan dua hala perlu dipertingkatkan.

''Sebagai contoh, Malaysia boleh meneroka bidang perbankan dan perladangan di Indonesia manakala syarikat cari gali minyak dari kedua-dua negara, Pertamina dan Petronas boleh bekerjasama menembusi peluang pelaburan yang lebih jitu berdasarkan sentimen serumpun," ujarnya.

Ia adalah sangat merugikan jika hubungan baik dan perpaduan antara kedua-dua bangsa tidak diperkukuhkan terutama ketika dunia menghadapi pelbagai cabaran dari pelbagai sudut termasuk ekonomi dan politik.

Pengukuhan hubungan serumpun kini juga dilihat sangat penting ketika kedua-dua menghadapi pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini.

Pengukuhan ikatan bangsa bukan sahaja akan membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah menambah kekuatan kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran akan datang.

Source: Utusan Malaysia Online.

Isnin, 17 Oktober 2011

Manis bergelar pelajar semula

Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

JARANG ada warga emas ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kekangan usia dan kudrat namun ada yang sanggup berdepan cabaran dunia pengajian sekali lagi biarpun sudah berdekad meninggalkan alam persekolahan.

Bagi mereka, umur hanya angka dan tidak melambangkan semangat perjuangan menuntut ilmu biarpun masyarakat melihatnya dari sudut berbeza.


Timbul persoalan mengapa golongan ini masih mahu belajar biarpun sudah berusia? Mengapakah sanggup berkorban dan meninggalkan waktu bersama keluarga semata-mata mahu memperoleh ijazah yang tidak mampu lagi menjamin pekerjaan?

Apakah matlamat yang dicari golongan ini?

Ab Hamid Yunos, 74, yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini, berkata semangat cintakan ilmu menjadi titik tolak dia melanjutkan pelajaran.

Meskipun meninggalkan alam persekolahan sejak 1954, hasratnya tidak pernah padam dan peluang itu tiba selepas bersara.

“Sejak kecil, saya suka belajar namun keadaan hidup yang sukar, terpaksa diketepikan sementara. Bagaimanapun tidak bermakna saya melupakan biarpun usia menginjak senja.

“Selepas bersara peluang itu tiba dan tiada istilah terlambat jika ingin menuntut ilmu. Saya teruja dan tidak sabar memulakan pengajian biarpun terpaksa menunggu begitu lama.

“Saya puas menyempurnakan impian sebelum menutup mata. Kejayaan menggenggam segulung ijazah ini, membalas segala penat lelah dan penantian selama ini,” katanya.

Berasal dari Melaka, dia mengakui pengalaman pertama bergelar pelajar semula sangat manis biarpun terpaksa berhempas pulas dari bawah dan bersaing dengan mereka lebih muda.

Beliau memulakan pengajiannya selepas bersara dalam dunia ketenteraan di sekolah pondok di Kelantan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang hadis dan sunnah di kampus Nilam Puri, Universiti Malaya (UM).


Kemudian ke peringkat diploma dalam bidang sama sebelum ditawarkan tempat di USM.

Antara cabaran paling sukar apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan peralihan penggunaan bahasa Melayu lama kepada moden.

“Sebagai orang lama yang bersekolah pada zaman sebelum merdeka, banyak perbezaan dari segi lenggok dan penggunaan bahasa. Penggunaannya kini cukup ‘warna-warni’ dan ‘advance.’

“Peringkat permulaan sukar namun sokongan rakan dan pensyarah, banyak membantu selain saya menganggapnya cabaran belajar di alaf baru.

“Selepas lama meninggalkan alam persekolahan, janggal belajar semula. Namun jika ada disiplin dan kemahuan segalanya boleh diatasi,” katanya.

Biarpun memperoleh keistimewaan dan kelonggaran, dia tidak menggunakannya bagi kepentingan diri sendiri.

“Apa yang diberikan bukan alasan menggunakannya sesuka hati. Perhubungan dijalin atas landasan saling menghormati dan membantu.

“Biarpun ada jarak usia antara rakan sekuliah dan pensyarah, saya tetap profesional serta tahu meletakkan batas tertentu dalam pergaulan. Saya menghormati pensyarah kerana ilmu dan mereka juga menghormati saya kerana usia dan pengalaman,” katanya.

Beliau mengakui sebagai bekas tentera, hidupnya penuh disiplin dan tugasan perlu dilakukan dengan sempurna.

“Malangnya bukan semua boleh mengikut rentak itu, saya mesti ‘bertolak-ansur.’
Golongan muda hari ini banyak kerenahnya dan memerlukan pendekatan boleh diterima kelompok mereka,” katanya yang mengakui banyak ‘benda’ berubah terutama penggunaan teknologi moden.

Dari sudut lain pula menganggap pelajar hari ini tidak pandai memanfaatkan peluang dengan baik selain gemar melakukan tugasan di saat akhir.

“Perubahan zaman dan penggunaan teknologi seperti Internet memudahkan proses pembelajaran namun turut menyumbang kepada penurunan tahap disiplin.

“Ada pelajar hanya belajar sambil lewa dan kurang memanfaatkan peluang selain gemar membuat tugasan atau ulang kaji di saat akhir.

“Gaya hidup seperti itu tidak sihat. Untuk berjaya, perlukan disiplin serta percaturan hidup yang teratur,” katanya yang mengikuti pengkhususan sejarah.
Beliau memperoleh gred purata kumulatif (CGPA) 2.5.

Keinginan yang meluap-luap menjadikan bapa kepada dua orang cahaya mata ini bersedia memulakan kembali perjuangannya di menara gading dengan mengikuti program peringkat sarjana pula.

“Selagi ada hayat, saya akan terus belajar biarpun semakin sukar. Ini adalah perjuangan dan jika saya boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain lebih muda?,” katanya.

Rakannya, Musa Jaafar, 79, berkata keputusan kembali belajar didorong cita-citanya yang tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebaik menamatkan pengajian sekolah Inggeris pada 1955.

Menurutnya, pada waktu itu, dia perlu memberi laluan kepada alam pekerjaan kerana keputusan peperiksaan Cambridge (setara Sijil Pelajaran Malaysia kini) kurang memberangsangkan.

“Saya mempunyai cita-cita tinggi memasuki institusi pengajian tinggi namun disebabkan dapat gred tiga, terpaksa melupakan impian itu.

“Keinginan untuk terus belajar tidak pernah luput, tetapi keadaan memaksa melupakannya seketika dan memberi fokus pada pekerjaan.

“Peluang itu diperoleh selepas bersara manakala keluarga juga tiada halangan.
Akhirnya pada usia senja, saya menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, bekas pengurus Felda ini cukup bertuah kerana memperoleh sokongan padu keluarga apatah lagi semua sembilan anaknya berpendidikan tinggi.

Mengambil jurusan sains sosial dengan pengkhususan sains politik, dia menganggap cabaran paling sukar dihadapi apabila terpaksa berulang alik antara Sungai Petani, Kedah ke USM bagi menghadiri kuliah.

“Itulah kesukarannya kerana terpaksa memandu sendiri ke kampus. Sebagai orang tua kadang kala ada masalah kesihatan. Namun, itu bukan alasan tidak hadir ke kuliah, malah terasa rugi jika ponteng.

“Pada waktu ini, saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran tanpa perlu memikirkan soal tanggungjawab. Disebabkan usia, ramai pensyarah sudi membantu.

“Ia meningkatkan penguasaan terhadap subjek sukar, tetapi saya juga terpaksa menggandakan usaha membuat ulang kaji dengan belajar pada waktu malam selama empat hingga enam jam.

“Ini pengalaman manis kerana saya mengulang semula saat-saat belajar seperti waktu kecil dulu. Bezanya sekarang ia lebih mudah kerana dipacu penggunaan teknologi seperti komputer,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika keadaan kesihatan mengizinkan.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Timun Tikus, Kemarongan

By Idris Ismail Talu.



Nama tanaman:

Timun tikus, pepasan atau papasan - Melayu

Kemarongan atau Bolu teke - Indonesia

Sloks baah - Kemboja

Tam ling ; tam nin - Laos

Phakthamlung ผักตำลึง - Thailand

Hua brau - Vietnam

Ivy Gourd ; Small Gourd ; Scarlet Gourd - English



Buah Timun Tikus yang sudah masak. menjadi rebutan burung.


Nama-nama Timun Tikus di India:

Sanskrit - bimbaphala, tundika

Hindi - Kunduru

Kannada - toned

Konkani – tendale

Malayalam - kovakkai

Marathi – bimba, tendali, tondli

English - Gentleman's toes, ivy gourd

Nama botani - Coccinia grandis




CLICK NOW

Tajuk Kegemaran