Ziarah Wida' Dan Subuh Terakhir Di Madinah Sebelum Balik Ke Malaysia.
Inilah saat yang paling menyayukan di hati penulis dan isteri serta dirasakan oleh semua jemaah yang datang menziarahi maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat-sahabatnya - Saidina Abu Bakar Assyiddiq dan Saidina Umar Al Khatab yang dimaqamkan (kini) di dalam Masjid Nabawi, serta para pejuang Islam yang dikuburkan di Pekuburan Baqi'.
Penulis katakan "kini" kerana menurut riwayatnya, maqam Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat-sahabatnya berada di dalam rumah isteri Baginda, Aisyah binti Abu Bakar Assyiddiq dan rumah itu asalnya berada di luar Masjid Nabawi. Apabila Masjid Nabawi melalui proses pembesarannya, maqam Baginda dan sahabat-sahabatnya termasuk ke dalam Masjid Nabawi.
Selepas shalat Subuh terakhir di Madinah, penulis beserta jemaah-jemaah lain beratur rapi untuk menziarahi maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat-sahabatnya, Saidina Abu Bakar Assyiddiq dan Saidina Umar Al Khatab.
Suasana cukup sayu, penulis tidak dapat menahan air mata dari membasahi muka. Selepas memberikan salam kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat-sahabatnya, berdoa semoga berpeluang lagi beribadah di Masjid Baginda dan menziarahi Baginda di lain masa lagi.
Dalam arus jemaah yang semakin ramai itu dengan mata yang sudah kemerahan menahan kesedihan untuk berpisah dengan Baginda Rasullullah صلى الله عليه وسلم dan masjidnya, penulis keluar sambil terus melihat kubah berwarna hijau yang di bawahnya terletaknya maqam Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Ramai jemaah yang keluar bersama penulis, menangis teresak-esak bila keluar dari maqam Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Itulah bukti kecintaan dan kasih sayang umat Islam dari segala penjuru alam ini, kepada junjungan mereka, Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang telah membawa cahaya keIslaman kepada seluruh alam ini.
Bahagian Selatan Masjid Nabawi - di bawah kubah bewarna hijau itulah beradanya maqam Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم di samping dua sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar Assyiddiq dan Saidina Umar Al Khatab.
Penulis, selepasah ziarah wida' ke maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat-sahabat Baginda.
Selamat tinggal ya Rasulullah, semoga berkesempatan datang lagi.
©IdrisTalu@2009