TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 18 Mei 2012

Tarik warga emas dekati IT


Oleh Zuhainy Zulkiffli, am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Sekumpulan pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM), mengambil inisiatif bagi memastikan golongan warga emas turut sama aktif dalam dunia teknologi maklumat dengan menganjurkan Konvensyen Rangkaian Sosial khas buat warga emas.

Konvensyen bertemakan IT4 Connecting, Caring, Changing Lives of Seniors (e3Cs) yang diadakan esok bertujuan memberi pendedahan kepada mereka terhadap kemudahan dan faedah penggunaan media sosial.

Pengarah Projek, Nur Farah Asmaq Abdul Rahim berkata, acara kemuncak akan diadakan di Auditorium Dewan Budaya, USM bermula jam 9 pagi membabitkan hampir 200 peserta termasuk berusia 45 tahun ke atas.

Menurutnya, ia mewakili ahli jawatankuasa kampung sekitar Pulau Pinang termasuk warga kampus USM yang akan membincangkan pelbagai topik antaranya perhubungan komuniti menerusi media sosial, perniagaan kecil melalui media sosial, cabaran dalam penggunaan media sosial dan pelbagai lagi.

“Atas sebab itulah, kita mengambil inisiatif ini bagi membantu warga emas menguasai media sosial elektronik seperti e-mel, facebook, twitter, skype dan sebagainya supaya dapat mengurangkan jurang komunikasi antara golongan belia dan warga emas dalam aspek pengetahuan serta teknologi maklumat.” “Penceramah berpengalaman dalam bidang sosial, pelajar universiti awam dan swasta, wakil industri dan badan kerajaan berkaitan juga dijemput membantu menjayakan konvensyen ini,” katanya ketika ditemui di USM, baru-baru ini.

Turut diadakan ialah pelbagai aktiviti menarik khas buat peserta dan warga kampus pada minggu prapelancaran itu yang membabitkan pameran, kempen, derma darah dan jualan amal.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Canselor USM, Prof Datuk Omar Osman serta Penasihat Kempen, Prof Madya Khor Yoke Lim dan Dr Nor Hazlina Hasyim.

Sementara itu, Omar berkata, inisiatif pelajar USM dalam penganjuran aktiviti bagi mengubah gaya hidup warga emas ke arah yang lebih berinformasi dan celik IT amnya dalam media sosial itu wajar dipuji.

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran