Sebahagian
tetamu yang menghadiri Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah
Clifford di Kuala Lipis, Pahang, pada 14 Disember 2013.- Foto ihsan Utusan Malaysia.
KUALA LIPIS 15 Dis. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah
berbangga dapat meraikan sambutan ke-100 Sekolah Clifford yang pernah baginda
bersekolah pada 1946 iaitu ketika berusia 16 tahun.
Baginda bertitah, menjejakkan kaki di Sekolah Clifford yang
penuh bersejarah ini dapat mengimbau dan menggamit kembali 1,001 memori sewaktu
belajar selama dua tahun.
"Inilah satu-satunya sekolah yang cukup bermakna bagi
saya. Pada 1964, saya bersama paduka ayahanda Almarhum Sultan Abu Bakar hadir
meraikan Jubli Emas.
"Pada 1975 pula saya sekali lagi hadir meraikan
sambutan Jubli Intan dan hari ini dengan izin Allah SWT saya berkesempatan
hadir untuk menyaksikan sambutan 100 tahun usia sekolah ini," titah baginda
dalam Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford dan
Pengisytiharan Nama Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini
malam tadi.
Turut berangkat ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob;
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail; Pengerusi
Jawatankuasa Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul
Razak dan Yang Dipertua, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Clifford Lipis (LOCA),
Shaaban Jaafar.
Lebih 1,000 bekas pelajar yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang dan usia termasuk penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hadir
memeriahkan majlis walaupun dalam keadaan hujan.
Pada majlis tersebut, baginda turut mengisytiharkan dewan
SMK Clifford sebagai Dewan Sultan Haji Ahmad Shah.
"Saya berharap sejajar dengan pengisytiharan tersebut,
pelajar dapat menghayati dan meneruskan kecemerlangan serta kegemilangan dalam
pendidikan pada masa akan datang.
"Saya juga berharap bekas pelajar Sekolah Clifford
dapat memberi bantuan dalam apa jua bentuk dalam memastikan sekolah ini berada
di landasan kecemerlangan dan gemilang di persada negara," titah baginda.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131216/pe_02/Sultan-Ahmad-Shah-raikan-sambutan-ke-100-Sekolah-Clifford#ixzz2o6Nw6iqS
© Utusan Melayu (M) Bhd