Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
ditubuhkan 15 tahun lalu bagi membantu dan meringankan bebanan ibu bapa
membiayai kos pengajian anak mereka.
Peningkatan kos pengajian terutama di Institusi Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS) menyebabkan kerajaan berpendapat satu tabung perlu
diwujudkan bagi membantu ibu bapa.
Sejak itu, PTPTN membantu mahasiswa membiayai pengajian
mereka di universiti dan ibu bapa hanya menyediakan duit poket.
Hakikatnya, pelajar dan ibu bapa mendapat manfaat tetapi
ramai tidak menunaikan janji apabila menamatkan pengajian dan mendapat
pekerjaan.
Kegagalan pelajar membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN
menanggung kerugian kerana terpaksa menambah jumlah pembiayaan setiap tahun.
Ketegasan pengurusan PTPTN melarang pelajar yang gagal
membayar balik pinjaman meninggalkan negara selain menyiarkan nama mereka di
akhbar, sedikit sebanyak membenihkan kemarahan pelajar.
Ada pelajar menggelar PTPTN sebagai ‘along’ kerana mengambil
tindakan tegas terhadap mereka padahal sebagai pemilik, mereka berhak berbuat
demikian.
Akhir-akhir ini apabila ada pihak menyarankan supaya
kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN, pelajar mengambil kesempatan daripada isu
itu untuk menangguk di air keruh.
Mereka begitu drastik mahukan PTPTN dimansuhkan tetapi
persoalannya, apakah benar tabung itu menyusahkan atau mahasiswa enggan memikul
tanggung jawab?
Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Azman Saini Wan Ngah berkata, tindakan
keterlaluan itu
mencerminkan sikap sesetengah mahasiswa yang tidak tahu
mengenang budi.
Baginya, golongan itu hanya mentafsir PTPTN secara luaran
yang mengaitkannya sebagai ‘penindas mahasiswa’, namun tidak mengambil kira
aspek lain yang turut dijana hasil pemberian badan pinjaman berkenaan.
“Mereka sebenarnya tidak tahu hujung pangkal perjuangan.
Mereka hanya sekadar berteriak mahu memansuhkan PTPTN kerana dianggap menindas
dan menyusahkan.
“Hakikatnya, banyak lagi kepentingan PTPTN tidak diketahui.
Jika mereka faham mengenai sumbangan PTPTN, pasti tidak akan bertindak begini,”
katanya.
PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 kini melalui saat sukar
apabila dituduh penindas mahasiswa termasuk menyenarai hitam peminjam yang
culas membayar kembali pinjaman selain menanggung kos pentadbiran satu peratus.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, apa dianggap membebankan
itu nilainya terlalu kecil jika dibandingkan nikmat diperoleh mahasiswa selepas
tamat pengajian.
“Bayangkan, pinjaman diterima hanya sekitar lima hingga 10
peratus saja daripada seluruh kos pendidikan. Yang lainnya sudah diber subsidi.
“Dengan pinjaman seperti itu, mereka akhirnya menjadi
manusia dengan kerja dan pendapatan yang baik. Jadi mengapa mesti bising dan
tidak berpuas hati?
“Adakah nilai itu terlalu besar berbanding nikmat bakal
diperoleh pada masa depan? Kadar semasa dikenakan institusi pinjaman seperti
bank juga lebih tinggi, nilai satu peratus ditambah pinjaman itu sebenarnya
tidak berbaloi,” katanya.
Mahasiswa tidak perlu memasang angan-angan inginkan
pendidikan percuma kerana harga pendidikan hari ini mahal harganya.
“Ya, kita boleh melakukannya seperti negara maju, tapi
sanggupkah rakyat negara ini membayar cukai melebihi 26 peratus?
“Jangan bandingkan dengan negara maju sebab cukai mereka
sangat tinggi seperti Jerman sebanyak 46 peratus.
“United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Sweden
dulunya memberi pendidikan percuma tetapi kini mula mengenakan bayaran
pengajian untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
“Di UK dan AS misalnya, mereka juga ada badan pinjaman
seperti PTPTN kerana tahu tidak mampu lagi memberi pendidikan percuma kepada
rakyatnya,” katanya.
Katanya, jika negara berkenaan sudah melakukannya, apa
relevan permintaan seperti itu di negara ini?
Melalui PTPTN, jumlah mereka yang mampu memperoleh
pendidikan melonjak daripada hanya 27,000 tempat ditawarkan di IPT sekitar
1990-an kepada 381,000 pada 2010.
“Lonjakan 14 kali ganda ini membuktikan sumbangan PTPTN
untuk membantu masyarakat memperoleh pendidikan sangat besar, sekali gus
melonjakkan lagi sektor tenaga kerjaya, ekonomi dan pembangunan.
“Industri makanan, pembinaan, teknologi dan penerbitan juga
memperoleh manfaat kerana adanya permintaan tinggi daripada warga IPT.
Bayangkan, jika tiada PTPTN, adakah sektor ini mampu bertahan?
“Pada saya, mahasiswa ini hanya dipergunakan sedangkan
mereka sendiri tidak tahu apakah perjuangan sebenar,” katanya.
Menekankan tanggungjawab sebenar mahasiswa adalah belajar
hingga tamat pengajian, seterusnya memperoleh pekerjaan baik bagi membayar
semula pinjaman diperoleh.
“Mentaliti ini yang perlu disemai kerana hakikatnya mereka
masih belajar dan perlu terus belajar hingga berjaya menggenggam ijazah.
“Ini bukan tanggungjawab mereka. Apa jua kehendak dan
keputusan biarlah dibuat berlandaskan hasil perbincangan pihak berkaitan yang
lebih berkepentingan serta arif.
“Mengadili PTPTN dengan cara melancarkan tindakan provokasi
bukan penyelesaian terbaik. Ini bukan cara golongan intelektual,” katanya.
Menegaskan fungsi PTPTN sebagai institusi pemudah cara
sokongan pendidikan masih relevan, beliau percaya jika pendidikan percuma
diberikan, pastinya mahasiswa tidak akan menghargai peluang di depan mata.
“Rasionalnya, barang percuma, nilainya tidak begitu
berharga. Jika sekarang pun mereka tidak pandai menghargai, bayangkan jika
diberi pendidikan percuma.
“Keadaan ini berbeza dengan mahasiswa dulu sebab mereka
bersungguh-sungguh menggunakan peluang untuk mengubah nasib manakala ibu bapa
sanggup bergolok gadai. Kesukaran dan keperitan menjadikan mereka fokus dan
tidak banyak meminta-minta.
“Malangnya, mahasiswa hari ini mensia-siakan peluang yang
diberikan,” katanya.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan