JAKARTA 26 Mei - Dalam usaha meluaskan operasi perniagaan
AirAsia di peringkat Asia khususnya di Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif
AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes akan berpindah ke kotaraya ini.
Usahawan ternama Malaysia yang mengasaskan syarikat penerbangan
tambang rendah itu dijangka ke ibu negara Indonesia ini dalam tempoh dua minggu
akan datang.
Tokoh korporat itu bertanggungjawab melonjakkan populariti
AirAsia ke peringkat global bermula dengan dua buah pesawat dan kini meningkat
kepada 110 buah pesawat dalam tempoh sedekad mengambil alih kedudukan
Penerbangan Malaysia (MAS).
Syarikat penerbangan itu juga akan membuka sebuah pejabat
serantau di Jakarta sementara Malaysia akan terus kekal sebagai ibu pejabat
AirAsia.
Hasrat Tony untuk berpindah ke kotaraya metropolitan ini
dilaporkan dalam akhbar The Jakarta Post hari ini.
AirAsia melalui perkembangan yang menakjubkan dalam industri
penerbangan bermula dengan laluan domestik sebelum merentasi negara-negara
serantau seperti Indonesia, Thailand dan terbaru ke Filipina dan Jepun.
Pada masa depan, Tony berhasrat untuk mewujudkan kerjasama
konsep penerbangan yang serupa dengan rakan perniagaan di Korea Selatan,
Vietnam dan negara-negara di Timur Tengah.
"Saya telah banyak terikat dengan operasi di
Malaysia," kata Tony kepada wartawan di Toulouse, selatan Perancis di mana
beliau menerima pesawat ke-100 Airbus SAS A320.
Kata Tony lagi: "Saya juga perlu melihat pasaran Jepun
dan Indonesia".
Menurut Tony, bakal menyertai beliau ke pejabat serantau di
Jakarta kelak ialah 20 kakitangan dari ibu pejabat AirAsia di Kuala Lumpur
untuk membantu mengendalikan strategi pemasaran serantau.
Syarikat penerbangan AirAsia juga kata Tony, telah membuat
tempahan sebanyak 200 buah pesawat A320 neo sebagai persediaan untuk usaha
meluaskan lagi laluan penerbangan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan melakukan tambahan
tempahan pesawat Airbus single-aisle.
Akhbar itu turut melaporkan, keputusan Tony untuk berpindah
dibuat susulan daripada keputusan Khazanah Nasional Bhd. yang mengumumkan
pembatalan perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd. setelah
gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu.
Sebelum ini, pada Julai tahun lalu, Tony pernah memberi
kenyataan kepada media Indonesia bahawa AirAsia bakal memindahkan ibu
pejabatnya bagi kawasan serantau dari Kuala Lumpur ke Jakarta.
Ia terkandung dalam strategi terbaru syarikat penerbangan
itu untuk memperluaskan dan memperkukuhkan kedudukan AirAsia di rantau ini.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan kemudiannya menafikan
laporan tersebut dengan memberitahu ibu pejabat syarikat penerbangan itu akan
terus berlokasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang. –
MINGGUAN