TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Khamis, 20 Oktober 2011

Rombakan Susilo Bambang Yudhoyono serba tidak kena

OLEH JOHARDY IBRAHIM, pengarang@utusan.com.my

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono

ROMBAKAN Kabinet Indonesia pada Selasa lalu, meletakkan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam kedudukan serba tidak kena. Ditukar menteri, rakan pakatan merajuk. Dilantik baru, dikritik sebagai tidak membawa makna.

Di kalangan rakyat republik tersebut, rombakan Kabinet Susilo itu adalah sesuatu yang penting dan dirasakan perlu kerana kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini dianggap mencalar kredibiliti pentadbiran bekas jeneral itu.

Kes utama yang menurunkan tahap keyakinan rakyat terhadap janji Susilo untuk menangani rasuah ialah pembabitan Bendahari Agung Parti Demokrat pimpinannya iaitu Mohammad Nazaruddin, dalam kes rasuah di Kementerian Olahraga dan Pemuda.

Lebih membuka pekung dalam kes tersebut, Mohammad mengaitkan beberapa lagi tokoh dalam Demokrat termasuk Ketua Umumnya, Anas Urbaningrum yang didakwanya terbabit dalam beberapa kes rasuah yang merugikan negara.

Kredibiliti Susilo terus menjadi tajuk perdebatan dengan keputusannya mengeluarkan pengampunan atau meringankan hukuman kepada beberapa individu yang telah dijatuhi hukuman penjara dan membebaskan mereka sebelum hukuman penuh penjara dilaksanakan. Dalam kes ini, ramai menyalahkan Menteri Keadilan sebagai bertanggungjawab.

Beberapa menteri dalam Kabinet Susilo diseret ke mahkamah, juga kerana disyaki terlibat rasuah. Dua daripadanya iaitu Menteri Olahraga Andi Malarangeng dan Menteri Tenaga Kerja Muhaimin Iskandar, dipaksa untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menjelaskan pembabitan mereka dalam kes rasuah.

Seorang lagi iaitu Menteri Kewangan, Agus Martowardojo (bersama Muhaimin Iskandar) juga terpaksa berbuat demikian kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah atau KPK.

KPK yang berulang kali menerima dugaan dan ancaman, sedang menyiasat pembabitan beberapa parti politik dalam urus niaga lumayan untuk menipu atau merasuah belanjawan kerajaan. Rakyat Indonesia sedang memerhatikan kaedah sokongan Susilo terhadap KPK dalam melaksanakan peranan mereka.

Semua kes di atas telah mendorong persepsi lemah di kalangan rakyat Indonesia. Setiap kaji selidik dan pendapat umum oleh badan bebas merumuskan populariti Susilo semakin menurun. Lebih teruk, Kabinetnya disifatkan berprestasi lemah di pandangan mata rakyat, sebagaimana terkandung dalam kaji selidik tersebut.

Sokongan terhadap Susilo merosot kepada 42.6 peratus pada bulan ini, paras terendah dalam tempoh tujuh tahun, berbanding 60.7 peratus pada waktu sama tahun lepas, menurut Institut Tinjauan Indonesia.

Secara umum, rakyat Indonesia kecewa dengan kaedah Susilo menunaikan janjinya untuk merombak Kabinet beliau. Pertama, ia mengambil masa yang terlalu panjang. Sebagaimana lazim, Susilo memerlukan terlalu banyak masa untuk berfikir dan membuat keputusan. Kekecewaan itu meruap-ruap apabila Susilo mengumumkan barisan baru Kabinetnya Selasa lalu.

Penganalisis politik terkemuka Indonesia, Arbi Sanit membidas rombakan itu sebagai bersifat luaran semata-mata.

"Beliau pengecut dan terlalu takut untuk menimbulkan kemarahan parti-parti politik dengan memecat menteri-menteri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

"Menteri-menteri baru semuanya tidak berprofil tinggi, sedangkan terdapat tokoh-tokoh lebih baik di luar sana tetapi beliau memilih mereka kerana mereka boleh berkompromi untuk memenuhi kepentingan beliau," kata Arbi.

Kegeraman itu terpancar pada pelantikan terlalu ramai Naib Menteri iaitu 13 jawatan baru kesemuanya. Malah, Susilo terpaksa mengubah peraturan untuk membolehkan anggota bukan birokrat untuk memegang jawatan Naib Menteri.

Pejabat Presiden dan Parti Demokrat bertegas menyatakan bahawa jawatan-jawatan baru itu perlu diwujudkan. Penambahan itu 'tidak bermakna' kerajaan akan menanggung beban yang lebih daripada segi perbelanjaan negara.

Walaupun sekadar Naib Menteri, secara umumnya ramai mengerti bahawa mereka menikmati kemudahan yang serupa seperti menteri penuh yang tentunya menambah beban pada perbelanjaan negara.

Sesetengah pemerhati mempersoalkan ketiadaan peraturan atau kod kerja berhubung dengan hubungan atau persamaan tugas antara menteri dan naib menteri. Ia mungkin membuka konflik atau perbezaan pendapat yang baru di kalangan mereka.

Jadi bila Susilo mengatakan rombakan itu akan memastikan Kabinetnya akan bekerja lebih cekap, nyata ia tidak tergambar dalam keputusannya.

Kritikan paling tajam mengenai rombakan Kabinet Susilo ini ialah beliau didakwa meraih kembali kementerian-kementerian utama ke dalam cengkaman kawalannya. Semua individu yang dipilih memegang jawatan kementerian utama merupakan orang-orang yang setia dan rapat kepadanya.

Benar, Parti Demokrat pimpinan Susilo 'kehilangan' satu kerusi menteri. Namun ia dilihat satu taktik untuk menenangkan PKS yang juga dicabut satu jawatan menteri. Tetapi kini, anggota parti Susilo memenuhi kementerian paling strategik termasuk kementerian perdagangan, tenaga dan sumber mineral, perundangan dan hak asasi manusia serta perusahaan negara.

Golkar mengekalkan tiga wakilnya dalam Kabinet tetapi menyaksikan bekas Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan, Fadel Muhammad digugurkan. Dia diganti oleh Timbalan Pengerusi Golkar, Syarif Cicip Sutardjo.

Memandangkan pengaruh kuasa yang masih tebal pada Golkar dalam Majlis Perwakilan Rakyat, Susilo mungkin berasakan sokongan Golkar adalah sangat penting untuk memastikan kestabilan baki tempoh tiga tahun beliau sebagai presiden Indonesia.

Seorang lagi penganalisis politik, Krinasdi Yuliawan memberitahu Utusan Malaysia, sentimen rakyat yang mahu Susilo menggugurkan beberapa menteri yang telah dikaitkan dengan kes-kes rasuah berprofil tinggi tetapi ia 'hilang' dalam skrip rombakan Kabinet.

''Malah pelantikan Amir Syamsuddin sebagai Menteri Perundangan dan Hak Asasi Manusia memberi mesej kuat bahawa Susilo tidak mahu seorang individu bebas daripada kepentingan parti politik berada di situ, ketika parti Demokrat sedang menghadapi siasatan yang kuat berhubung dakwaan rasuah," ujarnya.

Tatkala rakyat Indonesia mempersoalkan bagaimana parti politik boleh 'mendorong' bajet kerajaan bagi dijadikan dana untuk pilihan raya 2014, kini mereka melihat kementerian-kementerian 'lumayan' selamat dalam cengkaman Susilo.

''Saya berpendapat rombakan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dan masalah. Ia seperti bila anda mengalami sakit kepala, anda memilih untuk membalut kepala lutut pula," kata Krisnadi.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran