Datuk
Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR 23 Julai - Persidangan Khas Dewan Rakyat Rabu
sebulat suara meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak
berperikemanusiaan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan
MH17 di timur Ukraine yang mengorbankan 298 nyawa, pada 17 Julai lepas.
Usul itu menyaksikan kesemua anggota Parlimen yang hadir
menzahirkan sentimen senada untuk menyokong usul yang dibawa oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.
Seramai 22 anggota Parlimen terdiri daripada 12 anggota
Parlimen Barisan Nasional (BN) dan 10 wakil rakyat pembangkang membahaskan usul
itu pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang mula bersidang 10 pagi ini.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43
warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila
terhempas di wilayah Donetsk, di timur Ukraine, pada Khamis lalu.
Datuk
Seri Najib Tun Razak
Kerajaan Ukraine percaya pesawat malang itu ditembak jatuh,
tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika
menggulung perbahasan usul itu menegaskan, pendirian kerajaan bahawa jenayah
yang dilakukan terhadap MH17 merupakan jenayah berat dan menuntut pembelaan di
peringkat antarabangsa.
"Setiap usaha akan diambil untuk memastikan pihak yang
tidak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan, sama ada di peringkat
domestik masing-masing negara yang berkenaan mahupun di peringkat
antarabangsa," katanya.
Muhyiddin berkata, tindakan yang perlu dilakukan sekarang
adalah siasatan yang menyeluruh dan pengumpulan bukti dan untuk tujuan itu
Malaysia akan bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa untuk mengenal
pasti punca nahas dan mengumpul bukti-bukti berkaitan jenayah berkaitan.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menubuhkan sebuah pasukan
penyiasat khas yang akan dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan
Penerbangan Awam dan agensi-agensi lain untuk membolehkan siasatan dimulakan
segera.
Bagi maksud menghadapkan penjenayah yang dikenal pasti ke
muka pengadilan, Muhyiddin berkata Malaysia akan menggunakan undang-undang
jenayah Malaysia yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah (termasuk
Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984. - BERNAMA
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_61/MH17-Parlimen-lulus-usul-kutuk-tindakan-kejam-tembak-MH17#ixzz38INTMvpP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_61/MH17-Parlimen-lulus-usul-kutuk-tindakan-kejam-tembak-MH17