TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Khamis, 30 September 2010
Piagam Madinah asas wujud hubungan harmoni
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
TINDAKAN paderi Benjamin Stephen yang didakwa menghina Islam dan institusi kerasulan menerusi laman sesawang You Tube dilihat cuba mengeruhkan ikatan mesra antara penduduk berbilang agama di negara ini. Ia sekali gus menyemarakkan lagi perasaan takut dan benci kepada Islam yang sedang berlaku di sesetengah negara Barat.
Gejala Islamophobia di Amerika Syarikat sebagai contoh telah menggagalkan usaha untuk menubuhkan sebuah pusat Islam berhampiran Ground Zero kerana mendapat bantahan akibat tuduhan penglibatan umat Islam dalam insiden 911. Malah tindakan Paderi Terry Jones dari The Dove World Outreach Centre di Florida yang beria-ia mengadakan kempen membakar al-Quran sempena peristiwa itu juga adalah antara usaha menanam kebencian mendalam terhadap Islam dan penganutnya.
Selaras dengan itu, cadangan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut supaya Piagam Madinah dijadikan asas untuk mewujudkan hubungan harmoni di antara agama wajar dipertimbangkan. Menurut beliau, Piagam Madinah yang merupakan wasiat tinggalan Rasulullah SAW adalah model terbaik yang menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan pertalian muhibah antara umat Islam dan bukan Islam.
Dengan kata lain, isi kandungan piagam tersebut yang terdiri daripada 47 fasal telah menentukan prinsip kebebasan akidah, kebebasan berfikir, kesucian Kota Madinah, keselamatan nyawa dan harta benda serta pencegahan terhadap perkara mungkar seperti mencuri, melakukan kezaliman, membunuh dan seumpamanya.
Selain itu, setiap individu Muslim boleh memainkan peranan signifikan bagi menjernihkan gejala Islamophobia yang mula semarak sejak akhir-akhir ini dengan menjadi duta bagi mempromosikan elemen keunikan Islam kepada masyarakat. Komitmen bersungguh- sungguh dan berterusan perlu dilakukan bagi menghilangkan pelbagai tanggapan negatif yang dilontarkan terhadap Islam.
Oleh yang demikian, aspek perundangan Islam perlu terlebih dahulu menjadi teras pegangan ummah sehingga segala tindak-tanduk dan perlakuan dapat dilaksanakan sesuai dengan ajarannya. Di samping itu, umat Islam diseru mempromosikan nilai-nilai ketinggian Islam melalui aspek pemantapan akidah, pelaksanaan ibadah yang sempurna dan mempraktikkan keunikan nilai akhlak Islam dalam kehidupan seharian.
Begitu juga, semangat toleransi dan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dapat menyumbang kepada keamanan sejagat yang sangat diperlukan dewasa ini.
Perlu juga diingat bahawa tindakan menghina dan mencerca agama lain adalah dilarang sama sekali. Ini termasuk gejala ekstremis seperti membakar rumah ibadah dan mencemarkan kesucian agama lain yang jauh menyimpang daripada nilai al-samahah dan toleransi yang digariskan dalam Islam.
Tegahan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampau batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelok pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka lalu ia pun menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka kerjakan". (Surah al-An'am:108)
Lebih jelas lagi, perlakuan buruk segelintir pelampau agama yang cuba menggugat keharmonian hidup beragama seperti ini pasti mengundang bencana dan mala petaka kepada negara jika tidak dibendung segera. Ia ibarat api dalam sekam yang boleh menimbulkan rusuhan kaum pada bila-bila masa lalu merencatkan pembangunan negara.
Lihat saja tragedi Masjid Babri di Ayodha, India yang mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa akibat tindakan pelampau Hindu merampas masjid tersebut pada 1992. Ia kembali hangat diperkatakan menjelang keputusan penghakiman yang akan menentukan sama ada tapak masjid tersebut diserahkan kepada umat Islam atau kepada penganut Hindu yang merampas masjid tersebut.
Justeru, amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya Pergerakan Global Kumpulan Sederhana dibina daripada semua agama untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem yang mengancam dunia dengan ketaksuban dan pendapat yang berat sebelah perlu disambut baik oleh semua pemimpin agama di Malaysia khususnya bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana tiada gunanya Perdana Menteri berceramah di persada dunia jika masyarakat sendiri masih skeptikal terhadap keistimewaan Islam sebagai agama rasmi di negara berdaulat ini, sehingga masih ada pihak berani mempersoalkan dan mencemarkan kesuciannya
Akhirnya, fahamilah bahawa Islam tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana puak militan yang menyebabkan huru-hara atas nama agama. Sebaliknya, syariah Islam adalah agama yang bersifat universal untuk semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang mendapat manfaat keamanan dan keterbukaan daripadanya.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
Hala tuju tindak laku politik Melayu
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.
Oleh Dr. Firdaus Abdullah
SAYA teringat seorang mantan Presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor sewaktu beliau menjadi salah seorang ahli panel dalam “Simposium Kepimpinan Melayu - Dari Mana Ke Mana” yang dianjurkan oleh Jabatan (sekarang Akademi) Pengajian Melayu, Universiti Malaya lebih tiga puluh tahun yang lalu (1976). Sewaktu itu Ustaz Fadzil belum lagi menjadi presiden parti, sebaliknya hanyalah seorang anggota pimpinan tertinggi Pas.
“Ke manakah hala kepimpinan Melayu sekarang?” Ustaz Fadzil memulakan ucapannya dengan satu pertanyaan dalam simposium tersebut. Pertanyaan itu dijawabnya sendiri dengan satu sindiran dan nada jenaka: “Hala kepimpinan Melayu sekarang ialah tak tentu hala.” Mendengar retorikanya itu ada khalayak yang bertepuk dan ada yang ketawa sambil mengetuk meja.
Saya tidak pasti adakah barisan kepimpinan Pas sekarang masih semazhab atau sealiran dengan Ustaz Fadzil. Dan saya juga tidak pasti sekiranya Ustaz Fadzil masih hidup, sejauh manakah Pas akan menyimpang daripada perjuangan asalnya di bawah pimpinan Ahmad Fuad, Dr. Boerhanuddin Al-Helmi, Ustaz Zulkifli Muhammad, Ustaz Abu, Datuk Asri Muda, Yusof Rawa, Amaluddin Darus serta Abu Bakar Hamzah.
Saya juga tertanya-tanya apakah agaknya jawapan mereka (atau jawapan kita) sekiranya soalan Allahyarham Fadzil Noor itu ditanyakan kembali merujuk situasi semasa: Ke manakah hala kepimpinan politik Melayu masa kini?
Adakah jawapannya masih lagi dalam bentuk acuan retorika Ustaz Fadzil yang penuh sindiran itu. Mungkin ada yang akan menjawab dengan ungkapan seperti “tak tentu hala” atau “pelbagai hala” atau “sudah tak peduli dosa dan pahala” atau “terlalu banyak pemimpin yang keras kepala.”
Atau soalan itu mungkin perlu diperluas: Bagaimanakah kita menilai keadaan politik Melayu semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dahulu.
Saya sendiri ingin menjawab soalan sedemikian dengan ungkapan-ungkapan seperti “tragis dan ironis”, “suram dan sugul”, “defensive and explosive”. Atau jika hendak bergurindam, kita boleh meminjam ungkapan silam: yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.
Tragis dalam loghat bahasa Indonesia atau tragik mengikut Kamus Dewan bererti menyedihkan. Tetapi dalam konteks ini, kesedihan itu bukan sekadar kesedihan biasa, sebaliknya kesedihan yang mendalam dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Sememangnya keputusan pilihan raya umum atau PRU12 itu memberi kesan jangka panjang yang sangat mendalam terhadap kedudukan politik bangsa Melayu.
PRU12 dianggap sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan hilang kuasa memerintah di Perak dan Selangor.
Tetapi tragedi politik bangsa Melayu berikutan keputusan PRU12 itu bukan sekadar kehilangan majoriti 2/3 kerusi BN di Dewan Rakyat. Satu aspek lain daripada tragedi politik Melayu yang barangkali ramai antara kita yang terlepas pandang ialah keengganan Pas bekerjasama dengan BN (UMNO) untuk membentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor.
Sudah menjadi rahsia umum bahawa sebelum terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor selepas PRU12 itu terdapat usaha-usaha intensif untuk “mendamaikan” Pas dan UMNO. Tetapi sayang usaha-usaha tersebut gagal walaupun di pihak Pas terdapat kumpulan yang sedia “membuang keruh dan mengambil yang jernih.”
Masalahnya, kumpulan dalam Pas yang masih “berdendam” terhadap UMNO lebih berpengaruh daripada kumpulan yang satu lagi.
Akibatnya, Pas merebahkan diri “tidur sebantal” bersama DAP (dan PKR) dengan mimpi yang cacamarba berbeza-beza. (Bayangkan, secara metafora, Tok Guru Nik Aziz sekelambu dengan Peguam Karpal Singh). Maka dengan itu semakin mendalamlah tragedi politik yang dialami bangsa Melayu
Dengan kata-kata lain, jika UMNO dan Pas dapat sepakat membentuk kerajaan di dua buah negeri tersebut, kesan yang tragis daripada hasil PRU12 masih dapat dikurangkan secara signifikan.
Selain daripada “tragis” keadaan sedemikian juga dapat dianggap sebagai “ironis” dalam erti berlaku bercanggahan antara “hasrat” dan “perbuatan” atau terjadi perbauran antara dua unsur yang bertentangan. (Sekali lagi, bayangkan paduan Nik Aziz dan Karpal Singh).
Gambaran atau senario ironis ini dapat ditambah bila kita bayangkan bahawa Pas dan UMNO yang pada hakikatnya mempunyai matlamat yang sama gagal untuk bekerjasama semata-mata disebabkan kerenah atau perangai sesetengah tokoh atau individu yang tidak akan kekal di tengah gelanggang.
Adalah juga satu ironi bila sesetengah tokoh UMNO yang ingin mewujudkan perpaduan Melayu melalui kerjasama UMNO-Pas, tetapi meminggirkan Perkasa yang memang berusaha mewujudkan perpaduan Melayu yang lebih besar.
Semuanya itu, pada hemat saya menyebabkan keadaan politik Melayu menjadi “suram dan sugul”. Bangsa Melayu berada pada kedudukan yang defensive kerana pihak-pihak yang secara berterusan “menggodam Melayu” (melakukan Malay bashing) mendapat “mementum” baru dan semakin yakin untuk meningkatkan serangan terhadap kepentingan bangsa Melayu bila melihat perpaduan Melayu itu semakin rapuh.
Berhubaya-hubayalah kita semua semoga kedudukan yang defensif bangsa Melayu tidak terdesak menjadi eksplosif. Untuk itu, “hala tuju” perlulah “dijernihkan” dan “tindak laku” politik mestilah dirasionalisasikan.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
2,162 dilepaskan bayar PTPTN
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.
Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA, pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Seramai 2,162 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama tahun ini mendapat pelepasan daripada membayar balik pinjaman tersebut.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan pembiayaan berjumlah RM59.7 juta.
"Penyerahan surat pelepasan ini julung-julung kalinya diadakan oleh PTPTN untuk mendekati para penerima biaya ini.
"Ia juga sebagai satu penghargaan daripada pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi terhadap mereka yang telah belajar bersungguh-sungguh dan berdedikasi sepanjang tempoh pengajian masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pelepasan Pelajar Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Majlis Bersama Media di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said dan Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.
Pada majlis itu, Khaled turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM100,000 kepada pelajar miskin yang ditaja oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Sementara itu, Khaled memberitahu, pertukaran caj perkhidmatan pinjaman daripada tiga peratus kepada satu peratus iaitu pembiayaan secara Ujrah dijangka selesai pada Jun 2011.
Katanya, maklumat terperinci mengenai perkara tersebut boleh diperolehi melalui laman web PTPTN serta akhbar utama pada Ahad ini.
"Pihak PTPTN juga sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada.
"Antaranya menaik taraf sistem panggilan pusat Institut Pengurusan Perhubungan Pelanggan (ICRM) kepada sistem panggilan Unit Panggilan Pusat dengan mewujudkan sistem Maklum Balas Suara Interaksi (IVR) dan menambah bilangan pegawai kepada 70 orang bagi menyelesaikan isu utama secara terus berhubung pembiayaan PTPTN," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata, peminjam yang telah disenaraihitamkan oleh PTPTN tetapi masih berhasrat untuk ke luar negara perlu menghubungi perbadanan itu untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"Seminggu sebelum bertolak ke luar negara adalah tempoh terbaik untuk mengadakan perbincangan dengan PTPTN bagi mengelak timbulnya masalah di lapangan terbang nanti," jelas beliau.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Rabu, 29 September 2010
Apakah Melayu rasis?
Tarikh siar: 2010/09/30
Penulis: Rejal Arbee
Keengganan guna bahasa kebangsaan pamer sikap tak patriotik
SUNGGUH menakjubkan dan sungguh mencemaskan. Inilah perasaan awal saya melihat perkembangan dewasa ini mengenai kedudukan orang Melayu. Kini sudah wujud semacam golongan yang terang-terangan mempersoal peruntukan Perlembagaan yang memberikan kedudukan istimewa kepada Melayu.
Yang menakjubkan pihak yang terang-terangan mahu hapuskan kedudukan istimewa itu, selain daripada mempersoalkan kedaulatan Sultan Melayu, malah agama Islam sebagai agama rasmi negara ini tidak pula dicap rasis? Semua perkara ini sudah diterima semua yang mengakui diri sebagai rakyat negara ini sebagai suatu wadah kebangsaan guna memupuk keharmonian hidup dan perasaan kebangsaan menjelang pengisytiharan kemerdekaan lebih 53 tahun dulu. Kiranya peruntukan ini sudah diterima sebagai kehendak dalam usaha memupuk perasaan kebangsaan dan keharmonian antara semua rakyatnya kenapa pula kini semua hal ini hendak diperlekehkan? Anehnya bila ada pertubuhan yang hendak pertahankan perkara yang sudah pun dipersetujui itu sebagai reaksi kepada pihak yang mempersoalkannya, pertubuhan itu pula dituduh sebagai rasis.
Puak yang terang-terangan mempersoalkan apa yang sudah diterima sejak sekian lama ini tidak pula dicap sebagai rasis. Sungguh menakjubkan dan amat mencemaskan.
Lebih mengaibkan malah amat mengharukan ialah pertubuhan, termasuk syarikat bukan Melayu yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini yang sudah pun diterima pakai dalam gugusan ini sejak berkurun lalu.
Ia juga diiktiraf sebagai bahasa perpaduan. Apakah mereka yang berterusan memperlekehkan penggunaannya tidak mahu wujud perpaduan dalam negara?
Dalam pada itu pertubuhan bukan Melayu berterusan memperjuangkan kedudukan mereka. Apakah apabila dengan megah tidak sedikit pun mengendahkan penggunaan bahasa Melayu misalnya, pun tidak mengapa?
Mereka ini termasuklah beberapa pertubuhan Cina seperti Suqui dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina lain berterusan mengabaikan kepentingan kebangsaan tidak pula dilabelkan sebagai rasis, jauh sekali hendak diheret minta penjelasan apakah negara ini mengamalkan pelbagai bahasa? Sejak bila pula bahasa Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini dan tidak lagi bahasa sukuan?
Inilah dianya, apabila begitu melutut hendak mengambil hati orang hingga mereka ini memanjat kepala kita pun tidak mengapa?
Apa sebenarnya sudah terjadi di negara ini? Apakah ini maknanya 1Malaysia? Kenapakah hingga orang lain berani mengabaikan bahasa yang sudah diiktiraf sebagai bahasa penyatuan dan perpaduan diabaikan demikian pun tidak mengapa?
Jadi tidak menghairankan apabila ada NGO Cina mengancam hendak boikot program bancian penduduk hanya kerana menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saja tanpa menggunakan Mandarin dalam risalahnya pun dilayan?
Sejak bila pula Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini? Kenapa selepas sudah merdeka selama 53 tahun pun masih ada warganya yang begitu sombong tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan dan dilayan pula?
Sebenarnya mereka ini bukan saja tidak harus dilayan, tetapi tindakan sepatutnya sudah boleh diambil terhadap mereka kerana mahu mengabaikan suatu ketetapan yang diiktiraf sebagai satu cara memupuk perpaduan. Apakah pertubuhan ini dan ahli sehaluannya tidak mahu menghormati usaha mewujudkan perpaduan?
Apakah yang perlu dilakukan demi perpaduan negara? Kenapakah apabila ada orang yang begitu rakus mengakui diri sebagai rakyat negara ini, tetapi sedikit pun tidak mahu menerima ketetapan yang dipersetujukan sekian lama dulu, itu pun tidak mengapa?
Sepatutnya semua rakyat yang menganggap diri sebagai rakyat negara ini sudah melaksanakan kehendak ini. Semua rakyat yang cintakan perpaduan sepatutnya sudah boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa ini. Termasuk pemimpin kerajaan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.
Tidak harus wujud pemimpin negara lebih-lebih lagi menteri yang jelas kelihatan merangkak-rangkak hendak bercakap bahasa Melayu. Kenapa demikian? Jika tidak fasih. Belajar! susah sangatkah?
Mulai sekarang semua acara nasional dan dianggap rasmi hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris seharusnya dikhaskan untuk acara bersifat antarabangsa saja. Sesiapa saja yang tidak menghormati bahasa Melayu jangan dilayan.
Demikian juga media elektronik kerajaan, malah media swasta juga termasuk stesen radio dan televisyen kecuali stesen bahasa sukuan tidak harus dibenar mewawancara rakyat negara ini dalam bahasa lain, selain bahasa kebangsaan. Jika mereka ini tidak sanggup bertutur bahasa Melayu jangan temuramah mereka. Habis cerita.
Sudah 53 tahun kita merdeka, apakah masih perlu orang yang tidak tahu bertutur atau faham bahasa kebangsaan masih hendak dilayan? Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah diberi kuasa penuh menghukum mereka yang tidak menghormati kedudukan begini.
Dalam pada itu, memandangkan pentingnya pengetahuan bertutur dan menulis bahasa Inggeris untuk kepentingan pasaran, semua lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepatutnya sudah boleh bertutur dan faham bahasa Inggeris dengan baik apabila saja mereka lulus dan keluar untuk mencari pekerjaan.
Jika tidak kursus intensif untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan ini perlu dilaksanakan supaya mereka tidak gugup dan kaku hendak berbahasa Inggeris apabila ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan.
Sememangnya tidak dinafikan bahasa Inggeris penting dalam suasana pekerjaan, tetapi ini tidak bermakna bahasa Melayu pula mahu dipinggirkan. Inilah saja caranya untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu, di samping memberikan penekanan terhadap bahasa Inggeris. Apa susah sangatkah hendak melaksanakan semua perkara ini?
Apakah orang Melayu rasis? Bukankah Melayu suatu suku etnik yang sungguh inklusif, iaitu sanggup menerima sesiapa saja sebagai Melayu asalkan memenuhi tiga syarat yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu bertutur bahasa Melayu secara lazim, mengikut adat resam Melayu dan beragama Islam. Soal etnik tidak timbul pun. Apakah ini pun rasis?
Penulis ialah Felo Kanan UKM
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ApakahMelayurasis_/Article
Utusan bantu perkembangan sektor inap desa.
Tarikh siar: 30 September 2010.
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Golongan muda tempatan terutama dari kawasan luar bandar digalakkan supaya menceburi sektor perkhidmatan inap desa untuk dijadikan sebagai sumber ekonomi mereka.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, ini kerana bidang tersebut menjanjikan peluang pendapatan buat golongan itu tanpa memerlukan mereka berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari rezeki.
"Melalui program inap desa, golongan muda boleh membantu ibu bapa mereka mempromosikan program 'homestay' melalui perkembangan teknologi.
"Selain itu, golongan muda tempatan juga boleh bertindak sebagai pemandu pelancong berkaitan alam sekitar tetapi mereka perlu bersemangat dan berupaya menyediakan perkhidmatan itu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Anugerah Pelancongan Homestay Utusan Bersih dan Indah serta aplikasi go2homestay.com dalam telefon pintar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Ong Hong Peng; Pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Azizan Noordin; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Yen Yen menambah, kementeriannya menyasarkan industri inap desa untuk menyumbang sebanyak lima peratus daripada pendapatan sektor pelancongan negara pada 2020, berbanding hanya 0.7 peratus pada 2007.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji langkah Utusan Malaysia dalam membantu merancakkan perkembangan sektor inap desa melalui kerjasama menganjurkan pertandingan berkaitan.
Dalam perkembangan itu, kerjasama di antara Kementerian Pelancongan dengan Kumpulan Utusan dalam pertandingan kali ini memberi peluang kepada para pengusaha inap desa di seluruh negara mempromosikan produk mereka dan budaya hidup masyarakat setempat.
Anugerah yang melibatkan tiga homestay dari setiap negeri di seluruh negara itu bermula Oktober ini sehingga April 2011 dan setiap inap desa akan dinilai berdasarkan gaya hidup tempatan serta amalan pemuliharaan alam sekitar seperti aktiviti kitar semula.
Pemenang pertandingan itu akan menerima plak sumbangan Kumpulan Utusan dan sijil pengiktirafan Kementerian Pelancongan sementara artikel mengenai homestay yang dipilih sebagai pemenang akan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Setelah pemenang homestay dari setiap negeri dikenal pasti, satu homestay terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang utama.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm
Nasi lemak
Nasi lemak dinamakan sebagai nasi lemak kerana rasanya yang lemak berbanding dengan nasi biasa. Nasi lemak berasa lemak kerana ianya dimasak bersama santan kelapa. Nasi lemak boleh ditanak seperti memasak nasi biasa atau pun dikukus – biasanya dicampur dengan daun pandan untuk mendapatkan bau wanginya.
Ada juga yang memasak nasi lemak dengan dicampur dengan sedikit halia, sedikit daun kunyit atau sedikit daun serai, mengikut kegemaran masing-masing – untuk menambah keharuman bau dan rasa nasi lemak tersebut.
Lauk untuk nasi lemak berbeza-beza mengikut tempat. Ada yang suka memakannya dengan lauk sambal ikan bilis (paling ramai sukakannya), atau sambal sotong kering, atau sambal sotong basah, atau sambal udang. Kadang-kadang ada penggemar nasi lemak yang menambah kacang tanah goreng, atau telur rebus, atau telur goreng mata kerbau dalam hidangan nasi lemak. Ada juga penggemar nasi lemak menambah sayur tumis kangkong semasa menikmati nasi lemak mereka.
Nasi lemak dijual hampir di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Brunei, serta Kepulauan Riau.
http://idristalu.blogspot.com/
Salah faham punca pelajar kita dihalau.
Tarikh siar: 30 September 2010.
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kes sekumpulan mahasiswa perempuan dari negara ini yang didakwa dihalau keluar dari rumah sewa mereka oleh penduduk tempatan di Moscow minggu lalu disahkan berpunca daripada salah faham dan bukannya melibatkan isu jenayah atau keselamatan.
Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular, Kementerian Luar, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Kassim berkata, kejadian itu merupakan satu kes terpencil sementara soal keselamatan mereka di sana terjamin serta tidak terancam.
Menurut beliau, hasil siasatan Penolong Penasihat Pertahanan, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow mendapati, perbuatan mereka memindahkan barang ke rumah sewa pada waktu malam, 18 September lalu telah menimbulkan syak penduduk setempat yang menghubungi pihak polis.
"Berdasarkan siasatan ke atas kesemua penuntut tersebut, pihak polis di Moscow itu mendapati tiada isu jenayah atau sebarang ancaman keselamatan.
"Bagaimanapun, bagi mengelak keadaan menjadi kecoh di kawasan berkenaan, maka pihak polis telah membawa mereka ke balai untuk diambil keterangan.
"Pihak kedutaan kita di sana pun telah bertindak membantu dan kesemua penuntut telah diberikan layanan yang baik ketika disoal siasat,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ruangan Forum Utusan Malaysia bertajuk 'Pelajar kita di Moscow terancam' pada 22 September lalu menyiarkan kebimbangan Noraida Ramli dari Shah Alam mengenai sekumpulan mahasiswa perubatan tahun empat tajaan Mara di Moscow dihalau keluar dari rumah sewa sehingga melibatkan campur tangan polis.
Menurut Noraida, apa yang berlaku adalah rentetan perasaan benci terhadap orang Islam yang semakin meningkat di kalangan penduduk Moscow selepas satu kejadian serangan bom baru-baru ini.
Tambahnya, penuntut-penuntut perubatan dari Malaysia itu pada mulanya dijanjikan penempatan di asrama universiti oleh Mara tetapi kemudiannya tidak mendapat tempat yang sepatutnya.
Ini kerana Mara memberi keutamaan kepada penuntut tahun pertama yang baru tiba.
Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, penuntut Malaysia di Moscow sememangnya digalakkan untuk menetap di asrama yang disediakan oleh pihak universiti kerana keselamatan mereka lebih terjamin.
Jelas beliau, asrama yang disediakan mempunyai kawalan pengawal keselamatan serta pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
''Kedutaan Besar Malaysia di Moscow juga telah menghantar surat dan mengadakan pertemuan dengan pihak universiti untuk memohon agar semua penuntut Malaysia diberikan kemudahan asrama serta memastikan jaminan keselamatan mereka,'' katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm
Azmil Mustapha masuk hospital di Syria
Tarikh siar: 30 September 2010.
Oleh MUZLINA ABU BAKAR, muzlina.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Bekas pelakon dan pendakwah bebas, Azmil Mustapha yang terkenal dengan watak ‘Ali Setan’ dikejarkan ke Hospital Al-Andalus, Damsyik, Syria pada awal pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas.
Azmil, 58, kini dirawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan dan dijangka menjalani pembedahan pintasan koronari pada pukul 2 petang waktu tempatan (7 malam Malaysia).
Menurut anaknya, Nor Amalia Batrisya, bapanya kini berada dalam keadaan stabil dan doktor sedang memantau kesihatannya.
Foto ihsan http://ikhwanzhaki.blogspot.com/
“Beberapa hari yang lalu babah (panggilan kepada bapanya) mengadu kurang sihat. Kami adik beradik menyangka babah sakit biasa sahaja.
“Bagaimanapun awal pagi kelmarin babah sukar bernafas dan kami membawa beliau ke hospital kerana bimbang melihat keadaannya,” kata Nor Amalia kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Damsyik hari ini.
Azmil yang juga bapa tunggal kepada lima orang anak berlepas ke Damsyik bersama tiga daripada anaknya, Mohd. Bazli Zhafri, Nur Alia Iman dan Nor Amalia pada Syawal ketiga lalu untuk menyambung pengajian di sana.
Nor Amalia memberitahu, semasa mengadu sakit dada, bapanya ditemani oleh adik lelakinya, Mohd. Bazli Zhafri.
Katanya, biarpun dicadangkan oleh keluarganya di Malaysia supaya bapanya dibawa pulang ke tanah air untuk menjalani rawatan namun Azmil membuat keputusan untuk dirawat di Damsyik.
Pada masa yang sama, Nor Amalia menafikan dakwaan bapanya diserang angin ahmar seperti yang dilaporkan dalam beberapa laman sosial.
Menurut Nor Amalia, seminggu sebelum berlepas ke Damsyik bapanya menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Hasil daripada pemeriksaan itu doktor mengesahkan babah bebas daripada sakit jantung dan lain-lain.
“Bagaimanapun sebaik tiba di sini (Damsyik) babah tiba-tiba mengadu tidak sihat sehinggalah sesak nafas dan doktor di sini memaklumkan babah diserang sakit jantung,” katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm
Selasa, 28 September 2010
Najib pelawa pelabur asing
Tarikh siar: 2010/09/29
Negara tawar pelbagai peluang sertai pelaburan dalam Program Transformasi Ekonomi
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa pelabur antarabangsa mengambil bahagian dalam program transformasi ekonomi Malaysia yang menawarkan peluang pelaburan perniagaan luas menerusi beratus-ratus projek. Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif khusus menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan tujuh projek yang sudah dikenal pasti dan sedia untuk dilaksanakan serta-merta. Tujuh projek itu dengan pelaburan bernilai RM114.7 bilion, akan dimulakan sebelum akhir tahun.
"Banyak lagi dalam perancangan. Kami mempunyai 131 inisiatif spesifik yang akan menjadi projek ketara, yang akan diumumkan, dan pelabur akan dipelawa untuk menyertainya,” kata Najib dalam temu bual pada program bisnes Closing Bell Excess di CNBC di New York, petang kelmarin.
CNBC Closing Bell Excess adalah program perniagaan yang ditonton ramai di seluruh dunia yang menemubual pemimpin, ahli ekonomi terkemuka dan penggerak pasaran.
Najib yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa terdapat mekanisme berkesan memastikan pelaksanaan projek bagi merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Menerusi pelaburan bernilai US$1.4 trilion (RM4.48 trilion) yang diperlukan untuk memacu ETP, Najib berkata, kerajaan sedang mengenal pasti usaha untuk menghidupkan semula peranan swasta supaya menjadi sektor dominan.
Kerajaan juga sedang mengkaji kira-kira lapan inisiatif reformasi strategik yang akan memacu program transformasi, yang akhirnya akan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan di Malaysia dalam usaha untuk menjadi negara maju.
Najib yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata Malaysia juga mengambil kira pelaburan yang susut tahun lepas dan realiti dalam pasaran, dengan saingan sengit untuk mendapatkan pelaburan dolar.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah menjadi lebih kompetitif pada peringkat global (dan untuk itu), kami meliberalisasikan 27 subsektor untuk menarik pelabur antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kestabilan kewangan Malaysia yang diperkukuh oleh bank dan institusi kewangan, dengan sistem perbankan sangat cair dan aktiviti pinjaman kukuh.
Sumbangan lain termasuk keyakinan kukuh pengguna, permintaan domestik tinggi selain persekitaran luaran dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai rakan dagang yang meletakkan negara pada kedudukan yang baik dan menyumbang terhadap asas ekonomi makronya.
Mengenai pandangan bahawa perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejaskan reputasi negara, Najib berkata, ia bukan membicarakan mengenai politik.
“Ia membabitkan seorang individu terhadap individu yang lain. Ada undang-undang di Malaysia dan badan kehakiman adalah bebas, oleh itu orang ramai perlu menerima hakikatnya,” kata Najib. – BERNAMA
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Najibpelawapelaburasing/Article/
Bangsa Arab punca Muhammad dimusuhi
Tarikh siar: 29 September 2010.
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KISAH mengenai kaum Yahudi, dalam buku Sirah Nabawiah, yang diterjemahkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) jelas membuktikan bahawa kaum itu tidak boleh diharapkan. Mereka memandang Islam dengan pandangan yang penuh kebencian dan dendam kesumat.
Tidak menghairankan sehingga ke hari ini mereka tetap begitu.
Ini kerana nabi terakhir yang mereka tunggu-tunggu selama ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Taurat mahupun Injil bukan daripada kalangan bangsa Yahudi tetapi berbangsa Arab.
Ini menyebabkan Yahudi tidak dapat menerima hakikat bahawa tiada lagi nabi dari kalangan mereka. Malah, kali ini terpaksa pula 'tunduk' kepada orang Arab.
Penulis buku itu, Al Mubarakfuri berkata, sebab itu sukar untuk mententeramkan fahaman kebangsaan yang terlalu menebal dan menguasai jiwa dan akal fikiran mereka.
"Sedangkan dakwah Islam pula ialah dakwah yang bertujuan menyatukan hati-hati yang tidak sehaluan serta memadamkan api permusuhan dan benci membenci antara satu sama lain.
"Dakwah Islam juga mengajak kita supaya bersikap amanah dalam segenap urusan, memakan sumber yang halal dan harta yang baik-baik sahaja," katanya.
Ini bererti kabilah-kabilah Yahudi di Yathrib juga akan disatukan di bawah prinsip-prinsip itu.
Jika itu berjaya dilakukan pastinya penduduk Yathrib akan terlepas juga akhirnya dari cengkaman Yahudi apabila kaum itu tidak lagi boleh menguasai perniagaan yang tidak adil dan amanah.
Mereka akan dihalang memiliki harta secara keuntungan besar daripada riba yang selama ini menjadi sumber utama mereka memperolehi kekayaan.
Malah ada kemungkinan kabilah-kabilah Arab yang lain akan mulai sedar lalu meminta supaya dipulangkan semula harta-harta yang diambil oleh orang Yahudi secara riba itu.
Iaitu seperti tanah dan kebun-kebun yang sebelum ini telah jatuh ke tangan bangsa tersebut.
Namun bangsa Yahudi di awal kehadiran Nabi Muhammad di Yathrib dikatakan telah mengambil kira kesemua perkara tersebut sejak mereka dapati Islam mula mendapat kedudukan yang stabil di Yathrib.
Oleh itu, mereka telah menyembunyikan permusuhan ketat mereka terhadap Islam dan Nabi Muhammad sejak baginda mula sampai di Yathrib.
Namun mereka tidak menzahirkan atau menampakkan penentangan tersebut kecuali selepas baginda dan umat Islam semakin bertapak kukuh di Yathrib sehingga dalam banyak peristiwa Yahudi sendiri sanggup menjadi musuh dalam selimut atau duri dalam daging. Mereka menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Islam yang sebenar, iaitu kafir Musyrikin Mekah.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Pemikiran Melayu pasca 16 September
Tarikh siar: 2010/09/28
Oleh Imlan Adabi, imlanadabi@bharian.com.my
SEJAK penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, pola pemikiran Melayu tidak banyak berubah kerana warisan pimpinan penjajah dan jiwa feudal masih bertapak dalam beberapa institusi kemelayuan.
Pentadbiran negara yang diwarisi daripada tinggalan British menyebabkan Melayu seakan-akan reda dengan apa yang berlaku termasuk kekal dalam sektor pertanian dan perikanan secara tradisional di luar bandar. Hanya pada akhir dekad 60-an, pemikiran Melayu mula berubah selepas lahirnya dua gagasan pemikiran yang bernas, iaitu The Malay Dilemma (Dilema Melayu) karya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Revolusi Mental susunan Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abdul Rahman. Kedua-dua karya pasca 16 September secara langsung mengkritik bangsa Melayu yang masih mundur kerana cara berfikir mereka yang tidak berdaya saing. Kesilapan menafsir ajaran Islam juga dikaitkan dengan kegagalan Melayu membentuk daya saing pada peringkat global.
Dr Mahathir menerbitkan The Malay Dilemma pada 1970 selepas beliau kalah pada Pilihan Raya Umum 1969. Beliau meninjau kelemahan bangsa Melayu menjadi punca tercetusnya tragedi 13 Mei. Kegagalan Melayu dalam pelbagai sektor bukan kerana mereka malas, tetapi kurang ruang membina kemampuan dalam pelbagai bidang.
Ketika pihak lain mendapat pelbagai peluang dan ruang memajukan ekonomi, bangsa Melayu masih terhimpit dengan kemampuan terbatas, kemiskinan dan salah tanggapan terhadap Islam.
Jurang ekonomi yang meluas menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati antara kaum yang akhirnya menimbulkan insiden berdarah pada 1969. Kesilapan pimpinan Melayu sendiri juga menjadi punca kaum asal di negara ini kekal berada di luar bandar, sedangkan pihak lain menangguk pelbagai projek pembangunan disediakan kerajaan.
Secara langsung, Dr Mahathir merayu mana-mana pemimpin Melayu supaya lebih menghargai sumbangan bangsa sendiri dan menyediakan peluang secukupnya supaya Bumiputera mampu berdikari dan berdaya saing. Malangnya pemikiran beliau tidak disenangi Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyebabkan The Malay Dilemma diharamkan dan Dr Mahathir diusir daripada UMNO. Karya beliau hanya dibenarkan pengedarannya pada 1981, sebaik saja Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri keempat.
Sementara itu, pada awal 1968, Pergerakan Pemuda UMNO menubuhkan Jawatankuasa Revolusi Mental. Revolusi Mental adalah usaha gerakan perubahan kepada sikap, perangai dan pemikiran bangsa Melayu agar menjadi kelompok berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.
Berlandaskan kepada kajian, penelitian dan kesedaran mendalam terhadap belenggu yang dialami kaum Melayu, Jawatankuasa Revolusi Mental menerbitkan buku Revolusi Mental. Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menyifatkan buku ini sebagai batu tanda penting dalam pemikiran cerdik pandai kita bagi menggalakkan pembangunan masyarakat Melayu.
Hari ini, selepas 16 September 1963 berlalu dengan pelbagai perkembangan drastik membabitkan bangsa Melayu, pemikiran The Malay Dilemma dan Revolusi Mental masih perlu dihayati. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenal selepas 13 Mei 1969 memerlukan kesaksamaan pemerintah untuk menyediakan ruang kepada Melayu berkembang dalam sektor ekonomi moden tanpa menjejaskan usaha pihak lain memajukan perindustrian negara.
Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kesinambungan pelaksanaan dasar ke arah transformasi perubahan yang lebih dinamik.
Jika Goethe pernah berpesan agar sejarah perlu ditulis semula dari semasa ke semasa kerana perubahan suasana dan pola berfikir, wajar juga bangsa Melayu menulis semula corak pemikiran terkini yang membabitkan isu bangsa dan ekonomi Bumiputera. Perubahan sikap ada masanya menjadi keterlanjuran sejarah yang akhirnya menikam diri sendiri!
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PemikiranMelayupasca16September/Article
Najib cadangkan Hari Malaysia di NYSE
Tarikh siar: 2010/09/28
NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Bursa Saham New York (NYSE) pada hari Isnin dan seterusnya membunyikan loceng penutup urus niaga pada hari lawatan berkenaan.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan eksekutif penting bursa diketuai oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) NYSE Euronet, Duncan Niederauer, mengenai cara-cara membantu pelabur Malaysia untuk akses ke pasaran modal Amerika Syarikat (AS). Dalam taklimat ringkas selepas menandatangani buku tetamu, Najib berkata yang beliau telah mencadangkan supaya diadakan Hari Malaysia di bursa berkenaan bagi menarik pelabur AS ke pasaran Malaysia serta pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara. Beliau berkata, Malaysia boleh menjadi pintu laluan ke pasaran ASEAN yang beliau sifatkan sebagai antara yang paling pesat berkembang di Asia.
Perdana Menteri berkata, bursa-bursa ASEAN seharusnya bekerjasama rapat dan lebih bersepadu untuk menarik pelabur asing.
Mengiringi Najib pada lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan beberapa pegawai lain.
Perdana Menteri berada di New York bagi menghadiri sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.
Bursa NYSE, terletak di 11 Wall Street, ialah bursa saham terbesar di dunia dengan permodalan pasaran dianggarkan $11.9 trilion setakat Ogos tahun ini. – BERNAMA
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NajibcadangkanHariMalaysiadiNYSE/Article/index_html
Taman Singa Laut, Ikan Lumba-Lumba dibina sebagai produk baru pelancongan Melaka: Mohd Ali
Tarikh siar: 2010/09/28
MELAKA: Taman Pertunjukan Singa Laut dan Ikan Lumba-Lumba yang dibina di Pulau Melaka di sini, diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata taman pertunjukan singa laut itu meliputi kawasan seluas 0.729 hektar manakala taman pertunjukan ikan lumba-lumba yang terletak bersebelahannya seluas 1.296 hektar.
"Pembinaan Taman Pertunjukan Singa laut itu akan siap pada 15 November ini dan beroperasi sebelum bermulanya cuti penggal persekolahan akhir tahun ini," katanya selepas melawat tapak pembinaan taman itu dan kompleks Arab City di Pulau Melaka di sini, hari ini. Mohd Ali berkata, taman pertunjukan singa laut itu dibina kerajaan negeri dengan kos RM1.9 juta yang dibiayai Kementerian Pelancongan, mampu memuatkan sehingga 1,500 penonton pada satu-satu masa.
Katanya, kerajaan Melaka mensasarkan seramai 500,000 penonton datang menyaksikan pertunjukan itu dalam tempoh setahun dan bercadang untuk mengenakan tiket berharga RM10 seorang untuk pertunjukan selama 45 minit itu.
Mohd Ali berkata, taman itu akan diuruskan syarikat Purindo Empat Lestari Sdn Bhd di mana kerajaan negeri akan memungut hasil sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kasar taman itu setahun.
"Pembinaan taman pertunjukan ikan lumba-lumba, kita serahkan kepada syarikat Purindo Empat Lestari Sdn Bhd yang akan membiayai semua kos pembinaan berjumlah RM30 juta," katanya.
Beliau berkata, pembinaan taman pertunjukan ikan lumba-lumba akan mengambil masa selama dua tahun tetapi tarikh mula pembinaannya masih belum ditentukan.
Mengulas pembinaan kompleks Arab City, Mohd Ali berkata, pembinaan membabitkan kos kira-kira RM50 juta yang dibiayai pelabur Arab itu akan siap pada Disember ini dan akan mula beroperasi Februari tahun depan.
Mohd Ali berkata, antara tarikan utama Arab City itu ialah sebuah muzium dua tingkat yang akan mempamerkan artifak asli dari Mesir seperti mumia dari negara yang kaya dengan hasil sejarah itu.
"Cadangan cara perniagaan bazar di kompleks ini amat menarik iaitu berniaga di kaki lima seperti perniagaan di negara Arab, kita boleh cuba cara ini di beberapa tempat di Melaka seperti di Kota Fesyen dan Medan Samudera," katanya. – BERNAMA
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TamanSingaLaut_IkanLumba-LumbadibinasebagaiprodukbarupelanconganMelaka_MohdAli/Article/index_html
Watch Terry Jones Trying To Burn Koran
Video - courtesy Youtube.
Isnin, 27 September 2010
Suspicions About Islam
Video ini mengandungi syarahan oleh Sheikh Abdur Raheem Green mengenai salah faham yang terjadi di dunia Barat tentang agama Islam.
Sheikh Abdur Raheem Green memeluk Islam lebih dua puluh tahun yang lalu. Setelah menerima hidayah keIslamannya, beliau terus cergas dalam bidang dakwah Islam, menerangkan tentang kebenaran yang dibawa oleh Islam untuk seluruh ‘alam ini.
Video - courtesy Youtube.
Rahsia kejayaan biskut kelapa Noraini
Tarikh siar: 28 September 2010.
SUNGAI SIPUT 27 Sept. - Usaha kecil-kecilan seorang pembuat biskut kelapa, dengan hanya bermula di bawah rumah namun tanpa mengenal erti putus asa akhirnya berjaya meletakkan dirinya setaraf dengan usahawan lain.
Kejayaan yang dicapai oleh Noraini Yahya, 42, seorang suri rumah, hakikatnya banyak dipengaruhi oleh pengalaman dalam menceburi bidang perniagaan makanan selain menjalankan jualan langsung dari rumah ke rumah.
Sebelum itu, Noraini pernah bekerja sebagai operator pengeluaran di beberapa buah kilang sekitar negeri ini selama 12 tahun.
''Saya memberanikan diri berhenti kerja dan mencuba nasib dengan menceburi perniagaan membuat biskut kelapa.
''Waktu itu, aktiviti saya hanya dijalankan di kawasan bawah rumah," kata Noraini ketika ditemui di bengkel biskut kelapa miliknya di Kampung Nasib, Enggor, dekat sini baru-baru ini.
Dia memberitahu, projek yang bermula pada 2003 itu berbekalkan modal RM10,000.
''Wang tersebut cukup untuk membeli sebuah ketuhar dan peralatan lain yang diperlukan. Buah kelapa diperoleh daripada sekitar kampung termasuk yang dijual di Kuala Kangsar dan Sungai Siput," katanya.
Menurut Noraini, dia juga bertuah kerana berpeluang mengikuti kursus di Pusat Bimbingan Usahawan selama enam bulan ketika mahu memulakan perniagaan itu.
Antara lain katanya, pihak terbabit mengajarnya tentang teknik-teknik bagi menjalankan perniagaan, pengurusan, cara penyelenggaraan dan menyelaraskan akaun.
Tanpa rasa kesal, ibu kepada lima orang anak ini terus melangkah ke hadapan dan pada 2005, dia memberanikan diri membuat pinjaman RM70,000 daripada Bank Rakyat selain menerima bantuan membesarkan bengkel sebanyak RM30,000.
Berikutan permintaan yang kian bertambah, Noraini turut mendapatkan bantuan Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Hasilnya kini, syarikat milik Noraini, Shahrine Food Industries semakin menunjukkan kemajuan.
Mengulas perkembangan memberangsangkan itu, kata Noraini, syarikatnya memerlukan kira-kira 12,000 biji kelapa sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.
Buah kelapa yang menjadi bahan utama dalam pembuatan biskutnya itu katanya, terpaksa diperoleh dari Bagan Datoh dan Sitiawan.
Dengan dibantu lima pekerja, produk yang dihasilkan Noraini kini berjaya menembusi pasar raya Giant dan Mydin, Inflow Trading, Ko Halal serta kedai-kedai biskut dan kedai runcit di Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Kedah selain Perak khususnya di kedai-kedai milik bumiputera.
Dalam masa sama katanya, promosi yang dilakukan oleh pihak FAMA di pameran-pameran tertentu dan pasar-pasar tani terbuka membantu melonjakkan lagi permintaan biskut kelapanya.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Noraini menjelaskan, dia amat mengutamakan kualiti produk bagi memastikan orang ramai terus menjadi pelanggannya.
Bagi Noraini, walaupun kejayaan kini menjadi miliknya, namun jauh di sudut hati, dia masih ingin mengembangkan lagi perniagaannya.
Dia mengakui dirinya belum puas dengan pencapaian yang ada sebaliknya akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi.
''Usaha perlu diteruskan. Saya berhasrat untuk memasuki pasaran yang lebih luas sehingga ke luar negara.
''Cita-cita saya untuk membesarkan perniagaan ini. Banyak lagi perlu ditambah bukan setakat bengkel yang ada perlu dibesarkan tetapi peralatan seperti mesin memproses kelapa, ketuhar dan kemudahan lain yang memerlukan kos yang besar," ujarnya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm
Menyemarak industri terjemahan
Tarikh siar: 27 September 2010.
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, rencana@utusan.com.my
SEKTOR penterjemahan buku di negara ini hakikatnya sangat kecil namun cabaran dan masalah yang membelenggunya cukup besar sehingga memerlukan perhatian serius banyak pihak. Itu yang boleh disimpulkan daripada Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), baru-baru ini.
Seminar sehari bertemakan 'Memperkasakan Budaya Membaca Karya Terjemahan' itu disertai oleh kalangan penulis, ahli akademik, penerbit dan khalayak pembaca seramai hampir 100 orang. Membariskan muka-muka besar dalam dunia kesusasteraan dan penulisan, seminar ini membuka banyak permasalahan serta tidak kurang juga kepincangan dalam sektor penterjemahan.
Antara yang berkongsi pengalaman dan pandangan termasuk pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan sasterawan berbakat besar, Dr. Faisal Tehrani.
Pembentang kertas kerja lain termasuk pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad dan Setiausaha Agung Komuniti Bukuonline, Khairusy Syakirin Has-yun Hashim.
Turut terlibat ialah Sarjana Utama, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan sasterawan besar negara, Datuk Mohamed Nor Khalid atau Lat.
Dunia penterjemahan mungkin tidak mempunyai pengikut yang ramai kerana aktiviti membaca bukanlah sesuatu yang menjadi budaya dalam masyarakat kita. Apabila buku tidak menjadi keutamaan, maka dunia penterjemahan akan menerima nasib serupa kerana wadahnya juga adalah buku.
Tetapi itu tidak bermakna ia perlu dipinggirkan kerana bagi yang menyedari, aktiviti penterjemahan sebenarnya memberikan kesan yang mendalam kepada sesebuah peradaban dan tamadun manusia.
Mengembangkan aktiviti terjemahan bukan bermakna kita ketandusan karya dalam bahasa ibunda. Sebaliknya ia penting dalam membuka dimensi pemikiran masyarakat apabila dapat meneliti peradaban asing melalui karya yang diterjemahkan.
Malah, pembentang kertas kerja pada seminar ini juga mengakui bahawa mereka sangat terpengaruh dan terkesan dengan karya-karya terjemahan yang pernah dibaca.
Sebagai contoh, Faisal Tehrani berkongsi pengalaman uniknya membaca buku berjudul Cerita-Cerita Rakyat Parsi yang dipinjam dari sebuah perpustakaan ketika berusia 10 tahun.
Karya terjemahan itu melekat dalam pemikiran dan hati beliau malah menjadi pedoman kepadanya untuk berkarya.
Dari sudut lain, karya terjemahan mengembangkan keupayaan kita untuk meneroka pemikiran dan perasaan manusia daripada masyarakat lain atau mungkin masyarakat yang hidup pada zaman dan era lain.
Justeru, terjemahan membolehkan kita hidup di luar daerah kebiasaan, pra anggapan dan salah tanggapan kita. Perkara ini dikongsi oleh Syed Nurulakla yang turut menekankan terjemahan memperluas dan memperdalam dunia dan kesedaran kita dalam bentuk dan cara yang mampu dihuraikan sepenuhnya.
''Terjemahan juga memungkinkan seseorang penulis menemui khalayak pembaca yang lebih ramai dan besar. Salah satu sebab mengapa penulis menghasilkan karya adalah untuk memberi kesan dan menyampaikan pemikiran serta idea mereka kepada seberapa ramai orang yang mungkin," katanya.
Sementara itu Rahimi dan Khairusy Syakirin Has-yun dalam kertas kerja bersama mereka menyelongkar dengan lebih mendalam permasalahan terjemahan dari sudut daya tolak dan daya tarik.
Menurut mereka, karya terjemahan menjadi pilihan kerana faktor bahasa yang mana pembacaannya akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana pembaca memahami secara langsung apa yang dibaca.
Kadang kala pemahaman mesej serta makna keseluruhan menjadi lebih cepat kerana penterjemah telah menyesuaikan latar karya dengan latar bahasa sasaran.
Karya terjemahan juga sering menjadi pilihan pembaca yang ingin mengulangi pembacaan sesebuah karya yang sudah dibaca dalam bahasa asal. Keadaan yang sama juga berlaku di kalangan peminat buku yang ingin mencari kelainan atau perspektif baru bagi karya yang pernah dibaca dalam bahasa asing.
Ini kerana penterjemah juga kerap memasukkan perspektif mereka dalam proses penterjemahan yang dilakukan. Dari sudut kewangan pula, karya terjemahan lebih murah berbanding karya dalam bahasa asal mungkin disebabkan faktor penerbitan yang juga murah.
Begitu pun, pihak yang terlibat secara langsung dalam industri ini tidak wajar melihat pulangan daripada pelaburan dalam memperbanyakkan karya terjemahan hanya daripada aspek kuantitatif semata-mata.
Sebaliknya, terjemahan wajar dilihat sebagai salah satu komponen penting dalam proses pembangunan bangsa seperti yang telah dicatatkan oleh sejarah pembangunan bangsa masa silam.
Daya penolak di kalangan masyarakat pula seperti yang disebut Rahimi dan Khairusy Syakirin Has-yun terdapat dalam karya itu sendiri. Tanggapan bahawa karya terjemahan sebagai karya kelas kedua sering menjadikan sebahagian pembaca berasa rendah diri untuk membacanya.
Tanggapan sebegini akan terhapus sekiranya gerakan penterjemahan menjadi sebahagian daripada agenda teras dalam pembangunan masyarakat serta negara. Seperkara yang perlu ditekankan juga ialah kualiti terjemahan yang mana ia merupakan daya tarikan utama untuk seseorang membaca karya terjemahan.
Penterjemahan yang berkualiti rendah akan menyebabkan pembaca berdepan kesulitan untuk menanggapi isi karya yang dibaca. Ini akan menyebabkan mereka cenderung untuk tidak meneruskan pembacaan atau membaca dalam bahasa asal. Ini akan melemahkan gerakan terjemahan yang secara tidak langsung menutup ruang bagi pembaca yang tidak menguasai pelbagai bahasa untuk menikmati karya yang berkualiti tinggi.
Selain isu-isu ini, seminar ini turut mendedahkan beberapa masalah lain dalam berkaitan industri penterjemahan yang tidak ditanggapi dengan baik oleh pihak penerbit buku. Antaranya kadar bayaran untuk penterjemah yang tidak berpatutan, tempoh waktu untuk terjemahan sesebuah karya yang terlalu singkat serta kecenderungan menukar reka bentuk kulit buku karya asli kepada yang baru.
Pujian harus diberikan kepada ITNM kerana penganjuran seminar seumpama ini, mampu membuka mata banyak pihak dalam memainkan perana yang lebih adil dan aktif dalam menyemarakkan industri penterjemahan negara. ITNM sendiri selaku badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkaya karya-karya penterjemahan perlu menjadi peneraju yang berkaliber dalam usaha-usaha sebegini.
Ini bagi memastikan karya-karya ulung dunia mampu diterjemah dengan baik dan menarik lebih ramai penggiat karya terjemahan menceburi bidang ini. Perlu diakui kita masih jauh ketinggalan dari aspek terjemahan karya terkemuka dunia terutamanya kepada negara jiran kita Indonesia.
Kerana itu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila banyak buku terjemahan di pasaran ketika ini masih mempunyai nilai dan elemen bahasa Indonesia. Ini disebabkan terjemahan karya asing itu diambil daripada terjemahan ke bahasa Indonesia dan bukannya daripada bahasa asal menyebabkan nilai- nilai asli karya itu telah tercemar.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
Pucuk Pisang
Video-ihsan Youtube.
Pakej baru lawatan ke Menara Berkembar Petronas Mulai 1 Oktober ini.
Tarikh & Waktu Siar: 27/09/2010 9:48pm
KUALA LUMPUR 27 Sept - Menara Berkembar Petronas akan menawarkan pakej-pakej baru lawatan ke menara berkenaan mulai 1 Oktober ini, khusus bagi menampilkan pengalaman lebih menarik untuk dinikmati oleh orang ramai yang berkunjung ke tempat tarikan pelancong tersohor di Malaysia itu.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej-pakej yang akan diperkenalkan sebagai tambahan kepada lawatan sedia ada ke Skybridge di tingkat 41 itu akan turut merangkumi lawatan ke dek pemerhatian di aras teratas Menara 2, serta jamuan di Kelab Petroleum Malaysia (MPC) di bangunan yang sama.
Bayaran bagi pakej-pakej itu bermula dari harga serendah RM3 seorang bagi lawatan asas ke Skybridge, sehingga RM350 tiap seorang bagi pakej premium, yang turut merangkumi pengalaman menjamu selera di tempat eksklusif khusus buat anggota MPC sahaja, di menara berkembar tertinggi di dunia itu.
Pakej-pakej ini diperkenalkan bagi menyokong aspirasi kerajaan merealisasikan potensi pelancongan Menara Berkembar Petronas dan tarikan kawasan sekitarnya seperti Kompleks Membeli Belah Suria KLCC, Taman KLCC, Petrosains, Gallery Petronas, Aquaria dan Malaysian Philharmonic Petronas.
Tarikan-tarikan ini akan membantu kedudukan Menara Berkembar itu sebagai tarikan pelancongan utama negara, sebagaimana yang dinikmati oleh bangunan-bangunan lain yang ternama di seluruh dunia.
Petronas kini merancang untuk meningkatkan pengalaman melancong ke bangunan itu di masa hadapan, termasuk dari segi melanjutkan waktu lawatan, menyediakan dek pemerhatian yang lebih luas, meningkatkan Pusat lawatan, kemudahan tiket dan lain-lain keperluan pelancong. – Bernama
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm
Animasi Jepun paling bahaya ditonton kanak-kanak
Tarikh & Waktu Siar: 27/09/2010 6:09pm
KOTA BAHARU 27 Sept. - Filem Animasi Jepun adalah antara DVD yang dikesan paling bahaya untuk ditonton oleh kanak-kanak di negara ini kerana mempunyai unsur negatif yang boleh merosakkan minda.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem, (LPF) Datuk Mohd. Hussain Shafie berkata, ramai masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai bahaya sesetengah cerita filem animasi kerana kurang peka terhadap kandungan DVD dan beranggapan ia hanya sebuah cerita rekaan seperti kartun yang sesuai untuk kanak-kanak.
"Banyak cerita animasi dari Jepun telah kita haramkan kerana walaupun ia merupakan cerita animasi yang dikatakan sesuai untuk golongan kanak-kanak tetapi ia tetap lebih kepada golongan dewasa.
"Ada antara kandungan cerita itu memaparkan animasi wanita dengan pakaian singkat, membuka dada dan beberapa adegan yang tidak elok untuk ditontoni oleh golongan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem Dan Penguatkuasaan Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Dialog berkenaan merupakan kali pertama diadakan LPF di negeri ini yang turut dihadiri wakil dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan dan menghimpunkan beberapa penerbit, pengedar dan penjual VCD dan DVD di negeri ini. – Bernama
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_25.htm
Keindahan Alam Semula Jadi Melalui Lukisan Air
Ada yang memotret keindahan tersebut untuk terus dinikmati selepas foto yang diambil diproses menjadi gambar yang cukup indah. Ada pula yang memiliki kebolehan yang unik dan tersendiri yang mampu memindahkan keunikan dan keindahan alam ini ke atas kertas atau kanvas dalam bentuk lukisan alam yang menarik.
Foto - Manza Art.
Foto - Manza Art.
Di atas, penulis paparkan beberapa lukisan keindahan alam yang dihasilkan oleh seorang sahabat yang bersedia untuk menjualkannya.
Kepada yang berminat, sila hubungi penulis melalui e-mail yang terdapat di blog ini.
Anak Daro
Video ihsan Youtube.
Pertama dinaik taraf konsep mesra alam
Tarikh siar: 27 September 2010.
Oleh HAMIMAH HAMID, utusanperak@utusan.com.my
KUALA KANGSAR 26 Sept. - Bayangkan jika anda memandu di kawasan yang tiada kemudahan rehat dan rawat (R&R). Keletihan mungkin akan menyebabkan lebih banyak kemalangan berlaku.
Menyedari kepentingan kawasan tersebut, PLUS Expressways Bhd. (PLUS) bukan sahaja giat menyediakan kemudahan itu di sepanjang lebuh raya utara selatan, malah dari semasa ke semasa melakukan kerja-kerja menaik taraf R&R dan hentian sebelah bagi memberi perkhidmatan mudah, selamat dan selesa kepada pengguna.
Terbaru, antara kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf tersebut adalah R&R Sungai Perak (arah selatan) iaitu antara kawasan R&R terawal dibuka di Lebuh Raya Utara Selatan.
Bermula daripada sebuah kawasan perniagaan kecil, PLUS telah membangunkan kawasan rehat dan rawat ini menjadi sebuah kawasan perniagaan yang tersusun dan moden.
Menariknya, R&R ini juga adalah yang pertama dinaik taraf dengan melaksanakan konsep mesra alam dengan tema Jejak Hijau.
Pengarah Urusan PLUS, Noorizah Abd. Hamid berkata, dengan kos belanja naik taraf hampir RM9 juta, R&R Sungai Perak menampilkan keistimewaan dengan reka bentuk kontemporari yang menarik dan unik selain menitikberatkan aspek-aspek penjagaan alam sekitar.
"Sungai Perak adalah kawasan rehat dan rawat pertama di negara ini yang melaksanakan inisiatif mesra alam secara lebih komprehensif dari segi reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan.
"Dengan konsep mesra alam yang kita perkenalkan, pengguna lebuh raya boleh menikmati suasana yang lebih selesa dan mesra alam," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Noorizah, bertemakan Jejak Hijau, R&R Sungai Perak mengadaptasikan teknologi hijau yang menekankan pendekatan mesra alam melalui reka bentuk kompleks tandas dan surau menggunakan konsep pencahayaan dan aliran udara semula jadi.
Konsep tersebut jelas beliau, secara tidak langsung akan mengurangkan pengunaan tenaga elektrik.
"Kami turut menggunakan konsep pembinaan di atas dek untuk mengekalkan struktur semula jadi kawasan dan meminimumkan kerja-kerja tanah bagi mengelakkan penghakisan semasa pembinaan serta pencemaran sungai.
"Bagi memberi suasana lebih sunyi, tembok penghadang bunyi dibina bagi menghalang bunyi kenderaan di laluan utama lebuh raya," katanya.
Selain itu, kata beliau, Sungai Perak adalah kawasan rehat dan rawat pertama di negara ini memperkenalkan penggunaan bekas makanan dan minuman bio yang boleh lupus secara semula jadi dengan cepat, bersih dan selamat.
Tambahnya, inisiatif mesra alam lain yang turut diperkenalkan ialah penggunaan sistem pelupusan sisa makanan 'mesin pembersih eco', tong kitar semua dan pencuci bio mesra alam.
Terletak di Kilometer 249.30 Lebuh Raya Utara Selatan, R&R Sungai Perak yang mempunyai 12 gerai makanan dan 18 gerai menjual buah-buahan serta barangan lain juga menyediakan tarikan baru kepada pengguna lebuh raya.
Tarikan tersebut adalah menara tinjau yang dibina khas untuk pengguna menikmati panorama dan keindahan Sungai Perak serta kawasan sekitarnya.
Pada masa sama, R&R ini juga bakal mempunyai sebuah jeti yang dihubungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung untuk membolehkan pengunjung menikmati keindahan Sungai Perak dengan menaiki bot.
Bagi peminat produk-produk keluaran Orang Asli pula, gerai khas menjual pelbagai hasil usaha mereka tersedia di R&R ini.
Yang pastinya, R&R Sungai Perak (arah Selatan) kini bersedia menerima kunjungan 3,500 pelanggan lebuh raya setiap hari dengan menyediakan perkhidmatan mesra alam terbaik kepada pengguna.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm
AS serius di Laut China Selatan
Tarikh siar: 27 September 2010.
Oleh Azmi Hassan
SEMEMANGNYA begitu jelas semasa era kepimpinan George W. Bush, White House bukan sahaja kurang memberi perhatian kepada kemelut Asia Barat tetapi juga bagaikan tidak mempedulikan langsung tentang apa yang berlaku di rantau Asia Tenggara.
Tetapi sejak kebelakangan ini, dasar luar White House memperlihatkan perubahan yang agak mendadak terutama sekali isu yang melibatkan negara anggota ASEAN, tidak kira sama ada Myanmar mahupun sekutu kuat mereka, Singapura.
Begitu juga dengan Indonesia yang selama ini disisih oleh Washington kerana masalah hak asasi telah menjadi semakin akrab di mana bantuan ketenteraan yang sebelum ini dihalang oleh Kongres Amerika Syarikat telah dihidupkan semula.
Sementara itu, hubungan Kuala Lumpur- Washington yang dikatakan agak dingin dan bermasalah, hari ini menyaksikan hubungan di antara Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada pada tahap yang begitu baik.
Sebab itulah, Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-AS yang baru berlangsung semalam di New York mempunyai kepentingan dan maksud yang tersendiri kerana ASEAN dan AS masing-masing memerlukan antara satu sama lain.
Walaupun Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang akan mangambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan tidak hadir pada mesyuarat tersebut, namun ia tidak mengakibatkan kesan negatif terhadap kepentingan perjumpaan di New York tersebut.
Tidak dapat dipastikan sebab sebenar mengapa Presiden SBY tidak dapat hadir tetapi apa yang pasti adalah tarikh mesyuarat hanya dimuktamadkan oleh White House pada 3 September lalu yang besar kemungkinan agak suntuk bagi Presiden Indonesia menyusun jadual beliau. Kemungkinan juga masalah politik dalaman Indonesia yang menyukarkan lagi Presiden SBY untuk berada di New York.
Wisma Putra pula menjelaskan kehadiran Najib pada mesyuarat tersebut adalah penting kerana ia merupakan landasan utama pemimpin ASEAN dan Presiden Obama untuk membincangkan hala tuju masa hadapan ASEAN dan AS.
Sebab itu, kenyataan bersama yang bakal dikeluarkan pada akhir mesyuarat begitu menarik perhatian kerana ia menjadi kayu ukur sejauh mana Washington sanggup mempertaruhkan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara.
Pertembungan di antara Jepun dan China pada ketika ini mengenai masalah tuntutan bertindih Pulau Senkaku/Diaoyu adalah isyarat jelas mengapa mesyuarat di New York dinilai begitu kritikal sekali.
Isu Senkaku/Diaoyu adalah manifestasi jelas bahawa Beijing tidak mahu berkompromi terhadap isu tuntutan kawasan bertindih dan Tokyo pula dilihat sebagai tidak mampu untuk menangani isu tersebut secara bersendirian.
Tidak menghairankan mengapa Tokyo dikatakan begitu berat untuk membuat keputusan memindahkan pangkalan tentera AS di Okinawa walaupun terpaksa menongkah arus pendapat rakyat mereka sendiri.
Begitu juga dengan ahli negara ASEAN yang sudah pasti tidak mahu bertembung dengan China bersendirian apabila berhadapan dengan isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel di Laut China Selatan.
Tetapi Beijing telah pun memberi amaran awal bahawa isu tersebut mesti diselesaikan secara dua hala, iaitu di antara China dengan negara berkenaan tidak kira sama ada Filipina, Myanmar, Brunei ataupun Malaysia.
Beijing menegaskan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan atau negara ketiga yang tiada kena mengena dengan tuntutan bertindih tidak boleh masuk campur dalam rundingan tersebut. Negara ketiga yang dimaksudkan oleh Beijing itu sebenarnya ditujukan khas kepada AS.
Memang benar Washington telah menyatakan pendirian mengenai Spratly dan Paracel perlu diselesaikan secara aman tanpa menggunakan kekerasan atau strategi ketenteraan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara AS Hillary Clinton semasa Persidangan Kemuncak ASEAN di Hanoi pada Julai lalu telah mengundang reaksi yang agak keras dari Beijing.
Beijing juga bagaikan telah menghidu bentuk kenyataan bersama mesyuarat ASEAN-AS di New York dengan memberi amaran awal bahawa sebarang kenyataan mengenai tuntutan bertindih di Laut China Selatan akan dinilai sebagai campur tangan AS dalam hal ehwal masalah negara ASEAN dan China.
Untuk menguatkan lagi amaran tersebut, Beijing telah menggunakan kemelut Senkaku/Diaoyu dengan menuduh Washington sebagai salah satu penyebab kerana dasar luar Asia Timur yang diamalkan terlalu menyebelahi Tokyo sejak empat dekad yang lalu.
Bentuk kenyataan bersama mesyuarat ASEAN-AS yang akan dikeluarkan bergantung kepada setakat mana pemimpin ASEAN mahu Washington terlibat dalam hal ehwal Asia Tenggara. Tetapi jika diteliti beberapa pendirian ASEAN sebelum ini seperti menerima keahlian AS dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan sokongan terhadap kenyataan Hillary di Hanoi, maka sudah jelas ASEAN memerlukan penglibatan AS.
Memang menarik untuk menunggu hasil akhir mesyuarat New York kerana ia bakal menentukan sejauh mana penglibatan AS di Laut China Selatan kerana selama ini kestabilan kawasan tersebut masih kekal kerana status quo tidak diganggu gugat.
Percaturan Laut China Selatan sudah pasti akan berubah jika Washington dan Beijing turut terlibat seperti mana yang telah berlaku di Laut Kuning berhampiran Semenanjung Korea, Selat Taiwan atau pun Laut China Timur mengenai Senkaku/Diaoyu.
Tetapi perlu diberi perhatian walaupun kestabilan Laut China Selatan masih terpelihara, keadaan staus quo masa kini dilihat sebagai terlampau berat sebelah iaitu menyebelahi China kerana Beijing sebenarnya mampu melakukan apa sahaja tanpa kekangan kerana ASEAN tidak mampu bertindak secara bersendirian.
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
Ahad, 26 September 2010
Pembangunan Kampung Baru perlu ada jiwa keMelayuan
Tarikh siar: 2010/09/12
Oleh Faridzwan Abdul Ghafar, faridzwan@bharian.com.my
RANCANGAN pembangunan Kampung Baru mesti dilaksanakan berhati-hati bagi mengelakkan tragedi pemusnahan identiti, budaya dan warisan orang Melayu yang berlaku di Geylang Serai, Singapura melalui aktiviti perdagangan bersifat komersial tidak berulang ke atas satu-satunya penempatan tradisional Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Kajian Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya mendapati pembangunan Kampung Baru yang berteraskan kegiatan komersial boleh menyebabkan masyarakat Melayu hilang ‘kuasanya’ seperti yang berlaku di kawasan Melayu di Geylang Serai tidak lama dulu.
Kajian berkenaan yang diketuai Timbalan Pengarah INPUMA, Dr Sharifah Mariam Al-Habshi dibuat ke atas 538 penduduk Kampung Baru dan Geylang Serai bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai nasib orang Melayu apabila penempatan tradisional terbabit dibangunkan menjadi penempatan moden pada masa depan.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembangunanKampungBaruperluadajiwakemelayuan/Article
Malam Berinai
Sebelum majlis pernikahan dilaksakan, akan dilangsungkan majlis berinai yang dinamakan "Malam Berinai" atau di dalam bahasa Minangkabau disebut "Malam Bainai".
Coba kita nikmati sebuah lagu yang mengisahkan peristiwa yang biasa terjadi sewaktu berlangsungnya malam berinai itu yang diceriterakan oleh penyanyi Vanny.
Video ihsan Youtube.
Legasi Kesultanan Kelantan
Tarikh siar: 2010/09/26
Oleh Norliza Wasilan, norlizawasilan@bharian.com.my
TUANKU Muhammad Faris Petra selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Pemilihan putera berusia 41 tahun yang juga anakanda sulung, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, juga mengakhiri kemelut menyelubungi Istana Kelantan, sejak ayahandanya gering mulai Mei tahun lalu.
Pemasyhuran itu pantas mencipta sejarah keluarga diraja di negara ini kerana baginda dilantik menjadi Sultan memerintah negeri ketika ayahandanya masih hidup. Namun, perlantikan baginda dibenarkan mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan.
Lima belas ahli MPN Kelantan yang bersidang itu sebulat suara bersetuju Tuanku Ismail Petra memerlukan pengganti berikutan gering baginda berlarutan sejak lebih setahun lalu.
Perkembangan yang berlaku di Kelantan dalam suasana Aidilfitri tahun ini, bukan setakat menarik minat semua lapisan rakyat yang menunggu saat pemasyhuran Sultan Muhammad ke-V, malah mengimbas kembali salasilah keluarga Diraja Kelantan serta sejarah kesultanan negeri ini.
Salasilah keluarga Sultan Muhammad ke-V bermula dari keturunan Long Yunus Long Sulaiman, Sultan yang memerintah Kelantan antara 1765-1795.
Tuanku Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad ke-V, yang juga putera tunggal kepada Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Tengku Zainab II, ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1979, susulan kemangkatan ayahandanya ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979.
Tuanku Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu, adalah anak lelaki tunggal dan adik bongsu lima beradik iaitu Tengku Marjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani.
Hasil perkahwinan baginda dengan Tengku Anis, yang mempunyai hubungan kekeluargaan tahap dua sepupu, baginda berdua dikurniakan tiga putera iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra (Sultan Muhammad ke-V), Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhammad Fakry serta puteri, Tengku Amalin A'Ishah Putri.
Sultan Muhammad ke-V dilantik ayahanda baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan, pewaris takhta kerajaan pada 6 Oktober 1985, sebelum diangkat sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009 berikutan keadaan Tuanku Ismail Petra yang gering.
Kemakmuran dan keindahan negeri menjadikan Kelantan turut dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Tanjung Pura. Kewujudan banyak pondok kendalian ulama termasuk Tok Kenali dan Tok Selehor, yang menjadi tumpuan umat Islam mendalami ilmu agama membuatkan Kelantan menerima jolokan negeri Serambi Makkah.
Berdasarkan buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim tulisan Mohd Zain Saleh, Kesultanan Kelantan dalam lipatan sejarahnya dikaitkan dengan kisah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang pernah ditabal sebagai raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang dipercayai tidak pernah berkahwin itu dikatakan terkenal sehingga menjadi tumpuan pedagang dalam dan luar negeri termasuk dari Arab.
Wanita pertama menjadi Raja Kelantan itu juga dikatakan memiliki seekor kijang sebagai binatang peliharaan kesayangannya sehingga gambar binatang itu diterap di atas wang emas perbelanjaan negeri dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri hingga kini.
Ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, ada sebuah kerajaan berpusat di Jembal yang diperintah oleh Raja Sakti (1638M atau 1046H). Selepas baginda mangkat, puteranya, Raja Loyor ditabal sebagai raja pada 1649M atau 1059H dan mempunyai dua anak termasuk Puteri Saadong.
Kerajaan Cik Siti Wan Kembang bersahabat baik dengan Raja Loyor, terutama selepas wanita pertama memerintah di Kelantan mengambil anak Raja Loyor, Puteri Saadong sebagai anak angkat untuk dijadikan pewaris takhta baginda.
Puteri Saadong dikatakan pernah menjadi tawanan Raja Siam, sebelum terpaksa membebaskan baginda selepas puteri berkenaan mengubati penyakit dihidapi raja itu.
Selain kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang masih dianggap sebagai mitos sesetengah pihak, Kelantan juga pernah menyaksikan beberapa episod perebutan takhta untuk menguasai pemerintahan negeri ini.
Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhamad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad.
Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris. Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.
Berikutan itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhamad yang juga putera Yang Di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhamad enggan menyerahkan takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhamad.
Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhamad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhamad I.
INFO : Sultan Kelantan ke-29, Sultan Muhammad ke-V:
•Diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan.
•Anak sulung daripada empat beradik.
•Dimahkotakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985
•Dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009
Pendidikan
•Pra-sekolah - Tadika Fatima Convent, Kota Bharu 1974 - 1975.
•Sekolah Rendah Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan 1976- 1981.
•Kelas Persediaan - The Alice Smith School,
•A-Level - Oakham School Rutland, England 1983-1989
•Pengajian Diplomatik - St. Cross College dan Oxford Centre for Islamic Studies 1989-91.
•Pengajian Hubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan - Huron University College, London
•Pengajian Perhubungan Diplomatik - Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin.
•European Business Administration - European Business School London.
Hobi
•Membaca
•Ekspedisi pacuan 4 roda
•Golf
•Kuda Lasak
•Menembak
•Memanah
•Badminton
•Bolasepak
•Bowling.
Aktiviti sosial dan agama
•Ziarah anak yatim, rakyat miskin dan ditimpa bencana
•Ziarah masjid dan solat sunat terawih di seluruh negeri sepanjang Ramadan
•Dampingi alim ulama
Ketenteraan
•Brig-Jeneral (Kehormat) Komander 506 Askar Wataniah.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LegasiKesultananKelantan/Article/index
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...