Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my
JARANG ada warga emas ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kekangan usia dan kudrat namun ada yang sanggup berdepan cabaran dunia pengajian sekali lagi biarpun sudah berdekad meninggalkan alam persekolahan.
Bagi mereka, umur hanya angka dan tidak melambangkan semangat perjuangan menuntut ilmu biarpun masyarakat melihatnya dari sudut berbeza.
Timbul persoalan mengapa golongan ini masih mahu belajar biarpun sudah berusia? Mengapakah sanggup berkorban dan meninggalkan waktu bersama keluarga semata-mata mahu memperoleh ijazah yang tidak mampu lagi menjamin pekerjaan?
Apakah matlamat yang dicari golongan ini?
Ab Hamid Yunos, 74, yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini, berkata semangat cintakan ilmu menjadi titik tolak dia melanjutkan pelajaran.
Meskipun meninggalkan alam persekolahan sejak 1954, hasratnya tidak pernah padam dan peluang itu tiba selepas bersara.
“Sejak kecil, saya suka belajar namun keadaan hidup yang sukar, terpaksa diketepikan sementara. Bagaimanapun tidak bermakna saya melupakan biarpun usia menginjak senja.
“Selepas bersara peluang itu tiba dan tiada istilah terlambat jika ingin menuntut ilmu. Saya teruja dan tidak sabar memulakan pengajian biarpun terpaksa menunggu begitu lama.
“Saya puas menyempurnakan impian sebelum menutup mata. Kejayaan menggenggam segulung ijazah ini, membalas segala penat lelah dan penantian selama ini,” katanya.
Berasal dari Melaka, dia mengakui pengalaman pertama bergelar pelajar semula sangat manis biarpun terpaksa berhempas pulas dari bawah dan bersaing dengan mereka lebih muda.
Beliau memulakan pengajiannya selepas bersara dalam dunia ketenteraan di sekolah pondok di Kelantan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang hadis dan sunnah di kampus Nilam Puri, Universiti Malaya (UM).
Kemudian ke peringkat diploma dalam bidang sama sebelum ditawarkan tempat di USM.
Antara cabaran paling sukar apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan peralihan penggunaan bahasa Melayu lama kepada moden.
“Sebagai orang lama yang bersekolah pada zaman sebelum merdeka, banyak perbezaan dari segi lenggok dan penggunaan bahasa. Penggunaannya kini cukup ‘warna-warni’ dan ‘advance.’
“Peringkat permulaan sukar namun sokongan rakan dan pensyarah, banyak membantu selain saya menganggapnya cabaran belajar di alaf baru.
“Selepas lama meninggalkan alam persekolahan, janggal belajar semula. Namun jika ada disiplin dan kemahuan segalanya boleh diatasi,” katanya.
Biarpun memperoleh keistimewaan dan kelonggaran, dia tidak menggunakannya bagi kepentingan diri sendiri.
“Apa yang diberikan bukan alasan menggunakannya sesuka hati. Perhubungan dijalin atas landasan saling menghormati dan membantu.
“Biarpun ada jarak usia antara rakan sekuliah dan pensyarah, saya tetap profesional serta tahu meletakkan batas tertentu dalam pergaulan. Saya menghormati pensyarah kerana ilmu dan mereka juga menghormati saya kerana usia dan pengalaman,” katanya.
Beliau mengakui sebagai bekas tentera, hidupnya penuh disiplin dan tugasan perlu dilakukan dengan sempurna.
“Malangnya bukan semua boleh mengikut rentak itu, saya mesti ‘bertolak-ansur.’
Golongan muda hari ini banyak kerenahnya dan memerlukan pendekatan boleh diterima kelompok mereka,” katanya yang mengakui banyak ‘benda’ berubah terutama penggunaan teknologi moden.
Dari sudut lain pula menganggap pelajar hari ini tidak pandai memanfaatkan peluang dengan baik selain gemar melakukan tugasan di saat akhir.
“Perubahan zaman dan penggunaan teknologi seperti Internet memudahkan proses pembelajaran namun turut menyumbang kepada penurunan tahap disiplin.
“Ada pelajar hanya belajar sambil lewa dan kurang memanfaatkan peluang selain gemar membuat tugasan atau ulang kaji di saat akhir.
“Gaya hidup seperti itu tidak sihat. Untuk berjaya, perlukan disiplin serta percaturan hidup yang teratur,” katanya yang mengikuti pengkhususan sejarah.
Beliau memperoleh gred purata kumulatif (CGPA) 2.5.
Keinginan yang meluap-luap menjadikan bapa kepada dua orang cahaya mata ini bersedia memulakan kembali perjuangannya di menara gading dengan mengikuti program peringkat sarjana pula.
“Selagi ada hayat, saya akan terus belajar biarpun semakin sukar. Ini adalah perjuangan dan jika saya boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain lebih muda?,” katanya.
Rakannya, Musa Jaafar, 79, berkata keputusan kembali belajar didorong cita-citanya yang tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebaik menamatkan pengajian sekolah Inggeris pada 1955.
Menurutnya, pada waktu itu, dia perlu memberi laluan kepada alam pekerjaan kerana keputusan peperiksaan Cambridge (setara Sijil Pelajaran Malaysia kini) kurang memberangsangkan.
“Saya mempunyai cita-cita tinggi memasuki institusi pengajian tinggi namun disebabkan dapat gred tiga, terpaksa melupakan impian itu.
“Keinginan untuk terus belajar tidak pernah luput, tetapi keadaan memaksa melupakannya seketika dan memberi fokus pada pekerjaan.
“Peluang itu diperoleh selepas bersara manakala keluarga juga tiada halangan.
Akhirnya pada usia senja, saya menggenggam segulung ijazah,” katanya.
Berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, bekas pengurus Felda ini cukup bertuah kerana memperoleh sokongan padu keluarga apatah lagi semua sembilan anaknya berpendidikan tinggi.
Mengambil jurusan sains sosial dengan pengkhususan sains politik, dia menganggap cabaran paling sukar dihadapi apabila terpaksa berulang alik antara Sungai Petani, Kedah ke USM bagi menghadiri kuliah.
“Itulah kesukarannya kerana terpaksa memandu sendiri ke kampus. Sebagai orang tua kadang kala ada masalah kesihatan. Namun, itu bukan alasan tidak hadir ke kuliah, malah terasa rugi jika ponteng.
“Pada waktu ini, saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran tanpa perlu memikirkan soal tanggungjawab. Disebabkan usia, ramai pensyarah sudi membantu.
“Ia meningkatkan penguasaan terhadap subjek sukar, tetapi saya juga terpaksa menggandakan usaha membuat ulang kaji dengan belajar pada waktu malam selama empat hingga enam jam.
“Ini pengalaman manis kerana saya mengulang semula saat-saat belajar seperti waktu kecil dulu. Bezanya sekarang ia lebih mudah kerana dipacu penggunaan teknologi seperti komputer,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika keadaan kesihatan mengizinkan.
Source: Harian Metro Malaysia Online.
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Isnin, 17 Oktober 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
Teks dan gambar Kusyi Hirdan MUNGKIN ada pembaca yang sudah tahu mengenai buah perah ini. Mereka yang berada di Terengganu, Perak, Pahang da...
-
إ دريس تالو Idris Talu Di Barat Semenanjung Tanah Melayu, ramai yang menyebutnya sebagai ikan tongkol atau ikan kayu . Kenapa? Mungk...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
Sumber: Utusan Malaysia Online Tarikh siar : 11 Oktober 2010. Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, FARABI SYED SHEIKH AL-JABRI, RIZANIZAM HAMID dan NORA...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan