Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 01 Oktober 2010.
Oleh Dr. Firdaus Abdullah
SAYA teringat seorang mantan Presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor sewaktu beliau menjadi salah seorang ahli panel dalam “Simposium Kepimpinan Melayu - Dari Mana Ke Mana” yang dianjurkan oleh Jabatan (sekarang Akademi) Pengajian Melayu, Universiti Malaya lebih tiga puluh tahun yang lalu (1976). Sewaktu itu Ustaz Fadzil belum lagi menjadi presiden parti, sebaliknya hanyalah seorang anggota pimpinan tertinggi Pas.
“Ke manakah hala kepimpinan Melayu sekarang?” Ustaz Fadzil memulakan ucapannya dengan satu pertanyaan dalam simposium tersebut. Pertanyaan itu dijawabnya sendiri dengan satu sindiran dan nada jenaka: “Hala kepimpinan Melayu sekarang ialah tak tentu hala.” Mendengar retorikanya itu ada khalayak yang bertepuk dan ada yang ketawa sambil mengetuk meja.
Saya tidak pasti adakah barisan kepimpinan Pas sekarang masih semazhab atau sealiran dengan Ustaz Fadzil. Dan saya juga tidak pasti sekiranya Ustaz Fadzil masih hidup, sejauh manakah Pas akan menyimpang daripada perjuangan asalnya di bawah pimpinan Ahmad Fuad, Dr. Boerhanuddin Al-Helmi, Ustaz Zulkifli Muhammad, Ustaz Abu, Datuk Asri Muda, Yusof Rawa, Amaluddin Darus serta Abu Bakar Hamzah.
Saya juga tertanya-tanya apakah agaknya jawapan mereka (atau jawapan kita) sekiranya soalan Allahyarham Fadzil Noor itu ditanyakan kembali merujuk situasi semasa: Ke manakah hala kepimpinan politik Melayu masa kini?
Adakah jawapannya masih lagi dalam bentuk acuan retorika Ustaz Fadzil yang penuh sindiran itu. Mungkin ada yang akan menjawab dengan ungkapan seperti “tak tentu hala” atau “pelbagai hala” atau “sudah tak peduli dosa dan pahala” atau “terlalu banyak pemimpin yang keras kepala.”
Atau soalan itu mungkin perlu diperluas: Bagaimanakah kita menilai keadaan politik Melayu semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dahulu.
Saya sendiri ingin menjawab soalan sedemikian dengan ungkapan-ungkapan seperti “tragis dan ironis”, “suram dan sugul”, “defensive and explosive”. Atau jika hendak bergurindam, kita boleh meminjam ungkapan silam: yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran.
Tragis dalam loghat bahasa Indonesia atau tragik mengikut Kamus Dewan bererti menyedihkan. Tetapi dalam konteks ini, kesedihan itu bukan sekadar kesedihan biasa, sebaliknya kesedihan yang mendalam dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Sememangnya keputusan pilihan raya umum atau PRU12 itu memberi kesan jangka panjang yang sangat mendalam terhadap kedudukan politik bangsa Melayu.
PRU12 dianggap sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan hilang kuasa memerintah di Perak dan Selangor.
Tetapi tragedi politik bangsa Melayu berikutan keputusan PRU12 itu bukan sekadar kehilangan majoriti 2/3 kerusi BN di Dewan Rakyat. Satu aspek lain daripada tragedi politik Melayu yang barangkali ramai antara kita yang terlepas pandang ialah keengganan Pas bekerjasama dengan BN (UMNO) untuk membentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor.
Sudah menjadi rahsia umum bahawa sebelum terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor selepas PRU12 itu terdapat usaha-usaha intensif untuk “mendamaikan” Pas dan UMNO. Tetapi sayang usaha-usaha tersebut gagal walaupun di pihak Pas terdapat kumpulan yang sedia “membuang keruh dan mengambil yang jernih.”
Masalahnya, kumpulan dalam Pas yang masih “berdendam” terhadap UMNO lebih berpengaruh daripada kumpulan yang satu lagi.
Akibatnya, Pas merebahkan diri “tidur sebantal” bersama DAP (dan PKR) dengan mimpi yang cacamarba berbeza-beza. (Bayangkan, secara metafora, Tok Guru Nik Aziz sekelambu dengan Peguam Karpal Singh). Maka dengan itu semakin mendalamlah tragedi politik yang dialami bangsa Melayu
Dengan kata-kata lain, jika UMNO dan Pas dapat sepakat membentuk kerajaan di dua buah negeri tersebut, kesan yang tragis daripada hasil PRU12 masih dapat dikurangkan secara signifikan.
Selain daripada “tragis” keadaan sedemikian juga dapat dianggap sebagai “ironis” dalam erti berlaku bercanggahan antara “hasrat” dan “perbuatan” atau terjadi perbauran antara dua unsur yang bertentangan. (Sekali lagi, bayangkan paduan Nik Aziz dan Karpal Singh).
Gambaran atau senario ironis ini dapat ditambah bila kita bayangkan bahawa Pas dan UMNO yang pada hakikatnya mempunyai matlamat yang sama gagal untuk bekerjasama semata-mata disebabkan kerenah atau perangai sesetengah tokoh atau individu yang tidak akan kekal di tengah gelanggang.
Adalah juga satu ironi bila sesetengah tokoh UMNO yang ingin mewujudkan perpaduan Melayu melalui kerjasama UMNO-Pas, tetapi meminggirkan Perkasa yang memang berusaha mewujudkan perpaduan Melayu yang lebih besar.
Semuanya itu, pada hemat saya menyebabkan keadaan politik Melayu menjadi “suram dan sugul”. Bangsa Melayu berada pada kedudukan yang defensive kerana pihak-pihak yang secara berterusan “menggodam Melayu” (melakukan Malay bashing) mendapat “mementum” baru dan semakin yakin untuk meningkatkan serangan terhadap kepentingan bangsa Melayu bila melihat perpaduan Melayu itu semakin rapuh.
Berhubaya-hubayalah kita semua semoga kedudukan yang defensif bangsa Melayu tidak terdesak menjadi eksplosif. Untuk itu, “hala tuju” perlulah “dijernihkan” dan “tindak laku” politik mestilah dirasionalisasikan.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
TO ALL MY BLOG READERS
TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado
Khamis, 30 September 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CLICK NOW
Tajuk Kegemaran
-
By Idris Talu Salah satu usaha ternakan di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara ialah ternakan rusa. Usaha ini amat berjaya setakat ini....
-
إدريس اسماعیل تالو Idris Talu Buah pisang kebatu @ kepok @ abu. Pisang abu atau pisang kebatu ini mempunyai kulit teba...
-
By Idris Talu. Buah kasai atau dalam bahasa botaninya - “ Pometia pinnata “ - dikenali juga sebagai buah matoa di kepulauan Papua. Kasai...
-
By Idris Talu. Nama saintifiknya: Carica papaya. Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), p...
-
By Idris Talu Petai kerayong tidak ada banyak bezanya dengan petai biasa. Petai kerayong bila matang, buah dan kulitnya menjadi keras, tida...
-
Kueh Pinukuik Oleh: Rita Desfitri Lukman [R@ntau-Net] MAMBUEK PINUKUIK CARO KAMPUANG Assalamu'alaikum Wr. Wb. Dek sabanta lai mungkin du...
-
By Idris Ismail Talu. Selepas kita membakar sampah dan dedaunan kering di kebun, biasanya tidak lama selepas itu, anak-anak pokok pucuk mera...
-
By Idris Ismail Talu. Selada air atau watercress atau nama saintifiknya Nasturtium officinale, N. microphyllum ; merupakan sejenis tumbuha...
-
(Oleh Tuan Haji Duan Yusof) Bahan-bahannya : Daging Segar (samada daging kerbau atau lembu)- Lebih Kurang 1 kilogram…Lobi...
-
By Idris Talu Akar tunjuk langit? Yang satu lagi, buah tunjuk langit? Ramai juga yang agak keliru dengan dua jenis herba ini, kerana ked...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan