Oleh Zuhainy Zulkiffli, am@hmetro.com.my
GEORGETOWN: Sekumpulan pelajar tahun akhir Komunikasi
Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM), mengambil inisiatif bagi memastikan
golongan warga emas turut sama aktif dalam dunia teknologi maklumat dengan
menganjurkan Konvensyen Rangkaian Sosial khas buat warga emas.
Konvensyen bertemakan IT4 Connecting, Caring, Changing Lives
of Seniors (e3Cs) yang diadakan esok bertujuan memberi pendedahan kepada mereka
terhadap kemudahan dan faedah penggunaan media sosial.
Pengarah Projek, Nur Farah Asmaq Abdul Rahim berkata, acara
kemuncak akan diadakan di Auditorium Dewan Budaya, USM bermula jam 9 pagi
membabitkan hampir 200 peserta termasuk berusia 45 tahun ke atas.
Menurutnya, ia mewakili ahli jawatankuasa kampung sekitar
Pulau Pinang termasuk warga kampus USM yang akan membincangkan pelbagai topik
antaranya perhubungan komuniti menerusi media sosial, perniagaan kecil melalui
media sosial, cabaran dalam penggunaan media sosial dan pelbagai lagi.
“Atas sebab itulah, kita mengambil inisiatif ini bagi
membantu warga emas menguasai media sosial elektronik seperti e-mel, facebook,
twitter, skype dan sebagainya supaya dapat mengurangkan jurang komunikasi
antara golongan belia dan warga emas dalam aspek pengetahuan serta teknologi
maklumat.” “Penceramah berpengalaman dalam bidang sosial, pelajar universiti
awam dan swasta, wakil industri dan badan kerajaan berkaitan juga dijemput
membantu menjayakan konvensyen ini,” katanya ketika ditemui di USM, baru-baru
ini.
Turut diadakan ialah pelbagai aktiviti menarik khas buat
peserta dan warga kampus pada minggu prapelancaran itu yang membabitkan
pameran, kempen, derma darah dan jualan amal.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Canselor
USM, Prof Datuk Omar Osman serta Penasihat Kempen, Prof Madya Khor Yoke Lim dan
Dr Nor Hazlina Hasyim.
Sementara itu, Omar berkata, inisiatif pelajar USM dalam
penganjuran aktiviti bagi mengubah gaya hidup warga emas ke arah yang lebih
berinformasi dan celik IT amnya dalam media sosial itu wajar dipuji.
Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan