Ikan pekasam merupakan ikan
yang telah dibersihkan, diasamkan, digaramkan, kemudian diperamkan selama
beberapa hari – biasanya lebih seminggu, baru boleh dimakan dengan cara
menggorengkannya. Ikan pekasam atau fermented fish atau marinade fish, ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada
ikan yang diperam secara tradisi. Dikatakan telah bermula sejak orang Melayu mengenal
ikan sebagai salah satu bahan makanan mereka, sebelum adanya sistem penyejukbekuan
seperti sekarang.
Jika dibuat dengan cara dan
teknik yang betul, ikan pekasam tahan disimpan lama, malah lebih lama disimpan,
lebih terasa keenakannya.Ikan pekasam yang baik boleh disimpan untuk tempoh
satu tahun.
Ikan pekasam terkenal hampir
diseluruh Semenanjung Malaysia. Bahan baku utamanya, iaitu ikan, bergantung
kepada jenis ikan yang banyak diperolehi di sesuatu kawasan tersebut, misalnya
di kawasan sawah bendang di sekitar Bagan Serai, Perak, mereka gemar membuat
pekasam dengan menggunakan ikan sepat, ikan keli, ikan haruan @ gabus, dan ikan
puyu. Di kawasan ini, ikan pekasam juga dikenali sebagai wadi’.
Perusahaan membuat ikan
pekasam yang terkenal terletak di Lenggong, Perak. Ikan-ikan yang banyak
diperolehi dari Tasik Chenderoh dan sungai-sungai di daerah ini sesuai untuk
dibuat pekasam. Antaranya ialah ikan tengalan (terbaik dan termahal), ikan
lampam sungai, ikan terbul, ikan kaloi, ikan loma @ luma, ikan pucuk pisang,
ikan mata merah. Malah ada juga yang membuat pekasam ikan toman.
Ikan pekasam amat popular di
negeri-negeri Utara Semenanjung, seperti Perlis, Kedah dan Perak. Di Pantai
Timur Semenanjung juga terdapat ramai peminat ikan pekasam. Ini boleh dilihat
terutamanya menjelang bulan Ramadhan, ikan pekasam mudah diperolehi di
Pasar-pasar Tani dan Pasar Ramadhan. Kenapa ikan pekasam diminati di dalam
bulan Ramadhan? Ikan pekasam merupakan pembuka selera (appetizer), terutamanya
ketika selera makan tumpul di waktu kita bersahur.
Ikan pekasam goreng biasanya
dihidangkan bersama bawang dan cili @ cabai yang dipotong serong yang juga
digoreng. Ianya tidak memerlukan hirisan limau kerana ikan pekasam sudah sedia terasa
masam.