TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan

Ahad, 23 Oktober 2011

Azraai yakin Negeri Sembilan muncul juara

Oleh Mohd Amin Jalil, am@hmetro.com.my

MENGHADAPI pasukan mantap dan berwibawa Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, tidak memberi tekanan buat Negeri Sembilan, tegas ketua jurulatih skuad itu, Azraai Khor Abdullah.

Menurutnya, ini berdasarkan pengalaman dan rekod pertemuan dengan pasukan itu pada peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini, apabila Negeri Sembilan menang tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi manakala seri tanpa jaringan ketika bertandang ke Kuala Terengganu.

“Saya akui Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim lebih mantap kerana membariskan ramai pemain berpengalaman dan lincah terutama barisan penyerang mereka yang menggandingkan pemain kebangsaan Abdul Manaf Mamat dan Ashari Shamsuddin.

“Bagaimanapun, ia tidak akan memberi tekanan kepada Negeri Sembilan, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi dalam menghadapi pertemuan genting itu, untuk memastikan Negeri Sembilan berupaya mengimbangi kekuatan lawan dan akhirnya berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua di Paroi, malam kelmarin, yang berkesudahan mengatasi T-Team 2-1 untuk layak menerusi agregat 6-3, sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton kelmarin, T-Team terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fitri Omar pada minit ke-72, bagaimanapun Shahurain Abu Samah dan Shukor Adan melakar dua gol pada minit ke-74 dan 84.

Azraai yakin skuad bimbingannya mampu melakar sejarah menjulang trofi kejuaraan yang menjadi rebutan setiap pasukan itu berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan pemain skuad Hoben Jang Hoben sepanjang kempen musim ini.

“Walaupun prestasi pasukan terumbang-ambing pada awal saingan angkara masalah kecederaan pemain apabila sekadar berada di tangga kelapan dalam saingan Liga Super selain gagal mempertahankan Piala FA, namun pemain berjaya mempamerkan kebangkitan, hingga berjaya melayakkan diri ke final buat kali ketiga berturut-turut.

“Kejayaan ini bukan satu keputusan biasa atau sekadar nasib tapi hasil semangat juang dan komitmen tinggi setiap pemain yang membuktikan kemampuan masing-masing untuk menjulang nama pasukan.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Penyu makin garang


Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my

GERGASI Pantai Timur, Terengganu semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua dalam kancah Piala Malaysia apabila mengesahkan kemaraan ke final untuk bertemu Negeri Sembilan di Shah Alam, Sabtu ini.

Juara Piala FA itu yang berjaya membawa pulang trofi berprestij itu buat kali pertama pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris sudah pasti mengidam koleksi kemenangan kedua kerana sudah sedekad menanti untuk beraksi di pentas final.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas berjaya meleburkan Misi 33 Selangor, semangatnya dan rakan sepasukan kian membara untuk mencatat kemenangan berganda selepas mendakap Piala FA, Jun lalu, selain muncul naib juara Liga Super.

“Jika dihitung, tempoh 10 tahun terlalu lama untuk kami melangkah semula ke final, jadi dengan peluang keemasan yang hadir ini, saya dan rakan sepasukan bertekad untuk membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berjaya melebur impian Selangor menerusi kemenangan 2-1 sekali gus layak menerusi agregat 4-1.

Abdul Manaf Mamat dan Ashari Samsuddin sekali lagi membuktikan sentuhan mereka berbisa apabila masing-masing menghasilkan satu jaringan untuk meletakkan pasukan ke final sebelum pelawat merapatkan kedudukan hasil jaringan Safiq Rahim.

Sementara itu, Irfan Bakti berkata, beliau sudah menjangkakan pertemuan itu sengit kerana lawan sudah pasti mahu memadam kekurangan dua jaringan di Stadium Shah Alam pada peringkat separuh akhir pertama, Selasa lalu.

“Saya amat bangga dengan komitmen pemain kerana berjaya melaksanakan arahan taktikal dengan berkesan untuk menyekat hajat Selangor.

“Memang kami sudah agak selesa dengan kelebihan dua jaringan, namun semangat membara pemain untuk ke final perlu diberi pujian,” katanya.

Berdasarkan rekod, Terengganu mara ke final piala berprestij itu sebanyak empat kali pada 1973, 1982, 1998 dan hanya pada 2001, mereka berjaya merangkul gelaran juara selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P Maniam mengakui Terengganu berhak mara ke final berdasarkan prestasi yang dipamerkan pasukan itu sepanjang saingan separuh akhir.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran